Selasa, Julai 07, 2015

Habib Abdullah bin Hasan asy-Syaathiri

Kutaib yang berjodol "al-Irsyad fi Asrar wa Fawaaid Ratib al-Habib `Abdillah bin `Alawi al-Haddad". Kitab kecil yang memuatkan Ratibusy Syahir dengan sedikit penjelasan mengenai ratib dan fadhilah beberapa zikir yang terkandung dalamnya. Inilah kitab yang dijadikan teks pembacaan ratib di majlis rohah Dr. Muhammad bin Abdullah al-Habsyi hafizahullah suatu ketika dahulu. Oleh itu, secara pribadi ia punya sentimental value bagi faqir. Ianya merupakan hasil karangan seorang guru yang khumul yang benar-benar menjalani jalan para salafnya, al-Habib Abdullah bin Hasan bin Husain asy-Syaathiri rahimahullah. Seorang ulama, pendakwah dan pendidik, yang sekian lama menabur baktinya untuk mencelikkan umat terhadap ilmu-ilmu agama. Hasilnya ramai anak-anak didik beliau menjadi ulama dan mufti yang kemudiannya menyambung jariah ilmu beliau yang disebarkan kepada umat.


Habib Abdullah bin Hasan bin Husain asy-Syaathiri rahimahullah dilahirkan di Dammun, Hadhramaut pada tahun 1910 (1328). Beliau merupakan lulusan Rubat Tarim dan merupakan murid kepada ramai ulama Hadhramaut ketika itu. Antara guru beliau adalah Habib Abdullah bin Umar asy-Syaathiri, Habib `Abdullah Idrus al-Idrus, Habib Ali bin Abdul Rahman al-Masyhur, Habib Alwi bin Abdullah Bin Shahab, Syaikh Abdullah bin Said Hasan, Syaikh Salam bin Said Bakir, Syaikh Umar ad-Dawilah dan ramai lagi rahimahumullahu ta`ala.

Pada tahun 1932, ketika berusia 22 tahun, beliau pergi menunai haji ke Mekah dan tinggal di sana selama 3 tahun. Ketika itu, beliau berkesempatan meneguk kemanisan ilmu daripada ulama al-Haram,  antaranya Habib Idrus bin Salim al-Bar, Habib Abu Bakar bin Ahmad al-Habsyi, Habib Alwi bin Abbas al-Maliki, Sidi Muhammad Amin Kutbi, Syaikh Umar Bajunaid, Syaikh Umar Hamdan dan lain-lain lagi rahimahumullahu ta`ala.

Dalam tahun 1936 pula, atas nasihat ayahandanya, beliau telah berhijrah ke Asia Tenggara. Di sini pun beliau tidak melepaskan peluang untuk belajar daripada ulama yang ada di Nusantara seperti Habib Alwi bin Tahir al-Haddad, Johor dan Habib Muhammad bin Hasan Bin Shahab.

Habib Abdullah menggunakan seluruh hidup beliau untuk mengajar dan berdakwah. Beliau menjadi tenaga pengajar di berbagai institusi agama dan madrasah di Singapura, antaranya di Madrasah al-Saggoff al-Arabiah dan Madrasah al-Khairiah al-Islamiah. Pada tahun 1967, beliau dijemput untuk menjadi tenaga pengajar di Madrasah Hasanal Bolkiah, Brunei. Kemudian beliau ditugaskan juga menjadi penyelidik dan penterjemah di Pusat Sejarah Brunei sehingga bersara pada tahun 1989. Setelah bersara, beliau pulang ke Singapura dan menghabiskan sisa usianya di sana sehingga menemui Penciptanya pada 2 November 1999 (23 Rejab 1420). Beliau meninggalkan ramai anak murid antaranya Dato Ahmad Awang (mantan Mufti Johor), Dato Ahmad Alwi bin Adnan (Mufti Sabah), Syed Isa BenSemait (mantan Mufti Singapura), Pehin Dato Muhammad Zain (Menteri Agama Brunei) dan Ustaz Haji Awang Pon bin Awang Sebon (mantan Ketua Hakim Mahkamah Syariah Sarawak). 

Selain, "al-Irsyad al-Irsyad fi Asrar wa Fawaaid Ratib al-Habib `Abdillah bin `Alawi al-Haddad" Beliau juga meninggalkan beberapa karangan lain, antaranya:-
1. Ringkasan Sejarah Islam;
2. Huraian Pada Masalah Perselisihan 4 Mazhab;
3. Risalah Addin Nasihah;
4. Kisah al-Isra` dan al-Mi'raj;
5. Hukum Haidh dan Istihadah;
6. Ad-Durus Fardiah fil Mirats;
7. Manzumah Tashil Istifadah bima lil Ibadah;
8. Jadwal fi I'rab "la"an-nafiah al-mukarrarah;
9. Rahsia-rahsia Ratib al-Haddad.

Mudah-mudahan Allah memberikan ganjaran yang berganda buat almarhum Habib Abdullah bin Hasan asy-Syaathiri rahimahullah dengan penuh rahmat kasih sayangNya yang berterusan serta memberkati kita sekalian sepanjang hayat kita di dunia sehinggalah ke akhirat sana... Allahumma aamiin bi hurmatil Fatihah.