Jumaat, Disember 09, 2016

Khulaashatul Asraar

Sempena bulan kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, faqir ingin menulis sedikit mengenai satu karya tulis ulama Melayu yang membicarakan tentang hukum, kelebihan dan adab bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Kitab yang faqir maksudkan berjodol "Khulaashatul Asraari fi Fadhilatish Shalaati was Salaami `ala Sayyidil Abraar" yang ditulis oleh seorang ulama besar keturunan Fathani Darus Salam yang bernama al-'Alim al-'Allaamah asy-Syaikh 'Abdul Qadir bin 'Abdul Rahman al-Fathani rahimahullah.

Ustaz Ismail bin Che Daud dalam majalah "Pengasuh" Bil. 513, Muharram - Safar 1412H /  Julai - Ogos 1991M menyatakan bahawa Syaikh 'Abdul Qadir al-Fathani dilahirkan sekitar tahun 1829M. Namun menurut kajian almarhum Ustaz Wan Muhammad Shaghir rahimahullah, beliau dilahirkan sekitar tahun 1813M (1228H). Syaikh 'Abdul Qadir dilahirkan dalam lingkungan keluarga ulama, bahkan Tok Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah dan Syaikh 'Abdul Qadir bin Abdul Rahim al-Fathani @ Syaikh 'Abdul Qadir Bukit Bayas (Trengganu) rahimahullah adalah termasuk keluarga rapat beliau. Beliau memulakan pengajian asasnya di berbagai pondok di Fathani Darus Salam dan lebih lama memondok di Pondok Pauh Bok, Fathani Darus Salam, yang merupakan pondok tua yang telah melahirkan banyak ulama besar antaranya Syaikh 'Abdul Shamad al-Falimbani dan Syaikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani.

Tatkala pecah perang antara Fathani dengan Siam, maka Syaikh 'Abdul Qadir yang berusia belasan tahun itu telah dibawa berhijrah ke Pulau Duyung Kecil, Trengganu dan kemudian beliau bersama-sama gurunya, Tok Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani meneruskan perjalanan mereka ke Mekah. Turut serta dalam penghijrahan ke Mekah tersebut adalah bayi yang bernama Muhammad bin Ismail yang merupakan anak angkat dan cucu saudara Tok Syaikh Daud al-Fathani. Bayi inilah yang kelak setelah dewasa terkenal sebagai Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani @ Syaikh Muhammad Shaghir al-Fathani @ Syaikh Nik Mat Kecik al-Fathani rahimahullah, ulama besar yang menulis kitab "Mathla`ul Badrain wa Majma`ul Bahrain" yang masyhur. Dari segi hubungan kekeluargaan, Syaikh Abdul Qadir adalah bersepupu dengan Syaikh Nik Mat Kecik kerana ibu mereka adalah adik-beradik kandung. 

Maka membesarlah Syaikh 'Abdul Qadir di bawah asuhan Tok Syaikh Daud al-Fathani dan para ulama Haramain di antaranya adalah Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syaikh Muhammad Haqqi Nazili, Syaikh Ahmad As`ad ad-Dihan, Syaikh Sayyid Amin Ridhwan dan ramai lagi. Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani pula adalah sahabat rapat beliau sewaktu belajar di Mekah. Setelah tamat pengajian, Syaikh 'Abdul Qadir al-Fathani telah diamanahkan untuk mengisi pengajian-pengajian dalam Masjidil Haram dan juga di rumah beliau sendiri di Mekah. Maka mulalah beliau duduk mengajar para murid yang datang dari berbagai pelosok dunia, dari sekecil-kecil kitab sehinggalah kepada kitab-kitab besar. Selain mengajar kitab-kitab 'Arab, beliau juga memberi perhatian khusus untuk mengajar kitab-kitab Jawi karangan para ulama terdahulu. Bahkan beliaulah perintis untuk mengumpul, mentahqiq, mentashih dan menyebar kitab-kitab Jawi yang akhirnya kerja ini diteruskan oleh murid beliau Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah.

Keilmuan dan ketokohan Syaikh 'Abdul Qadir al-Fathani amat terserlah sehingga beliau dianggap sebagai khalifah Tok Syaikh Daud al-Fathani. Maka setelah pemergian Tok Syaikh Daud al-Fathani, Syaikh 'Abdul Qadir al-Fathani telah menjadi rujukan pertama dan utama para ulama Nusantara. Ini dikeranakan beliau adalah seorang ulama yang menguasai berbagai cabang ilmu pengetahuan lagi ahli syariat dan haqiqat yang sempurna.

Syaikh 'Abdul Qadir bin 'Abdul Rahman al-Fathani rahimahullah tutup usia pada awal bulan DzulHijjah tahun 1315H (1898M) di kota suci Mekah. Maka pergilah beliau ke hadhrat Ilahi dengan meninggalkan ramai murid, antaranya Syaikh Wan Ahmad al-Fathani dan Syaikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani. Beliau turut meninggalkan sekurang-kurangnya 14 karangan, antaranya:-
  1. al-Mawahibul Makkiyyah tajwidil ada-iyyah;
  2. Terjemahan kitab "Lujainud Dani" manaqib Syaikh Abdul Qadir Jilani;
  3. ad-Durrul Munazhzham;
  4. Risalah Pada Menyatakan Wada` Bulan Ramadhan;
  5. Raudhuz Zawahir;
  6. Kitab Membuka Fal; dan
  7. Khulashaatul Asrar.
Berbalik kepada "Khulaashatul Asraari fi Fadhilatish Shalaati was Salaami `ala Sayyidil Abraar", kitab ini telah selesai beliau tulis pada 22 Rabi`uts Tsani 1306H (1888M). Ianya dicetak kali pertama oleh Mathba`ah al-Miriyah al-Makkiyyah al-Mahmiyyah, Mekah pada tahun 1310H (1892M). Kitab ini memuatkan tulisan mengenai hukum, kelebihan dan adab bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Syaikh 'Abdul Qadir dalam menulis kitab ini telah merujuk kepada kitab-kitab besar seperti "Ihya` 'Ulumiddin", "Khazinatul Asrar", "Fathul Mubin", "Tanbihul Ghafilin", "asy-Syifa`", "Durrul Mandhudh","ar-Raudhul Faiq" dan banyak lagi. Syaikh 'Abdul Qadir dalam kitab ini setelah mukaddimah, mendatangkan bab-bab yang menghuraikan ayat mengenai shalawat, hadis dan riwayat tentang anjuran dan kelebihan bershalawat, adab orang bershalawat dan akhirnya ditutup dengan mendatangkan berbagai shighah shalawat yang warid daripada nash hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam  dan juga beberapa shighah shalawat yang datang daripada ulama. Kitab yang cetakannya dalam 104 halaman mukasurat ini diakhiri dengan shighah Shalawat al-Munjiyyah yang berkat.

Sebagai penutup, faqir ingin berkongsi satu faedah yang disebut dalam kitab ini. Ketika membicarakan dua maqam bagi mengucapkan shalawat dan salam ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, Syaikh 'Abdul Qadir menjelaskan bahawa maqam pertama adalah di mana seseorang yang bershalawat dan bersalam itu menggunakan shighah mukhathabah yakni secara khithab atau dialog bersemuka seumpama diucapkan as-shalatu was salamu 'alaika Ya RasulAllah. Ianya dilakukan dengan penuh kesungguhan dan kehadiran hati, dengan mentakzimkan dan membesarkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam seolah-olah baginda hadir di hadapan kita. Soal samada Junjungan shallaAllahu 'alaihi wa sallam hadir atau tidak pada zahirnya, bukanlah persoalan kita, apa yang dipentingkan dan dititikberatkan adalah upaya kita untuk menghadirkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yakni yang penting adalah kita mengistihdharkan seolah-olah baginda hadir di hadapan kita, maka diharap dengan sedemikian akan timbul kesungguhan dan kekhusyukan hati ketika melafazkan ucapan shalawat dan salam ke atas baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam disertai takzim, mahabbah, kasih sayang, asyik rindu, penuh adab kesopanan demi membesarkan dan mentakzimkan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Selanjutnya Syaikh 'Abdul Qadir rahimahullah  menganjurkan agar seseorang mengucapkan salam ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebanyak 100 kali setiap hari. Pada halaman 90, Syaikh 'Abdul Qadir al-Fathani rahimahullah menukilkan sebagai berikut:-

...Maka menyebut ia akan shalawat dan salam dengan jalan khithab artinya berkata-kata di hadapannya beserta dengan merendahkan dan menghinakan dirinya dan membesarkan hadhratnya yang mulia dan yang eloknya pada maqam ini bahawa ia mengucap "as-salamu `alaika ayyuhan Nabiyyu wa rahmatullahi wa barakaatuh" seperti barang yang di dalam tasyahhud sembahyang. Maka barangsiapa yang berkehendak sejahtera pada dirinya dan anak buahnya dan hartanya dan sejahtera daripada kebinasaan dunia dan akhirat dan keluasan rezeki pada usahanya dan perniagaannya dan tanamannya dan inkisyaf dan futuh pada zahir dan batin dan hampir pada Allah dan kasih pada hati segala manusia dan dimudahkan atas sakaratul maut dan keluar nyawanya seperti keluar urat rambut daripada tepung yang diuli, maka hendaklah ia membaca tiap-tiap hari seratus kali : "as-salamu `alaika ayyuhan Nabiyyu wa rahmatullahi wa barakaatuh" dengan jalan muraqabah yang tersebut itu....

Mudah-mudahan entri ini sedikit sebanyak memberikan maklumat yang berguna bagi segala ikhwah yang budiman yang ingin menghampirkan diri kepada Allah ta`ala dan Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam. Namun hendaklah segala maklumat itu dijadikan panduan untuk jadi amalan dan pakaian kita, barulah maklumat tersebut menjadi ilmu bermanfaat yang bakal menghasilkan buah-buah yang manis lagi enak untuk dinikmati di Darul Baqa` kelak.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

T.kasih siddi. Mohon share