Selasa, Jun 23, 2015

Ramadhaana atau Ramadhaani ???

Perkongsian kali ini adalah berkaitan dengan kalimah "Ramadhan" yang umumnya diketahui bahawa ianya adalah satu kalimah ghair munsharif dalam kaedah ilmu nahwu. Oleh itu, biasa kita lihat dalam buku-buku agama berbahasa Melayu hatta dalam "Perukunan Melayu" dalam lafaz niat puasa yang masyhur, kalimah "Ramadhaan" dibaca dengan baris fathah (atas) seumpama " Nawaitu shauma ghadin `an adaa-i fardhi syahri Ramadhaana hadzihis sanati lillahi ta`ala." Dari segi hukum fiqh, lafaz niat seperti ini, yakni dengan menggunakan kalimah "Ramadhaana hadzihis sanah", bukanlah sesuatu yang dianggap boleh mencederakan ibadah puasa. Apatah lagi ketentuan hukum mensyaratkan bahawa tempat niat itu adalah di hati dan bukannya di lidah, hanya sunat sahaja dilafazkan di lidah. Walau bagaimana pun, dari segi ilmu nahwu kalimah "Ramadhaan" dalam niat tersebut yang diberi baris atas adalah kurang tepat, kerana kalimah "Ramadhaan" walaupun ghair munsharif tetapi tatkala disandarkan (diidhafahkan) kepada kalimah selepasnya iaitu "hadzihis sanah" maka ianya menjadi majrur dengan menerima baris bawah (kasrah).

Perkara ini walaupun kurang signifikan dari segi ketentuan fiqh, namun para ulama fiqh telah mengambil berat untuk memjelaskannya dalam kitab - kitab mereka. Maka atas dasar itu juga, kita berkongsi di sini agar kaedah atau kaifiat niat yang tepat dapat diketahui dan diamal. Syaikh Nawawi al-Bantani rahimahullah dalam "Qutul Habib al-Gharib" pada halaman 111 menulis:-


"....( Dan niat puasanya yang paling sempurna adalah seseorang itu berkata: "Nawaitu shauma ghadin `an adaa-i fardhi Ramadhaani hadzihis sanati lillahi ta`ala,") dengan penuh keimanan dan keikhlasan dan lafaz "Ramadhaan" dalam kaifiat ini dengan baris bawah (majrur) sebab idhafah. Dan memadai untuk dia mengucapkan : "Nawaitu shauma Ramadhana".

Juga dinyatakan dalam "Fathul Mu`in" karya Syaikh Zainuddin al-Ma'bari @ al-Malibari `alaihi rahmatul Bari sebagai berikut:-


 " (Dan yang paling sempurna baginya) iaitu bagi niat : ("Nawaitu shauma ghadin `an adaa-i fardhi Ramadhaani") dengan jar (baris bawah) kerana diidhafahkan (disandar) kepada kalimah yang setelahnya ("hadzihis sanati lillahi ta`ala)......( nak penjelasan tambahan sila lihat kat atas pada Hasyiah I`anah halaman 253, jilid 2).

Maka cukup rasanya pelajaran nahwu kita, nak lebih lagi hendaklah duduk mengaji matan nahwu dengan tok - tok alim. Formula ringkasnya kalimah ghair munsharif boleh menerima jar dalam dua keadaan, pertama ketika diidhafahkan kepada kalimah selepasnya atau ketika kemasukan "alif lam". Maka lafaz niat yang paling tepat adalah sebagai berikut (Ramadhan diberi baris bawah):-


Selamat menjalani ibadah puasa, sempurna semua hendaknya, daripada niat sampailah kepada perlaksanaannya.


Rabu, Jun 17, 2015

Niat Puasa Sebulan Ramadhan

Sebagaimana yang kita sedia maklum, menurut Mazhab Syafie yang jadi amalan kita, wajib berniat untuk berpuasa Ramadhan pada setiap malam, yakni pada bila-bila masa mulai dari terbenam matahari sehingga terbit fajar. Tanpa berniat pada malamnya, maka tidaklah sah puasa seseorang. Berbeda dengan Mazhab Maliki yang membenarkan seseorang untuk hanya berniat sekali sahaja pada malam pertama Ramadhan dengan niat berpuasa untuk keseluruhan bulan yang mulia tersebut.

Sungguhpun demikian, para ulama kita tetap mensunnatkan (yakni jika dibuat dapat pahala) untuk kita memasang niat berpuasa keseluruhan bulan pada malam yang pertama bulan Ramadhan sebagai langkah ihtiyath sekiranya ada malam - malam yang kita terlupa berniat. Jika berlaku sedemikian, maka bolehlah kita meneruskan puasa kita tersebut walaupun terlupa niat dengan bertaklid kepada Mazhab Maliki. Satu lagi rahsia kenapa kita dianjurkan berniat puasa sebulan penuh Ramadhan itu adalah agar kita mendapat pahala niat untuk berpuasa sebulan penuh Ramadhan tersebut walaupun di pertengahan Ramadhan nanti kita kedatangan uzur syar`ie untuk menyempurnakan puasa kita ataupun kematian datang menjemput kita. Jika hal sedemikian terjadi, maka inSyaAllah dapatlah juga kita pahala Ramadhan walaupun sekadar pahala niat sebagaimana yang telah kita pasang pada malam pertama tadi. Mudah-mudahan Allah panjangkan umur kita sekaliannya dengan penuh sihat wal `afiat sehingga dapat kita jalani ibadah puasa kita dengan sebaiknya.

Mari kita ambil satu faedah dari satu kitab yang dinisbahkan kepada Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah dengan jodol "Kaifiat Khatam al-Quran" di mana pada halaman 116 - 117 dinyatakan, antara lain sebagai berikut:-
 "Maka melafazkan niat puasa dengan katanya: " Nawaitu shauma ghadin `an adaa-i fardhi Ramadhana kullihi hadzihis sanati lillahi ta`ala", artinya: "Sahaja aku puasa esok hari daripada menunaikan fardhu bulan Ramadhan sekaliannya pada tahun ini kerana Allah ta`ala." Maka inilah lafaz niat puasa Ramadhan yang sunnat dibawakan dia pada malam yang pertamanya. Dan adapun pada malam yang keduanya hingga akhir bulan, maka janganlah dibawa lafaz "kullihi" itu tetapi dikatanya: "Nawaitu shauma ghadin `an adaa-i fardhi Ramadhana (Ramadhani) hadzihis sanah lillahi ta`ala", "Sahaja aku puasa esok hari daripada menunaikan fardhu bulan Ramadhan yang pada tahun ini kerana Allah ta`ala."
Maka WAJIB kita yang bermazhab Syafie untuk mengqasadkan niat dalam hati sanubari pada setiap malam bulan Ramadhan untuk berpuasa pada keesokan harinya dan SUNNAT melafazkan niat tersebut di lidah. Dan SUNNAT bagi kita yang bermazhab Syafie untuk mengqasadkan niat berpuasa sebulan penuh bulan Ramadhan dan SUNNAT untuk kita melafazkan niat tersebut di lidah. Semoga amalan kita diterima Allah dengan sempurna.

Ahad, Jun 14, 2015

Doa Ramadhan


Sayyidina `Ubadah bin ash-Shaamid radhiyaAllahu `anhu berkata: " Adalah Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam telah mengajar kami akan kalimat doa ini ketika datangnya bulan Ramadhan: "Ya Allah, sejahterakanlah aku bagi (menghadapi) bulan Ramadhan, sejahterakanlah Ramadhan bagiku dan terima dia daripadaku dengan penerimaan yang sempurna."

Doa ini disebut dalam hadis yang diriwayatkan Imam ath-Thabrani rahimahullah dalam "ad-Du`a", Imam ad-Dailami rahimahullah dalam "Musnad al-Firdaus" dan Imam adz-Dzahabi rahimahullah dalam "Siyar A'laam an-Nubala`". Kebanyakan ahli hadis menghukumkan riwayat ini sebagai dhaif, Imam adz-Dzahabi menghukumnya sebagai "gharib", manakala Syaikh `Ali bin Husamuddin Abdul Malik al-Muttaqi al-Hindi (888H - 975H) rahimahullah dalam karya beliau yang masyhur "Kanzul `Ummal" menyatakan bahawa ianya diriwayatkan dengan sanad yang "hasan". Oleh itu, jikapun dihukum riwayat ini sebagai dhaif, namun tidak ada kesalahan bagi kita mengamalkannya istimewa pula ianya berisi permohonan yang munasabah bagi menghadapi bulan Ramadhan yang mulia, selain pengertian yang mendalam dan mempunyai rahsia besar terkandung dalamnya. Di mana kita memohon kepada Allah agar kita diberi keselamatan, kesejahteraan, kesihatan dan keafiatan untuk menghadapi bulan Ramadhan dengan sebaik-baiknya sehingga kita dapat menunaikan segala hak-hak Ramadhan sebagaimana diperintahkanNya tanpa sebarang gangguan dan rintangan. Kita juga memohon agar bulan Ramadhan juga sejahtera dan selamat bagi kita dan juga selamat sejahtera daripada kita, yakni daripada dicemari dengan perbuatan dan perlakuan dosa maksiat kita, dalam erti kata lain, kita mohon agar Allah memelihara kita agar jangan sampai melakukan sebarang maksiat yang boleh melanggar kesucian bulan Ramadhan yang mulia. Dan di akhir doa tersebut, kita memohon agar Allah menerima Ramadhan kita dengan penerimaan yang sempurna. Allahu .... Allah..... `adhzimmmmm

Isnin, Jun 01, 2015

Yaasin Malam Nishfu

Satu amalan yang boleh dikatakan telah diwiridkan sejak zaman tok nenek kita dahulu bahawa pada setiap malam pertengahan bulan Sya'baan (malam Nishfu Sya'baan) mereka akan berkumpul di masjid atau surau atau rumah untuk membaca Yaasin sebanyak 3 kali dengan niat-niat yang tertentu. Amalan ini telah dipandang baik sejak dahulu lagi sehinggalah ke masa kita ini apabila ada sesetengah ustaz yang "membid`ahsesatkan" amalan tersebut. Maka jarum halus pembid`ahan tersebut mereka suntik dengan alasan kononnya takut amalan membaca Yaasin 3 kali itu dianggap sebagai suatu kewajipan atau kononnya kerana pembacaan Yaasin yang terlalu cepat sehingga mencederakan bacaan dan berbagai alasan lagi. Maka digantikanlah pembacaan Kalam Allah yang mulia dengan mendengar celoteh mereka atas nama tazkirah dan seumpamanya.  Apakah benar, amalan membaca Yaasin pada malam Nishfu Sya'ban ini bertentangan dengan Syariat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sehingga perlu dihentikan amalannya. Atau hanya "ijtihad" juhala` sahaja yang sanggup menghentikan satu tradisi salih yang telah menjadi amalan tok nenek kita zaman berzaman? Jika pejuang bangsa sanggup bersingsing lengan untuk mempertahankan tarian kebudayaan bangsa, mengapa di sudut lain amalan-amalan salih yang telah menjadi menjadi tradisi bangsa kita hendak dihapuskan.

Berbalik kepada pembacaan Yaasin pada malam Nishfu Sya'baan, mari kita lihat apa yang dinyatakan oleh seorang ulama dan muhaddits yang ternama, al-Imam al-Muhaddits Abu `Abdullah Muhammad bin Darwisy al-Huuti al-Bayruti (1209-1276H) rahimahullah dalam karya beliau " Asna al-Mathaalib fi Ahaadits Mukhtalifah al-Maraatib". Pada halaman 585 kitab tersebut, dinyatakan bahawa:-
"Hadits-hadits Kelebihan Nishfu Sya'ban. Hadits-haditsnya telah disebut terdahulu di antaranya hadits : " Sesungguhnya Allah turun ke langit pada malam Nishfu Sya'baan (yakni Allah menurunkan satu rahmat yang khas pada malam tersebut, Maha Suci Allah daripada menyerupai makhluk) ..... sehingga ke akhir hadits." Dan kami telah menjelaskan status hadits-hadits tersebut dalam babnya dan perkataan-perkataan ulama mengenainya. Dan pada kesimpulannya, sejumlah hadits yang warid tentang malam Nishfu Sya'baan menunjukkan atas kelebihannya (yakni sememangnya warid berbilang hadits-hadits yang menunjukkan atas kelebihan malam Nishfu Sya'baan) sebagaimana dinyatakan oleh ahli ilmu.
Adapun pembacaan surah "Yaasin" pada malamnya selepas Maghrib dan doanya yang masyhur (yakni Doa Nishfu Sya'baan"), maka ianya telah disusun oleh sebahagian orang salih ( ahlush sholaah yakni orang salih dan bukannya orang fajir atau fasik) menurut ijtihadnya sendiri. Dikatakan bahawa orang yang menyusunkan tertib amalan Yaasin ini adalah al-Buni dan TIDAKLAH MENGAPA untuk diamalkan (yakni mengamalkannya tidaklah menjadi kesalahan sehingga perlu untuk ditegah atau dilarang atau diperlekehkan).
Allahu .. Allah, maka amalan membaca Yaasin pada malam Nishfu Sya'baan itu berasal daripada amalan para ulama dan orang - orang salih terdahulu. Mengenai al-Buni, maka Syaikh Mahmud al-Arnaauth pada ta'liqnya atas "Asna al-Mathaalib" tersebut menyatakan bahawa al-Buni adalah Syaikh Abul `Abbas Ahmad bin al-Qaasim bin Muhammad Saami at-Tamimi al-Buni rahimahullah, ulama besar yang dinisbahkan kepada Bunah yang terletak dalam kota Annabah di Algeria. Beliau adalah seorang muhaddits (ahli hadits) yang memiliki karya-karya yang bernilai antaranya "Nadzam al-Khashaish an-Nabawiyyah" dan "al-Mustadrak `ala as-Sayuthi". Beliau wafat pada tahun 1139H. Perlu kita perjelaskan bahawa Syaikh al-Buni rahimahullah yang dimaksudkan di sini bukanlah Syaikh al-Buni atau nama penuhnya Ahmad bin `Ali bin Yusuf al-Buni pengarang "Syamsul Ma`arif al-Kubra" yang terkenal dalam ilmu hikmah. Mereka adalah dua orang yang berbeza, hidup pada zaman yang berbeza, namun dari tempat yang sama.

Oleh itu, maka tidak wajar untuk kita berhenti beramal dengan tradisi membaca "Yaasin" tiga kali dan "Doa Nishfu Sya'baan" hanya kerana ada "ustaz" atau "proztaz" yang bermasalah dengan amalan tersebut. Jika takut dikatakan menjadi kewajipan atau takut kecederaan tajwid dalam bacaan "Yaasin", maka nasihat dan ilmulah jawabnya bukannya menghentikan amalan tersebut. Oleh itu adalah satu kebangangan untuk mengikut "ustaz" yang belum tentu kesalihan dan kewarakannya dan meninggalkan para ulama yang telah nyata kesalihan dan kewarakan mereka.