Rabu, Disember 29, 2021

Shalawat Tafrijiyyah - TG Nik Aziz


Ada makhluk di Malaysia ini yang mensyirikkan Shalawat Tafrijiyyah, kita senyumkan sahajalah. Jika dilayan tak ke mana perginya, mengabihkan boreh jo. Penat anjing menyalak, berentilah dia. Yang penting kita jangan sampai berhenti mengamalkan amalan warisan para ulama kita. Maka Shalawat Tafrijiyyah ini adalah antara amalan shalawat yang kita warisi daripada tuan - tuan guru kita. Biasa diamalkan oleh alim ulama, awam muslimin, ahli - ahli wirid dan shalawat, dan telah masyhur hasil dan zahir keberkatannya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz rahimahullah, adalah antara ulama kita yang tidak mempermasalahkan amalan Shalawat Tafrijiyyah. Bahkan, shalawat ini menjadi amalan dan wirid beliau dan beliau mengajarkannya kepada masyarakat untuk diamalkan, sekurang - kurangnya pada setiap hari Jumaat. Maka hati - hatilah wahai saudara, tahan lidahmu daripada mencaci, mencemuh, mentohmah, membuat tuduhan sesat atau syirik terhadap saudara seagama. Juga tahan hatimu daripada berburuk sangka atas mereka. Mudah - mudahan dengan sedemikian hidup beragama kita dan mereka akan sentiasa harmoni dan damai, sama - sama berkiblat ke arah yang satu.

Shalawat Tafrijiyyah
(TG Nik Aziz)

Isnin, Disember 27, 2021

Hadiah Bacaan - TG Nik Aziz

Kita diajar untuk sentiasa ingatkan arwah saudara - saudara seagama yang telah meninggalkan dunia yang fana ini. Mereka - mereka yang sudah putus amal diri mereka, melainkan beberapa perkara. Selain daripada mendoakan mereka, maka dianjurkan juga oleh jumhur ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah agar kita bersedekah buat mereka, samada dengan material atau dengan membacakan ayat - ayat suci al-Quran, zikir dan shalawat. Tradisi menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada arwah orang - orang mati daripada kalangan muslimin muslimat telah menjadi amalan kebanyakan umat Islam di dunia ini. Bukan sahaja alam Melayu, tapi seluruh pelusuk dunia Islam. Tradisi tahlilan bukan sahaja diamalkan di rantau kita sahaja, bahkan di negara - negara lain juga, hatta di  Algeria, Tunisia, Maghribi (Morocco) dan sekitarnya yang tidak pernah bersentuhan dengan budaya Hindu pun melakukannya dengan gaya dan kaedah mereka sendiri namun isinya sama, iaitu menghadiahkan pahala bacaan Quran, shalawat, zikir, bersedekah dan mendoakan si mati. Jadi puak yang mentohmah bahawa tahlilan itu berasal dari budaya Hindu atau cuba menyamakan kenduri tahlil kita dengan tradisi Hindu, adalah keliru, tersasar dan menyimpang jauh dari kebenaran. 

Mari kita sama - sama dengar sedikit cuplikan daripada pengajian almarhum Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz berdasarkan kepada beberapa "hadis" yang dinukil dalam at-Tadzkirah fi Ahwalil Mawta wa Umuril Akhirah @ Tadzkirah al-Qurthubi. Perlu diingat bahawa walau apa pun pertikaian ulama mengenai status hadis - hadis ini, ia tidak memberi kesan atas hukum boleh dan harus bahkan mustahab untuk membacakan ayat - ayat suci al-Quran serta zikir - zikir lalu dihadiahkan pahalanya kepada orang mukmin yang telah meninggal dunia. Ini adalah kerana keharusan tersebut adalah berdasarkan kepada nas - nas lain yang muktabar. 

Maka janganlah cepat melatah jika dua hadis yang terkandung dalam kitab tersebut atau kitab - kitab lainnya dianggap dhaif atau bermasalah bahkan dikatakan sebagai mawdhu oleh sesetengah ulama. Tenang - tenang aja dan bacalah al-Fatihah untuk segala arwah kaum muslimin. Dua hadis yang faqir maksudkan adalah sebagai berikut:-
  • Diriwayatkan oleh as-Silafy daripada hadis Sayyidina `Ali bin Abi Thalib radhiyaAllahu `anhu berkata: Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang melalui kawasan perkuburan dan membaca Surah al-Ikhlash 11 kali lalu dihadiahkan pahalanya kepada segala arwah orang mati, dia akan diberi ganjaran pahala menurut bilangan orang - orang yang telah mati". 
  • Dikatakan sebagai diriwayat daripada hadis Anas, khadam Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, yang berkata: Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Apabila seorang mukmin membaca Ayatul Kursi dan menjadikan pahalanya untuk ahli kubur, maka Allah akan memasukkan ke dalam setiap kubur orang mukmin dari Timur ke Barat 40 nur serta dilapangkanNya akan kubur - kubur mereka. Diberikan Allah kepada si pembaca tadi (seumpama) pahala 60 nabi, diangkatkan darjatnya menurut bilangan orang - orang mati tersebut dan diberikan baginya untuk setiap orang mati tersebut 10 pahala kebajikan.
Mengenai ganjaran - ganjaran tersebut, maka terpulanglah kepada kemurahan Allah ta`ala semata. Jika dikatakan seumpama diberi pahala 60 nabi, maka jangan jump to conclusion yang kita mendapat seratus persen pahala segala amalan dan perjuangan serta dakwahnya para nabi tersebut. Jangan pula hendak disamakan diri kita dengan para nabi yang mulia lagi maksum. Pahala Nabi tersebut tidak diperincikan dalam riwayat tersebut, mungkin pahala yang dimaksudkan adalah pahala tidurnya para nabi atau pahala debu yang melekat di pakaian mereka ketika berjalan, umpama. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Apa - apa pun, jika benarlah riwayat tersebut, maka mutlak atas Allah memberikan apa jua ganjaran menurut kehendakNya. Maka teruskanlah berbuat ihsan kepada segala arwah saudara - saudara kita dengan banyak berdoa dan bersedekah untuk mereka. Akhir kata faqir sudahi dengan pesanan Tuan Guru Nik Aziz rahimahullah sebagai bukti beliau tidak anti itsal ats-tsawab atau hadiah pahala kepada si mati. Antara pesan beliau:...."Baca  QulhuwaAllah ka sepatah, Ayat Kursi ka sepatah, Hei Tuhanku hadiah pahala ini pada orang kubur....." Harap dengar elok - elok pengajian Tuan Guru, mudah - mudahan bermanfaat.

Klip Ceramah  TG Nik Abdul Aziz
(Hadiah Bacaan Kepada Arwah)

Khamis, Disember 23, 2021

Qawl Muktamad Sampai Pahala

Pendapat yang muktamad dalam Mazhab Syafie adalah pahala bacaan al-Quran yang dihadiahkan kepada simati akan sampai kepadanya. Pendapat ini dinyatakan oleh para ulama kita
`alaihim ridhwanUllah, antaranya guru besar yang menjadi gurunya para guru kita dan para ulama Nusantara, Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi @ Sidi al-Bakri ad-Dimyathi rahimahullah. Dalam kitabnya yang masyhur I`aanatuth Thaalibiin, juz 3, halaman 258, Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi dengan terang menukil daripada Imam Bujairimi bahawa qawl masyhur yang mengatakan pahala bacaan al-Quran dihadiahkan kepada simati tidak sampai kepadanya adalah qawl dhaif. Manakala yang muktamad adalah sebaliknya, iaitu menurut QAWL MUKTAMAD, pahala bacaan al-Quran yang dihadiahkan kepada orang mati adalah sampai kepadanya. Jadi ini kedudukan hukum masalah ini dalam Mazhab Syafie. Maka Mazhab Syafie juga berpandangan pahala bacaan al-Quran yang dihadiahkan kepada simati sampai kepadanya. Fahami dengan benar kedudukan hukum ini dalam mazhab kita. Ramai yang terkeliru dalam masalah ini sehingga beranggapan bahawa qawl masyhur itulah qawl yang muktamad yang menjadi pegangan dalam Mazhab Syafie, sedangkan hakikatnya tidaklah sedemikian.

Hukum Membaca al-Quran Di Kubur
(Tuan Guru Haji Abdul Hadi)

Selasa, Disember 21, 2021

Jangan Tinggalkan Barzanji

Siapa yang tidak kenal akan kitab Mawlid al-Barzanji? Kitab Mawlid yang paling masyhur di dunia Melayu. Mawlid ini sangat dekat dengan bangsa kita, rata pondok - pondok di Tanah Melayu dan Nusantara menjadikan kitab ini sebagai bacaan "mesti" dalam majlis - majlis memperingati mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Masyarakat awam kita juga tidak jauh dengan kitab mawlid ini, dahulu dalam setiap kenduri - kendara seumpama nikah kahwin dan kesyukuran, pasti dibacakan sedikit sebanyak fashal daripada kitab yang mulia ini lalu diikuti dengan bacaan shalawat dan marhaban dan ditutup dengan doa. Sekarang pun masih tetap berlaku sedemikian, melainkan di tempat - tempat yang sudah termakan dakyah ahli bid`ah membid`ah. Maka boleh kita katakan bahawa Mawlid Barzanji ini telah kita warisi daripada para ulama kita zaman berzaman dari mula tok nenek kita menerima Islam sehinggalah ke hari ini. Seharusnyalah kita tetap pelihara warisan tok nenek kita ini dengan melestari dan terus membaca kitab yang berkat ini.

Ulama kharismatik Tanah Seberang, KH Maimoen Zubair rahimahullah amat mengambil berat terhadap Mawlid Barzanji. Dalam pengajian, beliau pernah menyatakan, sebagaimana dirakam dalam buku KH. Maimoen Zubair: Nur Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam pada halaman 65, sebagai berikut: Tahun 1100H ke atas. Perkembangan ilmu pengetahuan Islam maju lagi. Yaitu munculnya Kitab al-Barjanji yang mensyiarkan tentang rasa cinta kepada Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam. Jangan kalian melupakan kitab asal ini meskipun sudah ada kitab - kitab yang memuji terhadap Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam yang dikarang oleh ulama selain Imam al-Barjanji.


Sesungguhnya Mawlid al-Barzanji tidak cukup dengan pengenalan, cuma yang perlu berkenalan yang lebih akrab, dengan banyak membaca dan mengambil faedah daripadanya. Tersangat banyak manfaat, faedah dan pelajaran daripada pribadi dan sirah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang dapat dipetik daripada kitab yang kecil tersebut. Bermawlid bukan sahaja ertinya bershalawat tapi juga mengambil faedah dan pengajaran daripada apa yang dibaca atau didengar atau dilantun. Mudah - mudahan kitab Mawlid al-Barzanji karya Mufti Madinah ini tetap terus dibaca demi membesar dan mengagungkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Klip Ceramah Gus Baha
(murid KH Maimoen)

Jumaat, Disember 17, 2021

Shalawat Badawi - Kiyai Agung

Sempena Hari Jumaat yang mulia, faqir tulis sedikit lagi mengenai Shalawat Badawi atau lebih dikenali dengan nama Shalawat Nuril Anwar. Shalawat yang sangat berkat ini dinisbahkan kepada Sidi Ahmad al-Badawi radhiyaAllahu `anhu, seorang wali yang mencapai darjat quthub. Maka terpulanglah kepada masing - masing, samada percaya atau tidak. Shalawat yang sangat berkat ini telah banyak diamalkan orang dan mereka telah merasai kelazatan dan keberkatannya. Maka tidak hairan jika kelebihan dan khasiatnya telah ditulis dalam kitab para ulama berdasarkan kepada tajribah yang telah mereka perolehi atau berdasarkan kepada pengalaman rohani orang lain. Terserahlah samada percaya atau tidak, sebab ianya bukan nas syarak yang mesti dibenarkan. Umpama jika orang tua - tua kata, pokok ni elok untuk kesihatan, maka itu adalah berdasarkan kepada pengalaman mereka atau pengalaman orang yang telah mencubanya, bukannya ada nas syarak yang kata begitu dan bukan juga kerana sudah diuji di makmal ketika itu. Jadi terpulang untuk percaya atau tidak, tak perlu nak bergaduh atau berbalah yang menghabiskan umur dan tenaga. Berbalik kepada bicara shalawat.

Risalah yang dinamakan sebagai al-Futuuhatul Ilahiyyah adalah antara karya tulis Kiyai Agung Syaikh Muhammad as-Suhaimi. Dalam karangan berbahasa Arab tersebut, Kiyai Agung menerangkan serba sedikit tentang zikir / wirid harian Imam Hujjatul Islam al-Ghazali yang masyhur dan zahir keberkatannya pada ramai orang yang mengamalkannya. Zikir harian Imam Hujjatul Islam ini telah masyhur, almarhum Ustaz Ghazali Hasbullah dahulu pernah menghuraikan amalan zikir ini dalam syarahan beliau dengan rakaman kaset yang tersebar ke tengah masyarakat dengan jodol Ubat Hati yang pernah masyhur satu ketika dahulu. Berkaitan Shalawat Nuril Anwar, pada halaman 15 - 16 kitab tersebut, Kiyai Agung menyatakan sebagai berikut (dengan terjemahan bebas):- Ramai awliya` telah menyebut bahawasanya lafaz (shighah) shalawat yang dinisbahkan kepada al-Quthubul Kaamil Sayyidi Ahmad al-Badawi radhiyaAllahu `anhu adalah sebab bagi menghasilkan nur yang banyak serta menyingkap banyak rahsia - rahsia hakikat dan makrifat (asrar). Ianya adalah di antara sebesar - besar sebab untuk berhubung dengan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika tidur dan jaga. Dalam shalawat ini terdapat rahsia - rahsia bagi memudahkan rezeki zahir, iaitu rezeki badan jasmani dan rezeki batin, iaitu rezeki bagi ruh. Maka bagi shalawat ini keistimewaan yang banyak, yang tidak dapat dibilang dan dikira.......

Maka kita sebagai ahli PAS (Puak Ahlis Sunnah) hendaknya jangan mensia-siakan amalan para awliya` dan alim ulama kita. Jangan terpengaruh dengan puak PAS (Puak Ajaran Sesat) yang langsung tidak meng"umpama"kan para alim ulama dan awliya`.

Isnin, Disember 13, 2021

Bi Rasulillah wal Badawi

Sidi Ahmad al-Badawi adalah seorang wali dan ulama yang sudah masyhur dikenali ramai. Manaqib dan kisah - kisah karamah beliau sudah banyak ditulis. Antara amalan beliau yang sudah tersebar adalah dua shighah shalawat, iaitu Shalawat Nuril Anwar dan Shalawat Nuraaniyyah @ ash - Shalatu al-Ahmadiyyah (Shalawat Ahmadiyyah). Maka tidaklah menjadi sesuatu yang pelik, jika ramai yang bertawassul dengan beliau bagi memohon perkenan Allah atas hajat keperluan mereka. Namun, tiada seorang pun daripada mereka - mereka yang beriman itu beriktikad bahawa Sidi Badawi mempunyai kuasa, yang Maha Berkuasa hanya Allah, Sidi Badawi hanya memiliki kedudukan yang tinggi di sisi Allah sebagai warisnya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, tiadalah martabat dan kedudukan Sidi Badawi melainkan kerana ikutan yang sempurna beliau bagi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka digelarlah beliau sebagai Babun lin Nabi yakni " Pintu kepada hadhrat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam", iaitu pintu untuk mengenali, mencintai dan mengikuti  Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan sepenuh jiwa dan raga. 

Menurut almarhum Dr. Abdul Halim Mahmud, mantan Syaikhul Azhar, dalam buku beliau yang berjodol "Aqthaab at-Tashawwuf, as-Sayyid Ahmad al-Badawi radhiyaAllahu `anhu", karamah terbesar bagi Sidi Ahmad al-Badawi adalah kejayaan beliau dalam mentarbiyyah manusia - manusia yang akhirnya menjadi pahlawan - pahlawan agama yang berjihad di jalan Allah. Telah masyhur kisah perjuangan Sidi Badawi dan murid - murid beliau dalam medan peperangan melawan musuh - musuh Islam. Juga telah masyhur kisah - kisah karamah Sidi Badawi yang membebaskan para pejuang Islam yang ditawan tentara - tentera Salib sehingga penduduk Mesir menyebut Sidi Badawi dengan lahjah mereka sebagai Jaabal Yusra iaitu Sang Pembebas Tawanan. Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah juga tidak ketinggalan menukilkan kisah karamah Sidi Badawi dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin, antaranya pada halaman pada halaman 146 sebagai berikut:-
... Dan berkata al-Imam asy-Sya'raani radhiyaAllahu `anhu di dalam kitabnya yang dinamakan Thabaqat: " Telah aku lihatkan dengan mataku pada tahun 945, satu tawanan atas menara Sayyidi `Abdul `Aal radhiyaAllahu `anhu, hal keadaannya dengan rantainya. Maka aku tanyakan dia daripada demikian itu. Maka sahutnya: "Antara adalah aku pada negeri Ifranj (Eropah) ditawankan daku oleh Nasrani, maka tawajjuhku kepada Sidi Ahmad al-Badawi pada akhir malam, maka tiba - tiba aku dengan Sidi Ahmad al-Badawi. Maka mengambil ia akan daku dan diterbangkan dengan aku pada hawa`, maka menghantar ia akan daku di sini." Kemudian diam ia dua hari hal keadaannya pening kepalanya daripada sangat deras terbang itu. Dan diriwayatkan daripada Sidi Ibrahim al-Mabtuli radhiyaAllahu `anhu katanya: "Berkata bagiku Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, tiada pada awliya` Mesir kemudian daripada Muhammad bin Idris yakni Imam asy-Syafie terlebih besar futuwwah daripadanya, yakni daripada Sidi Ahmad al-Badawi radhiyaAllahu `anhum wa nafa`ana bi barakatihim, aamiin.....

Futuwwah
itu secara ringkas dapat diertikan, antaranya, sebagai beretika tinggi, berakhlak mulia, amat dermawan, budiman, sangat prihatin dan peduli serta mengambil berat akan kesusahan orang lain, bermaruah tinggi dan amat berani dalam menegakkan kebenaran. Untuk mengetahui lanjut penjelasan mengenai futuwwah, silalah merujuk kepada kitab - kitab tashawwuf seperti Risalah al-Qusyairiyyah karangan Imam al-Qusyairi, Kitab al-Futuwwah karangan Imam as-Sulami, Kitab al-Futuwwah karangan Ibnu al-Mi'mar al-Baghdadi al-Hanbali dan sebagainya. Mudah - mudahan Allah melimpahkan keberkatan Imam asy-Syafie dan Sidi Ahmad al-Badawi kepada kita dan segala anak turunan kita sekaliannya.

Qasidah Bi Rasulillah wal Badawi

Jumaat, Disember 03, 2021

Madad Ya RasulAllah - Sidi Bajuri

Bagi umat Islam di tempat kita, bahkan di rantau Nusantara ini, amalan beristighatsah (yakni tawassul dalam bentuk seruan) dengan kata atau kalimah "madad" seperti ungkapan - ungkapan istighatsah seumpama: "Madad Ya RasulAllah" atau "Madad Ya Husain", bukanlah sesuatu yang biasa atau lazim dilakukan, berbanding di negara - negara Timur Tengah seperti Mesir dan sekitarnya. Masyarakat awam di negara kita, mungkin baru kenal dengan istilah "madad"  tersebut, setelah tersebarnya qasidah "al-Madad" yang dilantunkan oleh Habib Syaikh bin Abdul Qadir hafizahullah. Sebagaimana istighatsah, perkara ini tidak lepas daripada pertikaian ulama, ada yang mengharuskannya dan sebahagian pula menegahnya. Jadi, ianya adalah perkara yang menjadi ikhtilaf di kalangan ulama. Maka berlapang dadalah, janganlah menjadikan ia satu alasan untuk menyerang, menghukum atau lebih dahsyat lagi, mensyirikkan sesama umat yang mentawhidkan Allah `azza wa jalla. Mereka - mereka yang beristighatsah dengan kalimah "madad" (tolong / bantu / sokong) sebenarnya hanya memohon bantuan yang boleh atau dapat dihulurkan oleh seseorang dengan izin Alah serta berkeyakinan bahawa yang Maha Berkuasa atas segala - galanya hanya Allah ta`ala semata.

Syaikh Shalih al-Ja'fari rahimahullah, ulama yang menjadi Imam Masjid al-Azhar asy-Syarif yang terkenal dengan kewaliannya, pernah ditanya mengenai hal  istighatsah dengan seruan madad ini dan beliau menjelaskannya sebagai berikut:- "Orang yang berakal ketikamana mengucapkan sesuatu kalimah, pasti dia mengetahui maksudnya. Maka aku bertanya kepadamu: "Ketika engkau lapar dan berkata kepada ibumu: "Madad (Tolong)", lalu apa yang engkau maksudkan?" Maksudnya pasti: "(Tolong) Berikan aku makanan." Oleh itu, kalimah "al-madad" bererti: "Tolonglah aku dengan apa yang ada padamu atau bersamamu." Seorang lelaki yang sedang makan kurma, jika engkau berkata kepadanya: "Madad", maksudnya adalah: "Tolong berikan kepadaku sebiji." Seorang lelaki yang sedang minum air, apabila engkau berkata kepadanya: "Madad", ertinya adalah: "Tolong berikan aku secawan." ........ Dan wali Allah itu sentiasa dalam keadaan berzikir dan berdoa kepada Allah, lalu jika engkau berkata kepadanya: "Madad", ertinya adalah: "Tolonglah aku dengan doa." Sidi Ibrahim ad-Dusuqi radhiyaAllahu `anhu berzikir ingatkan Tuhannya di raudhahnya (yakni di makamnya) siang dan malam, maka apabila engkau berkata kepadanya: "Madad Ya Sayyidi Ibrahim", ertinya : "Tolonglah aku dengan doa." Sidi Ibrahim (yang telah wafat) tidak mempunyai makanan dan minuman di sisinya, yang ada di sisi beliau adalah doa yang mustajab sahaja. Adakah engkau yang bertanya (mengenai persoalan madad ini) telah faham ???

Justru itu, di Mesir, bumi al-Azhar, bumi ilmu yang dipenuhi ulama - ulama besar, orang - orang yang beristighatsah dengan kalimah "madad" seperti "Madad Ya Husain", tidaklah dipersoalkan sangat, apatah lagi sehingga dihukumkan sebagai syirik dan seumpamanya. Jangankan orang darat, bahkan para ulamanya pun bermadad dengan anbiya` dan awliya`. Kita tidak menafikan ada segelintir ulama yang tidak suka dengan istighatsah seumpama ini, namun ini tidak menjadikan hukum beristighatsah dengannya sebagai haram mutlak. Makanya pihak berwenang di sana telah mengeluarkan fatwa agar jangan bermudah - mudah untuk mensyirikkan mereka - mereka yang beristighatsah dengan menyebut: "Madad Ya Husain" atau seumpamanya.

Syaikhul Azhar yang ke-19, ulama dan wali terbilang, pengarang kitab - kitab yang menjadi sandaran dan rujukan sehingga ke hari ini, al-Imam al-`Alim al-'Allaamah Sidi Ibrahim al-Bajuri rahimahullah ketika menulis khatimah (penutup) bagi karangan beliau yang masyhur dalam fiqh Syafie, "Hasyiah al-Bajuri `ala Ibni Qasim al-Ghazi", menyatakan bahawa beliau telah melakukan tawassul dan istighatsah dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan ahli bait radhiyaAllahu `anhum, memohon bantuan dan sokongan (boleh sahaja bantuan dan sokongan tersebut berupa doa restu atau syafaat atau keredhaan atau sebagainya menurut kehendak dan izin Allah ta`ala, Yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa) dengan menggunakan seruan "madad".  Beliau menulis pada halaman 396, juz 2 (hujung kitab tersebut), antara lain, sebagai berikut:-
.....Dan demikian pula, sebahagian ibarat kitab hasyiah ini telah aku tulis di al-Haram al-Madani (Masjid Nabawi) di sisi mimbar Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam dan semoga Allah merezekikan kami untuk kembali menziarahinya. Dan aku berkata di sisi baginda dan di hadapan baginda: "Madad-ka Ya RasulAllah, shallaAllahu `alaika wa sallam, Madad-ka Ya RasulAllah, shallaAllahu `alaika wa sallam, Madad-ka Ya RasulAllah, shallaAllahu `alaika wa sallam." Dan aku juga berkata: "Madad-kum, Ya Ahlal Bait, radhiyaAllahu ta`ala `ankum ajma`in, Madad-kum, Ya Ahlal Bait, radhiyaAllahu ta`ala `ankum ajma`in, Madad-kum, Ya Ahlal Bait, radhiyaAllahu ta`ala `ankum ajma`in, ........
Allahu .... Allah, adakah Sidi Ibrahim Bajuri telah jadi syirik dengan ucapan tersebut????? 

Selanjutnya, tidak kurang menarik, catatan Sidi Ibrahim yang menyatakan bahawa beliau telah sempurna menulis karyanya bertepatan dengan hari peringatan mawlid bagi Sidi Ahmad al-Badawi radhiyaAllahu ta`ala `anhu, lalu beliau telah membacakan Surah al-Fatihah untuk dihadiahkan kepada Sidi Badawi (laaaaaa faqir ingatkan orang bodoh seperti kita sahaja yang hadiahkan al-Fatihah kepada arwah, rupanya ulama besar faqih Syafie pun melakukannya). Bukan itu sahaja, Sidi Ibrahim al-Bajuri juga berpesan kepada sesiapa yang menamatkan pembacaan kitab beliau tersebut untuk menghadiahkan bacaan al-Fatihah kepada Sidi Ahmad al-Badawi . Allahu ....Allah, cinta sungguh Sidi Bajuri dengan Sidi Badawi. Dalam juz pertama Hasyiah tersebut pada halaman 245, Sidi Ibrahim al-Bajuri menyatakan bahawa jika seseorang yang mati diberikan keramat sehingga boleh memandikan jenazah dirinya sendiri setelah matinya itu, maka memadailah mandinya itu untuk menggugurkan kewajipan atas orang lain memandikan jenazahnya, lalu beliau mencontohkan bahawa keramat seperti ini telah berlaku ke atas Sidi Ahmad al-Badawi radhiyaAllahu `anhuma wa `an jami`il awliya` wal ashfiya` wal `ulama wash shalihin.......Lahumul Fatihah. Mudah - mudahan bermanfaat dan Allah limpahkan keberkatan yang dianugerahkanNya kepada beliau - beliau tersebut kepada kita dan anak keturunan kita sekaliannya.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Tiada kesalahan dalam meminta pertolongan (madad) daripada para nabi, wali dan orang - orang shalih. Meminta pertolongan daripada para nabi, wali dan shalihin, samada yang masih hidup maupun yang sudah wafat adalah sebahagian perkara yang disyariatkan, yang telah menjadi amalan kaum Muslimin. - Dr. Shauqi 'Allam, Mufti Mesir.

Qasidah Masyhur 
(Madad Ya Maulana Ya Husain)