Selasa, Jun 23, 2015

Ramadhaana atau Ramadhaani ???

Perkongsian kali ini adalah berkaitan dengan kalimah "Ramadhan" yang umumnya diketahui bahawa ianya adalah satu kalimah ghair munsharif dalam kaedah ilmu nahwu. Oleh itu, biasa kita lihat dalam buku-buku agama berbahasa Melayu hatta dalam "Perukunan Melayu" dalam lafaz niat puasa yang masyhur, kalimah "Ramadhaan" dibaca dengan baris fathah (atas) seumpama " Nawaitu shauma ghadin `an adaa-i fardhi syahri Ramadhaana hadzihis sanati lillahi ta`ala." Dari segi hukum fiqh, lafaz niat seperti ini, yakni dengan menggunakan kalimah "Ramadhaana hadzihis sanah", bukanlah sesuatu yang dianggap boleh mencederakan ibadah puasa. Apatah lagi ketentuan hukum mensyaratkan bahawa tempat niat itu adalah di hati dan bukannya di lidah, hanya sunat sahaja dilafazkan di lidah. Walau bagaimana pun, dari segi ilmu nahwu kalimah "Ramadhaan" dalam niat tersebut yang diberi baris atas adalah kurang tepat, kerana kalimah "Ramadhaan" walaupun ghair munsharif tetapi tatkala disandarkan (diidhafahkan) kepada kalimah selepasnya iaitu "hadzihis sanah" maka ianya menjadi majrur dengan menerima baris bawah (kasrah).

Perkara ini walaupun kurang signifikan dari segi ketentuan fiqh, namun para ulama fiqh telah mengambil berat untuk memjelaskannya dalam kitab - kitab mereka. Maka atas dasar itu juga, kita berkongsi di sini agar kaedah atau kaifiat niat yang tepat dapat diketahui dan diamal. Syaikh Nawawi al-Bantani rahimahullah dalam "Qutul Habib al-Gharib" pada halaman 111 menulis:-


"....( Dan niat puasanya yang paling sempurna adalah seseorang itu berkata: "Nawaitu shauma ghadin `an adaa-i fardhi Ramadhaani hadzihis sanati lillahi ta`ala,") dengan penuh keimanan dan keikhlasan dan lafaz "Ramadhaan" dalam kaifiat ini dengan baris bawah (majrur) sebab idhafah. Dan memadai untuk dia mengucapkan : "Nawaitu shauma Ramadhana".

Juga dinyatakan dalam "Fathul Mu`in" karya Syaikh Zainuddin al-Ma'bari @ al-Malibari `alaihi rahmatul Bari sebagai berikut:-


 " (Dan yang paling sempurna baginya) iaitu bagi niat : ("Nawaitu shauma ghadin `an adaa-i fardhi Ramadhaani") dengan jar (baris bawah) kerana diidhafahkan (disandar) kepada kalimah yang setelahnya ("hadzihis sanati lillahi ta`ala)......( nak penjelasan tambahan sila lihat kat atas pada Hasyiah I`anah halaman 253, jilid 2).

Maka cukup rasanya pelajaran nahwu kita, nak lebih lagi hendaklah duduk mengaji matan nahwu dengan tok - tok alim. Formula ringkasnya kalimah ghair munsharif boleh menerima jar dalam dua keadaan, pertama ketika diidhafahkan kepada kalimah selepasnya atau ketika kemasukan "alif lam". Maka lafaz niat yang paling tepat adalah sebagai berikut (Ramadhan diberi baris bawah):-


Selamat menjalani ibadah puasa, sempurna semua hendaknya, daripada niat sampailah kepada perlaksanaannya.


Tiada ulasan: