Jumaat, Mei 30, 2008

Syaikh 'Abdullah 'Abdun

KH 'Abdullah bin 'Awadh bin Ahmad 'Abdun atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz 'Abdullah 'Abdun dilahirkan di kota Pelawa Parigi, Sulawesi pada 19 November 1936. Ayah beliau, 'Awadh bin Ahmad 'Abdun, berasal dari Yaman Selatan, manakala ibu beliau bernama Zainab binti Muhammad Thayyib asal Sulawesi Selatan. Beliau memulakan pendidikan formal agamanya di Pesantren al-Khairat yang didirikan dan dipimpin oleh Habib 'Idrus bin Salim al-Jufri.

Habib 'Idrus telah mendidik dan membina pribadinya dengan sebaik mungkin, bahkan kerana kesungguhan dan kerajinannya beliau menjadi murid kesayangan Habib 'Idrus al-Jufri. Penguasaannya terhadap ilmu ternyata apabila dalam usia muda seawal 15 tahun, beliau telah diberikan amanah untuk bantu mengajar di al-Khairat tersebut. Minatnya untuk mendalami ilmu hadits membawa beliau memohon izin daripada Habib 'Idrus untuk menyambung pengajiannya ke Darul Hadits, Malang yang dipimpin oleh Habib 'Abdul Qadir Bil Faqih. Awalnya Habib 'Idrus keberatan untuk memberi keizinannya, hanya setelah setahun barulah keizinan dan restu diberikan sang guru kepada muridnya Ustaz 'Abdullah 'Abdun. Maka setelah memperolehi izin sang guru, Ustaz 'Abdullah meneruskan pengajiannya di Darul Hadits dan di samping mengaji beliau juga turut mengajar di sana. Beliau belajar dan mengajar di sana selama lebih 8 tahun. Setelah tamat pengajiannya, beliau tetap memberikan khidmat mengajar di al-Khairat dan Darul Hadits serta di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) di samping mendirikan pondoknya sendiri di Malang yang dinamakannya Darut Tauhid.

Hari Rabu, 19 Shafar al-Khair 1423 / 1 Mei 2002, Ustaz 'Abdullah dipanggil kembali ke rahmatUllah. Bukan harta benda yang beliau wariskan tetapi ilmu yang bermanfaat yang tersebar luas di dada para santri beliau. Moga segala amal beliau diterima Allah serta beliau ditempatkan bersama para sholihin..... al-Fatihah.

Di sela kesibukan beliau berdakwah dan mendidik santri, Ustaz 'Abdullah berkesempatan menulis baik berupa makalah, artikel maupun buku, antaranya:-
  1. Kunci Ilmu Nahwu;
  2. Hadits-Hadits Pilihan;
  3. Sanggahan atas Tulisan Pengingkar Nur Nabi Besar Muhammad s.a.w.;
  4. Islam & Hak-Hak Asasi Manusia;
  5. Fathul Majid fi 'ilmit tajwid;
  6. Al-Khairat wa muassisuha fis suthur;
  7. Pedoman Berzakat Fitrah & Penggunaan Zakat Pada Umumnya;
  8. Perbedaan Prinsip antara 'Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama'ah & Syiah.
"Perbedaan Prinsip Antara Aqidah & Ajaran Ahli Sunnah Wal Jama'ah Dan Syi'ah Imamiyah" adalah antara karya Ustaz 'Abdullah 'Abdun. Dalam karyanya ini beliau memperjelaskan perbezaan prinsip antara Sunni dan Syi'i, di samping sanggahan dan penjelasan terhadap kebatilan pegangan kaum Syi'i tersebut. Dalam menghasilkan karya ini, beliau telah merujuk kepada sumber-sumber Syiah sendiri antaranya "al-Kafi", "Man Laa Yahdhurul Faqih", "al-Istibshar", "at-Tahdzib", "Kitabul Ghaibah", Wasaa-ilusy Syi'ah", "Tafshil Wasaa-ilusy Syi'ah", "Tafsir al-Mizan", "Fashlul Khithaab", "al-Hukumatul Islamiyyah" dan "al-Ghadir". Perbahasan dalam karya tersebut walaupun ringkas, tetap meliputi aspek-aspek penting seperti perkara-perkara mengenai rukun Islam dan rukun Iman, berhubung al-Qur'an, tentang raj'ah, kitman, taqiyyah, imamah, sahabat, mut'ah dan sebagainya. Karya ini diakhiri dengan satu harapan, di mana beliau menulis:-

SUATU HARAPAN
  • Besar harapan penulis bahwa Qur'an yang ada ini adalah Qur'an semua pihak dan tidak ada lagi Qur'an yang lain selain Qur'an Kaum Muslimin yang telah berumur 1500 tahun ini dan menjadi panutan kaum muslimin seterusnya sampai hari kiamat, sebagaimana sangat diharapkan terwujudnya Ukhuwah Islamiyah yang hakiki dan jujur.
  • Kami ingin terjalin Ukhuwah Islamiyah yang hakiki, terbuka, tanpa taqiyah, tanpa aqidah dan ajaran yang aneh-aneh. Mari kita berpegang kepada aqidah dan ajaran yang benar.
  • Kami yakin bahwa ajaran Ahlussunnah wal Jama'ah bersumber dari Allah s.w.t. yang diamanahkan kepada Rasulullah s.a.a.w. dan akhirnya sampai kepada kita semua melalui proses yang sehat sekalipun banyak rintangan. Mari kita kembali kepada ajaran Allah s.w.t. dan ajaran Rasulullah s.a.a.w.
  • Kami ingin mendengar mereka /Syi'ah mencabut kutukan mereka terhadap para sahabat Rasulullah s.a.a.w. sebab selain Ahli Bait Rasulullah s.a.a.w., mereka (sahabat) itu adalah juga orang-orang yang amat berjasa dalam proses tersebarnya Islam di seluruh dunia. Sahabat Rasulullah s.a.a.w. adalah yang sejak bertemu dengan Nabi Muhammad s.a.a.w. sampai meninggal dunia berada dalam keadaan beriman. Yang murtad atau yang munafiq (menampakkan Islam dan menyembunyikan kekufuran) bukan lagi sahabat Nabi s.a.a.w. Adapun pembunuh Sayyiduna Husein atau penyebab terbunuhnya beliau a.s. menurut fatwa Ulama Ahlussunnah Waljamaah (di antaranya al-Imam al-Haddad), adalah fasiq.
*********************************

Khamis, Mei 29, 2008

Patah Sayapnya

Tersebut dalam kitab "Khulaashotul Asraar fi fadhilatish sholaati was salaami 'ala Sayyidil Abraar" karya Syaikh 'Abdul Qaadir bin 'Abdur Rahmaan al-Fathoni halaman 40 - 41, kisah berikut:-
[Dan pada hadits] bahawasanya Jibril a.s. datang pada satu hari kepada Nabi s.a.w. dan berkata ia: "Ya RasulAllah, aku lihat akan ajaib." Sabdanya: "Apa yang demikian itu, hai Jibril?" Katanya: "Tatkala sampai aku kepada bukit Qaaf, aku dengar mengeram (mengerang) dan menangis, maka aku pergi kepadanya dan aku lihat akan seorang malaikat dan sanya adalah aku lihat dahulu daripada yang demikian itu di dalam langit di atas kursi dan pada kelilingnya 70,000 malaikat berbaris berkhidmat akan dia; Dan adalah tiap-tiap nafas yang ia bernafas dijadikan Allah daripada nafasnya malaikat. Maka sekarang aku lihat demikian malaikat di atas bukit Qaaf patah sayapnya, padahal ia menangis. Maka tatkala melihat ia akan daku, katanya: "Syafaatkan oleh mu bagiku." Kataku: "Apa dosa engkau?" Katanya: "Adalah aku di atas sariir pada malam mi'raj, maka lalu dengan dia akan Muhammad s.a.w., maka tiada aku berdiri baginya. Maka mensiksa Allah akan daku dengan siksa ini dan dijadikan daku pada tempat ini seperti barang yang engkau lihat." Maka aku tadharru' kepada Allah ta'ala dan aku minta syafaat akan dia. Firman Allah ta'ala: " Kata olehmu baginya hingga is sholawat atas kekasihKu Muhammad s.a.w." Maka sholawat ia demikian malaikat itu atas engkau, maka dimaaf Allah akan dia dan ditambah baginya sayapnya.
Marilah kita memperbanyakkan sholawat dan salam atas Sayyidil Anam s.a.w. Moga mendapat syafaat baginda di hari pembalasan kelak serta bernaung di bawah panji-panji kebesaran baginda sehingga dimasukkan ke dalam syurga yang penuh keni'matan.

*******************************

Rabu, Mei 28, 2008

Bersyukurlah

ٍSegala puji-pujian dan setinggi-tinggi kesyukuran hendaknya kita panjatkan ke hadhrat Ilahi Rabbi yang masih memperkenankan kita berada dalam rahmat dan ni'mat agama yang diredhaiNya. Sungguh inilah rahmatNya yang paling besar ke atas kita, yang perlu kita syukuri dan pelihara sehingga kita kembali kepadaNya nanti. Moga Allah menjaga kita dan keturunan kita dan sekalian saudara-saudara kita kaum muslimin dari perbuatan riddah yang merupakan sekeji-keji dan sedahsyat-dahsyat kekufuran. Ingat riddah itu lebih dahsyat dari kafir asli (yakni kafir asli yang tidak memusuhi Islam seperti golongan dzimmi dan bukannya kafir harbi yang membenci dan memusuhi Islam), dan ianya punya hukum yang berbeza dengan hukum kafir asli baik bagi berhubungan dengan diri si murtad maupun berkaitan dengan hubungan kita dengan si murtad.

Mengenai kewajiban kita untuk bersyukur atas iman dan Islam ini, suka aku nukilkan pernyataan Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani dalam "Bahjatul Wasaail" halaman 33 di mana beliau menukil kalam Sidi Ibrahim bin Adham seperti berikut:-


Sesiapa yang berada di waktu pagi hendaklah dia bersyukur bagi empat perkara; (i) dia bersyukur dengan ucapan: "Segala puji bagi Allah yang telah menyinari hatiku dengan nur hidayah serta menjadikan aku daripada kalangan orang-orang yang beriman dan tidak Dia jadikan aku sesat"; (ii) dia mengucapkan : "Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan aku umat Nabi Muhammad s.a.w."; (iii) dia mengucapkan: "Segala puji bagi Allah yang tidak menjadikan rezekiku di tangan selainNya"; (iv) dia mengucapkan: "Segala puji bagi Allah yang telah menutupi keaiban-keaibanku".

Ikhwah, negara kita digegar dengan berita-berita orang murtad dan dalam keghairahan kita memperkatakan isu orang murtad atau pinjam istilah Ahmad Jailani isu "orang nak menentukan status agama", kita lupa apa hukumnya kita dengan orang murtad. Jangan dok asyik fikirkan hukuman ke atas orang murtad, hingga lupa bahawa kita yang tak murtad ni, alhamdulillah, juga terikat dengan hukum berinteraksi dengan orang murtad.

Sebagaimana yang diketahui seseorang menjadi murtad jika dia melakukan apa-apa perbuatan murtad walaupun tanpa pengisytiharan mana-mana Mahkamah. Jadi kenapa kita nak bising-bising suruh Mahkamah buat pengisytiharan, kerana tanpa pengisytiharan murtad pun si murtad tetap dihukumkan murtad. Mahkamah hendaklah membuat pengisytiharan hanya jika ianya bermaslahat kepada agama dan umat Islam; Dan bukannya untuk maslahat serta kepentingan si murtad tersebut.

Seperkara lagi ialah sewajarnya Mahkamah sebelum membuat pengisytiharan tersebut memerintahkan agar si murtad tadi untuk bertaubat dan kembali kepada Islam. Memanglah Mahkamah Syariah tidak diberi peruntukan untuk menjatuhkan hadd ke atas si murtad tadi, tetapi apa pula yang menghalang Mahkamah untuk memerintahkan agar si murtad untuk bertaubat sebagaimana dikehendaki oleh Syarak sebelum hadd dijatuhkan. Adakah kerana tiada peruntukan untuk hadd riddah, maka perintah untuk bertaubat juga diketepikan?????

Dalam hangat memperkatakan patut atau tidak kes murtad dibawa ke Mahkamah, nampaknya kita lupa tentang isu penting yang berhubung kait dengan hubungan kita selaku orang Islam dengan orang murtad. Bagaimana kita menanggapi dan berhubung dengan orang-orang murtad? Adakah Islam membenarkan kita bermuamalah dan bermujammalah dengan orang murtad? Adakah Islam membenarkan kita bergelak ketawa atau bergurau senda dengan orang murtad? Adakah Islam membenarkan kita memberi pertolongan kepada orang murtad? Adakah Islam membenarkan kita bergaul dengan orang murtad? Adakah kita dibenarkan oleh Islam menolong orang murtad memfailkan kesnya ke Mahkamah, tak kiralah mahkamah mana? Bolehkah kita menjadi jurucakap orang murtad dalam perbicaraan kes murtadnya di Mahkamah? Apa pulak hukum "legal fee" yang diterima daripada orang murtad, halal ke haram? Untuk menjawabnya, kenalah bertanya kepada ulama kita yang berwibawa, ulama yang hanya takutkan Allah, ulama yang tidak takut kepada celaan manusia dalam memperkatakan hukum Allah s.w.t. Bukan ulama yang dok takut orang kutuk kata kita zalim sebab tak isytihar si polan murtad.... Allahu ... Allah. Deme ni, bercakap bukan main gah lagi, tapi masih takutkan lawmatal laim lagi, dalam takbir raya bukan main lagi - walau karihal kafirun walau karihal musyrikun, tapi nape dalam bab ni takutkan kutukan musuh-musuh Islam. Percayalah musuh-musuh Islam akan terus mengutuk dan memburuk-burukkan Islam sehinggalah kita mengikut cara mereka dan meninggalkan pegangan kita.

Akhirul kalam, aku cuma nak nukilkan satu hadits yang Imam Hujjatul Islam al-Ghazali sebut dalam "Bidayatul Hidayah", di mana Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-

"Sesiapa yang menolong atas satu kemaksiatan walaupun hanya dengan setengah perkataan, jadilah dia bersekutu dalam maksiat tersebut (yakni bersekutu dalam dosa maksiat tersebut)."
Allahu ... Allah, perhatilah wahai ikhwah. Ingat juga firman Allah s.w.t. yang memerintahkan kita bertolong bantu hanya atas kebajikan dan ketaqwaan dan menegah kita bertolong bantu atas kemaksiatan dan permusuhan.


Selasa, Mei 06, 2008

Nama Junjungan s.a.w.

Tiadalah menjadi apa-apa kesalahan untuk kita menghiasi rumah-rumah kita, masjid-masjid kita, tempat-tempat kita dengan tulisan khat nama Junjungan Nabi s.a.w. Perkara ini sebenarnya telah lama dilakukan oleh umat ini tanpa ada kritikan dan tentangan, sehingga dua masjid yang mulia turut dihiasi dengan nama Junjungan Nabi s.a.w. di samping nama Allah yang Maha Agung. Sebenarnya bukan sahaja alam syahadah kita ini yang dihiasi dengan nama Junjungan s.a.w., bahkan disebutkan dalam sesetengah riwayat yang menyatakan bahawa alam malakut yang tertinggi turut dihiasi Allah dengan nama kekasihNya, Junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Inilah antara keistimewaan anugerah Allah buat Junjungan Nabi s.a.w. Dan inilah antara manifestasi firman Allah s.w.t. tentang baginda dalam surah al-Insyirah ayat 4 yang berbunyi:-

وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ

"Dan Kami telah meninggikan bagimu sebutan namamu."


Atas keistimewaan inilah maka Allah telah menyiar serta menyebarkan sebutan nama Junjungan Nabi s.a.w. ke seluruh pelosok alam malakut yang tertinggi. Imam Ibnu 'Asaakir meriwayatkan bahawa Ka`ab al-Ahbaar berkata:-
Bahawasanya Allah telah menurunkan kepada Nabi Adam a.s. tongkat-tongkat menurut jumlah para nabi dan rasul. Kepada anaknya, Nabi Syits a.s., Nabi Adam a.s. berpesan: " Anakku engkaulah penggantiku, maka ambillah segala tongkat ini dengan penuh ketakwaan dan pegangan yang kukuh. Setiap kali engkau berzikir menyebut dan mengingati Allah, maka sebut dan ingatlah bersamaNya akan nama Muhammad. Sesungguhnya aku telah melihat namanya tertulis di kaki arsy sedangkan aku waktu itu berada antara roh dan tanah. Kemudian aku dibawa berkeliling ke segala pelosok langit, maka tiada aku lihat satu tempat pun melainkan tertulis padanya nama Muhammad. Dan telah aku lihat nama Muhammad tertulis atas dada para bidadari, atas dedaunan syurga, atas daun-daun pokok Thuba, atas daun Sidratul Muntaha, atas segala hijab dan antara mata para malaikat, maka perbanyakkanlah menyebut mengingatinya kerana bahawasanya para malaikat menyebut mengingatinya pada setiap masa.
Almarhum Dr. Habib Muhammad bin 'Alawi al-Maliki rhm. dalam "Mafahim" setelah mengemukakan riwayat di atas menyatakan bahawa Ibnu Taimiyyah turut meriwayatkan apa yang selari dengan riwayat Imam Ibnu 'Asaakir tersebut. Ibnu Taimiyyah menyatakan dalam himpunan fatwanya:-
Dan telah diriwayatkan bahawasanya Allah telah menulis nama Junjungan Nabi Muhammad pada arsy, pada segala isi syurga, baik pintu-pintunya, kubah-kubahnya dan segala dedaunnya. Berhubung masalah ini, ada berbilang atsar yang selari dengan hadits-hadits yang tsabit pada menjelaskan keagungan nama Junjungan Nabi s.a.w. dan ketinggian sebutannya.

Pada riwayat Ibnul Jawzi daripada Maisarah di mana dia berkata: "Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: "Wahai Rasulullah, bilakah engkau menjadi nabi?" Baginda menjawab: " Setelah Allah menciptakan bumi, Dia berpaling kepada langit lalu mencipta 7 petala langit dan menciptakan arsy serta menulis di kakinya "Muhammad adalah utusan Allah, penutup para nabi". Allah menciptakan syurga yang dihuni oleh Nabi Adam dan Siti Hawa, lalu dituliskan namaku atas segala pintu, dedaun, kubah dan khemahnya sedangkan Nabi Adam ketika itu berada antara roh dan jasad. Tatkala baginda dihidupkan Allah ta`ala, baginda telah memandang ke arsy dan melihat namaku, maka Allah telah memberitahu baginda bahawa yang empunya nama tersebut (yakni Junjungan Nabi s.a.w.) adalah pemimpin anak cucunya. Tatkala mereka berdua diperdaya oleh syaithan, mereka berdua telah bertaubat dan memohon syafaat dengan namaku kepada Allah.
Allahu ... Allah, jika sahaja Allah menghiaskan syurgaNya dengan nama Junjungan Nabi s.a.w., maka di mana salahnya jika umat Muhammad menghiasi kediaman mereka dengan nama baginda yang mulia. Sejuklah segala mata yang memandang keindahan khat nama Junjungan serta terlancar di lidah si pemandang akan ucapan sholawat dan salam buat baginda. Qadhi 'Iyadh al-Yahsubi dalam "Syifa`" menukilkan satu riwayat daripada Ibnu al-Qaasim dan Ibnu Wahb daripada Maalik yang menyatakan:-

سمعت اهل مكة يقولون ما من بيت فيه اسم محمد
إلا نمى و رزقوا و رزق جيرانهم

Aku telah mendengar penduduk Makkah (yakni sebahagian ulamanya) berkata: "Tidak ada satu rumah yang padanya ada nama Muhammad melainkan akan bertambah keberkatan dan pemberian rezeki ahli-ahli rumah tersebut serta jiran-jiran mereka."
Mudah-mudahan sahaja apa yang tersebut di atas tetap atas keumuman lafaznya yang merangkumi bukan sahaja penghuni rumah yang namanya Muhammad tetapi juga akan khat nama Junjungan s.a.w. yang berada di rumah tersebut.