Habib 'Abdul Qadir bin Ahmad bin Quthban rahimahullah dilahirkan pada tahun 1255H di Kota Seiwun, Hadhramaut. Beliau membesar dalam keluarga yang shalih, alim lagi warak. Beliau mendapat didikan daripada para ulama Hadhramaut, antaranya, Habib Abu Bakar bin 'Abdullah al-'Aththas, Habib Hasan bin Shalih al-Bahar, Habib 'Abdullah bin Husain bin Thahir, Habib Muhsin bin 'Alwi as-Saqqaf dan Habib 'Abdul Rahman bin 'Ali as-Saqqaf rahimahumullah.
Selain berdakwah dan menyebarkan ilmu, beliau juga memfokuskan dirinya untuk bermujahadah dan ber"tirakat", demi mendekatkan dirinya dengan Allah ta`ala. Antara wirid rutin beliau adalah membaca kitab shalawat Dalaailul Khairat sekhatam setiap selesai shalat fardhu. Beliau juga banyak mendirikan shalat - shalat sunnat dan setiap malam beliau akan bershalawat ribuan kali. Beliau mendalami penghayatan ilmu tasawwuf dan suka membaca sejarah hidup para imam sufi, terutama mengenai amal ibadah, keilmuan dan mujahadah mereka agar dapat dijadikan perangsang dan contoh ikutan. Apabila membaca suatu amalan, beliau cepat - cepat mengamalkannya agar tidak terlepas daripada ganjarannya. Para ulama dan awliya` sezaman mengakui ketokohan dan kewalian Habib 'Abdul Qadir Quthban, di antaranya Habib 'Ali bin Muhammad al-Habsyi (Shahibul Mawlid), Habib Ahmad bin Hasan al-'Aththas dan Habib 'Abdullah bin 'Alwi al-Habsyi rahimahumullah.
Dalam rehlah perjalanan dakwah, Habib 'Abdul Qadir Quthban pernah berdakwah sehingga ke Jawa, bahkan beliau lama tinggal di sana dan berdakwah di Kota Mojokerto. Keharuman nama dan keberhasilan beliau dalam berdakwah telah mengundang kedengkian segelintir manusia, lalu mereka merencana suatu fitnah terhadap beliau. Mereka mengupah seorang wanita yang hamil tua untuk mentohmah Habib 'Abdul Qadir dengan mengatakan bahawa kandungannya itu adalah hasil hubungan gelapnya dengan Habib 'Abdul Qadir. Habib 'Abdul Qadir telah dilaporkan kepada pihak penguasa dan dipanggil ke pengadilan. Ketika sidang berjalan, Allah ta`ala telah menzahirkan beberapa karamah untuk membersihkan nama Habib 'Abdul Qadir, antaranya, bayi dalam kandungan wanita tersebut lahir ketika disuruh oleh Habib 'Abdul Qadir Quthban dan bayi tersebut ketika ditanya menjawab bahawa bapanya adalah si fulan. Kisah karamah ini pernah diceritakan oleh Habib Shalih bin Muhsin al-Hamid rahimahullah @ Habib Shalih Tanggul dalam satu majlis dan sempat dicatat oleh murid beliau, Habib Muhammad bin Hud as-Saqqaf. Selepas peristiwa tersebut, Habib 'Abdul Qadir merasa tidak betah lagi tinggal di Jawa setelah karamah dan kewaliannya terbongkar. Maka pada 2 Shafar 1328H, beliau pulang ke Kota Seiwun.
Habib 'Abdul Qadir Quthban wafat di Kota Seiwun pada tanggal 12 Shafar 1331H. Jenazah beliau telah diziarahi oleh ramai pelayat. Habib Ali al-Habsyi rahimahullah selepas selesai upacara pemakaman, telah menyampaikan ucapan belasungkawa antara lain menyatakan sebagai berikut: "Sayyid ini telah mengadap Tuhannya, beliau mempunyai amalan - amalan yang hanya diketahui oleh Allah subhanahu wa ta`ala. Buah - buah amalannya itu akan terus berkembang. Beliau adalah sebahagian daripada insan yang paling mulia di sisi Allah subhanahu wa ta`ala dan Baginda Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam." Mudah - mudahan Allah melimpahkan rahmatNya kepada Habib 'Abdul Qadir Quthban dan menyampaikan keberkatannya kepada kita sekalian, al-Fatihah.