Selasa, Julai 26, 2005

Atas Batu Jemala Patik

Dua bait syair ini kupetik dari kitab "Ghaitsul Mawaahib" karangan Imam Ibnu 'Ubbad ar-Randi yang merupakan syarah bagi kitab "al-Hikam" Ibnu 'AthoIllah as-Sakandari r.a. Bait-bait ini memperingatkan kita bahawa mengingati dan menyebut orang sholeh, orang wali atau orang Allah (ahlullah) itu merupakan kemuliaan dan kebesaran. Kalian mungkin sudah tahu atsar dan hadits berhubung dzikrus sholihin ini. Aku di sini tak berhasrat mengulanginya, mungkin kalau perlu di lain ketika. Guruku pernah bercerita bahawa Syaikh Muhammad al-Bajli telah bermimpi melihat Junjungan Nabi s.a.w. di mana dia bertanya kepada Junjungan mengenai amalan yang terbaik (yakni selepas segala kefardhuan dan sunnah yang warid). Junjungan s.a.w. menjawab: "DUDUK DI HADAPAN SEORANG WALI WALAUPUN SEKADAR MEMERAH SUSU SEEKOR KAMBING ATAU MEREBUS SEBIJI TELUR." Ya, inikan mimpi sahaja, terpulanglah mau nerima atau tidak. Berbalik kepada bait di atas, "Li saadatun min 'izz-zihim * Aqdaamuhum fauqal jibaah; In lam akun minhum fa liy * Fi dzikrihim 'izzun wa jaah." [Ada bagiku para pemimpin atau ikutan yang daripada kemuliaan mereka; tapak kaki mereka atas segala dahi (yakni ibarat bagi ketinggian darjat mereka di sisi Allah, seperti ucapan Sidi Abdul Qadir Jilani "Kakiku atas tengkuk para wali"); Walaupun aku belum tergolong dari kalangan mereka, maka bagiku; Dalam mengingati/menyebut mereka itu kemuliaan dan kebesaran.] Allahummaj 'alna minhum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan