Ahad, November 05, 2017

Kisah Syibli & Kucing

Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam sepotong hadis yang masyhur memerintahkan kita untuk tidak memandang remeh apa sahaja rupa bentuk amal kebajikan atau amalan makruf, sekecil mana pun ia, walau hanya sekadar bertemu dengan kawan-kawan dengan wajah yang manis atau ceria. Kita ditegah dari perbuatan memperlekehkan sesuatu kebajikan, kerana mungkin perkara yang kita pandang remeh, sebenarnya pintu yang menjadi sebab Allah mencurahkan rahmat dan keredhaanNya kepada kita. Oleh itu, segala makrufat hendaklah dijunjung daripada yang besar sehinggalah yang kecil, kerana semuanya itu adalah wasilah kita untuk bertaqarrub dan mencapai rahmat serta keredhaan Allah yang Maha Agung.

Kadang-kadang ada amalan yang kita anggap besar dan hebat, namun di sisi Allah ianya umpama haba-an mantsura bak debu-debu ditiup angin. Penyebabnya adalah kerana ianya dicacatkan oleh karat-karat maknawi seperti ujub, riyak dan sum`ah.  Ada kalanya satu amalan yang kita anggap kecil dan tak bernilai, namun punya nilaian besar di sisi Allah `azza wa jalla kerana itulah amalan yang paling tulus kita lakukan. Pengajarannya di sini, bukanlah:- "lakukan hanya amalan kecil dengan tulus, tapi berlaku tuluslah dalam segala amalan yang kita lakukan, baik kecil maupun besar".

Berlaku ihsan kepada haiwan juga termasuk makrufat yang dianjurkan agama. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam pernah mengkisahkan bagaimana ada individu yang mendapat rahmat kasih sayang Allah kerana perlakuan ihsannya terhadap makhluk Allah yang bernama haiwan hatta kepada seekor anjing. Juga Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam pernah mengkhabarkan ada individu yang diazab kepada perbuatan aniayanya terhadap seekor kucing. Riwayat-riwayat ini telah sedia diketahui dan dimaklumi kerana masyhurnya.

Di sini faqir ingin menukilkan satu kisah yang walaupun bukan berstatus kalamnya Sayyidul Mursalin shallaAllahu `alaihi was sallam, namun diharap dapat sedikit sebanyak menambahkan lagi keihsanan kita kepada segala makhluk Allah atas muka bumi ini. Ini adalah kisah mimpi yang dirakamkan oleh Ibnu `Asakir rahimahullah dan dinukil oleh Imam Kamaluddin ad-Damiri rahimahullah dalam "Hayatul Hayawan al-Kubra", juz 4, halaman. 157, sebagai berikut:-

Telah dikatakan sebagai diriwayat oleh Ibnu `Asakir dalam "Tarikh"nya daripada sebahagian sahabat bagi Syaikh Abu Bakar asy-Syibli yang telah bermimpi bertemu dengannya selepas kewafatannya. Sahabat tadi bertanya kepada asy-Syibli: "Apa yang Allah lakukan terhadap dirimu?" Maka dijawab oleh asy-Syibli: "Aku dihadapkan ke hadratNya, lalu Dia berfirman:"Wahai Abu Bakar, adakah engkau tahu sebab Aku mengampunimu?" Aku menjawab: "Dengan sebab amal shalihku?", Allah berfirman: "Bukan." Aku berkata lagi: "Sebab keikhlasanku dalam beribadah?" Allah berfirman: "Bukan." Aku berkata: "Sebab hajiku, puasaku dan shalatku." Allah berfirman: "Aku tidak mengampunimu kerana yang sedemikian." Aku berkata: "Kerana hijrahku kepada orang-orang shalih dan istiqamahku dalam menuntut ilmu." Allah berfirman: "Bukan." Aku berkata: "Wahai Tuhan, inilah amalan yang kukira dengan anak jariku sebagai kelepasan dari seksaanMu yang ku anggap menjadi sebab untuk Engkau memaafi dan merahmatiku." Allah berfirman: "Semua itu bukanlah sebab bagi Aku mengampunimu." Aku berkata: "Tuhanku, lalu dengan apa?" Allah berfirman: "Adakah engkau ingat satu masa ketika engkau melalui lorong - lorong Baghdad, engkau terjumpa seekor anak kucing betina yang melompat-lompat dari satu dinding ke satu dinding mencari perlindungan kerana kesejukan, lalu engkau memasukkannya ke dalam kantong kulit yang engkau bawa untuk melindunginya dari kesejukan?" Imam asy-Syibli menjawab: "Ya, aku ingat." Maka Allah ta`ala berfirman: "Dengan sebab rahmat kasihan belasmu kepada anak kucing betina tersebut, Aku mengasihanimu."

Allahu... Allah, Imam Abu Bakar asy-Syibli atau nama sebenarnya Dulaf bin Jahdar/Ja'far bin Yunus al-Khurasani rahimahullah adalah seorang yang mulia, alim lagi shalih, juga adalah seorang ahli hadis. Beliau mengikut Mazhab Maliki dan menjadi sahabat kepada Imam Junaid al-Baghdadi rahimahullah. Nama beliau amat masyhur dan harum terutama sekali dalam ilmu tasawwuf dan di kalangan para sufi. Tiada syak bahawa beliau adalah salah seorang wali daripada kalangan para awliya Allah.

Tiada ulasan: