- Aku telah diberitahu oleh seorang tua yang bersinar wajahnya kerana kesholehannya dan sudah melebihi 80 tahun umurnya, salah seorang pemuka kita keluarga Abu 'Alawi yang lahir dan membesar di Makkah dan kerap berulang alik ke Madinah. Nama beliau Musa bin Hasan bin Ahmad al-'Alawi berketurunan Sayyidina 'Uqail bin Salim, saudara Sayyidina Quthubus-Syahir asy-Syaikhul Kabir Abu Bakar bin Salim. Beliau berkata:- "Aku dahulu berada di Madinah belajar kepada asy-Syaikh Muhammad Hayat (as-Sindi al-Madani). Muhammad bin 'Abdul Wahhab juga berulang-alik ke majlis Syaikh Muhammad Hayat seperti murid-murid lainnya. Aku mendengar daripada orang-orang sholeh dan ulama, sebagai kasyaf daripada mereka, firasat mereka mengenai Muhammad bin 'Abdul Wahhab di mana mereka menyatakan bahawa dia akan sesat dan menyesatkan Allah dengannya orang yang dijauhkan dari rahmatNya dan yang dibinasakanNya" Dan demikian yang telah berlaku (yakni firasat mereka telah menjadi kenyataan) sehingga Syaikh 'Abdul Wahhab, bapa kepada Muhammad bin 'Abdul Wahhab, juga berfirasat sedemikian terhadap anaknya, dia telah menasihati dan mencelanya serta memperingati orang lain berhubung anaknya tersebut.
Di antara ulama yang mempunyai firasat sedemikian juga ialah Syaikh Muhammad Hayat as-Sindi dan Syaikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi al-Madani asy-Syafi`i. Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan menceritakan berhubung firasat Syaikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi dalam kitab-kitabnya dan perlu diketahui Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan mempunyai sanad riwayat daripada Syaikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi seperti berikut:- Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan daripada Muhaddis Syam Syaikh Abdur Rahman al-Kuzbariy daripada al-Hafiz al-Hujjah 'Abdullah al-Kurdi al-Madani daripada al-Muhaddis al-Musnid Syaikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi al-Madani. Dalam isu Muhammad bin 'Abdul Wahhab tidak ada langsung Syaikh 'Abdur Rahman al-Kuzbari menolak kata-kata Syaikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi dan beliau adalah tokoh utama dalam bidang periwayatan hadis yang terkenal dalam dunia Islam. Kesimpulannya, perawi-perawi tersebut adalah orang yang dipercayai dan tidak berbohong. Syaikh Sulaiman al-Kurdi bukan sahaja berfirasat mengenai Muhammad bin 'Abdul Wahhab, tetapi setelah zahir fitnah Muhammad bin Abdul Wahhab beliau telah ditanyai mengenainya dan membuat jawapan untuk menolak ajaran Muhammad bin Abdul Wahhab (insya-Allah, lain masa kita tulis jawapan beliau tersebut).
Ikhwah, jika cuma ada kitab yang ditulis Syaikh Sulaiman bin 'Abdul Wahhab al-Hanbali, saudara kandung Muhammad bin 'Abdul Wahhab, yang berjodol "Syawa`iqul Ilahiyyah", itu sudah cukup untuk membuktikan kesesatan Muhammad bin Abdul Wahhab dan sekaligus membuktikan kebenaran firasat para ulama dan sholihin di atas. Inikan pula faktanya bukan Syaikh Sulaiman sahaja yang menceritakan kesesatan Muhammad bin Abdul Wahhab tetapi ramai lagi ulama sehingga Habib Alwi al-Haddad pada mukasurat 3 kitab "Misbahul Anam" membuat kesimpulan bahawa kesesatan Muhammad bin 'Abdul Wahhab telah disampaikan oleh ramai ulama secara tawatur dalam tulisan-tulisan mereka daripada orang-orang yang tsiqah dari kalangan ulama-ul-akhyar (terpilih) dan selain mereka, yang telah melihat dengan matanya sendiri dan mendengar dengan telinganya sendiri akan kesesatan Muhammad bin 'Abdul Wahhab dan pengikut-pengikutnya dan juga dari tulisan-tulisan, perkataan, perbuatan dan perintah Muhammad bin Abdul Wahhab dan pengikut-pengikutnya.
Firasat bukan hujjah, betul memang betul, tetapi jangan pula diketepikan mentah-mentah, apatah lagi jika ada qarinah lain membuktikan kebenaran firasat tersebut. Ingat Junjungan Nabi s.a.w. bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dan Imam ath-Thobarani : "Ittaquu firasatal mu'min, fa innahu yandzuru bi nurIllah" (Takutilah firasat orang mukmin, kerana bahawasanya dia memandang dengan cahaya Allah).
Terpulanglah kepada kalian untuk berfikir dengan sewajarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan