Isnin, Oktober 31, 2005

Karamah Sayyidah Nafeesah

Diceritakan bahawa Sayyidah Nafeesah mempunyai jiran Yahudi. Keluarga Yahudi ini mempunyai seorang anak perempuan yang dilahirkan lumpuh kedua-dua belah kakinya. Lumpuh anak tersebut tidak dapat dipulihkan walaupun telah puas berusaha, sehinggalah anak tersebut meningkat dewasa. Pada satu hari ibunya hendak ke tempat permandian umum, dia mengajak anaknya pergi bersama tetapi anak tersebut enggan. Oleh kerana tiada sesiapa yang hendak menjaganya di rumah, maka ibu anak tersebut telah menghantar anak itu ke rumah jirannya, Sayyidah Nafeesah, untuk ditumpangkan buat seketika. Sayyidah Nafeesah menerima dengan senang hati. Setelah ibu anak tersebut pergi, Sayyidah Nafeesah mengambil wudhunya untuk menyambung sholatnya, hal ini diperhati oleh anak Yahudi tersebut, setelah selesai berwudhu, Sayyidah Nafeesah meneruskan sholatnya. Anak Yahudi tersebut mengambil bekas wudhu Sayyidah Nafeesah dan melumurkannya ke kakinya yang lumpuh sambil memohon agar dengan keberkatan Sayyidah Nafeesah dia disembuhkan. Dengan izin Allah, seketika itu juga anak Yahudi tersebut dapat bangun dan berjalan seperti biasa seolah-olah tidak pernah lumpuh. Apabila ibunya pulang, maka terkejutlah ibunya. Anak itu telah menceritakan halnya kepada ibu bapanya, akhirnya keluarga Yahudi tersebut masuk Islam di bawah tangan Sayyidah Nafeesah. Allahu Akbar, sememangnya ada riwayat yang menyatakan bahawa bekas wudhu orang mukmin itu adalah penawar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan