Jumaat, Oktober 06, 2017

Man Fariha Bina (2)

Syaikh Abdullah bin Muhammad Najib Sirajuddin al-Husaini rahimahullah adalah seorang ulama yang terkenal dengan kewaliannya. Beliau adalah seorang ulama fiqh, sufi, mufassir, muhaddits, dilahirkan pada tahun 1342H dalam keluarga yang shalih lagi mulia. Beliau meninggal di Halab / Aleppo, Syria pada tahun 1422H. Beliau banyak meninggalkan karangan, antara yang masyhur adalah kitab yang membicarakan tentang ketinggian pribadi dan akhlak Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang berjodol "Sayyiduna Muhammad Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, syamaailuhul hamiidah wa khishaaluhul majiidah."  Kalau dulu, faqir pernah berkongsi satu kisah mimpi bertemu dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang dipetik dari kitab Tadzkiratul Waa`idhziin karya Mawlana Muhammad Ja'far al-Quraisy al-Hanafi, kali ini faqir nukilkan kisah sama yang dipetik daripada karya agung Syaikh Abdullah Sirajuddin ini.

Pada halaman 474 kitab tersebut, Syaikh Abdullah Sirajuddin rahimahullah menulis:- Dinukilkan oleh Imam Muhammad bin Yusuf asy-Syaami dalam kitab sirahnya daripada Syaikh Abu Abdullah bin Abu Muhammad an-Nu'maan di mana dia berkata: Aku telah mendengar Syaikh Abu Musa az-Zarhuni berkata: " Aku telah bermimpi bertemu dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka aku telah menyebut kepada baginda mengenai apa yang diperkatakan tentang perbuatan mengadakan majlis atau kenduri untuk peringatan mawlid. Lalu Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda kepadanya: "Sesiapa yang gembira / suka dengan kami, kami pun gembira / suka dengannya."

Mudah-mudahan kita dijadikan Allah umat Muhammad yang dibanggakan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, bukan sekadar umat yang berbangga dengan nabinya. 

Tiada ulasan: