Khamis, Disember 24, 2020

TabaarakaAllah

Kalimah "tabaaraka" menurut para ulama adalah antara kalimah pujian atau pemuliaan atau sanjungan atau pengagungan yang dikhususkan bagi Zat Allah yang Maha Agung. Ini adalah kerana dengan kalimah tersebut bererti segala keberkatan, kesucian, keagungan, ketinggian, kemuliaan dan kesempurnaan adalah tetap atau sentiasa ada pada Allah ta`ala, ianya adalah daripada Zat Allah Yang Maha Agung sendiri bukannya daripada sumber-sumber lain. Ini berbeza dengan kalimah "mubaarak" yang memberi pengertian bahawa keberkatan atau kemuliaan dan seumpamanya itu datang daripada sumber lain dan bukannya ada atau daripada diri perkara atau makhluk tersebut sendiri, iaitu segala keberkatan yang ada padanya semuanya datang daripada Allah ta`ala. Makanya oleh Imam al-Hasan dijelaskan bahawa kalimah "tabaaraka" ertinya keberkatan itu datang daripadaNya jua. Contoh, Ramadhan itu dikatakan mubaarak, maka keberkatan yang ada pada Ramadhan itu bukanlah datang daripada diri bulan tersebut tetapi datangnya keberkatan itu daripada Allah ta`ala. 

Ulama memiliki beberapa pandangan ketika memberi makna dari sudut bahasa bagi kalimah "tabaaraka". Namun mereka sepakat bahawa semuanya merujuk kepada ketinggian, kemuliaan, kesempurnaan, kesucian dan keagungan Allah ta`ala. Sekadar untuk menjadi contoh, Sayyidina Ibnu 'Abbas radhiyaAllahu `anhuma mengertikan kalimah "tabaaraka" sebagai "ta`ala" yakni Maha Tinggi. Ibnu al-Anbari mengertikannya sebagai "taqaddasa" yakni Maha Suci. Imam al-Khalil bin Ahmad pula mengertikannya sebagai "tamajjada" yakni Maha Mulia, manakala ad-Dhahak pula sebagai "ta`adzdzama" yakni Maha Agung

Ulama Nusantara juga, ketika menterjemah kalimah "tabaaraka" memberikan beberapa terjemahan. Antaranya "Maha Suci", "Maha Berkah""Maha Mulia", "Maha Besar", "Maha Agung" dan seumpamanya. Syaikh Idris al-Marbawi dalam kamusnya menterjemah kalimah "TabaarakaAllah" sebagai "Maha Suci Tuhan". Syaikh Abdul Rauf al-Fanshuri pula menterjemah hujung ayat 54 surah al-A'raaf, "...TabaarakAllahu Rabbul `Aalamiin", sebagai ".... telah besar Allah ta`ala Tuhan sekalian 'alam." Dalam terjemahan al-Quran yang diterbitkan oleh Universitas Islam Indonesia, yang antara panel terjemahannya adalah KH Ahmad Bahauddin Noersalim @ Gus Baha, kalimah "tabaarakaAllah" diterjemahkan sebagai "Mahaberkah Allah". Dr. HAMKA pula dalam tafsir beliau mentafsirkannya sebagai berikut: "Maha Sucilah Allah, Pemelihara sekalian Alam." Maha Suci, Maha Berkat, penuh Kebesaran dan Kemuliaan Allah, sebagai Pengatur sekalian makhlukNya, sebab itu Dia pula Yang Maha Suci buat disembah dan diibadati. Sebab tidak ada yang bergerak ataupun diam, tidak ada yang beredar ataupun menetap, yang terlepas daripada hukum dan ketentuanNya." 

Dan akhirnya untuk penjelasan yang agak detail pula, mari kita lihat dalam "Tafsir al-Mishbah karya Prof. Dr. M. Quraish Shihab, di mana dijelaskan sebagai berikut:-
Kata tabaaraka terambil dari kata baraka yang berarti menetap dan mantap. Ia juga dipahami dalam arti kebajikan yang banyak. Allah adalah wujud yang tidak berubah, selalu ada dan menetap lagi banyak kebajikanNya. Dari penjelasan ini, terlihat bahawa kata tersebut tidak tepat bila diartikan Maha Suci, karena ini menafikan Allah dari segala kekurangan, sedang tabaaraka menetapkan bagiNya kesempurnaan. Patron kata tabaaraka biasanya mengandung makna upaya menonjolkan, karena itu kata ini ketika dinisbahkan kepada Allah, dapat difahami dalam arti sangat menonjol kebajikan yang disandang dan dinampakkan oleh-Nya. Itu semua terhampar jelas di alam raya. 
Sebagai penutup, faqir ingin berkongsi satu riwayat daripada Imam al-Hakim. Dalam "al-Mustadrak `ala ash-Shahihain", juz ke-2, halaman 461 beliau meriwayatkan, dengan sanad yang dinyatakan shahih olehnya dan diakui oleh  sebahagian lagi ahli hadits, bahawa Sayyidina Ibnu Mas`ud radhiyaAllahu `anhu menyatakan, antara lain, sebagai berikut:- "... Apabila seseorang hamba mengucapkan SubhaanaAllah, wal Hamdulillah, wa La ilaha illa Allah, waAllahu Akbar, wa TabaarakaAllah, malaikat akan segera menggenggam atau mengambilnya dan mendakap ucapan tersebut di bawah sayapnya. Lalu malaikat tersebut membawanya naik ke langit, tidak lalu malaikat tersebut dengannya atas mana - mana kumpulan malaikat melainkan mereka akan beristighfar bagi orang yang mengucapkan ucapan tersebut tadi sehingga didatangkan dengannya Wajh ar-Rahman (yakni sehingga si pembaca memperolehi keredhaan Allah ar-Rahman)......" Daripada riwayat ini kita dimaklumkan dengan kelebihan untaian zikir yang turut mengandungi ucapan "TabaarakaAllah". Pembaca untaian zikir tersebut akan memperolehi istighfar para malaikat dan keredhaan Tuhan Yang Maha Berkah. Riwayat ini dinukil oleh ramai ulama dalam kitab - kitab mereka, antaranya Imam as-Sayuthi dalam "ad-Durrul Mantsur fit Tafsir bil Ma`tsur", juz 12 pada halaman 257 - 258 dengan sedikit perbezaan lafaz. Mudah - mudahan ada manfaatnya, dapat istighfar malaikat dan redha Ilahi sehingga memperolehi husnul khatimah ketika mati.