Isnin, November 20, 2017

Qad Sanna Lakum Mu`adz

Imam Abu Bakar Ahmad bin al-Husain bin 'Ali al-Baihaqi rahimahullah dalam "as-Sunan al-Kubra", juz 3, halaman 133 [cetakan Darul Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut dengan tahqiq Syaikh Muhammad `Abdul Qadir `Atha) meriwayatkan bahawa pada zaman Junjungan Nabi shallaAllahu 'alaihi wa sallam, jika ada sahabat yang lewat datang ke masjid dan shalat berjemaah telah bermula, maka sahabat yang sedang dalam shalat berjemaah tersebut  akan memberi isyarat dengan jari kepada sahabat yang masbuk untuk memberitahunya jumlah rakaat yang telah dikerjakan oleh imam. Maka sahabat yang masbuk akan masuk dalam shalat dan mengerjakan dahulu rakaat yang tertinggal untuk mengejar imam pada rakaatnya  agar dapat salam bersamanya nanti. Begitulah yang mereka lakukan jika ada yang masbuk. Sehinggalah pada suatu ketika, Sayyidina Mu`adz bin Jabal radhiyaAllahu `anhu termasbuk. Maka jemaah yang muwafiq mengisyaratkan bilangan rakaat sebagaimana biasa, namun tidak diendahkan oleh Sayyidina Mu`adz. Beliau masuk dalam shalat dan terus mengikut imam pada rakaatnya, tanpa mengerja dahulu rakaat yang tertinggal. Setelah imam salam, barulah Sayyidina Mu`adz berdiri dan menyambung shalatnya dengan menyelesaikan rakaat-rakaat yang tertinggal. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam setelah mengetahui perbuatan tersebut menyetujui apa yang dilakukan oleh Sayyidina Mu`adz, bahkan Junjungan Nabi shallaAllahu 'alaihi wa sallam bersabda: "Telah mensunnahkan (yakni telah memulakan satu cara atau kaifiat atau perbuatan yang elok) bagi kamu Mu`adz yang sedemikian, maka hendaklah kamu melakukannya (yakni ketika kamu masbuk)."

Hadis ini juga diriwayatkan oleh beberapa muhadditsin lain seperti Imam Abu Daud, Imam Ahmad, Imam Ibnu Abi Syaibah dan lain-lain, bahkan Imam al-Hafiz Ibnu Daqiqil `Id dan Ibnu Hazm menilainya sebagai shahih. Para ulama telah menyebut hadis ini sebagai contoh satu perbuatan yang dilakukan oleh seseorang selain Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam yang diperakui kemudiannya oleh Baginda untuk menjadi satu hukum. Riwayat ini menunjukkan bahawa bukan semua perkara baru hatta dalam ibadah seperti shalat sekali pun boleh dihukumkan dengan sewenang-wenangnya sebagai haram atau bid`ah dhalalah. Penetapan hukum perlu kepada perincian dengan merujuk kepada neraca hukum syarak yang mulia, samada ianya selari dengan tuntunan syarak atau sebaliknya. Dalam hadis tersebut, Junjungan Nabi shallaAllahu 'alaihi wa sallam tidak pun menegur Sayyidina Mu`adz radhiyaAllahu `anhu kerana melakukan suatu perkara baru dalam shalat berjemaah, sebaliknya Baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menyetujui perbuatan tersebut kerana ia sesuai dengan kaedah dasar hukum berjemaah, iaitu: makmum hendaklah mengikut imam.

Oleh itu, mari kita ambil iktibar dari sikap Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, baginda tidak mudah menghukum perbuatan orang lain sebagai salah dan sesat. Jika perkara tersebut elok dan baik, baginda mengiktirafnya, bahkan dijadikan hukum dan panduan bagi umat baginda. Ini jelas menunjukkan bahawa bukan semua perkara yang baharu itu mesti dihukum sebagai salah, bid`ah dhalalah dan sesat.

Tiada ulasan: