- Secara ringkas, sebagai lampiran catatan akan diberikan di bawah berkenaan dengan "al-Haqiqah al-Muhammadiyyah" dan "Nur Muhammad". Berkenaan dengan "al-Haqiqah al-Muhammadiyyah". Antara maklumat berkenaan dengannya - yang membuktikan ianya bukan dari ajaran Syi`ah atau mana-mana punca yang bukan diterima - ialah ayat Qur`an yang bermaksud: "Telah datang kepada kamu Nur (Cahaya) dari Allah, dan Kitab Yang Nyata" (5.15). Nur itu Nabi Muhammad s.a.w..........
- Tentang Nabi s.a.w. berkedudukan sebagai makhluk yang terawal diciptakan, maka antara ulama yang membicarakannya ialah seperti Imam al-Suyuti dalam al-Khasa`is al-Kubra yang dalam bab satu kitab berkenaan disebutkan hadith riwayat Hatim berkenaan dengan nabi tercipta terawal, dan mengambil janji dengan Tuhan; Abu Nu`aim dalam Dala`il al-Nubuwwah menyebut sebuah hadith dengan senarai rawinya sampai kepada Abu Hurairah berkenaan dengan ayat Qur`an yang bermaksud : "Dan sesungguhnya Kami mengambil janji dari para nabi, dan dari kamu, dan Nuh, Ibrahim, Musa dan 'Isa anak Maryam; dan Kami mengambil dari mereka janji yang berat" (33.7) bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Aku yang pertama diciptakan di kalangan para nabi, dan terakhir di kalangan mereka diutuskan". Suyuti mencatatkan sembilan hadith lain yang memaksudkan bahawa nabi kita yang terawal diciptakan; antaranya hadith dari al-Bukhari dalam al-Tarikh, dan Ahmad, al-Tabarani, Hakim, Bayhaqi, bahawa al-Maysarah al-Fajar (Allah meredhainya) berkata: "Saya bertanya: Wahai Rasulullah ! bilakah tuan hamba nabi ? Kata baginda : "Waktu Adam antara roh dan jasad" (al-Khasa`is al-Kubra 3-4)........
- Dalam hubungan dengan hadith-hadith tentang "Nur Muhammad", kata Dr. Mostafa al-Badawi: "Setengah daripada hadith-hadith yang kami sebutkan di sini ada mempunyai senarai rawi yang kuat, yang lainnya lemah. Bagaimanapun, kita perlu ingat bahawa walaupun sanad yang paling lemah, dalam anggapan para muhaddithin ia masih boleh diterima lagi sebagai bukti sejarah mana-mana ahli sejarah professional di planet bumi ini, (yang riwayat-riwayat berkenaan itu -p) jauh lebih kuat dan terbukti autentiknya daripada lain-lain punca purba yang ia hadapi dalam usahanya. Adalah perkara yang umum diketahui bahawa hadith-hadith yang dhaif boleh menguatkan satu antara lainnya sehingga (dengan saling kuat-menguatkan itu - p) maka jadilah ianya boleh diterima. Sebab inilah maka apa yang kami nukilkan ini diterima oleh ulama terkemuka seperti Ibn Kathir, Suyuti, Qadhi 'Iyad, Bayhaqi dan lainnya.
Di sini, Ustaz 'Uthman membawa tulisan Dr. Mostafa al-Badawi murid Habib Ahmad Masyhur al-Haddad rhm. yang berjodol "The Light of the Prophet s.a.w.) dan tulisan ini tuan boleh baca kat www.masud.co.uk/ISLAM/misc/nuremuhammadi.htm.
Allahumma sholli wa sallim 'ala Nuril Anwar.