Ese telah dihadiahkan oleh seorang sahabat (mudah-mudahan Allah membalas kebaikannya dengan berlipat ganda, memurahkan rezekinya, memanjangkan umurnya dalam ketaatan dan kesihatan serta keafiatan yang sempurna) senaskhah "Furu` al-Masa'il versi Rumi" yang disusun semula oleh Shahibul Fadhilah Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz hafizahUllah. Mula-mula ese ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan ke atas Shahibul Fadhilah atas usaha beliau memperkenalkan kitab tersebut dalam tulisan rumi dan dengan bahasa moden. Sungguh tiada gading yang tidak retak, bahkan retak itu adalah tanda aslinya gading. Kalau yang tak retak, itu gading buatan - made in China. Maka diharap apa yang faqir ini tulis dianggap sebagai sesuatu yang positif dalam usaha kita menjaga amanah ilmu dan memartabatkan ilmunya para ulama kita.
Tidak dinafikan bahawa kitab "Furu' Masail" yang diterjemah oleh Mawlana Syaikh Daud rahimahUllah adalah salah satu kitab fiqh yang agak sukar untuk difahami kerana faktor bahasa dan susunannya, juga kerana dalam banyak perkara hanya menampilkan pendapat seorang ulama sahaja seperti hanya disebut qawl Imam ar-Ramli sahaja tanpa menyentuh qawl yang dipegang oleh Imam Ibnu Hajar yang berbeza dengannya. Oleh itu, penting dan teramat penting bagi kita mengaji kitab ini secara berguru dengan guru yang sudah masak ilmu fiqhnya.
Berbalik kepada kitab versi Rumi (versi Shahibul Fadhilah Datuk Abu Hasan hafizahUllah), maka sekadar yang sempat ese belek dari buku tersebut (belum sempat ese telaah betul-betul kerana kesibukan), terlihatlah pada ese akan kesilapan besar yang terkandung pada halaman 215 dalam pemahaman Shahibul Fadhilah akan teks kitab asal terjemahan Mawlana Syaikh Daud, di mana Shahibul Fadhilah menulis:-
Menyuruh Kanak-Kanak Menunaikan Solat.
S: Mengikut apa yang dijelaskan oleh al-Imam al-Azra`i, tidak harus kita menyuruh kanak-kanak kecil supaya mengerjakan solat, kerana kanak-kanak (yang masih kecil itu) belum tahu lagi apa agamanya walaupun dia sudah mumaiyiz dan sudah memiliki ciri-ciri keislaman (kerana kedua-dua ibu bapanya orang Islam). Tidak harus kita menyuruh dia bersolat kerana pada anggapan kita, ada kemungkinan dia akan menjadi seorang kafir. Begitu juga kita tidak boleh menghalang (seorang kanak-kanak kecil) melakukan solat kerana tidak ada bukti tentang kekufurannya, seperti kanak-kanak yang dijual sekarang ini (sama ada kanak-kanak Islam dijual kepada orang kafir atau sebaliknya). Adakah kata-kata Syeikh al-Imam al-Azra`i itu muktamad ataupun tidak?Allahu .. Allah, orang yang jahil dan dhoif seperti ese pun akan dapat melihat kejanggalan dalam pernyataan di atas sebagaimana tercatat dalam buku Furu` Masail versi Rumi tersebut. Ini adalah kerana seolah-olah Imam al-Azra`ie rahimahUllah berpendapat bahawa:-
J: Sebenarnya apa yang dijelaskan oleh al-Imam Azra`i itu adalah yang muktamad.
- Kanak-kanak yang masih kecil tidak boleh disuruh sholat.
- Agama kanak-kanak kecil adalah belum diketahui walaupun dia sudah mumaiyiz dan ibubapanya beragama Islam.
- Kita tidak boleh menyuruh kanak-kanak sholat kerana ada kemungkinan dia kelak akan jadi kafir.
- Boleh menjual kanak-kanak Islam kepada kafir.
Dalam kitab asal "Furu' al-Masail" yang diterjemah oleh Syaikh Daud pada halaman 54 Juzuk 1 ianya ditulis sebagai berikut (segala tanda perhentian itu tambahan alfaqir):-
(Suila RA) Barang yang dikata oleh Imam Azra`ie menuntut faham iaitu tiada harus kita suruh kanak-kanak sembahyang iaitu kanak-kanak tiada ketahui akan apa agamanya dan pada hal sudah mumaiyiz bersifat ia rupa Islam. Maka tiada harus kita suruh ia sembahyang kerana kita ihtimalkan ada ia kafir. Dan tiada boleh kita tegahkan dia daripadanya kerana tiada tahqiq akan kufurnya dan iaitu budak yang dijual sekarang. Adakah pada perkataan itu muktamad atau tidak. (Dan jawabnya) Maka barang yang dikatanya itu muktamad.Apa yang dijelaskan oleh Imam Azra`ie tersebut sebenarnya berkait dengan kanak-kanak kecil (yakni yang belum baligh walaupun telah mumaiyiz) YANG TIDAK DIKETAHUI AKAN AGAMANYA. Mereka-mereka inilah yang tidak boleh dipaksa untuk sholat walaupun sudah mumaiyiz dan berpenampilan seperti orang Islam. Oleh itu, kanak-kanak yang sedemikian (yakni kanak-kanak yang belum baligh yang tidak diketahui agama mereka) seperti kanak-kanak yang dijual sebagai hamba pada zaman dahulu yang tidak diketahui apa agama mereka, maka mereka inilah yang tidak boleh dipaksa untuk menunaikan sholat kerana wujudnya kemungkinan (yakni adanya ihtimal) yang mereka ini adalah kafir kerana mungkin mereka anak-anak orang kafir. Ini adalah kerana agama seseorang kanak-kanak yang belum baligh itu adalah menurut agama ibubapanya atau keturunannya dengan beberapa tafsil yang dinyatakan dalam kitab-kitab fiqh. Perlu juga kita perhatikan bahawa jawapan tersebut lebih merujuk kepada masalah yang berlaku pada zaman dahulu berhubung status agama kanak-kanak yang dijual sebagai hamba abdi yang tidak diketahui asal usul dan agama mereka. Sedangkan kanak-kanak yang diketahui beragama Islam kerana ibubapanya adalah Islam atau berketurunan Islam, tidaklah termasuk dalam kelompok yang dimaksudkan oleh Imam Azra`i.
Jadi jelaslah apa yang dikehendaki oleh Imam Azra`ie itu hanyalah ditujukan kepada KANAK-KANAK YANG BELUM BALIGH YANG TIDAK DIKETAHUI AGAMANYA .... ulang sekali lagi KANAK-KANAK YANG TIDAK DIKETAHUI AGAMANYA. Kalau anak-anak kita yang beragama Islam ni, maka lain pula hukumnya. Anak-anak kita yang beragama Islam maka mereka ini wajib disuruh bersholat apabila berusia 7 tahun dan jika mereka melalaikannya tatkala berusia 10 tahun maka hendaklah diberi hukuman sebagaimana dinyatakan dalam hadits yang masyhur:-
"Perintahkanlah anak-anak kamu untuk sholat apabila mereka berusia 7 tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkannya apabila mereka berusia 10 tahun."Diharap Shahibul Fadhilah dapat meneliti kembali buku tersebut dengan saksama dan memperbetulkannya semula agar masyarakat awam tidak keliru. Ampun maaf jika terkasar bahasa yang membawa kepada terguris rasa. Almaklum sajalah, faqir ini baru belajar, hanya mampu bertatih selangkah dua. Kepada segala ikhwah faqir berpesan seperti biasa, biarlah kita belajar secara berguru, carilah guru yang benar agar ambilan kalian bertentuan, terselamat dari segala ketidakkeruanan serta tidak keliru tak tentu tujuan, sehingga tersesat di penghujung jalan, tak tahu jalan nak pulang.
Kata Syaikh Yusuf Tajul Khalwati
Atasnya rahmat Allah lagi dikasihi
Atasnya rahmat Allah lagi dikasihi
Ulama Makasar terbilang tinggi
Hingga dinobat Mahkota Khalwati
Dalam karangannya Zubdatul Asrari
Dinukil kalam pemuka sufi
Kalam masyhur di sisi qaumi
Sesiapa tiada guru menunjuki
Maka syaitan yang digurui
lalu sesat lagi menyesati
walaupun ilmu dan amalnya berkoyan berguni
Oleh itu saudara saudari
Hendaklah kalian renung fahami
Ilmu dunia lagikan dipelajari
Daripada mulut guru cikgu dan cikgi
A B C guru ajari
1 2 3 guru tuntuni
Sedangkan semuanya ilmu lahiri
Maka kenapa pula ilmu mutiara qalbi
Hendak dipelajari sendiri sendiri
Ilmu tukang ilmu bedah ilmu thobib kalian pelajari
Sehingga sanggup ke luar negeri
Berguru dengan pakar hingga dinihari
Kenapa pula ilmu agama ilmu akhirat ilmu hati
Ilmu pahala ilmu dosa yang tak nampak di 'aini
Hanya melalui buku dianggap sudah memadai
Allah....Allah....Allahu Rabbi ....mohon ditunjuki