Selasa, Disember 06, 2005

Fatwa Imam al-Haddad 1


Ikhwah, sempena ulang tahun kewafatan Imam al-Haddad, mari kita nukil sedikit fatwa beliau berhubung dengan bacaan al-Qur`an, tahlil dan doa buat para arwah yang telah meninggal dunia. Kemudian, kita timbanglah sendiri, nak ikut fatwanya atau ikut fatwa selainnya. Kita tak marah kalau orang tak ikut, cuma jangan jadi Wahhabi tuduh yang ikut sebagai bid`ah dan sesat. Sunni sentiasa bertasamuh. Fatwa ini kunukil dari kitabnya yang berjodol "Sabilul-Adzkar" :-
  • Dan di antara yang memberi manfaat Allah dengannya bagi si mati di dalam kuburnya dan yang menolak azab kubur daripada si mati ialah doa, istighfar dan sedekah bagi si mati (yakni atas nama si mati atau buat si mati). Dan perkara ini telah banyak warid datangnya dalam berbagai khabar/hadis dan atsar serta telah dilihat dalam banyak mimpi-mimpi yang baik oleh orang-orang sholih dan baik.
  • Dalam sebuah hadits dinyatakan:- "Bahawasanya Sa`ad bin 'Ubaadah r.a. berkata kepada Junjungan Rasulullah s.a.w.: "Sesungguhnya ibuku telah meninggal dalam keadaan mengejut, dan jika sekiranya dia sempat bercakap nescaya dia akan bersedekah (yakni dia akan menyuruh untuk bersedekah), maka adakah bermanfaat baginya jika aku bersedekah bagi pihaknya ?" Junjungan s.a.w. bersabda: "Ya." Maka Sa`ad pun menggali sebuah telaga dan berkata:- "(Telaga) ini buat ibu Sa`ad (yakni disedekahkan atas nama ibunya)."
  • Dan telah berkata seseorang kepada Junjungan s.a.w.:- "Wahai RasulAllah, bahawasanya telah meninggal kedua ibubapaku, maka adakah tinggal sesuatu (amalan) yang boleh aku baktikan buat keduanya ?" Junjungan s.a.w. menjawab: " Empat amalan:- (1) berdoa buat keduanya; (2) istighfar buat keduanya; (3) menunaikan janji yang telah dibuat oleh mereka sewaktu hidup; dan (4) menghubung silatur rahim yang tidak tersambung melainkan dengan perantaraan kedua mereka."
  • Dan telah diriwayatkan bahawa Junjungan s.a.w. bersabda:- "Jika sekiranya tidak ada orang hidup nescaya binasalah orang mati," iaitu jika tidak sampai kepada si mati akan doa, istighfar dan permohonan rahmat daripada orang hidup kepada mereka.
  • Dan Junjungan s.a.w. bersabda: "Umatku adalah umat yang dirahmati, mereka masuk ke dalam kubur dengan membawa dosa seumpama gunung, tetapi keluar dari kubur dalam keadaan telah diampuni dosa-dosa tersebut dengan sebab istighfar orang-orang yang hidup buat orang-orang yang mati."
  • Dan diriwayatkan bahawasanya hadia-hadiah orang-orang hidup kepada orang-orang mati yang berupa sedekah-sedekah, doa-doa dan bacaan-bacaan al-Qur`an datang kepada mereka dibawa oleh para malaikat dalam talam-talam daripada cahaya yang ditudung dengan kain sutera syurga dan para malaikat berkata kepada si mati (yang ditujukan hadiah tersebut): " Inilah hadiah yang dikirim kepada mu oleh si polan," maka si penerima tersebut akan berasa gembira dan bersukacita dengan hadiah tersebut.

........ bersambung......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan