Khamis, April 09, 2015

Gembong Syiah Bangil

Kita selalu disajikan dengan semua yang indah-indah mengenai keluarga Ba `Alawi sehingga ada yang leka dengannya dan lupa bahawa keturunan Ba `Alawi juga insan yang tidak maksum. Kita tidak menafikan ramai daripada kalangan keluarga yang mulia ini adalah ulama dan awliya` yang sentiasa berada atas jalan kebenaran. Namun di samping itu, ada juga sisi gelap keluarga yang mulia ini yang perlu kita sedari agar jangan mudah terpedaya dengan orang - orang yang suka menjaja nama keluarga mulia ini untuk  tujuan tertentu dan kepentingan pribadi, bahkan ada yang tujuannya adalah untuk menjerumuskan kita dalam kesesatan dan  kefanatikan.

Kita selaku pengikut Ahlus Sunnah wal Jama`ah sentiasa mencintai dan menyanjungi keluarga yang mulia ini selagimana mereka menuruti jejak langkah para leluhur mereka terdahulu. Namun, jika ada di antara mereka yang melakukan penyimpangan dari jalan kebenaran, maka janganlah kita ikut sama, hanya kerana bersamdarkan kepada kemuliaan keturunan mereka sahaja. Semulia mana pun sesuatu keluarga itu, tetap sahaja tiada jaminan yang mereka adalah maksum. Ini pegangan kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah.

Husein bin Abu Bakar al-Habsyi (maaflah ese tak tergamak nak panggil "habib" sebab dia bukan "habib" ese tapi habibnya geng syiah) adalah seorang tokoh dari keluarga Ba `Alawi yang telah disesatkan Allah SWT sehingga menjadi pengikut dan pendakyah tegar Syiah. Pusat pendidikan yang dia dirikan atas nama Yayasan Pesantren Islam (YAPI) di Bangil, Pasuruan, Jawa Timur adalah pusat penyebaran dakyah Syiah yang aktif di Indonesia. Entah berapa ramai pelajarnya yang telah dihantar ke Iran untuk menyambung pengajian berorientasikan ajaran sesat Syiah Imamiyyah. Syiah telah meraih sokongan dan dokongan daripada segelintir keluarga Ba `Alawi bukan hanya di Indonesia tapi juga di Malaysia. Ramainya, akibat terpesona dengan slogan "kecintaan kepada ahlil bait" yang kerap dilaungkan oleh para agen Syiah. Bahkan Habib Salim BinJindan rahimahullah dengan terang dan jelas dalam karya beliau "Ar-Raa`atul Ghoomidhah fi Naqdhi Kalaamir Raafidhah" telah menyebut Zain bin Aqil al-Jufri sebagai ketua syiah di Jawa pada zaman beliau tersebut. Oleh itu jika ada "habib" atau "sayyid" atau "wan" yang marahkan ese atas posting ini, tak dopeklah ese nak nolongnya, cuma pesan ese kepada kalian jagalah nama "habib", nama "syed" nama "wan" dan nama keluarga antum dengan sewajarnya. Jangan pula kamu sibuk menuduh orang lain "bughudh dengan ahli bait" sedangkan kamu sendiri yang menjadi punca fitnah terhadap keluarga yang mulia ini. Ingat bahawa kami Ahlus Sunnah wal Jama`ah sentiasa mencintai para habaib yang benar dan lurus dalam menjalani ajaran datuk mereka, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Oleh itu berhati-hatilah, jangan hanya kerana mereka menonjolkan imej sebagai keluarga Ba `Alawi, maka kita pun tunduk dan menyanjungi mereka sedangkan mereka sendiri sudah menyalahi jalan para leluhur mereka akibat termakan racun Syiah. Jangan hanya melihat kepada marga atau serban atau rida` sahaja, ingatlah bahawa pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah hendaklah sentiasa diutamakan berbanding yang lain.

Tiada ulasan: