"Dialog Sunnah Syi`ah" adalah jodol bagi terjemahan buku "al-Muraja`at" yang ditulis oleh tokoh ajaran sesat Syiah Imamiyyah Abdul Husain Syarafuddin al-Musawi. Pengarang buku tersebut mendakwa bahawa kandungan buku tersebut adalah hasil diskusinya melalui surat menyurat dengan Syaikh Salim al-Bisyri rahimahullah pemangku Syaikhul Azhar ketika itu. Namun setelah diselidiki ternyata bahawa isi kandungan buku tersebut adalah dusta semata-mata. Tiada sebarang bukti pun yang menunjukkan bahawa dialog atau diskusi atau perutusan surat-menyurat pernah berlaku di antara Abdul Husain al-Musawi al-Kazzab dengan Syaikh Salim al-Bisyri. Keluarga Syaikh Salim al-Bisyri turut menafikan berlakunya dialog atau diskusi atau perutusan surat menyurat tersebut, bahkan anakanda beliau menyatakan bahawa almarhum ayahandanya tersebut tidak pernah mengenali manusia yang bernama `Abdul Husain Syarafuddin al-Musawi tersebut.
Jika kita membaca "Dialog" khayalan tersebut, maka watak "Syaikh Salim" digambarkan sebagai seorang penuntut yang bertanya kepada gurunya, watak hero yang dipegang oleh `Abdul Husain al-Musawi al-Kazzab, dan kemudian hanya mendengar jawapan sang guru tentang kebenaran ajaran Syiah. Sebenarnya selain untuk menegakkan benang basah ajaran sesat pegangan mereka, "dialog" tersebut juga bertindak untuk memperbodoh-bodohkan para ulama Azhar. Kita tidak perlu berilmu yang tinggi, untuk mencium bau busuk pendustaan dalam karya tersebut.... Allahu ... Allah, masakan ulama sebesar Syaikh Salim dapat diperbodoh-bodohkan oleh Abdul Husain al-Musawi untuk menerima bulat-bulat hujah-hujah yang dia kemukakan itu. Jika dikatakan bahawa dialog tersebut benar, maka kenapa Syaikh Salim al-Bisyri tidak menjadi penganut Syiah setelah berpuas hati dengan usul dan furuk Syiah sebagaimana dijelaskan oleh al-Musawi ? Makanya, buku tersebut hanya dicetak dan diedarkan
kira-kira 25 tahun setelah wafatnya Syaikh Salim al-Bisyri rahimahullah.
Jika saja diskusi sebagaimana dakwaan buku tersebut benar-benar
terjadi, kenapa Abdul Husain al-Musawi tidak mengedarkannya sewaktu
hayat Syaikh Salim ? Kenapa harus menunggu setelah Syaikh Salim tiada, baru Abdul Husain al-Musawi berani berkokok. Para ulama yang meneliti dan mengkaji buku tersebut telah membuktikan bahawa dakwaan "dialog" tersebut hanyalah pembohongan atas nama Syaikh Salim al-Bisyri. Di antara yang menulis mengenai pembohongan ini adalah Prof. Dr. Ali Ahmad al-Salus dengan buku beliau yang berjodol "al-Muraja`at al-Muftarah `ala Syaikh al-Azhar al-Bisyri: al-Firyah al-Kubra" - Diskusi Dusta atas nama Syaikhul Azhar al-Bisyri: Satu Pembohongan Besar; Syaikh `Abdullah al-Ghamidi menulis "al-Siyaath al-Laadzi`aat fi Kasyfi Kidzb wa Tadlis Shohib al-Muraja`at" - Cemeti yang memedihkan dalam menyingkap pendustaan dan pembohongan penulis buku al-Muraja`at; dan Syaikh Mahmud az-Za'bi dengan karya beliau "al-Bayyinaat fi al-radd `ala Abatil al-Muraja`at" - Bukti - bukti bagi menolak kebatilan buku al-Muraja`at.
Amalan berbohong dan berdusta telah menjadi darah daging dan amalan biasa puak Syiah. Imam asy-Syafi`i RA pernah menyatakan bahawa: "Tidak pernah aku melihat golongan yang menurut hawa nafsu yang lebih pembohong daripada golongan Rafidhah (Syiah yang membenci para sahabat terutama sekali Sayyidina Abu Bakar RA dan Sayyidina `Umar RA, maka Syiah Imamiyyah pun termasuk dalam golongan Rafidhah, bahkan merekalah Rafidhah)". Jangankan berdusta atas nama Syaikh Salim al-Bisyri, berdusta atas nama para Imam yang kononnya mereka sanjungi pun Syiah sanggup. Oleh itu, berhati-hatilah dengan segala khabar dan penjelasan yang disampaikan oleh puak Syiah. Ketahuilah wahai saudara sekalian, ajaran Syiah itu benar-benar sesat lagi menyesatkan bahkan menjurus kepada kekafiran. Mudah-mudahan Allah memelihara kita dan anak keturunan kita serta segala saudara kita, sekalian kaum Muslimin, daripada kesesatan ini.