Selasa, Januari 12, 2016

Nikah Wanita Hamil Akibat Zina.

Tersebar satu tulisan menghukumkan perkahwinan seseorang lelaki dengan perempuan yang hamil hasil daripada perbuatan zina sebagai tidak sah kerana perempuan yang hamil tidak boleh dinikahi dalam keadaan tersebut sehingga dia melahirkan anaknya. Pandangan ini mungkin benar menurut sebahagian ulama, namun bila disebarkan dalam masyarakat yang mengamalkan Mazhab Syafie, ianya menimbulkan masalah kerana tidak menepati qawl muktamad yang dipegang dalam mazhab ini.

Mazhab Syafie tidak mengiktiraf kehamilan hasil daripada perbuatan zina. Ini adalah kerana perzinaan adalah sesuatu yang haram dan merupakan antara dosa-dosa besar. Maka hamil kerana zina tidak dianggap sebagai sesuatu yang muhtaram. Oleh itu, kehamilan tersebut tidak menjadi halangan untuk berlakunya perkahwinan. Perkahwinan seseorang dengan wanita yang hamil akibat perzinaan adalah sah, walaupun hukum perkahwinan tersebut mungkin berbagai, bergantung kepada niat perkahwinan tersebut dilakukan. Walaupun begitu, anak hasil perbuatan zina tersebut, tetap dihukumkan sebagai anak zina yang hanya mansub kepada ibunya semata-mata. 

Antara rujukan yang boleh tuan-tuan lihat adalah keterangan dalam "Bughyatul Mustarsyidin" halaman 201 yang menyatakan:-

Harus menikahi perempuan yang hamil akibat perzinaan, samada yang menikahinya itu lelaki yang menjadi pasangannya berzina atau lelaki lain. Boleh menyetubuhinya ketika itu (yakni ketika hamilnya) namun dengan kemakruhan (yakni boleh tapi makruh bersetubuh dengannya ketika hamil tersebut)."
Almarhum Datuk Haji  Abdul Kadir Hassan rahimahullah, mantan Mufti Sarawak, juga pernah menjelaskan perkara ini sebagaimana yang dikompilasi dalama "40 Kemusykilan Agama" siri kedua, halaman 157 yang menyatakan antara lain:-

Mengikut qaul yang muktamad, perempuan yang bunting dahulu sebelum nikah, samada dibuntingkan oleh lelaki yang hendak nikah dengannya atau oleh lelaki yang lain hukumnya adalah sah `aqad nikah dengan perempuan yang hamil itu. Apabila telah sah nikahnya itu tiadalah perlu dinikahkan lagi apabila anak itu lahir ke dunia. Malah, nikah itu adalah sah untuk selama-lamanya. 
  
Diharap ini dapat sedikit sebanyak memperjelaskan isu ini. Nak lebih kenalah duduk mengaji kitab-kitab fiqh terutama sekali fiqh Syafie yang menjadi pegangan dan amalan kita di Nusantara ini.