Ahad, Mei 17, 2015

Angka "786"

Gambar di atas adalah nisan atau batu tanda makam Hadhrat Ra-isul Hukama` wal Mutakallimin, Khatimul Fuqaha` wal Muhadditsin, Syaikhul Islam, Mawlana Sayyid Anwar Syah rahimahullah. Ulama besar yang sudah tersohor namanya di seantero dunia. Namun ese tak berhasrat untuk menulis mengenai biografi beliau yang sudah tersebar luas. Apa yang menarik pada nisan beliau tersebut, selain tertulis nama beliau rahimahullah dan kalimah "marqad mubarak munawwar" - makam yang berkat lagi bercahaya, maka di atasnya tercatat angka "786" menggunakan angka Arab. Apakah signifikannya angka tersebut ? 

Biasanya kalau kita lihat di papan nama kedai-kedai mamak biasa ditulis angka "786" ini di atasnya. Sebenarnya angka tersebut hanyalah simbol yang telah digunakan oleh sebahagian ulama, terutama sekali ulama di Benua India untuk merujuk kepada lafaz "basmallah" yang mulia. Demi menjaga martabat kebesaran khat tulisan "basmallah", maka hanya simbol tertentu yang telah baku di sisi sebahagian ulama digunakan ketika berhajat untuk menulis khat lafaz yang mulia tersebut di tempat-tempat yang kurang wajar. Oleh itu tujuan ianya diguna adalah menjaga kemuliaan dan kesucian kalimah "basmallah", yakni janganlah tulisan penuh "basmallah" ditulis di tempat - tempat yang tidak sewajarnya, seperti di kubur atau di luar rumah atau kedai dan seumpamanya. Juga dulu orang - orang Hindu di India pun selalu mendatangi para alim ulama untuk meminta azimat, maka takkan tok - tok alim ini nak tulis "basmallah" atau ayat-ayat al-Quran. Berhubung dengan penulisan azimat dan sebagainya, kita boleh bahas di tempatnya. Cuma singkatnya menurut jumhur fuqaha`, ianya dibenarkan dengan beberapa syarat untuk tujuan tabarruk sahaja. 

Berbalik kepada persoalan di atas, maka para ulama telah menggunakan simbol - simbol angka untuk  merujuk kepada ayat - ayat atau isim - isim tertentu. Pastinya formulasi simbol angka ini berteraskan kepada satu ilmu yang sudah ada sejak dahulu lagi di kalangan bangsa Arab yang dikenali sebagai hisab al-jummal, di mana setiap huruf Arab tersebut mempunyai nilai angka tertentu (numerical value). Maka dengan menghitung nilai - nilai angka yang terkandung dalam kalimah "basmallah", diperolehilah yang jumlah nilaian angkanya berdasarkan kepada hisab jummal adalah "786". 

Namun perlu diperingatkan bahawa angka "786" itu bukanlah ganti atau ertinya "basmallah" sebagaimana kepercayaan sesetengah orang. Ianya hanyalah satu rumus angka untuk merujuk kepada "basmallah". Macam kita kata "orang no. 1" di Malaysia, pasti kebanyakan kita akan rujuk kepada "DS Najib", tapi takkan kita nak panggil DS sebagai "Oii Nombor Satu", yang pastinya kita panggil "Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib" (kalu mu ogre Umeno atau BiEnd) atau "Abang Najib" (kalu mu adik beradik dia atau adik beradik Kak Ros) atau "Abangg Naaajiiib"  - dengan suara manja sikit, (itu kalu mu Kak Ros) ..... qiyaskanlah kepada yang lain. Melawak noooo, jangan marah, bak kata CM kawey : "Kita hidup tok mesti berguro baruk panjang umur, tok muka menjus jak-jak, susah juak ".

Berbalik kepada angka "786" ianya hanyalah satu simbol, di mana bila kita melihatnya minda kita (minda yang tahu le, yang tak tahu pergilah belajar untuk tahu) akan terus teringat pada kalimah yang musyarrafah "basmallah". Lagi sekali diingatkan bahawa angka tersebut bukan sekali-kali pengganti atau setaraf dengan "basmallah", jangan pulak kita ganti baca "basmallah" dengan membaca "tujuh lapan enam, tujuh lapan nam", karang ada yang kena katok kepala !!!!!!!

Sekadar menulis angka 786, di pintu - pintu kedai atau premis atau kat luar rumah atau kat tempat - tempat yang dirasakan tak layak untuk kita letak nama Allah yang mulia, taklah menjadi satu kesalahan. Ianya adalah dengan harapan bahawa sesiapa yang melihatnya akan membaca kalimah "basmallah". Namun bak ese kata, orang mengaji ni tak ramai, yang bodoh sombongnya yang ramai, maka berlakulah kekeliruan. Sehingga ada yang taksub menyamakan "786" dengan kalimah "basmalah" yang musyarrafah.... Allahu ... Allah. Makanya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 25 Julai 2007 telah memfatwakan sebagai berikut:-
  1. Kepercayaan terhadap angka 786 bermaksud Bismillahirrahmanirrahim juga meyakini angka tersebut membawa tuah dan nasib yang sentiasa baik adalah satu kepercayaan yang salah dan bertentangan dengan Akidah Ahli As-Sunnah Wal-jamaah dan syariat serta akhlak Islam.
  2. Perbuatan ini juga termasuk dalam golongan mereka yang mentafsirkan Al-Quran mengikut hawa nafsu dan tidak berdasarkan kepada ilmu dan disiplin - disiplinnya serta tidak mendapat hidayah Allah s.w.t.
  3. Semua pihak yang terlibat hendaklah menghentikan kepercayaan dan penggunaan terhadap perkara ini serta - merta.
  4. Semua umat Islam dilarang membuat, mencetak, menjual, membeli, mengguna, menyimpan, mempamer, menjadikan perhiasan, menjadikan logo dan menjadikan azimat apa-apa sahaja benda atau barangan yang mengandungi angka 786 tersebut.
Jadi kalau di Johor, agaknya nisan Mawlana Anwar rahimahullah tu nampaknya kena buanglah angka 786? Tak juga, kerana daripada teks fatwa tersebut kita faham bahawa laranganya tidaklah secara ithlaq, ianya bergantung kepada beberapa perkara lain yang berkaitan. Zaman moden ini sepatutnya manusia lebih memahami lagi permasalahan simbol-simbol ini. Sekarang penulisan dengan program tertentu menggunakan komputerpun ada banyak simbol yang bermanfaat untuk kita gunakan seperti kod "Unicode" di mana kalau kita key in huruf rumi tertentu sewaktu menulis dengan Microsoft Words kemudian tekan alt-x, maka huruf tersebut akan bertukar kepada kalimah berbahasa Arab yang tertentu. Misalnya kita tulis "FDF2" tekan alt-x, maka ianya akan berubah kepada Ismudz Dzat Allah yang mulia atau kita tulis "FDFA" tekan alt-x, ianya berubah menjadi "shallaAllahu `alaihi wa sallam" dengan tulisan arab yang cantik... Allahu ...Allah. Jadi memudahkan kita menulis nampaknya, jangan buat bid`ah dholalah udah le, orang baca shalawat ekau baca "fdfa". Jadi penggunaan simbol - simbol ini tidaklah haram secara mutlak untuk digunakan kerana tidak ada nas sharih yang mengharamkan penggunaaannya. Jika pun diharamkan, macam kat Johor, maka ianya disebabkan perkara-perkara yang mendatang seperti iktiqad dan kepercayaan yang salah tersebut. Dan sewajarnya bagi sesiapa yang hendak menulis apa-apa kalimah yang musyarrafah, maka hendaklah dipeliharakan kesuciannya.

Jumaat, Mei 01, 2015

Faedah Istighfar

Bulan Rejab terkenal sebagai bulan istighfar, di mana para ulama amat menganjurkan kita memperbanyakkan istighfar dalam bulan yang mulia ini. Mungkin di antara hikmahnya adalah kerana istighfar itu berperanan seumpama sabun untuk mensucikan diri kita daripada segala kekotoran kesalahan dan dosa, maka apabila sudah bersih dari najis dosa dan noda maka kita barulah kita mengharumkan diri kita dengan wangian ucapan shalawat dan salam dalam bulan Sya'ban, bulan diturunkan ayat perintah bershalawat. Kemudian masuklah kita ke bulan al-Quran Kalam Allah yang agung, di mana kita membaca dan mendarasnya dengan adab yang sempurna, bersuci, berwangian dan berhias demi kemuliaan dan keagungan Kalam Allah ta`ala ...... Allahu ... Allah. Maka kita dapati, para ulama telah meriwayatkan berbagai rupa bentuk istighfar, bahkan ada bentuk yang masyhur dengan sebutan "Istighfar Rajab" sebagaimana yang dinukil daripada Habib Hasan bin `Abdullah al-Haddad rahimahullah

Di sini, kunukilkan satu sighah istighfar yang biasa diamalkan oleh para ulama kita. Shighah yang kunukilkan ini berdasarkan kepada apa yang dicatat oleh al-Imam Mulla `Ali al-Qari Sultan al-Harawi `alaihi rahmatul Bari. Ianya tercatat pada halaman 39, kutaib beliau yang berjodol "al-Adab fi Rajab".
Telah aku lihat al-Manufi (Syaikh `Ali bin Muhammad bin Khalaf al-Manufi al-Mishri rahimahullah, seorang fuqaha` Malikiyyah yang wafat di Kaherah tahun 939H) berkata:-
"Telah aku dapat faedah daripada pengarang "Taghriibul Mathaalib fi Asyrafil Mathaalib" bahawa dia telah melihat akan tulisan tangan al-Hafiz Kamaluddin al-Damiiri rahimahullah (satu hadis) yang diriwayatkan daripada Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma secara marfu`: "Sesiapa yang membaca pada bulan Rejab dan Sya'ban - Astaghfirullahal `Adhzim, alladzi la ilaha illa Huwal Hayyal Qayyum, wa atuubu ilaih, tawbata `abdin dhzaalimin li nafsihi, la yamliku li nafsihi mawtan wa la hayaatan wa la nusyuura (untuk bacaan tepat sila rujuk huruf `Arabnya) - 7 kali, Allah mewahyukan kepada dua malaikat yang diwakilkan untuk mencatat amalan seseorang, agar catatan dosa-dosanya dibakar (yakni dihapuskan catatan dosanya kerana taubatnya diterima Allah ta`ala)".
Kata (Mulla `Ali al-Qari rahimahullah): "Dan cukuplah bagi kita untuk mensabit waridnya hadis ini dengan perhatian yang telah diberikan oleh al-Hafiz ad-Damiiri rahimahullah menukilkannya dengan tulisan tangannya sendiri tanpa sebarang komentar, jika sekiranya hadis ini palsu, pasti beliau menerangkan kepalsuannya kerana beliau adalah seorang imam dalam bidang hadis. Maka serendah-rendah darjat hadis ini adalah ianya dhaif (nota: baca dhaif, bukan maudhu`), dan hadis dhaif diamalkan dalam perkara fadhail a'maal mengikut kesepakatan (ittifaq) para ulama yang muktabar."
Amalan membaca istighfar dengan shighah ini atau yang serupa dengannya telah dianjurkan oleh para ulama kita yang muktabar. Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah juga turut memuatkan amalan ini dalam kitab beliau, "Badaa-i`uz Zuhuur", jilid 2, halaman 66-67 dengan membawa sepotong hadis sebagai berikut:-

Dan daripada Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma daripada Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Barangsiapa berkata pada bulan Rejab dan Sya'ban dan Ramadhan pada barang yang antara Zuhur dan `Asar:
nescaya diwahyu[kan] [oleh] Allah ta`ala kepada dua malak:- "Bakar oleh kamu akan surat kejahatannya daripada diwan shahifahnya." 

Istighfar ini juga adalah antara wirid Imam al-Haddad rahimahullah yang dibacanya sebanyak 7 kali selepas shalat `Asar terutama sekali dalam bulan - bulan haram. Oleh itu, eloklah ianya dijadikan sebagai amalan kita juga sebagai ittiba` akan para ulama kita yang shalihin. Jadikanlah istighfar ini sebagai satu munajat permohonan kita dan pengakuan kita sebagai seorang hamba yang telah banyak menzalimi dirinya sendiri. Yang penting keikhlasan dan kesungguhan kita memohon keampunan Allah dan bertaubat kepadaNya. Allah berkuasa secara mutlak untuk menerima taubat hamba-hambaNya. Jika taubat kita diterima Allah ta`ala, maka bergembiralah kita kerana mafhum hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bahawa orang yang bertaubat daripada dosa-dosanya adalah seperti orang yang tiada dosa baginya.