Adapun kelebihan Malam Nishfu Sya'baan itu telah disebutkan di dalam hadis shahih daripada Mu`az bin Jabal radhiallahu `anhu, bersabda Rasulullah Shallallahu `alaihi wa sallam yang maksudnya :
"Allah memandang kepada semua makhlukNya di Malam Nishfu Sya'baan, maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan." (Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban)
Di Malam Nishfu Sya'baan juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Berkata Imam asy-Syafi`ie dalam kitabnya al-Umm: "Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya `Aidil Fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nishfu Sya'baan."
Malam Nishfu Sya'baan merupakan malam yang penuh rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta`ala. Kenyataan ini dapat direnung kepada hadis yang diriwayatkan oleh Mu`az bin Jabal radhiallahu `anhu di atas.
Adapun cara menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan sebagaimana yang dilakukan sekarang ini tidak berlaku pada zaman Nabi shallallahu `alaihi wasallam dan zaman para sahabat. Akan tetapi ia berlaku pada zaman tabi`in dari penduduk Syam. Menyebut al-Qasthalani dalam kitabnya al-Mawahib al-Ladunniyah, bahawa para tabi`in daripada penduduk Syam seperti Khalid bin Ma'dan dan Makhul, mereka beribadat dengan bersungguh-sungguh pada Malam Nishfu Sya'baan. Maka dengan perbuatan mereka itu, mengikutlah orang ramai pada membesarkan malam tersebut.
Para tabi`in tersebut menghidupkan Malam Nishfu Sya`baan dengan dua cara:
- Sebahagian mereka hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di waktu malam (qiamullail) untuk bersembahyang sunat dengan memakai harum-haruman, bercelak mata dan berpakaian yang terbaik.
- Sebahagiannya lagi melakukannya dengan cara bersendirian. Mereka menghidupkan malam tersebut dengan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa dengan cara bersendirian.
Ada pun cara kita sekarang ini menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan dengan membaca Al-Quran seperti membaca surah Yaasiin, berzikir dan berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh para tabi`in itu.
Berhubung dengan persoalan sholat khas Nishfu Sya'baan, maka berlaku khilaf antara ulama kita, ada yang mensabitkannya seperti Hujjatul Islam al-Ghazali dan ada yang memandangnya sebagai bid`ah yang keji. Khilaf berlaku pada pengkhususan sholat yakni memandang adanya satu sholat khusus malam tersebut seperti tarawih atau sholat hari raya. Untuk keluar dari khilaf bagi sesiapa yang hendak bersholat, maka lakukanlah sholat-sholat sunnat seperti sunat Awwabin (di antara waktu Maghrib dan Isya`), sembahyang tahajjud, akhirnya sembahyang witir atau sembahyang sunat muthlaq . Sembahyang sunat muthlaq ini boleh dikerjakan pada bila-bila masa sahaja sama ada pada Malam Nishfu Sya'baan atau pada malam-malam yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan