Rabu, Ogos 15, 2018

Ku' Faedah Dari 'Awaarif

Ku` dan kursu` adalah nama dua benjolan tulang (persendian) yang berada di pangkal sendi lengan tangan yang menghubungkan lengan dengan tapak tangan. Ku' itu benjolan mengiringi ibu jari, manakala kursu` itu benjolan mengiringi jari kelingking sebagaimana dijelaskan dalam satu syair yang masyhur yang bererti:- "Dan tulang yang mengiringi ibu jari tangan itu ku`, yang mengiringi akan jari kelingking tangan itu kursu` manakala rusugh itu yang ada di pertengahan (yakni yang berada di antara ku' dan kursu`). Dan tulang yang mengiringi ibu jari kaki digelar dengan bu`, maka ketahuilah dengan ilmu dan hati-hati daripada tersilap."  Signifikannya ku` dan kursu` ini kerana di sinilah tempat tapak tangan kanan kita menggenggam pergelangan tangan kiri ketika qiyam dalam shalat. Syaikh Nawawi Banten rahimahullah  dalam Nihayatuz Zain halaman 58 menjelaskan sebagai berikut:-

(Dan diletakkan keduanya) iaitu dua tapak tangan (di bawah dada dengan tangan kanan memegang tangan kiri) iaitu menggenggam ku` tangan kirinya dengan tapak tangan kanannya dan menjadikan keduanya di bawah dada dan di atas pusatnya dengan sedikit condong  ke sebelah kiri (yakni cenderung sedikit ke arah kiri tempat hati sanubari)....
Menurut sebahagian ulama, antaranya Imam Syihabuddin Abu Hafsh 'Umar bin Muhammad bin 'Abdullah as-Suhrawardi al-Baghdadi asy-Syafi`i rahimahullah yang wafat tahun 632H dalam karyanya yang masyhur 'Awaariful Ma`aarif pada halaman 182, kaifiat menggenggamnya adalah seperti berikut:-

... kemudian dia (yakni orang yang shalat tadi) menggenggam dengan tangan kanannya akan tangan kirinya dengan menjadikan kedua tangannya tersebut berada di antara pusat dan dada. Tangan kanan, kerana kemuliaannya, dijadikan di atas tangan kiri, jari telunjuk dan jari tengahnya dibiarkan menghampar lurus atas lengan tangan kiri, manakala baki tiga jari lagi menggenggam lengan tangan kiri dari dua arah sisinya (yakni sebelah atas pada arah ku` digenggam ibu jari dan sebelah bawah pada kursu` digenggam jari manis dan jari kelingking)....
Jadi maknanya, tapak tangan kanan kita menggenggam lengan tangan kiri  pada ku' dan kursu', di mana ibu jari menggenggam bahagian atas lengan kiri dan jari manis serta jari kelingking menggenggam bawah lengan kiri, manakala jari telunjuk dan jari tengah dilepaskan sahaja memanjang pada lengan kiri. Mudah-mudahan ada manfaatnya.


Guru Ijai




Selasa, Ogos 07, 2018

Syaikh Zainuddin Sarawak

Syaikh Zainuddin rahimahullah, atau yang diberi gelar oleh gurunya, Syaikh Muhammad 'Ali bin  Husain al-Maliki al-Makki sebagai al-'Alim, al-Majid, al-Laudza`ie (orang yang tabah, pintar, cerdik, cerdas lagi fasih akan lisannya), al-Fadhil, al-Hamid, asy-Syaikh Muhammad Zainuddin, adalah salah seorang ulama besar berketurunan Melayu Sarawak yang mengajar dalam Masjidil Haram. Beliau adalah anak kepada seorang lagi ulama terbilang, guru besar dalam Masjidil Haram iaitu al-'Alim al-'Allaamah al-Humam Syaikh 'Utsman as-Sirwaqi (as-Sarawaki) rahimahullah. Syaikh Zainuddin adalah anak Syaikh 'Utsman Sarawak dengan isteri beliau yang bernama Hajjah Fathimah, orang Arab Madinah. Syaikh Zainuddin sejak kecil dididik dan diasuh oleh ayahanda beliau tersebut dan juga para ulama Haramain ketika itu. Di antara guru-guru beliau adalah Syaikh Muhammad Amin Ridhwan, Syaikh Abdul Karim ad-Dagestani, Syaikh Sa`id al-Yamani, Syaikh Umar BaJunaid, Syaikh Muhammad 'Ali al-Maliki dan ramai lagi, rahimahumullah. Setelah selesai pengajian dan mantap keilmuannya, Syaikh Zainuddin telah ditauliahkan oleh para ulama Mekah untuk mengajar dalam Masjidil Haram yang mulia. Ketinggian ilmu dan akhlak beliau telah menarik hati ramai penuntut ilmu untuk berguru dengan beliau. Bahkan dikisahkan bahawa ulama pengasas Nahdlatul Wathan, organisasi Islam terbesar dan paling berpengaruh di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia, Tuan Guru KH Zainuddin bin KH Abdul Majid, asal namanya adalah Muhammad Saggaf, namun ditukar oleh ayahanda beliau kepada Zainuddin kerana kagum dan tertarik hati dengan keilmuan, akhlak dan perwatakan gurunya iaitu Syaikh Zainuddin Sarawak. Selain duduk mengajar di Masjidil Haram, Syaikh Zainuddin juga merantau atau dalam istilah tempatan "berfaqir" untuk berdakwah dan menyebarkan ilmu di berbagai pelusuk rantau Melayu. Ketika wafat ayahandanya, Syaikh 'Utsman Sarawak, di Mekah al-Musyarrafah, beliau tidak ada di sana kerana ketika itu beliau sedang berfaqir di Ampenan, Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat. Bahkan  nafas terakhir beliau hembuskan pada tahun 1933M ketika dalam perantauan. Beliau juga dimakamkan di perantauan, jauh dari tanah kelahirannya, iaitu di Surabaya, Pulau Jawa. Moga-moga Allah mencucuri rahmat yang berpanjangan ke atas beliau dan ayahanda beliau bi hurmatil Fatihah.

Tidak banyak yang dapat diperolehi mengenai sejarah hidup Syaikh Zainuddin rahimahullah dari karya-karya tulis. Sumber lisan juga tidak banyak diketahui, mungkin sifat khumul Syaikh 'Utsman telah turun menjadi tabiat anak cucunya, sehingga mereka tidak suka "berdengah" dengan kehebatan dan ketokohan datuk - datuk mereka yang merupakan ulama besar. Faqir sendiri yang pernah tinggal berjiran dengan salah seorang anakanda Syaikh Zainuddin dan berkawan dengan cucu-cucu Syaikh Zainuddin tidak pernah sekali pun mendengar mereka menyebut tentang latar belakang keturunan keluarga mereka. Makanya, dahulu tiada hol-hol "grand" bagi tokoh - tokoh ini yang dianjurkan oleh para waris mereka di tempat faqir walaupun terdapat ramai keturunan beliau. Ini tidak bererti tiada hol dilakukan, melakukan peringatan hol sudah menjadi tradisi masyarakat kat tempat faqir sejak dahulu walaupun menghadapi tentangan daripada so called "pembasmi bid`ah". Ada dibuatkan holnya, namun dalam skala kecil melibatkan ahli keluarga dan jiran tetangga sahaja. Bahkan, pernah satu masa, ketika dicadangkan kepada salah seorang waris beliau agar diadakan majlis hol yang agak besar seperti holnya para ulama di Tanah Jawa, beliau menampakkan keberatan dengan alasan "takut kembang idung".

Namun melihat dari sudut motivasi, memperingati jasa dan bertabarruk dengan para ulama, maka tiada masalah jika diadakan hol-holnya para ulama, yang penting niat dan keikhlasan kita dalam melakukannya. Bahkan mengadakan hol itu boleh dianggap sebagai salah satu langkah untuk menuruti anjuran Junjungan Nabi shallaAllahu 'alaihi wa sallam  agar kita menyebut dan memperingati kebaikan - kebaikan orang mati, sebagaimana diriwayatkan oleh para ahli hadits di antaranya Imam Tirmidzi dan Imam Abu Daud yang menyatakan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sebutlah / Ingatlah kamu akan kebaikan-kebaikan orang-orang yang telah mati daripada kalangan kamu dan tahanlah diri kamu daripada menyebut keburukan-keburukan mereka."

Alhamdulillah, pihak ABIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak, atas inisiatif akhinal karim Ustaz Fazril Saleh hafizahullah, telah berjaya mengadakan sambutan bagi memperingati 100 tahun wafatnya Syaikh 'Utsman as-Sarawaki rahimahullah. Bahkan Ustaz Fazril telah menerbitkan semula kitab manakib Syaikh 'Utsman karangan Syaikh Zainuddin yang berjodol Nafahatur Ridhwan fi Manaqibisy Syaikh 'Utsman. Mudah-mudahan segala amalan pihak-pihak tersebut diberi setinggi-tinggi ganjaran oleh Allah azza wa jalla dan bermanfaat untuk seluruh umat, khasnya umat Islam di Sarawak..... Allahumma aamiin.

Rabu, Ogos 01, 2018

Cungkil Gigi Punya Pasal

Pernah dimuatkan dalam pelbagai media sosial, bahkan disampaikan dalam ceramah-ceramah, akan kisah yang dikaitkan dengan peristiwa Nabi Isa 'alaihis salam menghidupkan orang mati yang menceritakan bahawa dia dihisab atau disoal atau diazab sejak 70 tahun yang lalu dari tarikh kematiannya hanya kerana secebis kayu yang diambilnya tanpa hak atau izin si pemilik untuk mencungkil gigi. Begitulah kira-kira ringkasan ceritanya, faqir pun ingat-ingat lupa. Bukanlah hasrat faqir untuk memanjangkan kisah ini kerana faqir pun tidak mengetahui dengan jelas tentang kesahihan kisah yang dikatakan ada disebut dalam kitab 'Araa-isul Majalis karya Imam Abu Ishak Ahmad bin Muhammad bin Ibrahim an-Naisaburi atau lebih dikenali sebagai Imam ats-Tsa'labi rahimahullah. Jika pun benar kisah tersebut ada dimuatkan dalam kitab tersebut, maka menurut kajian ulama, riwayat-riwayat yang terkandung dalam kitab tersebut adalah bercampur-campur, ada yang sahih, ada yang samar, yang dhaif, yang mawdhu` dan dipenuhi juga dengan kisah-kisah Israiliyyah yang tidak diketahui kedudukannya. Ini antara sebab kenapa sebahagian ulama mengatakan bahawa Imam ats-Tsa'labi dalam menghimpun riwayat-riwayat dalam kitab tersebut adalah seumpama haathib lail (yakni seorang yang memungut kayu api dalam kegelapan malam, maka dia tidak mengetahui samada yang dipungutnya itu kayu api atau ular yang berbisa). Imam ats-Tsa'labi rahimahullah dalam karyanya tersebut hanya mengutip dan menghimpun sahaja segala riwayat dan kisah tanpa mengambilkira atau mempastikan darjat dan kesahihan kisah-kisah tersebut. Jadi tidaklah faqir mengetahui kesahihan kisah tersebut tadi, kerana ianya perlu kepada kajian lanjut.

Dalam entri ini, faqir berhasrat berkongsi kisah mimpi sahaja. Mimpi seorang ulama tentang ulama lain yang dinukil oleh Imam an-Nawawi rahimahullah. Sebelum itu haraplah dimaklumi bahawa kisah-kisah sebegini bukanlah bertujuan untuk melemahkan semangat kita terhadap keluasan rahmat Allah yang maha luas. Yang perlu kita fahami adalah hidupnya kita atas muka bumi ini hendaklah bertunjangkan kepada dua sifat, sifat khauf (takut) dan sifat raja` (harap), jangan semata-mata khauf sehingga kepala kita pusing dan dada kita sesak, dan jangan pula semata-mata raja` yang akhirnya menjadikan kita meremehkan segala titah dan tegah. Hendaknya kita dalam khauf ada raja` dan dalam raja` ada khauf, sebagaimana yang digambarkan oleh Sayyidina Tsabit al-Bunani rahimahullah, diriwayatkan oleh Abdullah bin Imam Ahmad bin Hanbal dalam zawaidnya bagi kitab az-Zuhd, bahawa: Jika ditimbang khauf seorang mukmin dengan raja`nya nescaya sama timbangannya. Harap dapat difahami, jika tak faham, harap pergilah mengaji bab khauf dan raja` dengan para guru yang dimuliai.

Imam an-Nawawi dalam karya beliau Bustanul 'Arifin pada halaman 138 menukilkan satu kisah yang dikhabarkan oleh asy-Syaikh al-Amin al-Musnid Abul Fadhal Muhammad bin Muhammad bin Muhammad at-Taimi al-Bakri, daripada Syaikh Abu Hafsh 'Umar bin Muhammad bin Mu`ammar bin Thabarzad, daripada al-Hafiz Abul Qasim Ismail bin Ahmad bin 'Umar as-Samarqandi, daripada Abdud Daim bin al-Hasan al-Hilali, daripada 'Abdul Wahhab bin al-Hasan al-Kilabi, daripada Muhammad bin Khuraim al-'Uqaili yang berkata bahawa beliau mendengar Imam Ahmad bin Abil Hawari (wafat tahun 230H) berkata: "Aku berharap-harap untuk mimpi bertemu dengan Imam Abu Sulaiman ad-Darani (yang telah wafat). Setelah setahun kewafatannya, barulah aku bermimpi bertemu dengannya dan aku bertanya kepadanya: "Wahai Mu`allim, apa yang dilakukan Allah terhadap dirimu?" Beliau menjawab: "Wahai Ahmad, satu hari aku telah melalui Bab ash-Shaghir lalu berjumpa dengan muatan unta berupa tumbuhan dan pepohon untuk makanan haiwan. Maka aku telah mengambil daripada muatan tersebut secebis atau sepotong ranting / jerami kering. Aku tidak ingat apa yang aku lakukan dengannya, samada aku mencungkil gigi dengannya atau kulemparkan sahaja. Maka aku menghadapi hisabnya (yakni dipersoalkan mengenainya) sejak kematianku setahun yang lalu sehingga ke saat ini (yakni dia masih dihisab kerana secebis atau sepotong ranting / jerami yang telah diambilnya tanpa izin atau hak walaupun telah setahun dia meninggal dunia.)"

Kata Imam an-Nawawi bahawa ini merupakan cerita yang amat dahsyat sebagai pendorong kita untuk bersikap warak serta mengancam agar jangan mengambil sikap mudah terhadap perbuatan-perbuatan aniaya atau zalim yang kecil atau remeh. Untuk pengetahuan, kisah ini juga disebut oleh Imam adz-Dzahabi dalam Siyar A'laam an-Nubala`, juz ke-10, halaman 185-186, dengan sanad daripada al-Muslim bin Muhammad, daripada al-Qasim bin 'Ali, daripada ayahandanya, daripada Thahir bin Sahl, daripada Abdud Daim al-Hilali, daripada Abdul Wahhab al-Kilabi, daripada Muhammad bin Khuraim, daripada Imam Ahmad bin Abil Hawari. Mudah-mudahan dapat dijadikan renungan dan panduan agar tidak bermudah-mudah melakukan kezaliman dan menganiayai orang lain dengan mengambil hak mereka, apatah lagi hak rakyat marhaen. Banyakkanlah membaca doa yang diajar oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Allahumma haasibni hisaaban yasiira" (Ya Allah, ringan dan mudahkanlah hisabku). Mudah-mudahan Allah menghisab kita dengan hisab yang ringan lagi mudah..... Allahumma aamiin.