Imam an-Nawawi rahimahUllah dalam himpunan 40 hadits beliau yang masyhur memasukkan sepotong hadits iaitu hadits yang ke-36 di mana pada hujungnya Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:
و من أبطأ به عمله لم يسرع به نسبه
"Sesiapa yang dilambatkan oleh amalannya, tidaklah dia dipercepatkan oleh nasab keturunannya."Ini tidaklah bererti nasab yang mulia tidak mempunyai apa-apa perkiraan di sisi Allah s.w.t., kerana di sisi lain ada jaminan Junjungan s.a.w. bahawa setiap nasab akan terputus pada hari kiamat nanti selain nasab Baginda s.a.w. Tapi maksud yang dikehendaki ialah bahawa syarat untuk bermanfaatnya nasab yang mulia ialah amalan yang selari dengan ajaran para leluhur nasab yang mulia tersebut. Sungguh sesiapa yang mengaku bernasab kepada nasab yang mulia, tetapi amalannya menyalahi ajaran para leluhurnya, maka seolah-olah dia telah menconteng arang di muka para leluhurnya. Oleh itu adakah pelik jika dia mendapat kemarahan para leluhurnya? Perhatikanlah dengan benar wahai mereka-mereka yang bernasab mulia. Sewaktu memberi tausyiahnya, dalam majlis mawlid Subuh rangka peringatan Haul Habib Ali al-Habsyi pada 20 Rabi`ul Akhir 1428 / 8 Mei 2007 di Kota Surakarta (Solo), Habib Najib as-Saqqaf berpesan antara lain:-
"Ahlul Bait kalau melakukan amal yang baik, diberi pahala 2 kali dari orang-orang yang lain. Tetapi kalau Ahlul Bait menunjukkan amal yang bertentangan dengan amalnya Rasul, bertentangan dengan amalnya a-immah, bertentangan dengan amalnya ajdad, bertentangan dengan amalnya aslaf, dan tidak bertobat kepada Allah, diazab 2 kali oleh Allah. Quran yang berbicara bukan saya. Kerna itu bukan kebanggaan seorang mengatakan "Saya Ahlul Bait RasulAllah", bukan kebanggaan, tetapi justru di atas pundak orang-orang yang mengatakan Ahlul Bait Rasul di atas pundak mereka punya tanggungjawab yang besar - menyelamatkan umat, menebarkan akhlak, menunjukkan jalan yang benar, mengajarkan ilmu, ini namanya Ahlul Bait."Allahu ... Allah, mudah-mudahan Allah memelihara terus Ahlul Bait Junjungan Nabi s.a.w. sepanjang zaman setiap masa dan ketika. Moga mereka terus menjadi panduan bagi umat sekaliannya dalam ilmu, amal dan ketaqwaan.
رب فانفعنا ببركتهم و اهدنا الحسنى بحرمتهم
و امتنا في طريقتهم و معافة من الفتن
و امتنا في طريقتهم و معافة من الفتن