Rabu, Mac 25, 2015

Sidi Muhammad Amin Kutubi

Dulu kalau tuan - tuan ingat, ada satu qasidah yang dipopularkan oleh Haddad Alwi yang chorusnya berbunyi .... "Sidi Muhammad Amin Kutubi habibin Nabiy ... Sidi Muhammad Amin Kutubi habibin Nabiy". Katanya bait chorus ini dimasyhurkan oleh almarhum Abah Guru Sekumpul@ Guru Ijai, Syaikh Muhammad Zaini bin Abdul Ghani al-Banjari rahimahullah kerana Sidi Muhammad Amin ini termasuk guru beliau. La ni yang dimasyhurkan oleh Habib Syaikh di Malaysia adalah dengan "Sidi Abdul Qadir Jilani habibin Nabiy", mungkin sebab kita kurang kenal dengan ulama yang bernama Sidi Muhammad Amin Kutubi ini. Ese rasa pernah tulis sedikit mengenai beliau, namun setelah dicari-cari rupa-rupanya memang tak pernah ditulis.... Allahu ... Allah.

Syaikh Sayyid Muhammad Amin ini nama penuhnya adalah Muhammad Amin bin Muhammad Amin bin Muhammad Shalih bin Muhammad Husain al-Kutubi al-Hasani al-Hanafi rahimahumullahu ajma`in. Beliau daripada keturunan mulia asy-Syarif al-Hasani, keturunan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam daripada jalur Imam Hasan radhiyaAllahu `anhu.  Dilahirkan di Makkah al-Mukarramah pada tahun 1327H. Dalam tahun 1338H, beliau belajar di Madrasah al-Falah sehingga tahun 1346H. Di antara guru - guru beliau adalah Syaikh Muhammad `Arabi at-Tabaani, Syaikh Muhammad Yahya Aman al-Hanafi, Syaikh Ahmad Nadhirin, Syaikh `Isa Rawas, Habib `Abdullah bin Thahir al-Haddad, Syaikh `Umar Hamdan al-Mahrasi dan ramai lagi, ridhwanullahi `alaihim ajma`in.

Setelah tamat pengajian, beliau memulakan tugas mengajar di Masjidil Haram, juga di Madrasah al-Falah, Madrasah Tahdhiir al-Ba`atsaat dan Madrasah I'daad al-Mu`allimin di Makkah. Selain daripada itu beliau turut meluangkan masanya untuk menulis beberapa karangan, antaranya:- "Nafhuth Thib fi Madhil Habib shallaAllahu `alaihi wa sallam" dan "Basyirul Karam `ala Bulughil Maram". Beliau juga seorang yang bijak berpidato sehingga Habib Hasan bin Muhammad Fad`aq rahimahullah menggelar beliau sebagai "Naathiqul `Ashr".

Syaikh Sayyid Muhammad Amin Kutubi rahimahullah tutup usia pada waktu asar hari Isnin, 4 Muharram 1404 dan dimakamkan di permakaman al-Ma`ala. Semoga rahmat Allah sentiasa dicucuri atas roh beliau ..... al-Fatihah.

Tiada ulasan: