Biar kuperkenalkan kepada kalian profil ringkas ulama dan wali besar ini agar kita tahu bahawa dunia Islam ini kaya dengan ulama, bukan hanya terhad kepada Ibnu Taimiyyah, Ibnu Abdul Wahhab dan al-Albani sahaja. Syaikh Abul Fadhl Tajuddin Ahmad bin Muhammad bin Abdul Karim bin Abdur Rahman bin Abdullah bin Ahmad bin Isa bin al-Husain 'AthoIllah al-Jizami rhm. lahir di Kota Iskandariah, Mesir merupakan seorang ulama bermazhab Maliki, ada juga ahli sejarah yang mengatakan bahawa beliau bermazhab Syafi`i. Pada mulanya beliau hanya mendalami ilmu fiqh dan tidak begitu gemar dengan ahli-ahli tasawwuf dan tarikat sehinggalah beliau berjumpa dengan Syaikh Abul Abbas al-Mursi, syaikh tarikat asy-Syadzaliyyah, yang merupakan murid dan khalifah Syaikh Abul Hasan 'Ali asy-Syadzali. Akhirnya beliau menjadi murid kepada Syaikh Abul Abbas al-Mursi dan menjadi khalifahnya setelah kewafatan gurunya tersebut. Syaikh Ibnu AthoIllah lahir pada tahun 648H/1250 dan hidup sezaman dengan Ibnu Taimiyyah. Bahkan Ibnu Taimiyyah berkesempatan bertemu dengannya dan terjadi soal-jawab antara mereka sehingga Ibnu Taimiyyah membisu seribu bahasa. Insya-Allah, pada kesempatan lainkan kunukil perdebatan ini. Syaikh Ibnu AthoIllah adalah termasuk ulama yang produktif dan telah mengarang tidak kurang dari 20 kitab dalam berbagai bidang. Antara kitab karangannya ialah "al-Hikam" yang masyhur yang boleh dianggap sebagai magnum opusnya, "Bahjatun-Nufus", "at-Tanwir fi Isqath at-Tadbir", "Misbahul Falah wa Miftahul Arwah" dan "al-Qawl al-Mujarrad fil Ismil Mufrad" di mana dia menjawab Ibnu Taimiyyah berhubung masalah tauhid dan zikir ism mufrad (yakni zikir Allah..Allah). Syaikh Ibnu 'AthoIllah terkenal sebagai ulaam yang dikagumi dan bersih, yang tampil menjadi panutan bagi mereka-mereka yang ingin mensucikan diri dalam meniti jalan menuju Ilahi. Beliau wafat pada 16 Jamadil Akhir 709H ketika masih mengabdikan dirinya mengajar di Madrasah al-Manshuriyyah. Jenazahnya disemadikan di Qarafah dan sehingga saat ini sentiasa menjadi tumpuan ziarah orang yang ingin menuruti sunnah Junjungan s.a.w. dan mencari keredhaan Ilahi. Moga Allah meredhainya dan memberkati aku dan kalian. Al-Fatihah....
Assalamu'alaikum sidi. sy amat berharap jika sidi berkelapangan dan berkesempatan utk memanjangkan perdebatan diantara Ibnu Taimiyyah dgn Syaikh Ibnu AthoIllah seperti yg sidi tlh terangkan didlm artikel "Ibnu Athoillah as-Sakandari" buat tatapan umum.
BalasPadamSemoga usaha sidi dirahmati Allah.Terima kasih