Sabtu, September 26, 2015

"Qus" Bahasa Melayu

Ulama ini terkenal bukan sahaja dalam ilmu - ilmu agama, tapi juga pakar dalam ilmu bahasa Melayu sehingga diberi gelaran "Qus Bahasa Melayu" yakni pakar atau perbendaharaan bagi Bahasa Melayu. Beliau tidak lain tidak bukan adalah Syaikh al-`Alim al-'Allaamah Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga rahimahullah. Riwayat kehidup n awal ulama ini tidak diketahui secara terperinci, menurut sesetengah pengkaji beliau berasal dari Pulau Lingga, manakala menurut yang lain beliau berasal dari Kelantan - Fathani. Beliau turut mengecap pendidikan awal di Pondok Bendang Daya, Fathani Darus Salam. 

Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke Makkah al-Mukarramah dan berguru dengan para ulama di sana, antaranya dengan Mufti Syafie Makkah, Sidi Ahmad Zaini bin Dahlan, Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syaikh Ahmad an-Nahrawi dan ramai lagi. Di antara ulama yang seangkatan dengan beliau yang menjadi sahabat beliau di sana adalah Syaikh Wan Ahmad al-Fathani, Syaikh Ahmad Khatib bin Abdul Lathif al-Minangkabawi, Syaikh Uthman bin Syihabuddin al-Funtiani dan Syaikh Abdul Rahman Gudang al-Fathani. Beliau terus bermukim di Kota Makkah al-Mukarramah dan menabur bakti dengan mengajar di rumahnya dan di Masjidil Haram. Maka ramailah murid-murid yang datang menadah kitab dengan beliau. Antara mereka adalah al-`Alim al-`Allaamah Syaikh Uthman bin Abdul Wahhab Sarawak dan anak beliau Syaikh Zainuddin Sarawak, Qadhi Haji Abu Bakar Muar, Tok Kenali, Syaikh Abdullah Fahim dan Hadhratusy Syaikh Hasyim Asy`ari rahimahumullahu ta`ala ajmain.

Syaikh Zainuddin Sarawak dalam manaqib ayahandanya yang berjodol "Nafahaatur Ridhwan" pada halaman 42 - 43, yang diterjemahkan oleh murid-murid beliau, menulis antara guru ayahanda beliau adalah:-
....Dan setengah daripada mereka itu (yakni yang menjadi guru Syaikh Uthman Sarawak), asy-Syaikh yang alim yang sampai kepada kepandaiannya, ialah seperti Qus pada masanya pada tentang Bahasa Melayu, iaitu seorang yang cerdik pada orang - orang Arab, yang memegang tali lagam segala ilmu adab, orang yang adalah ia atas mengkhidmat akan Tuhannya terlampau cermat dan jaga, iaitu asy-Syaikh Ahmad orang Lingga rahimahullah wa radhiya `anhu .... 
Selain dari mengajar, beliau juga giat menjadi pentashih kitab - kitab Melayu/Jawi.Menurut Syaikh Wan Ahmad al-Fathani, beliau adalah ahli dalam bidang ini. Di samping itu, beliau juga turut menulis dan mengarang banyak kitab, samada kitab terjemahan dan karya asli. Namun setakat ini hanya beberapa karya sahaja yang dapat dikesan dan dicetak. Di antara karya beliau adalah:-
1. Daqaiqul Akhbar;
2. Nashihatu Ahlil Wafa;
3. Tsimarul Ladzidzah;
4. Hadiqatur Raihan.

Mungkin ada berpuluh-puluh lagi karya beliau kerana keempat-empat karya di atas ditulis beliau hanya dalam tempoh satu tahun sahaja, iaitu sekitar tahun 1312 H- 1313H. Semoga Allah merahmati Syaikh al-'Alim al-Washil al-Kamil Ahmad bin Haji Muhammad Yunus Lingga dan menempatkan beliau bersama para shiddiqin..... al-Fatihah.

Selasa, September 08, 2015

Pengarang "Senjata Mukmin"

Di antara kitab yang berisi doa, wirid dan hizib yang masyhur dan telah lama beredar dalam masyarakat kita adalah kitab "Senjata Mukmin". Kitab ini sangat terkenal, bahkan di Haramain pun ada tok-tok guru, terutama sekali yang berketurunan Banjar yang menjadikannya sebagai buah tangan kepada tetamu yang datang bertandang. Walaupun kitab ini telah dicetak berulang-ulang kali, namun ramai yang tidak mengenali tokoh yang telah menyusun kitab yang berkat ini.

Kitab ini dikarang oleh seorang ulama Banjar yang pernah menjadi qadhi di Martapura. Beliau adalah KH Husin Kudri @ Husein Qadri bin Mufti KH Ahmad Zaini bin KH Abdul Rahman al-Banjari. Dilahirkan pada 17 Ramadhan 1327H. Bonda beliau bernama Hajjah Sanah adalah cicit kepada Mufti Jamaluddin. Dari kecil lagi Syaikh Husin Kudri telah diasuh dengan didikan agama dengan sebaiknya. Di antara guru-guru beliau adalah ayah dan datuknya sendiri, KH Kasyful Anwar al-Banjari, KH Zainal Ilmi dan lain - lain, rahimahumullahu ajma`in.

Beliau kemudiannya diangkat menjadi qadhi di Martapura dan selain dari menjadi tenaga pengajar di 15 buah masjid dan surau termasuklah di Masjid Agung al-Karomah, Martapura. Setiap pengajian yang beliau kendalikan akan dihadiri ribuan jemaah. Beliau terkenal sebagai seorang ulama yang warak, khumul, berakhlak, lembut serta ramah dengan sesiapa jua, maka tidak hairan jika masyarakat amat menyenangi dan mengasihi beliau. Tugasnya untuk mendidik dan membimbing umat dilaksanakannya dengan bijaksana dan penuh kasih sayang.

Syaikh Husin Kudri rahimahullah wafat pada hari Jumaat, 27 Jamadil Awwal 1387H dan dimakamkan di Tunggul Irang, Martapura. Selain meninggalkan ribuan murid, maka antara karya tulis yang beliau tinggalkan adalah:-
1. Senjata Mukmin;
2. Manasik Haji dan Umrah;
3. Nurul Hikmah;
4. Kitab Khutbah Jumaat;
5. Sebuah Tafsir al-Quran.

Mudah-mudahan Allah merahmati beliau sentiasa dan memberkati kita sekalian, aamiin .... al-Fatihah.

Foto Syaikh Husin Kudri dalam "Senjata Mukmin"


Khamis, September 03, 2015

Ben Wahab as-Saffah

Allah SWT telah menganugerahkan kepada bangsa kita dengan anugerah yang paling agung. Anugerah berupa jalan keselamatan bagi dunia dan akhirat, iaitu Islam dengan i'tiqad yang sahih, Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Syukur tanahair kita dimerdekakan Allah SWT dengan umatnya berpegang kepada i'tiqad yang benar ini. Oleh itu, jangan kita alpa tentang perkara ini. Jangan ingat tok nenek kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah, maka ianya akan kekal begitu sampai bila-bila. Pelajarilah apa yang berlaku kepada Andalusia, lihat apa yang terjadi kepada Iran yang satu ketika adalah negara Ahlus Sunnah wal Jama`ah dan jangan lupa kepada penjajahan Wahabi-Nejdi terhadap bumi Hejaz. Jadikan semua ini peringatan tentang peri pentingnya kita menjaga kemerdekaan kita dengan berteraskan kepada Islam yang sebenar, Ahlus Sunnah wal Jama`ah.

Satu lagi nikmat yang Allah kurniakan kepada kita di Malaysia adalah nikmat keamanan dan kedamaian. Maka wajib kita syukuri dan jaga nikmat ini, jangan sampai hilang akibat permusuhan di antara kita kerana berbeza pendapat. Lihat sahaja apa yang berlaku di negara - negara lain, di mana berlakunya pembunuhan sesama umat atas nama agama .... Allahu Allah. Oleh itu, jangan biarkan golongan pemecah belah dan peng"halal" darah umat ini untuk bertapak dan menggugat keamanan dan kedamaian umat beragama di Malaysia. Belajar dari sejarah.

Sempena hari kemerdekaan, di mana biasanya kita akan dibawa untuk mengenang kembali sejarah silam. Maka, ese pun nak bawak kisah sejarah juga, tapi bukan sejarah kemerdekaan. Tapi sejarah hitam yang telah melanda umat, satu fitnah yang masih berleluasa bagai duri dalam daging. Sejarah telah menjadi bukti nyata bahawa firqah Wahabi yang mengaku Salafi dan "konon"nya mengikut mazhab Imam Ahmad bin Hanbal radhiyAllahu `anhu adalah antara puak yang bermudah-mudah menumpahkan darah umat Islam yang tidak sefaham dengan mereka. Inilah terhasil "berkat" ajaran tok-tok guru mereka yang sentiasa mau menang sendiri. Dalam misi mereka menjajah bumi Hejaz, tanah kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, ramai jiwa umat Islam yang mereka korbankan. Sejarah telah menyaksikan bagaimana mereka membunuh saudara-saudara seagama atas nama jihad menegakkan tawhid, baik di Taif maupun di al-Haramain. Dalam penaklukan kali kedua puak Wahabi, mereka telah mengorbankan ratusan ribu nyawa umat seagama (menurut sesetengah sumber, tidak kurang 400,000 jiwa telah dibunuh oleh puak ini). Bahkan di Taif, Burayda dan al-Huda, mereka telah melakukan pembunuhan beramai-ramai penduduk kota - kota tersebut.

Puak Wahabi menjadi tega dan kering hati untuk menumpahkan darah saudara seagama kerana menurut keyakinan mereka yang berdasarkan ajaran sesat pegangan mereka bahawa pihak - pihak selain daripada puak mereka adalah ahli bid`ah, musyrik dan penyembah kubur yang halal darah mereka untuk ditumpahkan. Inilah asal muasal bagi ajaran "pengganas" terroris yang melanda dunia sekarang. Tiada bezanya mereka dengan kelompok Syiah dalam menghalalkan darah pengikut Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Oleh itu, wahai warga Ahlus Sunnah wal Jama`ah, hendaklah kita berhati - hati dan berwaspada dengan firqah Wahabi dan firqah Syiah ini. Ingat, mereka-mereka ini jika diberikan kekuasaan pasti akan memperlakukan kita dengan sewenang-wenangnya. Di sisi mereka nyawa kita tidak berharga, kita dianggapnya lebih kotor daripada Yahudi dan Nashrani. Lihat sahaja antek-antek mereka di tanahair, gampang sekali menghukum amalan-amalan kita seperti atau tasyabbuh dengan amalan musyrik, kafir, berasal dari amalan Hindu, khurafat dan sebagainya. Ini baru bunganya, maka awas jangan sampai bunga menjadi buah !!!!!! Oleh itu hendaklah kita sentiasa berwaspada dan bersedia untuk menghapuskan ajaran - ajaran mereka sebelum terlambat.

Bukan sahaja umat Islam di kalangan awam, para ulama kita pun tidak lepas daripada kekejaman dan pembunuhan Wahabi. Di antara ulama yang telah menjadi mangsa kekejaman Wahabi adalah al-`Alim al-`Allaamah Mufti Syafi`iyyah bagi Kota Suci Makkah al-Mukarramah, asy-Syaikh asy-Syahid as-Sayyid Abdullah az-Zawawi rahimahullah. Syaikh Ahmad bin Muhammad ash-Shiddiqi al-Ghumaari al-Hafiz rahimahullah  dalam karya beliau "Ju'natul `Aththar" menyatakan, antara lain, sebagai berikut:
Tatkala puak al-Qaraniyyun (iaitu gelaran yang diberikan kepada pengikut Wahabi yang bererti "para pengikut tanduk syaithan" kerana berdasarkan kepada hadis yang shahih yang menyatakan bahawa Nejd tempat asal puak Wahabi adalah tempat munculnya tanduk syaithan) menawan Hejaz, maka mereka telah membunuh orang - orang Islam atas dakwaan bahawa mereka adalah kaum musyrikin. Perbuatan mereka ini adalah sebagaimana dikhabarkan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa alihi wa sallam: "Mereka membunuh orang - orang beriman dan membiarkan penyembah-penyembah berhala" [petikan daripada hadis yang antaranya diriwayatkan Imam Muslim dengan lafaz "... mereka membunuh orang - orang Islam dan membiarkan penyembah-penyembah berhala."] Mereka turut membunuh orang-orang alim, bahkan mereka telah menyembelih Syaikh `Abdullah az-Zawawi rahimahullah, syaikhnya pengikut mazhab Syafi`i (yakni mufti bagi mazhab Syafi`i) sebagaimana menyembelih kambing sedangkan usia beliau sudah lanjut, melebihi 90 tahun. Mereka turut menyembelih mertua beliau yang juga telah tua melebihi 90 tahun umurnya........
Allahu .... Allah, sungguh perbuatan keji mereka ini adalah perbuatan syaithan yang sentiasa memusuhi para kekasih Allah. Lihat sahaja "jihad" atau lebih tepat "jahat" yang dilancarkan oleh puak Wahabi-Saudi, siapa yang mereka perangi, Inggeris ? Perancis? Belanda? Buuuukaaaannnnn, darah yang mereka tumpahkan dalam "misi jahat" mereka itu adalah darah umat Islam, yang mereka perangi adalah Khilafah Islamiyyah, Daulah Uthmaniyyah, bukannya British !!!!!! Apa jahat sangatkah Turki Daulah Uthmaniyyah berbanding penjajah Britania Agung? Akai ada !!!!! Mudah-mudahan Allah membalas mereka atas segala kekejaman yang telah mereka lakukan ke atas umat ini. Dan semoga kita dan sekalian umat, bahkan sekalian alam dipelihara Allah ta`ala daripada segala fitnah dan mehnah.

Ben Wahhab Si Penumpah Darah - Syaikh Nuruddin hafizahullah

video