Rabu, Februari 25, 2015

Faidhul Qadiir : Khatam Tahlil

Sambungan kepada entri sebelumnya, ese nukilkan satu lagi kisah berkaitan tahlil fida` atau khatam tahlil ini. Tapi sebelum itu, ese sukacita khabarkan bahawa dalam sesetengah kitab fiqh kita yang mu'tabar seperti "Hasyiah Tuhfah Ibnu Hajar rahimahullah", tahlil sekhatam 70,000 ini dikenali sebagai "al-`ataaqatush shughra" untuk membezakannya dengan "al-`ataaqatul kubra" iaitu pembacaan surah al-Ikhlash sebanyak 100,000 kali. 

Berbalik kepada tahlil fida`, kisah kali ini ese nukil dari kitab yang masyhur karangan ulama ternama, sebut saja pasti kome sekalian kenal, kalau kome mengaji le, kalau idak, dak kenal jugok..... maaf cakap. Ulama tersohor ini adalah al-Imam al-`Allaamah Muhammad `Abdur Rauf al-Munawi rahimahullah, murid Imam asy-Sya'raani rahimahullah. Dalam karya beliau, "Faidhul Qadiir". juzuk ke-6, halaman 233, beliau rahimahullah mencatat satu faedah seperti berikut (dengan terjemahan bebas):-
Ibnu `Arabi berkata: " Aku berwasiat kepadamu agar memberi perhatian untuk membeli dirimu daripada Allah dengan membebaskan batang lehermu dari api neraka dengan engkau ucapkan لا اله الا الله sebanyak 70,000 kali. Bahawasanya Allah memerdekakan dirimu atau diri orang yang engkau bacakan kalimah tersebut baginya dari api neraka. Telah warid mengenai kelebihan kalimah thayyibah ini daripada perkhabaran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. 
Abul `Abbas al-Qasthalaani telah memberitahuku di Mesir bahawa al-`Arif Abu Rabi' al-Maliqi suatu ketika menghadiri jamuan makan di mana telah disebut mengenai zikir ini. Turut serta dalam jamuan tersebut seorang kanak-kanak daripada ahli kasyaf. Tatkala dia menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan, dia menangis lalu dikatakan kepadanya : "Kenapa dengan kamu?" Dia menjawab: "Aku melihat neraka jahannam dan ibuku di dalamnya." Maka al-Maliqi berkata dalam hatinya: "Ya Allah, sesungguhnya aku menjadikan tahlil ini sebagai permerdekaan ibunya dari neraka." Kanak - kanak itu pun lalu tertawa dan berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah mengeluarkan ibuku darinya dan aku tidak mengetahui apa sebabnya." Berkata al-Maliqi: "Nyatalah bagiku akan kebenaran hadis tersebut." Ibnu `Arabi berkata: " Telah aku amalkan amalan sedemikian dan telah aku lihat keberkatannya."
Demikianlah kisah yang dinukilkan oleh Imam al-Munawi rahimahullah, mudah - mudahan dapat kita ambil faedah daripadanya. Semoga berfaedah untuk mempertingkatkan lagi kesungguhan kita dalam beramal mencari keredhaan Allah subhanahu wa ta`ala dan keselamatan di akhirat nanti. Di dunia inilah tempatnya kita membanyakkan amal ibadat, manakala akhirat pula adalah tempat kita menuai hasilnya. Tapi ingat bahawa sebanyak mana pun amalan kita, apa yang penting adalah kabulnya amalan tersebut, yakni penerimaan Allah terhadap segala amalan tersebut. Memandangkan perkara kabul ini prerogative Allah semata-mata, maka dalam beramal hendaklah kita sentiasa berada dalam raja` (harap) dan khauf (takut), harap Allah menerima amalan kita dan takut sebaliknya. Oleh itu, tetaplah istiqamah atas beramal tetapi jangan sekali-kali beri'timad atau bersandar kepada amalan semata-mata. Hanya Allah ta`ala sahaja sandaran kita, segala amalan hanyalah wasilah dan wasitah untuk meraih rahmat dan keredhaanNya jua...... Allahu .... Allah.

Ahad, Februari 22, 2015

Tahlil 70,000 kali

Amalan bertahlil dengan ucapan لا اله الا الله sebanyak 70,000 kali telah lama jadi amalan sebahagian ulama kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Bahkan masyhur di kalangan kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang 70,000 kali tahlil ini disebut sebagai "Tahlil Sekhatam" atau "Tahlil Sejuzuk", yakni satu khatam bagi nisab tahlil. Para ulama kita menganjurkan amalan ini sebagai satu ikhtiar memohon kelepasan dari azab neraka yang sangat pedih itu. Sebahagian ulama menggelar amalan tahlil sekhatam ini sebagai "al-`ataaqah" yakni pembebasan atau permerdekaan, dengan harapan agar sesiapa yang melaksanakannya dibebaskan atau diberi kemerdekaan daripada api neraka. Ada juga yang menamakannya sebagai "Tahlil Fida`", yakni berzikir dengan lafaz tahlil dengan harapan untuk menebuskan diri dari api neraka, Allahumma ajirna minan naari saalimin. Di sini tak perlulah kita nak berbalah pasal bid`ah membid`ah, suka amal silakan, tak suka amal silakan ...... Aiman tak keesaah, aku pun tak keesssaaaaaahhh. Sendiri punya lubang kubur, sendiri tanggung, cuma sewaktu hidup inilah kita memperbanyakkan amal ibadah, buat bekalan kita di sana.

Habib Abu Bakar Al`aththas bin `Abdullah al-Habsyi rahimahullah dalam karya beliau "Tadzkirun Naas" pada halaman 375 menukilkan bahawa Imam Habib Ahmad bin Hasan al-Aththas rahimahullah, antara lainnya, berpesan:-
" ... Dan sesiapa yang luput baginya menuntut ilmu (yakni kerana  tiada peluang atau kerana ketidakmampuannya untuk berbuat sedemikian), maka janganlah luput baginya segala mihrab (yakni jangan pula dia menjadi lalai untuk memperbanyakkan amal - ibadah dengan melazimi segala masjid). Bahkan dia hendaklah menyibukkan dirinya dengan shalat dan dzikrullah dengan dia melakukan "al-`ataaqah" iaitu bertahlil 70,000 kali dengan niat memohon pembebasan bagi dirinya daripada api neraka. Dan dilakukannya juga dengan yang seumpamanya (yakni tahlil 70,000 kali tadi) dan dihadiahkannya kepada seseorang kaum kerabatnya."
Juga telah masyhur dalam kitab - kitab karangan para ulama yang muktabar tentang kisah keberkatan amalan ini. Syaikhul Hadits, Rai-sul Muhadditsin, Hadrat Maulana Muhammad Zakaria al-Kandhalawi rahimahullah dalam karya beliau "Fadilat Zikir" halaman 556 {himpunan "Fadilat 'Amal (Bahasa Melayu) Edisi Semakan Terkini 1434H} menukilkan kisah berikut:-
Syaikh Abu Yazid al-Qurtubi rahimahullahu ta`ala berkata," Saya dengar bahawa sesiapa yang membaca لا اله الا الله tujuh puluh ribu kali maka dia akan terselamat daripada api neraka. Setelah mendengar perkara tersebut maka saya telah membaca satu himpunan bacaan yakni tujuh puluh ribu kali untuk isteri saya dan beberapa himpunan bacaan untuk simpanan akhirat saya sendiri. Seorang anak muda tinggal berhampiran dengan kami. Dia masyhur sebagai seorang yang mempunyai kasyaf. Dikatakan syurga dan neraka juga dapat dilihatnya melalui kasyaf. Saya ragu-ragu mengenai kebenaran berita tersebut. Satu ketika pemuda itu bersama kami dalam (majlis) makan. Dengan tidak semena-mena pemuda itu menjerit dan nafasnya mulai tersekat-sekat serta berkata, "Ibuku sedang dibakar di dalam neraka, aku dapat melihat keadaannya."
     Kata Hadrat Qurtubi rahimahullahu ta`ala, "Aku melihat keadaannya yang sangat gelisah. Saya terfikir bahawa satu himpunan bacaan لا اله الا الله perlu dihadiahkan kepada ibunya. Dengan ini saya dapat mengetahui kebenaran perkara di atas. Maka saya telah menghadiahkan untuk ibunya satu himpunan iaitu tujuh puluh ribu zikir لا اله الا الله daripada simpananku secara diam-diam. Zikir yang saya baca itu sebenarnya tidak diketahui oleh sesiapa pun selain Allah subhanahu wa ta`ala.
          Lalu pemuda itu berkata, "Pak Cik, ibuku telah dihindarkan daripada azab neraka." Kata Hadrat Qurtubi rahimahullah, "Aku telah memperoleh dua faedah daripada peristiwa ini. Pertama, terbukti bagiku keberkatan daripada bacaan tujuh puluh ribu kali لا اله الا الله sebagaimana yang aku dengar (mengenai kelebihan kalimah tersebut). Kedua, aku meyakini kebenaran kata-kata pemuda itu."
          Peristiwa ini hanya satu daripada kisah - kisah yang kita tidak tahu berapa banyak lagi kisah seumpama itu berlaku dalam kalangan individu umat ini.
Oleh itu, tinggalkanlah perbalahan mengenai isu - isu yang diikhtilafkan oleh para ulama. Banyakkan beramal daripada berjidal. Ingat tidak ada seorang pun daripada kita ini melainkan sedang berjalan menuju kematian. Allahu ... Allah, mudah-mudahan dengan keberkatan kalimah thayyibah ini kita diselamatkan dari azab neraka yang pedih dan dahsyat.

Sedutan Ceramah Ustaz Hasnul hafizahullah tentang zikir 70,000


Khamis, Februari 19, 2015

Shalawat Imam asy-Syafi`i

Imam Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah dalam kitabnya yang masyhur, "Ihya` 'Ulumiddin", jilid 1, halaman 368, menukilkan kisah yang Syaikh Abul Hasan telah bermimpi berjumpa dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan beliau telah bertanya kepada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam mengenai ganjaran yang diberikan kepada Imam asy-Syafi`i radhiyaAllahu `anhu atas ungkapan shalawat beliau dalam kitabnya "ar-Risalah" yang berbunyi:

Maka Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Balasannya daripada aku adalah dia tidak perlu menghadapi hisab."

Allahu .... Allah, tetapi hendaklah kita faham bahawa semua kelebihan itu tertakluk kepada cukupnya sesuatu. Jika amalan yang wajib pun tak cukup macam mana nak kira lebih ? Janganlah apabila mengamalkan shalawat ini, maka kita pun perasan atau syok sendiri yang kita ni sama macam Imam asy-Syafi`i radhiyaAllahu `anhu. Walau bagaimana pun adalah harus bagi Allah untuk melakukan apa jua kehendakNya, maka sentiasalah kita mengharapkan rahmat dan kasih - sayangNya.

Selanjutnya, Shahibul Qamus, Syaikhul Islam Imam Majdudin Muhammad bin Ya'qub al-Fairuzabadi rahimahullah yang wafat tahun 817H turut menukilkan kisah yang serupa seperti di atas dengan komentar bahawa beliau meriwayatkan kisah tersebut dengan sanad yang shahih daripada Syaikh Abul Hasan asy-Syafi`i rahimahullah. Hal ini beliau catat dalam karya beliau yang berjodol: "ash-Shilaatu wal Bisyru fish Sholaati `ala Khairil Basyar", pada halaman 162.

Terdapat banyak kisah mengenai shalawat Imam Syafi`i ini. Selain daripada kisah ulama bermimpikan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan bertanya mengenai shalawat Imam asy-Syafi`i, maka ada juga riwayat yang menceritakan bagaimana ulama lain bermimpi berjumpa dengan Imam asy-Syafi`i dan bertanya mengenai hal keadaannya setelah wafat. Idola dan panutan Kaum Muda(h), Ibnu Qayyim al-Jawzi, turut menukilkan kisah mengenai shalawat Imam asy-Syafi`i ini. Dalam karyanya "al-Jalaa-ul Afham", pada halaman 242, dia meriwayatkan bahawa Syaikh `Abdullah bin al-Hakam rahimahullah telah bermimpi melihat Imam asy-Syafi`i radhiyaAllahu `anhu dan beliau bertanyakan kepadanya mengenai keadaannya setelah wafat. Imam asy-Syafi`i telah memaklumkan kepadanya bahawa beliau berada dalam kasih sayang Allah dan ampunanNya, bahkan beliau diarak ke syurga seperti perarakan pengantin. Semua ini beliau perolehi atas ucapan shalawat yang beliau tulis dalam kitabnya ar-Risalah, di mana shighahnya adalah sama yang dalam riwayat Imam Hujjatul Islam al-Ghazali tadi.

Kisah - kisah mimpi ini hanyalah sebagai motivasi sahaja untuk kita memperbanyakkan shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Hukum bershalawat tidak diistinbat daripada kisah - kisah mimpi, kerana ketentuan hukum bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, telah tsabit daripada nas al-Quran dan as-Sunnah. Dan tidaklah boleh dikatakan bahawa segala shighah tersebut adalah bid`ah kerana Imam asy-Syafi`i yang merupakan salah seorang pemuka salafus sholeh telah menulis shighah shalawat tersebut dalam karangan beliau yang masyhur "ar-Risalah" sewaktu beliau hidup berjalan atas muka bumi Allah ini lagi. Pasti Imam asy-Syafi`i, yang ilmu dan taqwanya tidak dipertikaikan, mujtahid mutlak lagi mujaddid, yang lidahnya Quraisy, lebih faham erti 'bid`ah" daripada seorang mufti recycle. Apa-apa pun kalau ada juga yang nak menyalahkan Imam asy-Syafi`i mengenai persoalan ini, gasaklah sebab hidayah itu milik Allah ta`ala. Namun ada baiknya jika dia pergi kedai, beli cermin dan tengok muka dulu sebelum nak tolak Bahrul `Ulum, Imam al-Muthallibi al-Qurasyi, Muhammad bin Idris asy-Syafi`i radhiyaAllahu `anhu. Semoga dengan banyak bershalawat kita mendapat rahmat dan kasih sayang Allah subhanahu wa ta`ala serta syafaat Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallama tasliman katsiran katsiran katsira.

Khamis, Februari 12, 2015

Belasungkawa

Allahu ... Allah, yang kekal hanya Allah subhanahu wa ta`ala. Kita semua ini adalah milikNya belaka dan kepadaNya kita kelak akan kembali. Hari ini kita berduka atas pemergian seorang tokoh yang telah lama mewarnai kehidupan beragama dan berpolitik rakyat Malaysia. Tuan Guru Datuk Nik Abdul `Aziz bin Nik Mat rahimahullah telah kembali menemui Pencipta kira-kira jam 9.40 malam Jumaat yang mulia ini. Mudah-mudahan Allah `azza wa jalla mengampuni segala dosa, salah dan silap beliau selama menjalani kehidupan di dunia ini serta menempatkan beliau di syurga Jannatun Na`im bersama para shalihin. .... al-Fatihah.

Jumaat, Februari 06, 2015

SS lah bukan IS

Dunia sekali lagi dikejutkan dengan tindakan ganas dan tidak berperikemanusiaan puak IS yang mengaku sebagai memperjuangkan "Islamic State". Namun nampaknya tindak - tanduk mereka amat menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar. Mereka ini bukanlah pejuang Islam tetapi pengganas yang bertopengkan Islam. Oleh itu, janganlah kita tertipu dengan apa yang mereka tegakkan itu walaupun mereka menamakannya sebagai "Islamic State", sungguh perjuangan mereka bukannya perjuangan menegakkan "Islamic State", tetapi perjuangan mereka adalah lebih tepat dinamakan sebagai "Satanic State (SS)" yang berpandukan kepada kesesatan dan hawa nafsu sehingga sanggup menumpahkan darah dengan sesuka hati seolah - olah nyawa anak Adam tidak bernilai lagi. Allahu .... Allah. 

Malangnya ramai yang termakan racun "ghazwatul fikri" yang ditanam oleh mereka dan musuh Islam. Tidakkah kita sedar bahawa penjenamaan perjuangan setan ini dengan nama "Islamic State" adalah satu upaya untuk mencemar nama baik Islam. Oleh itu, jika kita pun terikut-ikut melabelkan mereka sebagai "Islamic State", maka seolah-olah kita terpalit dengan cercaan kepada Islam, sedangkan apa yang mereka perjuangkan itu bukannya Islam. Dan kita juga perlu berfikir, "siapa sebenarnya dalang di sebalik permainan ini ? " Pasti ada dalangnya yang mungkin sedang bersembunyi di kerusi empuk dengan dana berbillion dollar dan remote control di tangan. Mungkinkah ini satu lagi rencana untuk memburuk-burukkan Islam, rencana yang disifatkan sebagai, meminjam tajuk buku Dr. Abdulhay Yahya Zalloum, "Painting Islam as the New Enemy". Dan akhirnya meminjam kata-kata motivator terkenal yang hari ni aku terlupa pulak namanya ......... fikir...fikirkan.................