TITAH DIRAJA
DULI YANG MAHA MULIA
PEMANGKU RAJA PERAK DARUL RIDZUAN
RAJA NAZRIN SHAH
DI KONGRES MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI
SELURUH MALAYSIA.
TARIKH: 26 SEPTEMBER 2011 (ISNIN); MASA: 11.30 PAGI
TEMPAT: DEWAN MERDEKA
PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR.
Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji tertentu bagi ALLAH Subhanahu Wata’ala yang memiliki dan
menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan bagi Nya
(pula) segala puji di akhirat, dan Dialah saja Yang Maha Bijaksana, lagi
Maha Mendalam pengetahuanNya.
[1]
Hamba-Mu ini, dengan hati yang bening – ingatan yang hening, melafazkan
seikhlas tutur dari denyut nadi – menzahirkan setulus kalam dari
pancaran hati, kalimah kesyukuran yang setinggi-tingginya atas anugerah
rahmat dari Mu jua Ya ALLAH, mengangkatkan martabat Hamba-Mu ini untuk
menyempurnakan satu tanggung jawab fardu kifayah di pagi ini. Dengan
segala kerendahan sifat – kelemahan kudrat, hamba-Mu mohon mendapat
petunjuk dan panduan dari Mu jua.
2. Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi
Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, semulia-mulia kejadian. Demikian
juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan
bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian
para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada
kegelapan. Semoga memperoleh ihsan daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala
sehingga ke hari kebangkitan.
“ WALLAHI, WABILLAHI, WATALLAHI
Maka dengan lafaz ini berikrarlah kami dengan sesungguhnya dan
dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana Undang-undang dan Perlembagaan Negeri yang
telah disah dan dimasyhurkan dan yang akan disah dan dimasyhurkan di
masa hadapan ini. Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguhnya
dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri.”
3. Demikian lafaz ikrar sumpah jawatan Seri Paduka Baginda
Yang Dipertuan Agong selaku Ketua Utama Negara. Status Ketua Utama
Negara bukan sekadar simbol hiasan. Status Ketua Agama Negara menuntut
kepada penyempurnaan tanggung jawab besar memenuhi amanah. Terkandung
lima kata kunci dalam sumpah jawatan tersebut; ia itu: Undang-undang, Perlembagaan Negeri, Agama Islam, Adil dan Aman.
4. Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia yang
berlangsung pada 26 dan 27 September ini, dianjurkan, menyusuli
ketetapan yang telah diperkenankan dalam Persidangan Majlis Raja-Raja.
Menjunjung titah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Patik merafak
sembah junjungan kasih setinggi-tingginya atas limpah perkenan Duli-Duli
Tuanku, memberikan pengiktirafan ke atas batang tubuh Patik,
menyempurnakan hasrat Duli-Duli Tuanku, untuk Patik menzahirkan Titah
Diraja atas tema “MAJLIS AGAMA ISLAM PEMACU TRANSFORMASI UMMAH”.
5. Setiap yang tersurat dizahirkan dari yang tersirat.
Ketetapan Majlis Raja-Raja memperkenankan kelangsungan Kongres ini,
perlu direnung secara tajam, diamati secara halus dan diselami secara
mendalam; betapa keprihatinan yang tersirat dalam ruang minda Duli-Duli
Yang Maha Mulia Raja Melayu tentang senario semasa negara; senario
semasa negara yang harus dirangkaikan dengan lima kata kunci yang terkandung dalam sumpah jawatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong; senario semasa negara berkaitan Islam, survival ummah
dan perpaduan ummah, soal keluhuran Perlembagaan, soal kedaulatan
undang-undang, soal keadilan, soal keamanan; serta lebih utama
keprihatinan Duli-Duli Yang Maha Mulia itu, sebagai pewaris kepada Tujuh Wasiat yang
telah diperkenankan kepada rakyat-rakyat Melayu yang merupakan rakyat
asal dan subjek Raja-Raja Melayu oleh sembilan Raja Melayu pada tarikh 5
Ogos 1957, lalu memberikan perkenan menurunkan tanda tangan persetujuan
kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
6. Perlembagaan Persekutuan secara nyata menetapkan kewajipan
penting Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, selaku Ketua Utama
Negara untuk memelihara kesucian agama Islam pada setiap masa. Tanggung
jawab penting tersebut didukung bersama oleh sembilan Raja Melayu di
Negeri-negeri. Tanggung jawab penting tersebut telah sekian lama
diamanahkan kepada Raja-Raja Melayu dan Raja-Raja Melayu telah
menyempurnakan amanah tersebut dengan memastikan kesucian Islam tidak
ternoda, syiar Islam terus dikembangkan dan umat Islam dilindungi dari
penyerapan fahaman lain hingga boleh dimurtadkan. Perkara 11(4)
Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Negeri menggubal
undang-undang untuk mempertahankan agama Islam dan penganutnya dari
dipengaruhi unsur-unsur agama lain.
7. Islam mula berakar di negeri-negeri Tanah Melayu sejak
kurun keempat belas. Islam terpahat kukuh di persada sejarah negara.
Islam telah tersebar di negeri-negeri Kedah, Kelantan, Pahang dan
Terengganu lebih awal dari Melaka
[3]. Dengan pengislaman Raja Melaka dalam tahun 1409
[4], Islam bertapak lebih kuat di alam Melayu
[5], dijadikan agama rasmi Melaka semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1446-1458)
[6]
Kesultanan Melaka dianggap sebagai salah sebuah Kerajaan Islam yang
ulung di Asia Tenggara, berperanan sebagai pusat penyebaran Islam di
Nusantara
[7].
8. Risalah Islam memberikan impak besar kepada jiwa dan minda
masyarakat Melayu. Islam mengisi kandungan rohani, begitu serasi –
begitu sebati dengan jiwa dan budaya Melayu. Ajaran Islam diterima
pakai sebagai asas yang mutlak dalam kehidupan umat Melayu di Malaysia.
Islam mengubah anutan agama umat Melayu kepada satu agama wahyu yang
ditanzilkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala
[8].
Proses pengislaman di alam Melayu berlangsung dalam masa yang singkat
dan merupakan tenaga terkuat yang mencorakkan kepercayaan, nilai dan
sikap masyarakat
[9].
Ajaran Islam cepat menyerap di kalangan umat Melayu kerana Islam
merupakan satu keratan lapisan yang diletakkan atas sistem kepercayaan
yang sedia wujud, memperlihatkan kebijaksanaan umat Melayu melakukan
asimilasi, menyesuaikan sistem kepercayaan lama dengan yang baru
[10].
9. Islam memberi dimensi baru kepada minda Melayu. Ia telah
mencetuskan satu revolusi pemikiran di kalangan umat, berupaya menyemai
nilai dan semangat keagamaan yang luhur
[11]. Islam telah merobah bukan sahaja struktur zahir masyarakat Melayu malah turut menyentuh struktur batinnya
[12].
Berpalinglah pandangan hidup umat Melayu, gugur dari singgahsana alam
seni dan mitos yang khayal, berpindah ke alam akal dan budi yang
menuntut kepada gaya tertib yang lebih teratur, berjaya membina daya
rasionalisme dan intelektualisme di kalangan umat, mengangkat adab dan
susila serta kesedaran terhadap kemuliaan insan dan keagungan Tuhan
[13].
10. Beberapa pengubahsuaian lantas berlaku dalam sistem
pemerintahan dengan pengenalan identiti baru. Raja dan Kerajaan diberi
taraf baru, menghapuskan konsepsi lama yang menganggap Raja sebagai
‘penjelmaan tuhan di bumi’, status yang meletakkan Raja sama taraf dengan tuhan, beralih kepada konsepsi bahawa Raja adalah ‘
bayangan ALLAH di muka bumi (zillulah fi al-Ard)”[14].
Hubungan batiniah Raja dengan para dewata ditinggalkan, di sebaliknya
talian spiritual dirangkaikan dengan Allah dan Rasul serta kekudusan
tokoh para aulia dan anbia
[15].
Berdasarkan konsepsi baru ini, Raja hanya bertaraf wakil atau khalifah
di bumi dengan sifat-sifat kemanusiaan.
Kuasa Raja disandarkan dengan
hukum kerana Raja juga tidak boleh mengingkari tuntutan syarak.
Kemuliaan Raja dinilai dari sudut amal makruf Baginda menyempurnakan
tanggung jawab, lantas menginsafkan Raja bahawa kuasa pemerintahan
adalah satu amanah ILAHI yang sama sekali tidak boleh disalahgunakan.
Raja wajib menjunjung amanah pemerintahan dengan melaksanakan keadilan
untuk kesejahteraan rakyat mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh
ALLAH Subhanahu Wata’ala[16].
11.
Islam dan Melayu adalah tunggak utama Tanah Melayu.
Undang-undang Islam diguna pakai untuk mentadbir negeri-negeri di Tanah
Melayu. Negeri Melaka telah mengkanunkan
Hukum Kanun Melaka dan
Undang-Undang Laut Melaka berdasarkan
Hukum Syarak[17]. Di negeri Perak,
Undang-Undang 99 juga digubal berdasarkan prinsip
Hukum Syarak; Terengganu, Kelantan dan Kedah menyerap pengaruh Islam dalam pentadbiran masing-masing
[18].
12. Selepas kejatuhan Melaka, kerajaan-kerajaan Melayu di
Tanah Melayu meneruskan tradisi pemerintahan beraja yang kekal
berpandukan undang-undang Islam sehingga munculnya penglibatan Inggeris
dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu. Inggeris telah memisahkan
urusan pentadbiran negeri dengan agama Islam. Proses peralihan kepada
sistem pentadbiran perundangan Inggeris telah dilakukan dari negeri ke
negeri. Hal ehwal Islam ditadbirkan secara berasingan dengan penubuhan
institusi-institusi khusus untuk urusan Agama Islam dan adat istiadat
Melayu.
13. Di negeri Perak, pentadbiran Islam dipertanggungjawabkan kepada beberapa Orang Besar Negeri yang dilantik oleh Sultan
[19]. Salah seorang Orang Besar Delapan, Imam Paduka Tuan dilantik memegang jawatan Kadi
[20].
Di pertengahan abad kesembilan belas, terdapat gelaran-gelaran Imam
Seri Raja Kota Lama Kanan, Imam Siraja Pakih Kota Lama Kiri, Imam
Malaikat Amin Ketior, Imam Siraja Diraja Geronggong, Imam Seri Jidin
Sayong, Imam Siraja Mahkota Bota, Imam SyakuI-Islam Pasir Salak dan Imam
Siraja Dalam Istana Sultan
[21].
Dalam abad kedua puluh, Majlis Orang Besar-Orang Besar dan ulama
ditubuhkan untuk mengambil tanggung jawab mengurus tadbir hal ehwal
Islam di Perak
[22].
14. Amat ketara, urus tadbir berpaksikan Islam yang merangkumi
aspek perundangan, toleransi, ekonomi dan sosial ketika itu, telah
diterima sebagai cara hidup masyarakat berbilang kaum dan berbilang
agama di bumi ini
[23]. Pengiktirafan tersebut selanjutnya diterjemahkan melalui kes
Raman – lawan Laton, apabila
Mahkamah Rayuan bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu memutuskan bahawa Islam adalah “lex loci of the land”[24].
Begitu ketara Inggeris mengakui hakikat bahawa Islam merupakan
satu-satunya agama yang diiktiraf sebagai agama bagi negeri-negeri Tanah
Melayu, berkedudukan tertinggi berbanding agama-agama lain.
15. Berasaskan hakikat tersebut, Hakim Abdul Hamid yang menganggotai Suruhanjaya Reid telah bersetuju dengan memorandum yang dikemukakan oleh Parti Perikatan supaya Islam dijadikan agama bagi Persekutuan Tanah Melayu. Parti Perikatan adalah
gabungan parti-parti politik yang mewakili masyarakat Melayu,
masyarakat Cina dan masyarakat India, tiga kaum utama di kalangan
penduduk Tanah Melayu. Dengan pertimbangan bahawa sudah terdapat 15
buah negara di dunia ketika itu meletakkan agama dalam Perlembagaan
mereka, Hakim Abdul Hamid mengakui bahawa Islam memiliki kedudukan
istimewa di Negeri-Negeri Tanah Melayu dengan menyatakan:
Petikan:
“ If in these countries a religion has been declared to be the
religion of the State and that declaration has not been found to have
caused hardships to anybody, no harm will ensure if such a declaration
is included in the Constitution of Malaya. In fact in all the
Constitutions of Malayan States a provision of this type already
exists. All that is required is to transplant it from the State
Constitution and to embed it in in the Federal”[25]
16. Tradisi pengiktirafan Islam sebagai agama Negara telah
diterjemahkan melalui persetujuan yang telah dicapai oleh kaum-kaum dan
kumpulan- kumpulan agama yang menghuni Tanah Melayu untuk menerima
Perkara 3(1), meletakkan di dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam
sebagai agama bagi Persekutuan dan Perkara 3(2) untuk menjamin hak-hak,
keistimewaan, kuasa prerogatif Raja-Raja di Negeri-Negeri. Islam
adalah ‘Magna Carta’, satu kontrak sosial yang tersirat, dan
adalah komponen yang terkandung di dalam Perlembagaan, satu kontrak
sosial yang tersurat di negara ini.
17. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang diperlengkap dan diperkukuh dengan beberapa peruntukan lain
[26],
telah memartabatkan Agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan; dan
hakikat akan penerusan kedaulatan Raja-Raja Melayu di Persekutuan Tanah
Melayu yang kemudiannya di kenali sebagai Malaysia. Adalah penting
untuk Perlembagaan Persekutuan ditafsirkan secara menyeluruh untuk
memastikan kesemua peruntukan yang terkandung di dalamnya adalah berikat
dan berkuasa.
[27]
18. Perkara-perkara utama mengenai Islam yang terkandung di
dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditafsir secara harfiah. Ia
perlu ditafsirkan secara holistik, dikaitkan dengan
peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan, demi memastikan, tujuan
sebenar peruntukan-peruntukan tersebut tidak dimanipulasikan hingga
menidakkan hak yang nyata kepada umat Islam.
19. Dalam kes
Dato’ Menteri Othman bin Baginda & Anor melawan Dato Ombi Syed Alwi bin Syed Idrus[28], Ketua Hakim Negara ketika itu, Yang Amat Arif Raja Azlan Shah memutuskan antara lain:
Petikan:
“ In interpreting a constitution two points must be borne in
mind. First, judicial precedent plays a lesser part than is normal in
matters of ordinary statutory interpretation. Secondly, a constitution,
being a living piece of legislation, its provision must be construed broadly and not in a pedantic way – with less rigidity and more generosity than other Acts”
(see Minister of Home Affairs v Fisher (1979) 3 All ER 21)
Yang Amat Arif Raja Azlan Shah seterusnya menyatakan:
Petikan:
“It is in the light of this kind of ambulatory approach that we must construe our Constitution. The
Federal Constitution was enacted as a result of negotiations and
discussions between the British Government, the Malay Rulers and the
Alliance Party relating to the terms on which independence should be
granted. One of its main features is the enumeration and
entrenchment of certain rights and freedoms. Embodied in these rights
are the guarantee provisions of Article 71 and the first point to note
is that, that right does not claim to be new. It already exists long
before Merdeka, and the purpose of the entrenchment is to protect it
against encroachment.”
20. Segala yang terpahat di dalam Perlembagaan adalah dalam semangat menjunjung Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang
secara tegas menetapkan antaranya, Islam sebagai agama Persekutuan,
Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Tanah Simpanan Melayu
diperuntuk dan dipertahankan, kedudukan istimewa Orang Melayu dan
kepentingan sah kaum-kaum lain dilindungi, kedaulatan Raja-Raja Melayu
memerintah Negara kekal terjamin. Perkara-perkara ini tidak boleh
dipinda di dalam Perlembagaan semata-mata melalui suara majoriti dua
pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat atau ahli-ahli Dewan Negara tanpa
perkenan Raja-Raja. Perkara-perkara ini tidak boleh sewenang-wenangnya
dijadikan modal politik untuk kepentingan politik. Perkara-perkara
tersebut adalah prinsip asas, prinsip utama yang tidak boleh sama sekali
diperdagangkan.
21. Islam adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak di dalam Perlembagaan Persekutuan
[29]. Yang Arif Hakim Mohd. Noor Abdullah dalam penghakiman kes
Meor Atiqulrahman Ishak dan yang lain – lawan – Fatimah Sihi dan yang lain,[30] telah memberikan tafsiran berikut:
Petikan:
“… Peruntukan ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai’ bermakna
Islam adalah agama utama di antara agama-agama lain yang dianuti di
negara ini. Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk
berganding bahu atau berdidiri sama tegak. Ia duduk di atas, ia
berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang
kedengaran. Ini bermakna Kerajaan bertanggung jawab memelihara,
menyemarak dan mengembangkan Islam seperti mana yang termampu dilakukan
oleh Kerajaan sekarang, dan agama-agama lain hendaklah diatursuai dan
dihalatuju ke arah yang menjamin supaya ia diamalkan dengan aman damai
dan tidak menggugat kedudukan utama agama Islam….”
22. Setelah lima puluh empat tahun tanah air mencapai
kemerdekaan, setelah tiga belas Raja Melayu secara bergilir bertakhta di
singgah sana Ketua Utama Negara, setelah dua belas kali pilihan raya
umum dilangsungkan, dan setelah enam Perdana Menteri memimpin Kerajaan
Persekutuan, pentafsiran Perlembagaan dengan perspektif yang menghormati
sejarah penubuhan Malaysia, amatlah penting diperingatkan semula, malah
wajib terus diperingatkan sepanjang masa. Segala persetujuan yang
telah dicapai wajib dihormati. Prinsip-prinsip asas terutama menyentuh
Islam dan Melayu tidak boleh sama sekali dikompromikan. Walau apa
sekalipun alasan, walau apa muslihatnya, matlamat jangka pendek oleh
mana-mana pihak, jangan sampai ke peringkat menggadaikan nasib ummah di
hari ini dan di hari muka. Ummah wajib berdiri teguh – berpendirian
tegas, tidak berundur ke belakang walau setapak sekalipun.
23. Pencerobohan-pencerobohan yang dilakukan di masa lalu,
hari ini perlu dibayar dengan harga tinggi oleh ummah. Abdul’llah Munsyi
mencatatkan bahawa dalam adat resam Melayu, pengajian Al-Quran
diperkenalkan kepada anak sebelum mempelajari Bahasa Melayu; tetapi
Rafles pada tahun 1810 telah menganjurkan supaya pelajaran bahasa Melayu
hendaklah diasingkan dari dasar pelajaran Al-Quran
[31].
Satu arahan yang pada hakikatnya merupakan senjata halus, memulakan
pemisahan pengajian Islam dalam sistem pendidikan di kalangan ummah.
Muhammad Nejatullah Siddiqi, yang dianggap penulis paling berpengaruh di kalangan generasi pertama ahli
Ekonomi Islam,
menghuraikan bagaimana sistem pendidikan yang diwarisi di negara-negara
Islam memisahkan pendidikan sekular dengan agama lalu menghindarkan
peluang kepada umat Islam menguasai pengetahuan ekonomi
[32].
Pelbagai muslihat yang dilakukan di masa lalu, hari ini telah
menidakkan ummah kepada haknya; betapa kedaulatan Kesultanan Melayu
Johor terhakis sepenuhnya dari lakaran sejarah Singapura dan betapa pula
Kedaulatan Kesultanan Melayu Kedah di Pulau Pinang turut dipadam, dan
betapa Melaka pada hari ini sudah tidak beraja lagi; dan betapa
Hukum Kanun Melayu dihakis dari menjadi sumber undang-undang setelah diketepikan dengan penerimaan
Common Law Inggeris.
24. Penghakisan martabat agama Islam di bumi ini bukanlah
sesuatu yang tidak mungkin terjadi atau tidak dirancang secara tersirat
baik dari dalam mahupun dari luar negara. Jika dihalusi, usaha-usaha
pencerobohan terhadap Islam bukan sahaja tampak berlaku, tetapi berlaku
dalam terang lagi bersuluh. Ia mungkin bermula dengan satu jamuan –
satu nyanyian, satu perkhemahan – satu lawatan; ia mungkin bermula
dengan segenggam garam – setahil emas, ia mungkin bermula dengan satu
kalimah – satu ceramah.
25. Beta pernah menzahirkan peringatan bahawa pencerobohan
besar bermula dari perbuatan kecil. Ia mungkin bermula dari sebuah
surau, atau sebuah madrasah, atau sebuah masjid atau sebuah mimbar. Ia
bermula dari satu ungkapan, satu ucapan, satu khutbah, satu tazkirah
atau satu doa; ia bermula dari pencerobohan kecil dan jika dalam
menghadapi pencerobohan kecil, umat Islam masih belum insaf, masih
berdegil dan masih sombong mempertahankan ego, masih memilih untuk
bertelagah, maka umat Islam sebenarnya telah memberikan petanda yang
salah; petanda seolah-olah menggalakkan pencerobohan lebih besar boleh
dilakukan ke atas umat Islam dan terhadap institusi Islam.
[33]
26. Hari ini, kemusnahan ummah dan watan tidak lagi perlu
menghadapi pencerobohan dari Alfonso de Alburque atau Rafles atau
Francis Light atau Yamashita atau Mac Michael.
Pencerobohan-pencerobohan baru boleh berlaku melalui manipulasi fakta
sejarah, melalui perbuatan mempersendakan lagu kebangsaan, melalui
penghinaan bendera negara, melalui pelanggaran menghormati kalimah suci
ALLAH yang sekian lama eksklusif kepada umat Islam. Keangkuhan semakin
berlaku - toleransi umat Islam semakin dicabar. Ummah kelihatan
semakin dilemahkan, ia mungkin berpunca dari satu kenyataan, satu
ungkapan. Ia mungkin berpunca dari satu kekaburan dasar atau satu
tafsiran yang salah; ia mungkin berpunca dari perlakuan rasuah atau
perbuatan pecah amanah. Walau apa puncanya, ia laksana anai-anai yang
semakin membesarkan busut – yang semakin mereputkan ummah.
27. Umat Islam wajib menghayati semangat “BERSATU TEGUH-BERCERAI ROBOH”.
Umat Islam wajib mengambil iktibar dari peristiwa penyatuan yang
dicerminkan oleh kaum lain dalam mempertahankan maruah mereka. Dua
patah perkataan yang terselit di antara ribuan perkataan dalam sebuah
novel, yang dianggap menghina kaum mereka, telah menyatupadukan warga
berketurunan India Malaysia untuk membantah secara habis-habisan.
Meskipun tidak ada niat penulis novel untuk menghina mana-mana kaum,
tetapi atas semangat mempertahankan maruah bangsa, warga Malaysia
berketurunan India dari pelbagai kumpulan politik, baik yang bersama
kerajaan mahupun yang tidak bersama kerajaan, para akademia dan pelbagai
organisasi, bercantum tekad – bergabung usaha, bersatu suara – bersatu
tindakan atas nama mempertahankan maruah. Tuntutan mereka menghasilkan
kejayaan. Semangat bersatu sedemikian atas nama maruah bangsa,
sewajarnya dijadikan teladan.
28. Islam akan terhakis apabila tanggung jawab terhadap urusan
Islam gagal dipantau secara tegas. Islam telah mula dijadikan
instrumen bertujuan meraih pengaruh dan mendapatkan kuasa, sehingga ke
peringkat sedia berkompromi kepada perkara-perkara prinsip menyentuh
aqidah. Hari ini nama suci ALLAH, dilaporkan telah diguna pakai tanpa
menghiraukan sensitiviti umat Islam – tanpa mengendahkan potensi yang
boleh mengelirukan aqidah anak-anak Islam – tanpa mempedulikan betapa
terhirisnya perasaan ummah. Nama suci ALLAH yang termaktub di dalam
Al-Quran diambil dan dijadikan terjemahan kepada perkataan God.
ALLAH adalah kalimah yang amat suci di kalangan umat Islam, kini turut
dinamakan kepada simbol pujaan agama lain. Kalimah suci ALLAH bukan
sekadar “nama am” yang bermaksud “Tuhan” walau apa
bentuknya. Kesucian kalimah ALLAH amat tinggi di sisi Islam. Kalimah
tersebut bila dicetak pada kertas, tidak boleh dipijak, tidak boleh
dijadikan bahan bungkusan, tidak boleh dibawa ke dalam tandas. ALLAH
adalah nama khas, Tuhan Maha Suci – Tuhan Maha Agung. ALLAH adalah
satu-satunya Tuhan berdasarkan Kalimah Syahadah yang dilafazkan:
“Bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH”;
29. Amatlah bahaya jika prinsip asas agama diredakan untuk
dijadikan bahan tolak ansur politik. Sesungguhnya insiden yang sedang
berlaku, merupakan ujian besar kepada umat Islam di bumi ini. Ujian
yang mungkin sengaja diturunkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala terhadap
umat Islam, menguji keikhlasan kepimpinan Islam di bumi ini; ujian ILAHI
terhadap ketegasan umat Islam keseluruhannya, di kalangan ummah, ulama,
barisan pemimpin, organisasi politik hatta Raja-Raja. Ia adalah ujian
terhadap ketegasan umat Islam untuk mempertahankan kalimah tauhid,
KEESAAN ILAHI, ALLAH yang “SATU” lagi berkuasa di atas segalanya, ALLAH
yang mengamanahkan kuasa di kalangan mereka yang telah ditentukan.
Dalam menghadapi cabaran besar ini, berpegang dan yakinlah kepada kalam
ALLAH mengikut yang terkandung dalam ayat 26 Surah Al Imran yang bermaksud:-
Petikan:
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa
pemerinthan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa
yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan
dari sesiapa yang Engkau kehendaki; Engkaulah juga yang memuliakan
sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang
Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala
kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu[34]”
30. BERPEGANGLAH kepada kebesaran ILAHI, dengan bersendikan
keteguhan iman, untuk berani menegakkan yang hak, menentang perlakuan
mungkar. Yakinlah bahawa kuasa itu adalah amanah ALLAH, datangnya dari
ALLAH, dan ALLAH akan memberi berkat, memberi petunjuk, memberi
perlindungan dan memberi kemenangan kepada mereka yang memiliki kekuatan
untuk mempertahankan kesucian kalam tauhid. Hanya sanya kerana
politik, umat Islam jangan sampai hilang pedoman untuk tidak menghalang
sesiapa sahaja “mengALLAHkan” apa sahaja yang mereka anggap tuhan. Satu keredaan yang membuka jendela kepada proses yang berpotensi menyimpangkan aqidah.
31. Sudah terlalu lama umat Islam di bumi ini, berfikiran
selesa dengan status bangsa, status agama dan status sejarah. Sudah
terlalu lama umat Islam berfikiran selesa sebagai pewaris kepada tanah
air pusaka bangsa. Sudah terlalu lama umat Islam berpendirian selesa
sebagai penduduk majoriti di sebuah negara merdeka, sudah terlalu lama
umat Islam bersandarkan keselesaan kepada tiang politik yang disifatkan
kukuh. Keselesaan umat Islam telah mengulitkan mereka leka tidur di
siang hari bermimpikan bahagia. Hari ini segala-galanya telah berlalu.
Tanpa sesuatu langkah strategik – langkah berani, umat Islam
dibimbangkan sedang menghitung hari, berada di ambang untuk menghadapi
nasib bermusafir kelana di rumah sendiri. Ada kalanya umat Islam yang
berani bersuara tentang bangsanya dan umat Islam yang berpendirian tegas
untuk mempertahankan kesucian agamanya, dianggap melakukan dosa kepada
negara-bangsanya.
32. Ummah mengimpikan pencapaian ekonomi yang lebih baik,
profesion pekerjaan yang lebih baik, taraf hidup yang lebih baik, urus
tadbir negara yang lebih baik. Ummah mengimpikan pemerintahan adil lagi
saksama; pemerintahan yang berlandaskan undang-undang yang tidak
dilaksanakan secara diskriminasi, melalui badan kehakiman yang
berintegriti; pemerintahan yang menghormati kesaksamaan gender, keadilan
sosial, menyediakan kemudahan pendidikan yang dapat membangunkan
potensi insan. Ummah mengimpikan negara yang bebas dari kekacauan dan
persengketaan; negara yang mengagihkan kemakmuran secara saksama.
Sesungguhnya masih ada jurang di antara menggapai harapan dengan
realiti, lalu mencetuskan pelbagai reaksi – pelbagai kebimbangan –
pelbagai keresahan.
33. Raja-Raja Melayu sejak zaman berzaman memiliki sifat
prihatin terhadap kelangsungan bangsa dan kesucian agama, dua perkara
yang begitu dekat di hati Raja-Raja Melayu. Rekod-rekod perundingan
membuktikan, semasa era pentadbiran Inggeris, Raja-Raja Melayu
senantiasa mengingatkan Inggeris untuk memastikan berlakunya
perimbangan terhadap peribumi dalam program yang diperkenalkan oleh
Inggeris baik dari segi pendidikan, pertahanan, pekerjaan, penghijrahan,
pembukaan tanah dan pelbagai perkara lagi.
34. Raja-Raja Melayu sangat prihatin terhadap masalah
perpaduan ummah di hari ini. Ummah kelihatan berada dalam babak yang
begitu taksub untuk menang ‘sorak’ tanpa memikirkan kampung
lamannya mungkin tergadai. Raja-Raja sedang memerhatikan pendirian
taksub kepimpinan politik di kalangan ummah, memilih untuk berpatah
arang berkerat rotan, bergembira melihat yang kalah menjadi abu dan
berpuas hati walaupun yang menang akan menjadi puntung-puntung arang;
pimpinan politik di kalangan umat Islam hari ini tidak lagi menghayati
semangat biduk berlalu kiambang bertaut.
35. Dalam suasana pimpinan poltik di kalangan umat Islam tidak
lagi mahu bersepakat, umat Islam perlu mempunyai platform penyatuan
yang kukuh – platform penyatuan yang bebas dari politik berparti.
MAJLIS di bawah payung naungan Raja-Raja perlu berada di barisan hadapan
memenuhi peranan kritikal ini. Roh Islam wajib dikembalikan. Islam
itu adalah sumber kekuatan perpaduan yang amat hebat. Islam berperanan
sebagai penentu identiti, sebagai peta spiritual di dalam hidup,
memberikan panduan dan makna, tujuan dan harapan, serta berperanan
sebagai faktor tersangat penting untuk membina perpaduan. Dalam konteks
negara ini, Islam memberikan identiti ummah dan identiti negara. Islam
adalah benteng pertahanan kekuatan ummah, benteng pertahanan yang gagal
ditembusi oleh setiap kuasa yang pernah melakukan penjajahan politik,
penjajahan budaya, penjajahan ekonomi di bumi ini.
36. Islam tidak wajar dilihat melalui lensa politik, kerana
lensa politik boleh berubah. MAJLIS AGAMA ISLAM (MAJLIS) adalah
institusi bukan politik, institusi yang bertanggung jawab secara
langsung kepada Raja-Raja sebagai Ketua Agama Negeri. MAJLIS AGAMA
ISLAM diwujudkan melalui Undang-undang Tubuh Negeri sebagai Pihak
Berkuasa Utama Negeri mengenai hal ehwal Islam selepas Raja Pemerintah.
Institusi ini hendaklah berstatus bebas sebebasnya dari pengaruh dan
campur tangan politik berparti; dan Raja pada setiap masa wajib
memastikan takhta kekal di atas politik kepartian.
37. MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI berada dalam kedudukan yang
boleh memenuhi dua peranan secara bijaksana untuk memastikan
kelangsungan Islam dan survival umat Islam di negara ini.
Dalam perkara-perkara yang tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan
dan dalam perkara-perkara yang tidak menderhaka kepada Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu, ‘MAJLIS’
wajiblah memenuhi peranan pelengkap, bekerjasama erat dengan Kerajaan
yang dipilih secara demokratik; tetapi dalam apa juga usaha yang
bercanggah dengan semangat asal Perlembagaan dan berunsur menderhakai Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu, ‘MAJLIS’
wajib secara tegas – secara lantang, berpegang kepada prinsip, menolak
serta menentang; serta segera menyembahkan kepada perhatian Raja-Raja
cadangan-cadangan alternatif demi mempertahankan syiar Islam – demi
menjamin ummah tidak berakhir dengan nasib berdagang di bumi sendiri.
38. Peranan MAJLIS kini semakin kritikal dan masa tidak
memihak kepada umat Islam kerana kekayaan ekonomi dan kekayaan intelek
masih belum memihak kepadanya. MAJLIS AGAMA ISLAM wajib keluar dari
kepompong pendekatan yang usang dan berani mencabar tradisi yang jumud.
Dalam mendukung tanggung jawab besar terhadap ummah, ‘MAJLIS’ perlu
melakukan perekayasaan, membawa minda keluar dari sangkar kurungan
ciptaan Inggeris, mencelikkan pandangan untuk berupaya merangka
rancangan dan tindakan yang lebih substantif.
39.
Hassan Al Bana dalam
Usul Ishrin menggariskan
Islam ialah sistem yang syumul merangkumi seluruh aspek hidup, Islam
adalah negara dan watan, pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan,
rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang, ilmu dan kehakiman;
Islam merangkumi material dan harta benda, usaha dan kekayaan, jihad dan
dakwah, tentera dan fikrah, akidah yang benar dan ibadat yang sah.
[35]
Insan yang menerima Islam sebagai pegangan agamanya, memiliki ikatan
dan komitmen yang mendalam kepada Tuhan Maha Pencipta. Islam adalah
Addin, satu
cara hidup yang lengkap dan berkesinambungan, mengaitkan kehidupan di
alam dunia dan di alam akhirat, perlu dibincangkan secara berintegrasi
tanpa memisahkan komponen duniawi dengan komponen ukhrawi. ‘MAJLIS’
wajib menghayati tafsiran sedemikian dalam hasrat melakukan transformasi
peranan, transformasi agenda dan transformasi pendekatan.
40. Justeru itu, peranan MAJLIS harus diluaskan, dimerdekakan
dari minda lama yang dengan sengaja disempitkan oleh Inggeris. Peranan
MAJLIS hendaklah ditakrifkan secara bijak, disuntik dengan tenaga
pemikiran dan tenaga pelaksana berwibawa untuk menghasilkan idea bernas
dan program dinamik. Selagi tindak tanduk MAJLIS tidak bercanggah
dengan semangat Perlembagaan, Negara hendaklah mengiktiraf MAJLIS
sebagai institusi strategik, berpotensi menyempurnakan tanggung jawab
fardu kifayah, berperanan sebagai benteng terakhir dan terpenting untuk
menjamin kelangsungan Islam dansurvival ummah walau apa pun senario politik yang berlaku di dalam negara.
41. MAJLIS perlu menimbangkan empat platform untuk diberikan
fokus utama untuk berperanan lebih berkesan dalam membela nasib ummah.
Pertama: menyemak dan menghalusi dasar-dasar negara dan pelaksanaan
dasar agar tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan dan tidak
bertentangan dengan wasiat Raja-Raja Melayu.
Kedua: mengenal pasti, memantau, membantu dan memperlengkap
usaha-usaha Negara untuk membangunkan taraf ekonomi, taraf pendidikan
dan taraf sosioekonomi ummah.
Ketiga: menerokai usaha untuk membangunkan modal insan dan modal
sosial di kalangan ummah agar tidak tercicir dan ketinggalan dengan
menyuntik perisian dan komponen latihan yang lebih relevan dengan
keperluan guna tenaga semasa dalam institusi-institusi pendidikan agama
di semua peringkat terutama di luar bandar.
Keempat: memaksimumkan kegunaan infrastruktur agama Islam yang sedia
ada seperti masjid dan surau, dipelbagaikan aktiviti dan dibangunkan
sebagai pusat pembangunan kecemerlangan ummah.
42. Kongres Ekonomi Bumiputera Ketiga yang dianjurkan dalam
tahun 1992, dan Kongres Ekonomi Bumiputera Keempat yang berlangsung
dalam tahun 1999, begitu juga Kongres Ekonomi Islam Ketiga pada tahun
2009, merumuskan resolusi khusus mengenai peranan masjid. Ditegaskan
pentingnya masjid berperanan lebih aktif, sebagai pusat pembangunan
ekonomi, perkembangan ilmu dan pembangunan sosiobudaya. Beta juga
sering kali menzahirkan saranan supaya peranan masjid diperluaskan
sebagai pusat pembangunan ilmu, pembangunan budaya dan pembangunan
ekonomi. Banyak masa terlibat dalam urusan merancang pembinaan sesebuah
masjid, banyak sumber digunakan untuk membina sesebuah masjid. Sebaik
sampai ke Medinah, Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam tidak sekadar membina masjid, tetapi membangunkan masjid.
Baginda lebih mengutamakan komponen perisian untuk memakmurkan masjid.
Falsafah di sebalik pembinaan masjid harus diselami, supaya belanja
besar membina bangunan tersergam, dilengkapi pendingin udara,
dihamparkan permaidani tebal, dikilau cahaya chandelier, tidak
menjadi monumen sepi, sekadar dimakmurkan seminggu sekali di hari
Jumaat, tiga puluh malam setahun di bulan Ramadhan, dua pagi setahun di
pagi Aidilfitri dan Aidiladha. Selebihnya, ia tinggal dalam isolasi
sebagai bangunan sepi lagi sunyi. Banyak masa, banyak usaha, banyak
belanja, banyak sumber digunakan di bumi ini untuk membina masjid tetapi
sedikit sekali usaha dilakukan untuk membangun dan memakmurkan masjid.
43. Kongres Ekonomi Islam Ketiga berlangsung di Dewan Merdeka
ini pada 12 hingga 15 Januari 2009. Ramai pemikir dalam bidang ekonomi
Islam membentangkan pelbagai fakta, huraian, pandangan dan cadangan.
Status pencapaian ekonomi umat Islam dibentangkan, ketidakcapaian
matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) dihuraikan, merangkumi tanggapan-tanggapan negatif terhadap DEB, terutama
dari aspek penyelewengan dan ketirisan yang dilakukan oleh ummah yang
mengutamakan kepentingan peribadi dan tergamak mengorbankan kepentingan
ummah. Kongres menyedari pentingnya disedarkan ummah tentang cabaran
sistem ekonomi persaingan yang dinamik lagi didorong oleh faktor
pasaran.
44. Salah satu kertas yang dibentangkan dalam Kongres Ekonomi
Islam Ketiga, melaporkan bahawa, dalam tahun 1999, jumlah dana masjid
yang terkumpul dianggar berjumlah tiga ratus juta ringgit tetapi
disimpan beku dalam akaun pelaburan
[36],
mencerminkan keterbatasan pemikiran, keterbatasan pengetahuan,
keterbatasan pengalaman dan keterbatasan pendedahan di kalangan ummah
untuk mengupayakan mereka melaburkan dana terkumpul tersebut secara
lebih produktif yang dapat dimanfaatkan untuk pertumbuhan ekonomi.
45. Turut dipaparkan perkembangan data kutipan zakat di Malaysia,
meningkat dari 320.4 juta ringgit dalam tahun 2001 kepada 806.3 juta
ringgit dalam tahun 2007
[37];
peningkatan kutipan 150 peratus dalam tempoh enam tahun, meningkat pada
kadar purata 25 peratus setahun. Kutipan yang bertambah hendaklah
diperlengkap dengan program yang memberi impak untuk membangunkan status
ekonomi Islam.
Zakat hendaklah dilihat dari lensa ekonomi
yang lebih luas, dilakukan transformasi imej dan transformasi peranan,
diuruskan secara lebih produktif sebagai sumber kekuatan membangunkan
ekonomi ummah yang lebih bermakna hingga berupaya menjadi institusi
paling berjaya membanteras kemiskinan.
46. Data di Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Perdana
Menteri menunjukkan pada tahun 2006, terdapat hampir lapan puluh
sembilan ribu (89,000) ekar tanah wakaf di seluruh negara.
[38]
Sebahagian besar tanah tersebut tidak dapat dibangunkan secara
produktif. Dilaporkan terlalu banyak halangan dari segi syarat dan
hukum yang menyebabkan sumber ekonomi umat Islam ini terikat dan tidak
dapat dimajukan. Senario ini tentulah menuntut kepada keperluan untuk
para ulama dan umara di era ini melakukan
ijtihad.
Kertas-kertas yang dibentangkan dalam Kongres Ekonomi Islam Ketiga, di
samping melaporkan status ekonomi ummah, mengandungi banyak saranan
bernas; antaranya mengenai Yayasan Wakaf Tunai, Koperasi Islam yang
sangat berpotensi untuk digerakkan, Potensi Membangunkan Tanah Wakaf,
Pengukuhan Institusi Mal. Laporan lengkap Kongres setebal 875 halaman,
membuktikan ummah sebenarnya tidak ketandusan idea. Kelompangan berlaku
di peringkat melaksana, cabaran berlaku di peringkat membawa keluar
pemikiran sebahagian ummah untuk bersedia dan berani melakukan tafsiran
yang lebih relevan dengan suasana ekonomi, suasana politik dan suasana
sosial di era globalisasi. Telah dua tahun sembilan bulan Kongres
Ekonomi Islam Ketiga berlalu, sejauh manakah tindakan yang telah
disusul? Institusi manakah yang telah mengambil tanggung jawab susulan
secara serius? Hari ini umat Islam sekali lagi berkongres di Dewan
Merdeka ini.
47. Sistem ekonomi Islam diturunkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala kepada umat manusia melalui wahyu
[39] . Ia adalah sebahagian dari ajaran Islam kerana itu segala hukum dan peraturannya adalah berasaskan
Al-Quran, Al-Sunah, Al-Ijmak dan Al-Qias[40].
Kerana itu tindakan umat Islam dalam usaha melakukan pelbagai kegiatan
ekonomi dikira ibadah dengan bermatlamatkan keikhlasan kerana ALLAH
Subhanahu Wata’ala.
48. ‘MAJLIS’ sebenarnya menghadapi cabaran besar, cukup untuk
mencetuskan perasaan keterujaan. Cabaran besar memerlukan institusi
yang berwibawa untuk menghadapinya. Jika MAJLIS bersungguh mahu
menghadapi cabaran besar ini, dan jika Negara ikhlas mahu melihat MAJLIS
bertenaga dan berupaya melaksanakan tanggung jawab besar ini secara
berkesan dengan memberi impak yang signifikan, maka MAJLIS AGAMA ISLAM
NEGERI hendaklah dipertingkatkan keupayaan dan diperkasakan.
Langkah-langkah awal berikut perlu dirintis:
Pertama: Mengemaskinikan Enakmen MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI untuk
mempunyai bidang kuasa yang membolehkan MAJLIS berfungsi secara lebih
berkesan, memiliki autonomi dan akauntabel kepada ALLAH dan Raja.
Kedua: Memastikan MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI bebas dan bersih dari
sebarang pengaruh, campur tangan dan penglibatan politik kepartian serta
memastikan keanggotaan MAJLIS tidak disertai oleh individu yang aktif
dalam parti politik melainkan yang diperkenankan oleh Raja Pemerintah
dilantik atas jawatan bagi mewakili Pihak Berkuasa Negeri atau sesuatu
institusi yang penting kepada MAJLIS.
Ketiga: Melantik keanggotaan yang lebih representatif dengan bilangan
yang cukup dan dari kalangan yang memiliki pelbagai kepakaran untuk
menjadi tenaga penggerak berupaya melaksanakan aktiviti-aktiviti
ekonomi, perniagaan, perdagangan, pendidikan dalam hasrat membangunkan
taraf sosioekonomi umat Islam di samping melindungi kesucian Islam
Keempat: Menerokai kaedah dan pendekatan yang dapat memperkukuhkan kedudukan kewangan MAJLIS secara lestari.
Kelima: Menjadi pemegang amanah kepada institusi pendidikan, tabung kewangan, dan hartanah yang strategik untuk umat Islam.
Keenam: Memperkukuhkan sumber manusia pentadbiran Majlis secara
kuantiti dan kualiti dengan imbuhan setimpal yang dapat menarik modal
insan berkualiti tinggi.
49. MAJLIS hendaklah dirangka sebagai satu Dewan Pentadbiran
Islam di bawah naungan, pengawasan dan pemantauan Raja, bertanggung
jawab terhadap perkara berkaitan Islam. MAJLIS dapat berperanan sebagai
jambatan penghubung di antara umat Islam dengan Raja, di antara umat
Islam dengan Kerajaan pilihan rakyat dan di antara umat Islam dengan
warga yang tidak beragama Islam. Negara wajib melihat MAJLIS sebagai
rakan strategik yang boleh diberikan kepercayaan dan sokongan untuk
kepentingan jangka panjang ummah. MAJLIS tidak harus dibiarkan hidup
bagaikan musafir kelana bersendirian mengusahakan rezeki secara kais
pagi makan pagi, kais petang makan petang, terus berada dalam parameter
sempit yang telah digariskan oleh Inggeris pada satu masa dahulu.
Pembiayaan atau ‘endowment’ secara khusus wajib disediakan untuk
akhirnya membolehkan MAJLIS mencapai status yang tidak lagi perlu
membebankan negara.
50. Jabatan Agama Islam hendaklah memahami secara jelas akan
maksud dan keperluan penubuhannya. Ia ditubuhkan untuk berfungsi kepada
MAJLIS dan akauntabiliti Jabatan Agama Islam adalah berbeza dengan
jabatan-jabatan Kerajaan yang lain. Bahawa dari segi rohnya, penubuhan
Jabatan Agama Islam, adalah untuk melaksanakan dasar-dasar dan
perkara-perkara yang diputuskan oleh Majlis. Tanggung jawab Jabatan
Agama Islam adalah kepada MAJLIS dan kepada Raja. Untuk itu Majlis
Mesyuarat Kerajaan Negeri perlu menghormati batas sempadan dan bidang
kuasa yang terletak secara langsung di bawah budi bicara Raja, demi
mengelak dari berlakunya keadaan satu kapal dua nakhoda. Apa jua hasrat
Pihak Berkuasa Negeri menyentuh Islam dan Adat Melayu hendaklah
disampaikan melalui saluran MAJLIS atau dipersembahkan untuk
pertimbangan Raja Pemerintah.
51. Dalam urusan Agama Islam, Kuasa Raja Pemerintah berada di
tahap paling tinggi dan wajib dipertahankan. Ummah hendaklah mempunyai
fahaman dan melakukan tafsiran yang jelas bila merujuk kepada Raja
Pemerintah; bahawa yang didaulatkan adalah
Takhta Pemerintahan sebagai
satu institusi negara dan hendaklah disisihkan dengan sebarang perasaan
kurang selesa dengan mana-mana batang tubuh peribadi. Bahawa yang
dipertahankan itu, bukan sekadar batang tubuh peribadi seorang Raja
tetapi Kerajaan Baginda: kerana tanpa Kerajaan tidak akan wujud sebuah
negara, tanpa negara apalah ertinya suatu bangsa
[41] .
Jika takhta pemerintahan ditiadakan, akan hilanglah payung negara –
payung yang selama ini memberikan naungan kepada status Islam di negara
ini. Tanpa institusi Raja berperanan sebagai Institusi Ketua Agama
Islam, Islam akan berpecah kepada pelbagai puak – pelbagai kumpulan –
pelbagai kabilah; masing-masing di bawah pimpinan yang berasingan;
akibatnya kekuatan penyatuan usaha amar ma’ruf nahi mungkar akan
beransur-ansur lemah. Islam akan menjadi agama yang diamalkan secara
individu. Pada akhirnya Islam gugur dari tanggung jawab negara, tinggal
sebagai amalan rakyat yang masih cintakan agamanya; sedangkan yang tipis
fahaman agamanya, akan menjadi semakin liberal – semakin bebas, malah
ada di antara mereka akan sampai ke peringkat melakukan perkara-perkara
yang menodai kesucian Islam. Demikian nasib yang telah menimpa ummah di
negara-negara tertentu di Asia Tengah; negara yang di suatu masa dahulu
pernah menjadi pusat perkembangan tamadun Islam, melahirkan ramai ulama
dan cerdik pandai Islam, kini segala-galanya hanya menjadi bahan kajian
sejarah.
52. Agama Islam dan pegangan aqidah ummah wajib dipelihara dan
dilindungi sepanjang masa oleh Ketua Negara. Islam InsyaAllah kekal
menjadi identiti negara dan watan selagi kuasa dan tanggung jawab
terhadap Islam kekal di bawah bidang kuasa Raja-Raja. Secara tersurat,
sejarah mencatatkan bahawa dalam perjanjian dengan Inggeris, bermula
dengan Perjanjian Pangkor, Raja-Raja menyerahkan kuasa mentadbir negeri
kepada Inggeris dan Inggeris bersetuju mengekalkan Islam dan Adat Melayu
di bawah kuasa Raja. Tafsiran yang tersurat harus juga menyelami
kemungkinan-kemungkinan yang tersirat; bahawa dalam perkenan Raja
menyerahkan kuasa-kuasa lain, mungkin Raja sendiri sebenarnya ada
muslihat, berasaskan nasihat para ulama, berpandukan petunjuk dari
ILAHI, telah tidak sama sekali memperkenankan urusan Islam dan Adat
Melayu disentuh, satu pendirian berwawasan jauh Raja-Raja ketika itu,
yang telah menyelamatkan agama dan ummah di bumi ini. Pernahkah
digambarkan keadaan di negara ini dan nasib ummah di hari ini, jika
Inggeris juga turut diberikan kuasa mentadbir urus agama dan adat.
Tentunya hari ini, status Islam tidak akan termaktub di dalam
Perlembagaan Negara; sementara umat Islam tidak memiliki kekebalan dari
diayah fahaman lain; membolehkan murtad begitu mudah berlaku di kalangan
ummah.
53. Betapa status Islam dan nasib malang yang bakal dihadapi
oleh ummah jika institusi Raja ditiadakan, dan kerajaan pilihan rakyat
yang berkuasa pada satu hari nanti, berpegang kepada doktrin
pemerintahan, bahawa agama adalah urusan individu – agama adalah di luar
bidang tanggung jawab negara. Akan berkelanalah ummah, Masjid Ubudiah,
(begitu juga masjid-masjid lain), mungkin bertukar menjadi muzium,
tempat para pelancong dimaklumkan bahawa di suatu masa dahulu, bangunan
yang begini cantik seni binanya ini, adalah tempat ‘pengikut ajaran Muhammad’ menunaikan
sembahyang. Barang dijauhkan ALLAH dari berlakunya senario menyayat
hati itu. Untuk itu kuasa Raja Melayu dalam urusan Agama Islam dan
Institusi Islam sangat perlu dipertahan dan diperkukuhkan, demi
memastikan Islam terus kekal menjadi identiti Negara. Senario yang
berlaku di serata dunia menunjukkan hanya negara yang masih memiliki
sistem pemerintahan beraja yang dapat meletakkan Islam sebagai agama
rasmi Negara. Dalam hasrat membina kekuatan ummah dan jati diri bangsa
dan dalam hasrat memastikan kelangsungan ummah, kuasa-kuasa prerogatif
yang kekal diperuntukkan kepada Raja-Raja wajib dirujuk secara
bijaksana.
Ya ALLAH, Ya AZIM, Ya AZIZ, Ya MALIK, YA WAHID, TUHAN yang MAHA BERKUASA lagi MAHA MENGETAHUI
54. Kepada Mu jua hamba-Mu memohon agar ISLAM kekal menjadi
identiti negara – identiti watan; identiti ummah – identiti bangsa.
Kepada Mu juga hamba-Mu ini memohon agar melimpahkan kekuatan dan
kegagahan, keberanian dan ketegasan di kalangan mereka yang telah Engkau
angkatkan darjat menjadi khalifah, di kalangan mereka yang telah Engkau
amanahkan dengan tanggung jawab sebagai ulama dan umara di bumi ini.
Hamba-Mu amat insaf akan Firman Mu yang terkandung dalam ayat 72 Surah Al-Ahzaab; bermaksud:
Petikan:
“ Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggung jawab amanah (Kami)
kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya) maka
mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya
(kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada
ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup
memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah
suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang
tidak patut dikerjakan[42]”
Kepada Mu jua YA ALLAH
55. Limpahkanlah segala nur dan petunjuk kepada Raja-Raja
kami, demikian juga kepada para ulama dan umara kami, untuk bersatu
niat – bersatu usaha; bersatu hati – bersatu jiwa, sama-sama berjaya
membentuk sebuah negara yang sejahtera dan mendapat keampunan Mu –
‘BALDATUN TAYYIBATUN WA RABBUN GHAFUR’[43] seperti mana yang Engkau gambarkan dalam ayat 15
SURAH SABA. Limpahkanlah segala ihsan Mu kepada Raja-Raja kami yang mendukung tanggung jawab berat selaku
Amirul Mukminin seperti
yang terkandung dalam lafaz ikrar sumpah jawatan untuk memelihara Islam
– untuk menyempurnakan pemerintahan secara adil dan aman. Hamba-Mu
amat insaf betapa amanah dan tanggung jawab tersebut akan dinilai di
hari kebangkitan seperti peringatan Mu yang terkandung dalam ayat 9,
Surah Al Imran bermaksud:
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan
sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari
kiamat) yang tidak ada keraguan padanya, Sesungguhnya ALLAH tidak
memungkiri janji Nya[44]”
Mohon kami YA ALLAH mendapat rahmat bimbingan dan pengampunan dari Mu jua. Amin, Ya Rabul Alamin.
56. Adat Melayu menetapkan tugas Raja di junjung, kerja
sendiri dikendong. Dalam semangat adat Melayu itu, sekadar ini yang
dapat Patik menjunjung titah menyempurnakan hasrat Duli-Duli Tuanku
Raja-Raja Melayu untuk Patik menyampaikan amanat di Kongres ini. Dalam
kapasiti patik selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu
Perak, patik merafak sembah penuh taat – penuh setia kepada Duli-Duli
Tuanku, dan dengan limpah rahmat dari ILAHI juga, serta daulat dan
perkenan Duli-Duli Tuanku, Patik dan ahli-ahli MAJLIS AGAMA ISLAM DAN
ADAT MELAYU PERAK akan setiap masa, berazam mempertahankan kesinambungan
tradisi negara beraja – rakyat bersultan, agar kekal subur sepanjang
masa dan akan pada setiap waktu menjunjung titah hasrat Duli-Duli Tuanku
selaku payung agama dan payung negara.
Semoga Duli-Duli Tuanku Selamat Bertakhta.
DAULAT TUANKU,
ALLAH HU AKBAR! ALLAH HU AKBAR! ALLAH HU AKBAR.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
[1] Al-Quran –Saba – 34:1
[2] Sumpah Jawatan Yang Dipertuan Agong, Perkara 37, Jadual Keempat, Bahagian 1, Perlembagaan Persekutuan.
[3] Mahayuddin
Haji Yahya, Penyebaran Islam Di Tanah Melayu Sebelum Lahirnya Kerajaan
Melayu Melaka: Sejarah Dan Implikasinya dalam Polemik Sejarah Malaysia –
Jilid 1, (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia 2008) 31
[4] Encyclopedia of Islam, 1218
[5] Abdul
Monir b. Yaacob, Undang-undang Islam Dalam Hukum Kanun Melaka Dalam
Polemik Sejarah Malaysia-Jilid 1. (Kuala Lumpur: Arkib NegaraMalaysia,
2008), 319
[6] Abu
Bakar Abdullah, Ke Arah Perlaksanaan Undang-Undang Islam di Malaysia:
Masalah Dan Penyelesaiannya, (Kuala Terengganu: Pustaka Damai, 1986) 8.
[7] Abdullah Alwi Hassan, “Perkembangan Institusi Pentadbiran Islam Di Malaysia”.
[8] A.
Aziz Deraman, Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia: Suatu Analisis
Perkembangan Kebudayaan I Malaysia, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 2003) 109.
[9] Ibid 105.
[10] Ibid.
[11] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, 19.
[12] Ibid 22
[13] Ibid 20.
[14] Abdullah
Alwi Hassan, “Perkembangan Institusi Pentadbiran Islam di
Malaysia”, Konvensyen Kebangsaan Sejarah Malaysia, (Jabatan Sejarah,
Universiti Malaya: 16-18 Ogos 1994), 1.
[15] Muhammad
Yussoff b. Hashim, Kesultanan Melaka dan Budaya Politik dalam Polemik
Sejarah Malaysia Jilid 1, (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 2008)
192.
[16] T.
Arnold, The Caliphate, (Karachi: Oxford University Press, 1965), 50;
S,N.H. Naqvi, Ethicsand Economy: An Islamic Approach, (Leicester:
Islamic Foundation, 1981) 45-47.
[17] Mahamad Naser bin Desa, “Kekebalan Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan”, Wacana Ilmiah, ILIM 2009, 1
[18] Ibid.
[19] Abdullah Alwi Hassan, opcit, 19.
[20] R.J.
Wilkinson, Notes on Perak, History: Papers on Malay Subjects, History
Pt. II, (Kuala Lumpur: F.M.S. Govt. Press, 1924) 69-71; E. Sadka, “The
Journal of Sir Hugh Low, Perak. 1887”, JMBRAS, Vol. XXVII, Pt. 4, No.
168 (1954), 107-108. dlm Abdullah Alwi Hassan., 19.
[21] R.J. Wilkinson, opcit, 72, dalam Abdullah Alwi Hassan, 19.
[22] Perak
State Council Minutes, 1877-82, dicetak di dalam R.J. Wilkinson, Papers
on Malay Subjects, Ser 1, History Pts 3 and 4, (1907-1909), Passim;
Perak Annual Report, 1932, 3. dalam Abdullah Alwi Hassan, 20.
[23] Ibid.
[24] (1927) 6, FMSLR 128, dipetik dari Mahamad Naser bin Desa.
[25] Ahmad Ibrahim: The Position of Islam in The constitution of Malaysia, 213
[26] Perkara 11(4), 12 (2), 121 (1A), Senarai 2-Senarai Negeri – Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
[27] Abdul Kadir bin Sulaiman, Ucaptama: “Kedudukan Islam Sebagai Agama Bagi Persekutuan Dalam Perlembagaan Persekutuan”, 4.
[28] (1981) 1 MLJ 29
[29] Mahamad Naser bin Disa, opcit, 6.
[30] (2000) 1 CLJ 393
[31] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, 62.
[32] Rodney
Wilson, “The Development of Islamic Economics: Theory & Practice,
in Islamic Thought In The Twentieth Century, ed Suha Taji-Farouki and
Basheer M. Nafi (London: I.B. Tauris, 2004) 199.
[33] Raja
Nazrin Shah, “Titah Sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar”
anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam, 30 Ogos 2010.
[34] Al-Quran, 3:26.
[35] Abdurrahman Haqqi, ‘Lima surah sedia panduan bernegara’, Berita Minggu, 9 Ogos 2009, 32.
[36] Fidlihan
Muhammad, Mohd. Yahya Mohd. Hussin, Nurul Fadly Habidin, Mad Ithnin
Salleh, Salwa Amirah Awang, “Pendidikan Pelaburan Dana Masjid: Keperluan
Memperkasa Ekonomi Ummah Islam”, Kongres Ekonomi Islam Ketiga, 12-15
Januari 2009, 701.
[37] Ibid
[38] Hasnol
Zam Zam Ahmad, “Cabaran Dalam Mempertingkatkan Potensi Pembangunan
Tanah Wakaf”, Kongres Ekonomi Islam Ketiga, 12-15 Januari 2009, 661.
[39] Zainal
Abidin Hashim, ‘Memperkasakan Ekonomi Ummah Melalui Koperasi Islam:
Satu Tinjauan Strategik”, Kongres Ekonomi Islam Ketiga, 12-15 Januari
2009, 749.
[40] Ibid.
[41] Zurinah
Hassan, petikan dari “Puisi Korban Hang Tuah”, Pujangga Tidak
Bernama, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994), 45.
[42] Al-Quran, 33:72.
[43] Al-Quran, 34:15.