Jumaat, Mei 28, 2021
Qasidah Syaikh al-Maami
Rabu, Mei 19, 2021
Berkat Doa Berkat
Selasa, Mei 11, 2021
Berkah Ramadhan
Syaikh Abu Ishaq al-Atsari, pentahqiq yang membuat notakaki bagi cetakan nashkah ad-Dibaaj ini menulis bahawa dalam lafaz hadis tidak ada sebarang rujukan kepada orang yang mati dalam bulan Ramadhan, lagi pun ramai orang fasik dan ahli maksiat yang mati dalam bulan ini. Sebagaimana si pentahqiq berhak dengan pendapat dan komentar beliau, maka begitulah dengan Imam al-Qurthubi dan Imam asy-Sayuthi yang menukilkannya. Sebenarnya apa yang diutarakan oleh Imam asy-Sayuthi dapat dijelaskan dengan beberapa kaedah pemahaman agar tidak salah difahamkan sehingga seolah - olah mutlak sesiapa yang mati dalam bulan Ramadhan tidak masuk neraka. Salah satu kaedahnya adalah dilihat pemahamannya dari bahasan sudut kelebihan atau fadhilat, yakni sebarang kelebihan itu baru boleh diambilkira atau dicapai setelah sesuatu itu sempurna atau sekurang - kurangnya mencukupi. Bila sudah cukup, barulah ada lebihnya, misalan seorang yang tidak shalat atau berpuasa kerana derhaka, kemudian mati dalam bulan Ramadhan, belum tentu mendapat kelebihan Ramadhan. Faqir kata "belum tentu" kerana hakikatnya hanya diketahui Allah dan lautan rahmat serta maghfirahNya amat luas. Maka seseorang yang keimanannya cukup dan amalan - amalan fardhunya cukup, inilah yang boleh menjadi calon mendapat kelebihan tersebut. Oleh itu, apa yang dikatakan oleh kedua-dua pihak tadi ada kebenarannya dan masih boleh diharmonikan, tanpa perlu memberikan kritikan - kritikan yang pedas sehingga ke tahap mencela akan para ulama yang mulia.
Mudah-mudahan dengan adanya pandangan yang diutarakan oleh Imam as-Sayuthi tersebut dapat memberi ketabahan dan ketenangan bagi mereka - mereka yang kehilangan insan yang dikasihi dalam bulan Ramadhan, lebih - lebih lagi saat -saat akhir Ramadhan menjelang Syawal. Tuan - tuan bayangkanlah betapa kesedihannya, bila kita nak raya, tetiba meninggal pula orang tua kita. Diharap dengan ingatan bahawa matinya dalam bulan yang mulia, terubatlah hendaknya hati yang duka..... Allahu .... Allah.
Namun perlulah diingat sentiasa, bahawa yang paling penting dan utama adalah mati dalam keadaan husnul khatimah. Tak kisahlah di mana, bila dan bagaimana matinya, asalkan husnul khatimah. Maka berusahalah dan mohonlah agar kita tutup usia dalam keadaan husnul khatimah. Allahummakh tim lana bi husnil khaatimah.
Sabtu, Mei 08, 2021
Ihya` Lailatil Qadr
Syaikh Nawawi al-Bantani al-Jawi rahimahullah dalam karangan beliau yang masyhur, Nihayatuz Zain, menerangkan 3 martabat ini pada halaman 193 sebagai berikut:- "Maka hidupkanlah dia (yakni hidupkanlah Lailatul Qadar) dan martabat menghidupkannya ada 3. Martabat yang tinggi, adalah menghidupkan malam tersebut dengan melakukan shalat. Martabat yang pertengahan, adalah menghidupkannya dengan berzikir (yakni melakukan amalan - amalan selain shalat seperti membaca al-Quran, doa dan sebagainya) pada kebanyakan masa dalam malam tersebut. Martabat yang rendah, pula adalah dia melaksanakan shalat Isya` dengan berjemaah dan shalat Subuh dengan berjemaah. Melakukan amalan dalam malam ini lebih baik dari amalan yang dilakukan dalam 1000 bulan. Sesiapa yang beramal pada malam tersebut dia akan mendapat kelebihannya walaupun dia tidak melihat alamat atau tanda atau keajaibannya, cuma sesiapa yang dapat melihat kebesarannya akan mendapat kelebihan yang lebih sempurna. Maka sunnat bersungguh - sungguh melakukan amal ibadat pada malam dan siangnya (yakni pada malam Lailatul Qadar dan pada siang hari selepas Lailatul Qadar). Bagi sesiapa yang memperolehi atau melihat tanda - tanda kebesaran Lailatul Qadar, sunnat baginya untuk menyembunyikannya (yakni jangan dikhabarkan kepada sesiapa pun bahawa dirinya telah bertemu Lailatul Qadar). Lailatul Qadar merupakan khususiyyah (keistimewaan) umat ini yang berterusan sehingga ke hari kiamat....."
Maka ambillah faedah, hidupkanlah Lailatul Qadar dengan melakukan amal ibadah. Sekurang - kurangnya kita menjaga berjemaah pada shalat Isya` dan shalat Subuhnya hatta dengan berjemaah sesama anak isteri kita semata. Mudah - mudahan terhasil sedikit sebanyak kelebihan Lailatul Qadar atas kita dan digandakan amalan yang sedikit tersebut dengan gandaan yang berlipat kali ganda melebihi 1000 bulan.
Jumaat, Mei 07, 2021
Faedah Dari Jamal & Jailani
Jika kita merujuk kepada karangan para ulama terdahulu, kita dapati sesetengahnya turut memperkatakan hal ini. Antaranya Syaikh Sulaiman Jamal rahimahullah dalam hasyiah beliau atas Syarah Minhaj bagi Syaikhul Islam Zakaria al- Anshari rahimahullah, jilid 2, halaman 356, menjelaskan sebagai berikut:- "... Mungkin ianya (yakni Lailatul Qadar) berlaku kepada setiap kaum sesuai dengan hitungan malam - malam mereka. Maka apabila terjadi Lailatul Qadar atas kita (sedangkan ianya) merupakan siang hari bagi selain kita, maka waktu ijabah dan ganjaran pahala Lailatul Qadar mereka itu ditangguhkan sehingga masuk waktu malam ke atas mereka (yakni berlakunya Lailatul Qadar tersebut menurut hitungan malam bagi setiap belahan dunia dan bukannya serentak pada satu waktu yang sama tanpa melihat keadaan siang atau malam berlakunya Lailatul Qadar tersebut). Berkemungkinan juga Lailatul Qadar itu berlaku secara tetap (serentak) pada satu waktu, meskipun suatu kaum berada di waktu siang manakala kaum yang lain berada di waktu malam. Namun yang zahir adalah pendapat atau kemungkinan yang pertama tadi (yakni setiap kaum akan mendapat Lailatul Qadar menurut hitungan malam mereka masing - masing), agar sesuai dengan sebutan 'malam' di sisi setiap dua kaum tadi (yakni satu kaum yang mengalami malam dan satu kaum yang mengalami siang). Kesimpulan ini diambil daripada apa yang diperkatakan mengenai saat ijabah pada hari Jumaat, di mana ianya berbeza - beza waktunya mengikut perbezaan waktu para khatib berkhutbah (yakni dalam pendapat yang menyatakan bahawa saat ijabah pada hari Jumaat itu adalah ketika khatib berkhutbah atau di antara dua khutbah dan sebagainya, maka saat ijabah itu adalah berbeza masanya mengikut waktu setiap khatib tersebut berkhutbah).
Maka untuk ringkasan bagi nas Hasyiah Jamal tersebut, ada dua pendapat mengenai berlakunya Lailatul Qadar tadi, iaitu (1) Berlakunya mengikut waktu malam bagi setiap negeri atau tempat masing - masing; dan (2) Berlakunya pada satu waktu secara serentak, tanpa mengira keadaan siang atau malam pada tempat - tempat tersebut. Namun pendapat yang zahir adalah yang pertama, yakni setiap negeri atau tempat mengalami Lailatul Qadar pada waktu malam mereka masing - masing. Maka tak perlulah dibuat carta pengiraan Lailatul Qadar di Malaysia agar bersamaan dengan waktu Lailatul Qadar di Mekah.
Seperkara lagi yang disebut dalam Hasyiah Jamal pada halaman 355 adalah jika seseorang dianugerahkan kemuliaan untuk melihat alamat atau tanda - tanda Lailatul Qadar, maka sunnat baginya untuk menyembunyikannya. Ini adalah kerana ianya satu kemuliaan (karamah) dan sesesiapa yang dapat karamah sunnat menyembunyikannya. Maka tidak perlulah dicanang - canang pengalamannya tersebut tanpa ada maslahah dan keperluan. Dinyatakan juga bahawa sesiapa yang beribadah pada malam yang bertepatan dengan Lailatul Qadar juga akan mendapat ganjaran Lailatul Qadar walaupun dia tidak merasa atau melihat atau menemui sebarang tanda atau alamat atau keajaiban Lailatul Qadar. Seseorang yang melakukan shalat Isya` berjemaah pada malam tersebut akan turut sama mendapat bahagian daripada ganjaran malam yang utama tersebut.
Mudah - mudahan kita diberikan taufiq untuk istiqamah dalam beribadah kepada Allah dengan penuh keikhlasan dan diberikan kemuliaan mendapat ganjaran pahala yang melebihi 1000 bulan. Biarlah setiap malam itu kita jadikan lailatul qadar, jangan sekadar hari - hari sahaja dijadikan hari raya.