Selasa, Februari 09, 2016

Hadiah Bacaan - al-Ja'fari

Sekadar perkongsian dan sebagai tambahan khazanah ilmu kita berhubung persoalan hadiah pahala bacaan al-Quran kepada arwah yang telah berada di alam barzakh. Bagi sesiapa yang tidak sependapat, tidak ada masalah apa-apa kerana ianya adalah perkara ikhtilaf. Janganlah saling menyalahkan antara satu sama lain sehingga menyebabkan ketegangan dan perpecahan dalam masyarakat. Mutiara kali ini dipetik dari karya Syaikh Shaleh al-Ja'fari rahimahullah ulama besar yang menjadi imam di Masjid al-Azhar berjodol "Fathun wa Faidhun wa Fadhlun minAllah".

Pada halaman 234, Syaikh rahimahullah menulis sebagai berikut:-


Dan aku telah mendengar guru kami, Syaikh asy-Syinqithi rahimahullah berkata:- "Sampai pahala bacaan al-Quran kepada si mati apabila dihadiahkan oleh si pembaca kepadanya dengan dikatakan (yakni didoakan) sebelum pembacaan: "Ya Allah sampaikanlah pahala apa-apa yang akan aku baca kepada si fulan" yang afdhal dilakukan sebelum memula bacaan, namun boleh juga dilakukan selepasnya. Adalah Syaikh al-`Izz bin `Abdus Salam (yakni Sulthanul Ulama `Izzuddin bin Abdus Salam) rahimahullah berpendapat yang bacaan al-Quran tidak bermanfaat kepada orang mati. Maka setelah beliau wafat, sebahagian ulama telah bermimpi bertemu dan bertanya kepada beliau: " Adakah pahala bacaan al-Quran bermanfaat kepada orang mati?" Syaikh `Izzuddin menjawab: "Ya, bermanfaat dan aku telah melihat bahawa ketetapan dalam urusan ini menyalahi sangkaanku (yakni menyalahi pendapatnya yang bacaan al-Quran tidak mendatangkan manfaat bagi si mati). Dengan kelebihan Allah ta`ala jua, telah aku nazamkan perkataan guruku, Syaikh asy-Syinqithi sebagai berikut:-

Dan sampai pahala sedekah kepada para arwah * Juga pahala amalan selainnya daripada haji maupun shalat;

Demikian pula pahala si pembaca (al-Quran) yang dihadiahkannya * Sebelum atau selepas bacaan dilakukan sebagaimana yang telah tersusun;

Dan telah dimimpikan orang akan al-'Izz, lalu dia berkata:- * "Aku telah melihat ketetapan dalam urusan ini menyalahi sangkaanku".

Rabu, Februari 03, 2016

Taubatnya Zamakhsyari

Kisah yang dinukilkan Habib Abu Bakar al-'Aththas bin 'Abdullah bin 'Alawi al-Habsyi rahimahumullah dalam karya beliau yang berjodol "Tadzkirun Naas" mengenai taubatnya Imam az-Zamakhsyari rahimahullah pengarang kitab tafsir "al-Kasysyaf" ketika usia tua beliau. Sebagaimana yang kita maklumi, Zamakhsyari adalah salah seorang pemuka Mu'tazilah yang beriktiqad bahawa makhluk mempunyai kuasa untuk mencipta perbuatan dirinya, yakni perbuatan makhluk adalah ciptaan diri makhluk tersebut dan bukannya ciptaan Allah SWT. Oleh itu, karya-karya beliau perlu dibaca dengan hati-hati agar tidak termakan racun Mu'tazilah. 

Kisah taubatnya Imam Abul Qasim Mahmud bin 'Umar az-Zamakhsyari diceritakan pada halaman 299 kitab tersebut sebagai berikut:-
" Telah sampai kepada kami (yakni Imam al-Habib al-Quthub Ahmad bin Hasan al-'Aththas rahimahullah) bahawasanya Zamakhsyari telah meminang anak perempuan salah seorang qadhi AhlIs Sunnah di Mekah. Pada mulanya Qadhi tersebut enggan menerima pinangan Zamakhsyari. Namun ketika pinangan tersebut diketahui anak perempuan si Qadhi, maka dia telah menyuruh bapanya untuk menerima sahaja pinangan tersebut. Tatkala malam pertama Zamakhsyari dengan isterinya tersebut, si isteri telah berkata kepada Zamakhsyari: "Sesungguhnya malam ini adalah antara sebaik-baik kenikmatan dunia bagi lelaki dan wanita, oleh itu malam ini mesti kita melakukannya 70 kali (yakni melakukan jimak)". Lalu Zamakhsyari berkata kepada isterinya: "Tidaklah aku mampu untuk melakukannya." Lalu si isteri membalas balik: "Bukankah engkau berpendapat bahawa manusia berkuasa mencipta perbuatan-perbuatan dirinya, maka hendaklah engkau melakukannya atau engkau tarik balik pendapat tersebut." Lalu Zamakhsyari berkata: "Aku bertaubat daripada iktiqad tersebut." Maka dipanggilkanlah bapa mertuanya dan beberapa orang lagi pada waktu itu untuk menjadi saksi atas taubatnya itu. Beginilah kisah yang telah sampai kepada kami dan yang telah kami dengar daripada sebahagian orang saleh."
Mudah-mudahan Allah merahmati Imam Zamakhsyari dan menerima taubatnya serta menghapuskan segala ketergelincirannya terdahulu.