Jumaat, Disember 02, 2005

Rencana Utusan Malaysia 2/12/2005

"Menyanggah Wahhabi" oleh MOHD. SHAUKI ABD. MAJID
  • Islam tidak pernah menolak amalan turun-temurun yang telah menjadi `uruf (budaya yang baik dalam masyarakat) bagi sesuatu bangsa. Justeru, di atas dasar apakah fahaman Wahhabi yang cuba menggugat amalan-amalan baik yang diamalkan dalam sesebuah masyarakat itu? Sedangkan, amalan-amalan baik yang diamalkan seperti membaca Yasin (secara beramai-ramai pada malam Jumaat) dan juga menyambut Maulidur Rasul (Maulud Nabi s.a.w) itu sebenarnya menyeru ke arah perpaduan dan mengeratkan hubungan sesama umat.
  • Sekalipun amalan-amalan tersebut dianggap sebagai bidaah, harus difahami bahawa tidak semua bidaah itu sesat. Amalan-amalan yang dinyatakan itu sebenarnya adalah termasuk dalam bidaah hasanah (bidaah yang baik). Oleh yang demikian, kita harus menerima adanya bidaah yang baik dan menolak bidaah yang buruk.
  • Sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Syafie, bidaah itu ada dua, iaitu terpuji dan tercela. Apa yang sesuai dengan sunah itu, terpuji, dan apa yang tidak sesuai dengannya dianggap tercela. Demikian juga menurut Jalaluddin As-Sayuti, bahawa bidaah itu ada lima kategori iaitu, bidaah wajib, bidaah sunat, bidaah halal, bidaah haram, dan bidaah makruh.
  • Demikian juga dengan penegasan Nabi s.a.w dalam sebuah hadis yang bermaksud:
    "Sesiapa yang memberi contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat; dan sesiapa yang memberi contoh kejahatan, maka ia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat." (Petikan Kitab Tanbihul Ghafilin halaman 13).
  • Dapat difahami daripada hadis tersebut, perkara-perkara bidaah ini bukan semata-mata hanya keburukan atau dhalalah (sesat). Sebagai contoh, masyarakat hari ini membina sekolah, membangunkan pelbagai prasarana untuk kebaikan umat seluruhnya, sedangkan semuanya tidak ada pada zaman Rasulullah s.a.w. Sedangkan, pembangunan yang dilakukan itu adalah satu bidaah yang baik kerana umat Islam mendapat manfaat di atas kemudahan-kemudahan yang dilaksanakan itu.
  • Adakah Saidina Umar melakukan bidaah dhalalah (solat tarawih 20 rakaat)? Tentulah tidak, kerana Umar ada mengatakan sebaik-baik bidaah adalah sembahyang tarawih 20 rakaat (bidaah hasanah). Malahan di Arab Saudi pun sembahyang sunat tersebut dikerjakan sebanyak 20 rakaat. Hadis di atas juga menggambarkan betapa luasnya agama Islam ini dan janganlah kita sendiri yang menyempitkan perkara yang terbuka luas itu. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: Engkau cuba menyempitkan benda yang luas?
  • Hari lain dan malam lain, masyarakat susah untuk mendekati al-Quran apatah lagi untuk sekadar membaca Yasin kerana sibuk bekerja. Jika pada malam Jumaat dianggap bidaah untuk membaca Yaasin, apakah alternatif atau program agama yang lain yang boleh dicadangkan oleh mereka (Wahhabi) untuk merapatkan hubungan di kalangan masyarakat kita pada hari ini?
  • Apa yang kita lakukan ini semua merupakan satu alternatif mengerjakan amalan baik dan beroleh pahala (bidaah hasanah). Sikap keterbukaan Rasulullah s.a.w sendiri yang begitu berlapang dada bukan sahaja dengan orang Islam tetapi dengan musuhnya orang Yahudi ketika baginda berhijrah ke Madinah merupakan sikap paling berharga untuk kita teladani.
  • Baginda menerima amalan baik yang dilakukan oleh orang Yahudi. Baginda ikut berpuasa pada hari 10 Muharam, malah sabda Baginda yang bermaksud: "Aku lebih berhak dari kamu. Oleh itu, aku akan berpuasa bukan sahaja pada 10 Muharam malah pada hari 9 Muharam." Oleh sebab itu ia disunatkan sampai hari ini dan banyak diamalkan oleh masyarakat kita.
  • Kesemua amalan yang dilakukan pada hari ini mempunyai asas yang kukuh sama ada secara umum atau khusus mahupun menerusi lafaz atau isyarat secara `harfi' atau `mafhum'.

  • Kepercayaan

  • Diharuskan bertawassul dengan Nabi dan orang-orang soleh kecuali amalan tawassul itu menggunakan patung berhala, kubur atau bomoh yang sudah pasti tidak diterima oleh Allah. Sebenarnya, kepercayaan yang tidak membenarkan syafaat dan tawassul ini sesuai dengan umat yang baru menemui cahaya tauhid, takut-takut mereka kembali mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain sedangkan kita tahu dan yakin bahawa Allah adalah satu-satunya Tuhan yang memberi dan menegah, menyakiti dan menyembuhkan. Inilah ketetapan Allah dan tiada bagi ketetapan Allah itu berlakunya perubahan dan pertukaran. Ini adalah hukum alam, sama juga halnya dengan hubungan peraturan dalam agama. Inilah ajaran yang kita anuti sejak turun-temurun.
  • Kalau semuanya ini adalah bidaah, maka tidak perlulah kita pergi berjumpa doktor, tidak perlu berkereta dan tidak perlu ke sekolah atau ke pusat pengajian tinggi kerana semuanya adalah bidaah.
  • Apa yang kita amalkan itu bertujuan merapatkan hubungan kemesraan dan tali silaturrahim serta mewujudkan perpaduan di kalangan masyarakat. Jangan kita menyempitkan kefahaman dalam ruang yang jumud dan sempit mengenai Islam. Tidakkah kita selalu mendengar pada setiap hari Jumaat, khatib membacakan firman Allah yang bermaksud: Allah menyuruh kita berlaku adil dan cemerlang dalam semua keadaan (An-Nahl: 90).
    Dalam sebuah kisah, diceritakan seorang ulama dari Mesir telah pergi ke Eropah. Apabila ditanya oleh seorang paderi; "Adakah dalam al-Quran mengandungi ilmu membuat roti atau tidak?", Maka, ulama itu menjawab, "Ada". Lalu, dibacanya ayat Quran yang bermaksud: Tanyalah ahli ilmu pengetahuan sekiranya kamu tidak mengetahui. (surah An-Nahl; ayat 43)
  • Demikian halnya, Allah mengarahkan kita berlaku adil, cemerlang dalam segala keadaan. Maka, semua kebaikan sama ada dalam rumah tangga, masyarakat dan negara perlu kita pertahankan. Kalau kita mencari hadis yang menyuruh umat menyambut Maulidur Rasul, maka kita tidak akan terjumpa secara terang dan khusus tetapi dapat ditemui secara mafhum dan umum.
  • Jika pahala amalan orang lain tidak boleh diniat hadiah pahalanya kepada orang lain, maka semua amalan tidak terpakai dengan niat. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Segala amalan dikira mengikut niat dan bagi seseorang itu apa yang diniatkannya." Sedangkan fahaman Wahhabi menegakkan bahawa pahala doa hanya akan sampai kepada ahli keluarga sahaja.
  • Fahaman seperti ini memang tidak sesuai di Nusantara. Oleh sebab itu, kita menjemput para jemaah untuk meramaikan sembahyang jenazah tanpa mengira siapa, keluarga ataupun tidak. Itu pun semuanya dengan izin Allah jua akan kemakbulan doa dan pahala yang diperoleh si mati.
  • Oleh yang demikian, Islam menganjurkan amalan menolong keluarga yang dalam kesedihan akibat kematian. Amalan tersebut berupaya merapatkan lagi silaturahim dan kasih sayang di kalangan masyarakat selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kita percaya semua amalan itu ada asas dan hujah agamanya, bukan sesuatu yang direka-reka sesuka hati atau mengikut hawa nafsu sahaja.
  • Kita sebenarnya tidak ada masa untuk berkelahi kerana agenda kita belum selesai, iaitu perpaduan umat Islam seluruhnya dan keamanan sejagat. Penulis percaya apabila kita bersatu, tenteram dan aman makmur, musuh-musuh kita akan merana dan berasa tidak senang hati. Allah berfirman yang bermaksud: Jangan berkelahi (berselisih), kamu akan kecewa dan hilang kehebatan kamu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah bersama-sama mereka yang sabar. ( Surah al-Anfal, ayat 46)


  • [MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).]

Ikhwah, setelah dikeluar dalam paper oleh Tokoh Ma`al Hijrah dan beberapa tokoh lain, barulah ramai yang berani bersuara menyanggah fahaman Wahhabi, alhamdulillah. Kesian Dr. Uthman al-Muhammady, teruk dihentam oleh geng-geng Wahhabi dalam internet, sampai cerita pribadi pun diselongkar, entah benar entah tidak. Dr. Uthman bukan malaikat, bukan orang suci yang ma'sum, sebagai manusia memang ada salah silapnya, tetapi apa yang diperkatakannya mengenai Wahhabi dan bahayanya itu adalah terang nyata benar. Dr. Uthman hanya menyampaikan amanah ilmu yang sebelum ini dibawa oleh ulama-ulama terdahulu yang mengalami sendiri serta berhadapan dengan mehnah Wahhabi seperti Syaikh Sulaiman bin Abdul Wahhab, abang kandung Muhammad bin Abdul Wahhab guru utama atau mahaguru Wahhabi, Syaikh Ahmad Zaini Dahlan, Mufti Syafi`i Makkah, Habib Alwi al-Haddad dan ramai lagi ulama kita yang telah menerangkan bahaya dan kesesatan puak Wahhabi ini. Insya-Allah, nanti kita cuba kemukakan apa yang ditulis oleh ulama-ulama ini. Aku pernah diceritakan oleh seorang Ustaz lulusan al-Azhar, kalau kusebut namanya pasti kalian kenal. Ustaz kelahiran Pulau Jawa yang sudah dalam usia 50-an ini menceritakan bahawa sewaktu Wahhabi menyerang Kota Taif, datuknya berada di sana. Datuknya menceritakan bahawa Wahhabi telah menembak orang-orang yang sedang sholat Subuh di dalam masjid termasuklah datuk ustaz tersebut. Nasib baik datuknya tidak kena tembakan dan untuk menyelamatkan dirinya dia telah menumbangkan dirinya serta mendiamkan dirinya pura-pura mati, sehinggalah puak Wahhabi tersebut meninggalkan masjid. Setelah mereka pergi, datuknya telah berjalan kaki melarikan diri ke Jeddah untuk pulang ke tanah Jawa. Aku cukup kenal dengan Ustaz tersebut dan aku yakin dia tidak berbohong. Ingat, Wahhabi dan Syiah akan menindas bahkan membunuh kita apabila mereka berkuasa. Oleh itu, jagalah keluarga kita, kampung kita, masyarakat kita daripada dakyah Wahhabi. Karang kalau anak kita jadi Wahhabi, alamat mati kita nanti dibuatnya seperti batang pisang sahaja. Tak dak tahlil dan bacaan al-Quran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan