Selasa, April 24, 2018

Jadilah Seperti Abu Dhamdham

Sifat berlapang dada dengan mudah memberi maaf bagi kesalahan yang dilakukan oleh seseorang terhadap diri kita adalah salah satu daripada akhlak yang terpuji. Seharusnya sifat sebegini disemai dan dipupuk dalam diri kita selaku umat Islam. Jika kalangan awam wajar memiliki sifat sedemikian, maka bagi seseorang pemimpin atau yang hendak menjadi pemimpin atau "public figure" seharusnya berlebih lagi. Pemimpin hendaklah bersikap pemaaf dan berlapang dada dalam menerima apa sahaja yang datang daripada khalayak. Janganlah hanya suka dan sudi menerima sanjungan dan pujian sahaja, manakala marah dan mengamuk bila dicaci dan dicemuh. Sanjungan dan kejian, itu adalah lumrah bagi seseorang yang berada di atas atau "public figure", yang jadi tumpuan pandangan mereka yang di bawah. Jadilah pemimpin yang jiwanya besar seperti air dalam lautan, jangan yang jiwanya kecil bak air dalam cawan. Tidak dinafikan bahawa yang menjahanamkan seseorang pemimpin itu adalah para penjilat dan tukang kipas yang berada di sekelilingnya. Bak kata bidalan "harapkan sokong, sokong membawa rebah" - ingat rebah di sana lebih lagi dahsyatnya dari rebah di sini. Kekadang pemimpin tidak ada apa-apa, pemimpin tak kisah pun, cuma tukang kipas sahaja yang lebih-lebih. Maka kasihanlah kat para pegawai polis yang terpaksa meluangkan masa mereka untuk melayan karenah. Sudah-sudahlah berbuat sedemikian, belajarlah untuk menjadi seorang Abu Dhamdham.

Siapakah Abu Dhamdham? Faqir tidak berhasrat untuk memanjangkan berbagai pendapat di kalangan ulama mengenainya, ada yang menyatakan dia seorang sahabat, ada yang menyatakan dia daripada kalangan umat terdahulu dan ada yang menyatakan dia adalah satu watak manusia daripada kalangan umat ini. Siapa sebenarnya diri Abu Dhamdham tidak signifikan, yang penting adalah sikap pemaaf yang ada pada seorang Abu Dhamdham yang dipuji oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Abu Dhamdham adalah contoh orang yang murah dengan kemaafan sehingga dia sanggup memberikan kemaafan kepada orang yang mencaci, mencela dan menceroboh kehormatannya walaupun tanpa diminta.

Riwayat mengenai Abu Dhamdham ini berbagai, di antaranya apa yang diriwayatkan dalam Sunan Abi Daud pada bab apa yang datang pada riwayat mengenai seseorang yang menghalalkan (yakni memaafkan) orang lain mengumpat dirinya, di mana didatangkan 2 riwayat mengenai Abu Dhamdham. Riwayat pertama adalah daripada Muhammad Ibnu 'Ubaid daripada Ibnu Tsaur daripada Ma'mar daripada Sayyidina Qatadah radhiyaAllahu `anhu yang berkata: "Apakah kamu tidak mampu menjadi seperti Abu Dhamdham atau Dhamdham (berlaku keraguan atas Ibnu 'Ubaid samada Abu Dhamdham atau Dhamdham sahaja). Adalah beliau (yakni Abu Dhamdham atau Dhamdham tadi) pada ketika pagi berkata: "Ya Allah, sesungguhnya aku telah bersedekah dengan kehormatanku kepada hamba-hambaMu". Riwayat kedua pula adalah daripada Musa ibnu Ismail daripada Hammad daripada Tsabit daripada 'Abdur Rahman ibni 'Ajlaan yang berkata bahawa Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Apakah kamu tidak mampu untuk menjadi seperti Abu Dhamdham?" Para sahabat bertanya: "Siapakah Abu Dhamdham?" Baginda menjawab: "Seorang lelaki sebelum kamu, yang berkata: 'Kehormatanku adalah untuk sesiapa yang mencelaku."

Imam an-Nawawi pula menukilkan dalam al-Adzkar pada halaman 148 daripada kitab Ibnus Sunni sebagai berikut:-

Daripada Sayyidina Anas radhiyaAllahu `anhu bahawasanya Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Apakah kamu tidak mampu untuk menjadi seperti Abu Dhamdham?" Para sahabat bertanya: "Siapakah Abu Dhamdham, wahai RasulAllah?" Baginda bersabda: " Dia adalah seseorang yang ketika berpagi berkata: "Ya Allah, aku telah hibahkan diriku dan kehormatanku keranaMu", maka dia tidak mencaci orang yang mencacinya, dia tidak menganiaya orang yang menganiayainya dan dia tidak memukul orang yang memukulnya."
Akhir sekali, faqir ingin menukilkan riwayat yang didatangkan oleh panutan pihak parti lawan (pihak sebelah), iaitu Ibnu Qayyim al-Jawziyyah dalam Madarijus Salikin, juz 2, halaman 45 yang menyatakan:-

Martabat Pemurah Yang Ke-7: Pemurah dengan kehormatan, seperti pemurahnya Abu Dhamdham daripada kalangan sahabat radhiyaAllahu `anhum. Adalah beliau ketika berpagi berkata: "Ya Allah, tiada bagiku harta untuk aku sedekahkan dengannya kepada manusia, oleh itu telah aku sedekahkan kepada mereka kehormatanku, maka sesiapa yang mencelaku atau memfitnahku, aku halalkan (yakni aku maafkan dia)". Maka Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam (memujinya dengan) bersabda: "Siapa daripada kamu yang mampu menjadi seperti Abu Dhamdham?"
Begitulah ikhwah, riwayat - riwayat mengenai Abu Dhamdham @ Dhamdham bukanlah untuk dijadikan lesen atau galakan kita mencela, mengumpat, mencaci,  mencemuh dan memfitnah orang, TAPI hendaklah dijadikan panduan dan pegangan ketika kita mendapat cacian dan makian manusia. Bukan juga ertinya kita tidak boleh bertindak atau membalas, tapi biarlah berpada dan mengikut lunas serta batas  ketentuan Hukum Syarak yang mulia, dengan catatan bahawa memaafkan itu lebih utama. Terutama sekali bagi para pemimpin dan setiap yang berada di atas, hendaklah sentiasa bermurah hati memberikan kemaafan. Janganlah setiap kali dicaci dan dicemuh, terus buat repot, arah polis, arah AG,  guna kuasa untuk dakwa dan seumpamanya. Semenjak dua menjak ni, bukan main hebat lagi guruh dan kilatnya, jika ada pemimpin tertentu yang dicaci, awat bila tang agama dihina, Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dicerca, sonyappp joooo. Kalau pun ada yang kena, berapa sen je. Takkan memada kita dengan hukuman bunuh tenok lebih besar daripada hukuman menghina Agama Persekutuan, Islam dan Nabinya.... tak patut...tak patut....tak patut. Apa-apa pun, sendiri kena ingat dan ingat juga memberikan kemaafan ada satu sedekah, sedekah yang sifatnya maknawi lagi abstrak. Jadilah seperti Abu Dhamdham, tapi jangan jadi dum...dum...dummy.

Ahad, Februari 04, 2018

Qadhi Abu Syuja`

Syaikh al-'Alim al-'Allaamah al-Imam Syihabud Dunya wad Din, Ahmad bin Husain bin Ahmad al-Ashfahani asy-Syafi`i rahimahullah yang lebih dikenali sebagai Qadhi Abu Syuja` @ Qadhi Abu Thayyib adalah seorang ulama besar dalam mazhab asy-Syafi`i. Tarikh lahir dan wafatnya tidak diketahui dengan pasti. Ada yang menyatakan beliau lahir dalam tahun 328H dan wafat pada tahun 488H, manakala pendapat lain menyatakan bahawa beliau lahir tahun 433H dan wafat tahun 593H.

Ketokohan beliau amat terserlah sehingga dilantik menjadi qadhi dan akhirnya menduduki jawatan wazir. Namun kedudukan dan pangkat sedikit pun tidak mempengaruhi keshalehan, sikap warak dan zuhud beliau. Bahkan beliau dikenali di segenap ceruk rantau sebagai seorang imam yang shaleh lagi alim. Sewaktu menduduki jawatan wazir, beliau menugaskan 10 orang pembantu bertugas membahagi dan mengagih-agihkan sedekah dan hadiah, di mana setiap seorang diberi 120,000 dinar untuk dibahagi kepada orang - orang miskin, penuntut dan ahli ilmu serta sesiapa sahaja yang memerlukannya. Beliau sendiri tetap hidup dengan penuh kezuhudan terhadap dunia yang fana ini.

Qadhi Abu Syuja` dianugerahkan dengan umur yang cukup panjang, iaitu 160 tahun, sebagaimana disebut oleh Imam al-Bujairimi dan Imam al-Bajuri dalam kitab - kitab mereka. Setelah bersara dari jawatan wazir, Qadhi Abu Syuja` berhijrah ke Kota Madinah al-Munawwarah untuk menjadi khadam kepada Junjungan Nabi SAW yang berkhidmat menjaga dan melayan segala keperluan makam dan masjid baginda yang mulia. Meskipun seorang ulama besar dan mantan wazir, Qadhi Abu Suja` tidak segan dan malu untuk membersih sendiri makam dan masjid yang mulia serta menyalakan lampu - lampunya. 

Sungguh pun menjangkau usia lanjut, namun tubuh badannya tetap seperti orang muda, segala anggota-anggotanya tetap seperti dahulu tidak dimamah usia. Apabila ditanya mengenainya, beliau menjawab:- "Kami telah menjaganya sejak kecil, maka Allah menjaganya ketika kami tua (yakni sejak kecil lagi beliau telah menjaga dan memelihara segala anggotanya daripada berbuat maksiat kepada Allah, maka Allah pun menjaga dan memelihara segala anggota beliau agar tetap cergas dan berfungsi walaupun usia beliau sudah lanjut). Inilah sebahagian akhlak dan sifat para ulama kita, jadi bagaimana mungkin kita meninggalkan jalan mereka untuk menuruti jalan orang yang "konon"nya lebih faham akan ajaran Islam daripada mereka, namun ilmu dan amal juga akhlak sebesar kuku pun tidak seperti mereka.
 
Qadhi Abu Syuja` wafat di Kota Madinah dan di sanalah beliau dimakamkan. Antara peninggalan beliau yang masyhur adalah karya fiqh mazhab Syafi`i yang banyak disyarahkan oleh ulama-ulama yang datang kemudian. Karya tersebut adalah "al-Ghayah wa at-Taqrib" atau "Ghayatul Ikhtishar" atau "Mukhtashar Abi Syuja`" atau sering disebut sebagai "Matan Abi Syuja`". Karya ini telah disyarah dan diberi penjelasan oleh ramai ulama kemudian, antaranya, oleh:-
  1. Imam Taqiyuddin Abu Bakar bin Muhammad al-Hishni - "Kifayatul Akhyar"
  2. Imam Ahmad al-Akhshashi - "Syarh Mukhtashar Abi Syuja`";
  3. Imam Muhammad bin Qasim al-Ghazzi -  "Fathul Qarib al-Mujib";
  4. Imam Waliyuddin al-Basyir - "an-Nihayah fi Syarhil Ghayah";
  5. Imam Muhammad asy-Syarbini al-Khatib - "al-Iqna`";
  6. Imam Ahmad bin al-Qasim al-`Ubbadi - "Kasyful Ghaffar"
Maka berpanjanganlah ilmu beliau sehingga dimanfaati kita di zaman ini. Mudah-mudahan Allah mencucurkan rahmatNya kepada Qadhi Abu Syuja` dan sekalian para ulama dan shalihin juga sekalian umat ini..... al-Fatihah.

Selasa, Januari 02, 2018

Nabi Khidhir - Imam an-Nawawi

Menurut kebanyakan ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah, al-Khadhir atau al-Khadhr atau al-Khidhr atau yang biasa dan mudah di lidah kita Nabi Khidhir `alaihis salam adalah seorang nabi yang dianugerahkan Allah ta`ala dengan umur yang panjang sehingga dikatakan baginda hanya akan diwafatkan ketika al-Quran diangkat ke langit, iaitu ketika kiamat hampir tiba. Imam an-Nawawi rahimahullah dalam karya beliau Shahih Muslim bi syarhi an-Nawawi, syarah bagi Shahih Muslim turut menyentuh tentang Nabi Khidhir alaihis salam dalam juzuk ke-15, halaman 135 - 136, pada Bab Min Fadhail al-Khidhr shallaAllahu `alaihi wa sallam, di mana beliau rahimahullah antara lain menjelaskan sebagai berikut:- 
Jumhur ulama (yakni majoriti ulama) berpendapat bahawasanya dia (yakni Sayyidina Khidhir 'alaihis salam) hayyun maujudun baina adzharina (hidup dan wujud, berada di kalangan kita, yakni masih hidup pada masa kita ini) dan pendapat ini telah disepakati oleh para shufi dan ahlush sholah wal ma'rifah (orang-orang ahli kebajikan dan ma'rifah). Kisah-kisah mereka melihat dan berjumpa dengannya serta mengambil pelajaran dan bersoal-jawab dengannya, juga kehadirannya di tempat-tempat mulia dan tempat-tempat kebajikan adalah terlalu banyak untuk dihitung dan terlalu masyhur untuk disembunyikan.
Dan telah berkata Syaikh Abu 'Umar bin ash-Sholah: "Dia (yakni Nabi Khidhir) hidup menurut jumhur ulama dan orang-orang sholeh dan orang awam adalah bersama mereka dalam perkara ini". Dia juga berkata: "Bahawasanya pendapat sebahagian ahli hadis yang mengingkari hidupnya Nabi Khidhir sehingga masa kini adalah satu pendapat yang syadz (yakni pendapat yang ganjil lagi lemah dibandingkan pendapat jumhur ulama tadi).......
Imam ats-Tsa'labi al-Mufassir menyatakan bahawa  menurut pendapat kebanyakan ulama Nabi Khidhir adalah seorang nabi yang diberi umur panjang dan baginda dilindung daripada pandangan mata yakni daripada pandangan mata kebanyakan manusia sehingga mereka tidak dapat melihatnya. Dikatakan bahawa baginda tidak diwafatkan melainkan pada akhir zaman ketika al-Quran diangkat.
Imam ats-Tsa'labi juga menyatakan bahawa ada tiga pendapat mengenai permulaan hidup Nabi Khidhir. Pendapat yang pertama menyatakan bahawa baginda hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim al-Khalil shallaAllahu 'alaihi wa sallam; Pendapat kedua pula menyatakan bahawa baginda dilahirkan tidak lama selepas zaman Nabi Ibrahim; Manakala pendapat ketiga menyatakan baginda dilahirkan setelah jarak masa yang panjang selepas zaman Nabi Ibrahim.
Kunyah Nabi Khidhir adalah Abul 'Abbas, nama baginda Balya ibnu Malkan atau menurut pendapat yang lemah nama bapanya adalah Kalyan. Imam Ibnu Qutaibah dalam al-Ma`arif menukil perkataan Wahb bin Munabbih menyatakan bahawa nama penuh Nabi Khidhir adalah Balya ibnu Malkan ibnu Faaligh ibnu 'Aabir ibnu Syaalikh ibnu Arfakhasyad ibnu Saam ibnu Nuh. Dikatakan bahawa ayahanda baginda adalah daripada kalangan raja-raja.
Daripada penjelasan Imam Nawawi kita mengetahui bahawa JUMHUR ULAMA berpegang dengan pendapat bahawa Nabi Khidhir `alaihis salam masih hidup dan belum lagi wafat. Macam mana dan bagaimana keadaan kehidupan baginda sekarang, Allah sahaja yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Hidup atau matinya baginda sekarang bukanlah perkara besar dan tidak harus dijadikan perbalahan sesama umat. Nak percaya baginda masih hidup, tidak ada masalah kerana itulah pendapat jumhur ulama dan yang nak percaya bahawa baginda telah wafat pun tidak menjadi masalah kerana sesetengah ulama dan ahli hadits berpendapat sedemikian seperti Imam al-Bukhari rahimahullah.

Halaman 135 - 135, "Syarah Muslim"