Ahad, Oktober 28, 2018

Keistimewaan Syaikh Ahmad

Entri kali ini faqir ingin berkongsi pengamatan yang dilakukan oleh sejarawan Ustaz Ahmad Fathi al-Fathani al-Kelantani berhubung Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah. Dalam buku beliau yang diterbit oleh Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia dengan jodol "Ulama Besar Dari Fathani" pada halaman 57 - 59 disenaraikan 9 keistimewaan yang ada pada Tok Syaikh Wan Ahmad al-Fathani (1856 - 1908) rahimahullah. 

Ustaz Ahmad Fathi telah memberi sedikit kupasan mengenai Syaikh Wan Ahmad yang tidak beliau lakukan kepada tokoh-tokoh lain yang disenaraikan dalam buku tersebut. Beliau menggariskan sembilan keistimewaan Syaikh Wan Ahmad rahimahullah sebagai berikut:-

  1. Ulama Melayu pertama yang merintis penyelidikan dalam bidang ilmu kimia sehingga dikatakan bahawa beliau telah menemui formula untuk membuat emas. Beliau telah menulis sebuah kitab dalam ilmu kimia yang mengandungi hasil penyelidikan dan formula rahsia tersebut, namun kitab itu telah beliau bakar sekitar tahun 1903 kerana khuatir dampak negatif daripadanya.
  2. Ulama Melayu yang mula-mula belajar ilmu perubatan di bawah bimbingan seorang thabib dari India yang bernama Syaikh Abdul Rahim al-Kabuli. (Dari sumber lain, thabib itu berasal dari Kabul, Afghanistan.)
  3. Pentashih atau peneliti kitab-kitab Melayu yang paling awal di percetakan - percetakan Mesir, Mekah dan Istanbul.
  4. Peminat sejarah dan pelopor penulisan sejarah yang jarang-jarang diterokai orang ketika itu, seperti sejarah kemasukan dan penyebaran Islam di gugusan kepulauan Melayu.
  5. Seorang mu`allim yang dapat mengupas untaian-untaian syair klasik 'Arab  setanding dengan tokoh - tokoh ulama bangsa 'Arab sehingga disebut sebagai "Harimau Mekah".
  6. Seorang ulama siasah dan pejuang Islam yang mengambil berat terhadap nasib bangsa Melayu.
  7. Seorang ulama pendita Melayu yang berkemampuan mengarang dalam Bahasa 'Arab setajam mata pena ulama keturunan 'Arab.
  8. Ulama yang boleh mengajar 47 jenis ilmu, samada ilmu keagamaan maupun ilmu keduniaan.
  9. Ulama Melayu yang mula-mula mengadakan soal - jawab agama secara terbuka, lisan dan tulisan.
Sehingga kini, kita masih mengambil manfaat ilmu daripada karya-karya Syaikh Wan Ahmad al-Fathani. Mudah-mudahan Allah merahmati Syaikh Wan Ahmad al-Fathani, bintang ulama Melayu.

Rabu, Oktober 24, 2018

Shalawat Ibnu Mas`ud

Imam Ibnu Majah rahimahullah meriwayatkan dalam sunannya yang masyhur, jilid 1, hadis ke-906, halaman 290, bahawa Sayyidina 'Abdullah bin Mas`ud radhiyaAllahu 'anhu berkata:- "Apabila kamu bershalawat ke atas Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka hendaklah kamu memperbaguskan ucapan shalawat ke atas baginda tersebut (yakni memperelokkan, memperindahkan, memperbaikkan shighah shalawat), kerana sesungguhnya kamu tidak mengetahui mungkin ucapan shalawat kamu tersebut akan dibentangkan terus kepada baginda". Maka mereka bertanya: "Lalu ajarilah akan kami (akan ucapan shalawat)." Sayyidina Ibnu Mas`ud menjawab: Kamu ucapkanlah: "Ya Allah, jadikanlah shalawat, rahmat dan keberkatanMu ke atas pemimpin para rasul, imam orang - orang yang bertakwa, penutup sekalian nabi, Nabi Muhammad, hamba dan rasulMu, imam kebaikan, pemimpin kebajikan, rasul pembawa rahmat. Ya Allah, tinggikan darjat baginda mencapai makam terpuji yang menjadi dambaan orang - orang terdahulu dan kemudian. Ya Allah, limpahkanlah shalawat ke atas Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad sebagaimana Engkau melimpahkan shalawat ke atas Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Ya Allah, limpahkanlah keberkatan ke atas Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau melimpahkan keberkatan ke atas Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia."

Daripada riwayat Sayyidina Ibnu Mas`ud radhiyaAllahu `anhu, sahabat yang dikasihi dan dipuji Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam antaranya dengan sabdaan baginda bahawa: "dua betis Ibnu Mas`ud yang kurus kering itu lebih berat atas timbangan kebajikan berbanding bukit Uhud", dapat kita faedah bahawa perbuatan menggubah atau mengarang shighah - shighah shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah pun dilakukan sejak zaman sahabat lagi. Dari situ, berkesinambunganlah perbuatan sedemikian dilakukan oleh pencinta-pencinta Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sehinggalah ke masa kita sekarang. Maka muncul berbagai bentuk ucapan shalawat dengan kata-kata yang penuh seni dan keindahan, namun seindah mana pun ucapan tersebut pasti tidak  akan mampu untuk mencapai dan memperikan hakikat kebesaran dan keagungan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dan dari segala rupa bentuk keindahan susunan kata shalawat-shalawat tersebut, tetaplah pilihan para ulama bahawa ucapan shalawat yang afdhal adalah apa yang diajar sendiri oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang berupa segala shighah yang masyhur dengan panggilan Shalawat Ibrahimiyyah.

Rabu, Oktober 17, 2018

Syaikh Abdul Rasyid Fathani

Almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir pernah menulis mengenai Syaikh Abdul Rasyid al-Fathani dan tulisan beliau tersebut telah diterbitkan dalam siri Penyebaran Islam & Silsilah Ulama Sejagat Dunia Melayu, jilid ke-11 dan juga pernah disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia satu ketika dahulu. Syaikh Ahmad al-Linggi rahimahullah ada menyebut sedikit tentang Syaikh Abdul Rasyid al-Fathani yang merupakan moyang ayahanda beliau, Syaikh Muhammad Sa`id daripada pihak ibunya. Hal ini disebut dalam manakib Syaikh Muhammad Sa`id tulisan Mufti Syaikh Ahmad yang berjodol Kanzul Mu`id fi Manaqib al-'Arifbillah asy-Syaikh Muhammad Sa`id radhiya Allahu `anhu

Mufti Syaikh Ahmad rahimahullah dalam karya tersebut menulis bahawa Syaikh Abdur Rasyid adalah seorang ulama waliyullah yang dimuliakan dengan beberapa karamah. Di antara karamah-karamah beliau adalah:- (i) kitab-kitab yang beliau tinggalkan terdedah di luar tidak binasa oleh cuaca walaupun untuk tempoh masa yang lama; (ii) sesiapa yang istiqamah menuntut ilmu dengan beliau, diberikan kealiman dan dipanjangkan umur; (iii) air laut menjadi tawar; dan (iv) kapal tidak belayar ketika jenazahnya hendak dikubur di laut. Kata Syaikh Ahmad pada halaman 16 - 17 : Dan ada pun datuknya yang kedua daripada jihat ibunya iaitu al-'Allaamah al-Kabir, al-Fahhamah asy-Syahir, Shahibun li Wilayatil Baahirah, wal Karaamaatil Masyhurah, asy-Syaikh 'Abdur Rasyid al-Fathani yang dikubur akan dia pada Pulau Bidan, dan kuburnya di sana dikenal akan dia lagi masyhur. Menziarahi kepadanya oleh manusia daripada tepi-tepi dan jihat-jihat dan bertawassul mereka itu dengannya kepada Allah ta'ala pada sisi kesempitan dan kesukaran. Baginya beberapa karamah yang adalah yang terlebih besar daripadanya bahawa menghimpun ia akan sekalian kitabnya pada setengah peperangan yang terjadi di dalam negerinya dan meletak ia akan dia pada tepi satu sungai pada satu tempat yang tiadalah antaranya dan antara langit dinding dan pergilah ia kepada satu negeri dan berhenti ia di sana satu masa kemudian kembali ia kepada negerinya. Maka mendapat ia akan sekalian kitabnya seperti barang yang ada ia tiada berubah dan tiada binasa ia serta barang yang didapat di dalam negerinya pada demikian itu masa daripada banyak hujan dan angin. Dan setengah daripadanya bahawa tiada mulazamah akan dia oleh seorang pada menuntut ilmu akan sebagai mulazamah melainkan dibuka atasnya pada ilmu dan direzeki akan dia akan panjang umur. Dan setengah daripadanya bahawa berkendara ia akan laut pada sebuah kapal dan putuslah daripada ahlinya oleh air tawar dan payahlah atas mereka itu oleh keadaan maka turunlah radhiyaAllahu`anhu kepada laut dan menjuntai ia akan dua kakinya ke dalam laut dan menyuruh ia akan mereka itu bahawa mengambil mereka itu akan air-air yang di keliling kedua kakinya akan barang yang memada ia akan mereka itu pada perjalanan mereka itu maka mengambil mereka itu akannya dan mendapat oleh mereka itu akannya tawar. Dan setengah daripada bahawa diwafat akan dia di dalam satu kapal dan ianya musafir ke negeri Mekah pada satu tempat yang jauh daripada daratan, maka menghendaki mereka itu mengkuburkannya pada laut seumpama adat mereka itu. Maka tiada mengizin Allah ta`ala pada yang demikian kerana memuliakan bagi waliNya, daripada sekira-kira bahawa mereka itu apabila menghendaki mereka itu mencampak akannya kepada laut tiadalah mengkeras oleh Allah ta`ala dengan belayar kapal di atas laut. Maka mengetahui mereka itu akan yang demikian dan mengqasad mereka itu akan mengkubur akan dia pada daratannya, maka mengizin Allah ta`ala pada yang demikian dengan belayar kapal. Maka belayarlah ia kepada satu tempat yang telah meninggal ia akannya pada pelayaran satu hari dan satu malam dan iaitu Pulau Bidan, satu pulau yang diketahui akan dia dengan berhampiran Pulau Pinang dan dikuburkan radhiyaAllahu `anhu di sana, waAllahu `alam.


Malangnya, makam Syaikh Abdul Rasyid al-Fathani di Pulau Bidan yang terkenal sebagai Keramat Pulau Bidan telah dijadikan tempat pemujaan dan perlakuan khurafat oleh orang - orang yang jahil. Maka para waris beliau, katanya setelah mendapat alamat mimpi, telah memindahkan jasad Syaikh Abdul Rasyid al-Fathani ke tanah besar dan dimakamkan semula di satu lokasi yang dirahsiakan untuk mengelak berulangnya perbuatan pemujaan dan khurafat. Diceritakan bahawa ketika mereka menggali makam tersebut, keluar bau harum semerbak dan didapati jasad almarhum Syaikh Abdul Rasyid al-Fathani masih  utuh dan berkeadaan baik seolah-olah baru sahaja meninggal.

Begitulah kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah, walaupun kita membenarkan ziarah, tawassul, istighatsah dan seumpamanya. Namun tidaklah bererti kita kompromi dengan amalan-amalan yang bersifat pemujaan, takhayyul dan khurafat yang nyata bercanggah dengan Islam. Mudah-mudahan Allah merahmati Syaikh Abdul Rasyid al-Fathani sentiasa dan mengalirkan keberkatannya kepada kita semua.

Sabtu, Oktober 13, 2018

Induk Kekejian

Mengadakan pesta arak, atas apa jua nama sekalipun, adalah perbuatan tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Malaysia. Perlembagaan  kita dengan jelas menyatakan bahawa agama persekutuan adalah Islam. Maka sewajarnya semua rakyat mestilah menghormati kedudukan Islam dalam negara ini. Jika tidak mahu, maka sila belah dari Malaysia. Menganjur pesta-pesta arak secara terbuka adalah tindakan mencabar kesucian Islam dan keluhuran perlembagaan Malaysia. Pesta pora arak yang dicuplik daripada budaya barat yang diadaptasi daripada budaya iblis dan setan bukanlah satu budaya positif yang perlu diterap dalam masyarakat kita. Jika pun dikatakan bahawa perbuatan minum arak itu "dosa pribadi", namun melakukannya secara terbuka di tempat awam, apatah lagi mengajak orang lain dan mengiklankannya secara terbuka, menjadikannya sebagai "dosa awam" yang mesti dibanteras. 

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya [Surah al-Maa-idah: 90 ]
Jelas meminum arak adalah perbuatan nombor wahid yang dinyatakan dalam firman Allah `azza wa jalla dalam ayat 90 surah al-Maidah ketika menyenaraikan perbuatan-perbuatan keji yang menjadi budaya dan amalan setan. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menegaskan bahawa arak atau khamr adalah induknya segala kekejian dan kunci segala keburukan. Imam ath-Thabrani rahimahullah meriwayatkan dalam al-Awsath dengan sanad yang hasan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Khamr (Arak) adalah ibu segala kekejian. Sesiapa yang meminumnya, shalatnya tidak akan diterima selama 40 hari. Sesiapa yang mati sedangkan dalam perutnya ada arak (yakni yang sengaja mnum), maka sesungguhnya kematiannya (seumpama) kematian jahiliyyah." Allahu... Allah. Cukup dengan nas tersebut, tahu dan fahamlah kita betapa besarnya kesalahan, kefasadan dan dosa meminum arak. Maka tidaklah wajar bagi kita untuk menyokong, membenar, menggalak, mengiklan akan pesta-pesta arak, ingat jangan sampai tergolong dalam mereka-mereka yang mendapat laknat kerana arak.


Ahad, Oktober 07, 2018

Tegahan Merokok

Qaami`uth Thughyaan adalah karya Syaikh Nawawi Banten rahimahulllah bagi mensyarahkan nazam cabang - cabang keimanan karya Syaikh Zainuddin al-Malibari rahimahullah. Di antara yang perkara yang disentuh dalam syarah tersebut adalah hukum merokok. Sebagaimana yang kita ketahui, para ulama terdahulu tidak sepakat dengan status hukum merokok. Ada ulama yang mengharamkannya, ada yang menghukumkannya sebagai makruh dan ada juga yang menghukumkannya sebagai mubah. Menarik dalam Qaami'uth Thugyan, Penghulu Ulama Hejaz ini rahimahullah mengaitkan hukum rokok dengan ketaatan kepada pemerintah yakni, jika sekiranya pemerintah melarang merokok, maka perintah larangan tersebut wajib ditaati. Ini adalah kerana antara cabang keimanan adalah mentaati pemerintah. Syaikh Nawawi rahimahullah pada syarahnya di halaman 16 menyatakan sebagai berikut:-

...Kerana sabda Baginda shallaAllahu 'alaihi wa sallam: "Sesiapa yang mentaati amirku, maka dia telah mentaatiku. Dan sesiapa yang mengengkari amirku, maka dia dia telah mengengkariku." Akan tetapi tidak perlu taat dalam perkara yang haram atau yang makruh. Adapun yang mubah (jawaz/harus) jika padanya terdapat maslahah yang umum bagi kaum Muslimin, maka wajiblah mentaatinya dalam perkara tersebut, jika tidak ada maslahah padanya maka tidaklah wajib ditaati. Oleh itu, jika diperintah untuk tidak merokok maka wajib ke atas mereka (yakni kaum Muslimin) untuk mentaatinya kerana pada tegahan tersebut ada maslahah yang umum ...
Maka jika pemerintah melalui Kementerian Kesihatan atau seumpamanya melarang merokok secara umum atau di tempat-tempat tertentu seperti hospital, sekolah dan kedai makan, maka wajiblah kita mentaatinya. Sesiapa yang melanggar larangan tersebut maka dia berdosa kerana tidak taat kepada pemerintah. Tidak perlu dibahaskan apa hukum merokok tersebut kerana segala khilaf yang ada pada hukum merokok tersebut tidak lagi relevan setelah ada perintah tersebut. Hatta sesiapa yang berpegang merokok itu harus sekalipun, kena taat dengan tegahan pemerintah ini. Oleh itu, berhati-hatilah ketika melanggar perintah-perintah yang keluar daripada pemerintah sebagaimana yang dinyatakan tadi.