Sabtu, Disember 24, 2005

Ziarah Haramain 2005

  • Tengah tahun ini, aku dipanggil berziarah ke maqam Junjungan s.a.w. dan BaitUllah al-Haram. Pergi bersama zawjah tercinta selama 2 minggu. Pengaruh dan sikap keras Wahhabi masih nampak walaupun tak sekeras dahulu. Di hadapan maqam Junjungan seperti dahulu juga kawalannya polis anak Pak Wahhab melarang orang menyentuh pagar-pagar maqam. Terjadi kejadian kecil apabila seorang warga Afrika yang menyentuh dan mencium pagar tersebut dihalau oleh mereka dan dikejarnya untuk diajar Islam yang sebenar, tapi aku lihat berbelit-belit jugak anak murid anak Pak Wahhab berbahas dengan orang tersebut yang rupanya seorang alim jugak.
  • Pagar maqam Junjungan s.a.w. yang asalnya tertulis di atasnya "Ya Allah Ya Muhammad" (nanti kupaparkan gambarnya) kemudian dibuang oleh Wahhabi huruf 'ya' pada Muhammad menjadi "Ya Allah, A Muhammad", kini telah dibuang terus Muhammad diganti dengan "Ya Majid". Jadi kalau ikhwah berziarah ke maqam Junjungan, yang tertulis di pagarnya kini "Ya Allah, Ya Majid". Kerana bagi anak Pak Wahhab, haram dan syirik menyeru makhluk walaupun Junjungan s.a.w. Insya-Allah, lain posting kita cerita pasal nida` dan istighatsah.
  • Kulihat jugak, pada satu binaan baru Masjid Nabawi terpahat khat indah nama-nama ulama Ahlil Bait (bukan ulama Syi`ah) seperti Imam Ja'faar ash-Shadiq, Imam Muhammad al-Baqir dan lain-lain.
  • Di Madinah aku hanya sempat tinggal 3 hari, setelah itu aku ke Makkah. Di Makkah, aku duduk - duduk jugak di halaqah ulama-ulama yang mengajar hadis di sana antara nya Syaikh Muhammad al-Makki, agak masyhur di kalangan anak bangsa kita, dari jauh terlihat olehku Ustaz Nasoha Haji Ahmad duduk mendengar sama. Pengajian hadis guna kitab "'Aunul Ma'buud". Kucari-cari jugak halaqah penyokong Wahhabi Melayu nombor wahid Syaikh Muhammad bin Abdul Qadir Mandili, tak berjumpa, dia mc kot.

  • Aku bertanya-tanya dengan anak-anak bangsa yang mukim di sana dari pelajar Syaulatiyyah dan pelajar Almarhum Buya Maliki dan kata mereka sekarang Wahhabi di sana pun sudah mulai luntur. Aku dimaklumkan juga berita sedih kewafatan Syaikh Jabir al-Yamani. Kulihat kedai-kedai kitab dan bertemu satu toko bernama Maktabah al-A-immah dekat Babus Shofa yang ada menjual kitab-kitab yang dahulunya diharamkan oleh Bin Baz. Antara yang kutemui kitab "Jawaahirul Ma`aani wa Bulughul Amaani" oleh Syaikh Ali Hiraazim al-Faasi berkenaan Syaikh Ahmad at-Tijani dan Thoriqat Tijaniyyahnya. Terkejut jugak aku kerana ianya dijual secara terbuka di kedai tersebut, kalau dahulu memang susah nak cari kitab-kitab seperti itu. Kitab-kitab fiqh Syafi`i pun ada antaranya "ar-Raudh" dan "Syarah Sirajul Wahhaj".Teringat tahun 1993, kucari Musnad Imam Syafi`i pun tak berjumpa. Kutemui juga beberapa karangan Buya Maliki di kedai tersebut yang sudah kumiliki. Ulama-ulama sunni masih ada di sana, tetapi mereka tidak menonjolkan diri kerana khumul dan tawadhu, dan malas nak berjidal dengan orang yang tak bertelinga. Halaqah ilmu di luar Masjidil Haram masih ada antaranya yang dikendalikan oleh cucu Habib Hasan al-Fad`aq (dahulunya Imam Syafi`i di Masjidil Haram).

  • Di Makkah, hampir setiap waktu ada sahaja jenazah disembahyangkan. Aku berdiri bersama jemaah lain untuk menyembahyangkan jenazah. Isteriku yang sebelum itu tak pernah sembahyang jenazah pun sembahyang jugak. Aku sembahyang mengikut apa yang dipelajari dan diamalkan oleh orang-orang kita, dengan 2 kali salam. Satu hari isteriku ditegur oleh seorang wanita Arab yang mengatakan bahawa cara sembahyang jenazah isteriku salah kerana salamnya hanya sekali sahaja bukan dua kali. Isteriku bertanya kepadaku berhubung hal tersebut, aku menyuruhnya agar tidak memperdulikan teguran tersebut dan terus ikut cara mazhab kita. Akhirnya sehari sebelum balik aku turut ditegur oleh seorang pemuda Arab yang mengajarkan aku bahawa salam itu hanya satu kali bukan dua kerana hadis kata satu kali. Kelemahanku di depan BaitUllah, aku menjawab tegurannya dengan mengatakan bahawa aku pengikut mazhab Syafi`i dan dalam mazhabku salamnya 2 kali, satu wajib dan satu sunnat seperti sholat-sholat lain. Dia membahasku dengan mengatakan hadis kata satu, aku jawab bahawa aku datang dari jauh bukan untuk mujadalah depan BaitUllah, kuanjurkannya agar dia mencari "Majmuk" Imam an-Nawawi dan mentelaah bab jenazah. Ini kerana rata-rata kedai kitab di sana menjual "Riyadhus-Sholihin" agaknya mereka hanya kenal Imam an-Nawawi sebagai seorang muhaddis dan tak tahu yang beliau adalah faqih Syafi`i yang besar. Ku jelaskan kepadanya agar jangan cepat menyalahkan orang kerana ikhtilaf ulama itu rahmat.

Mudah-mudahan ziarah maqbulah dan umrah mabrurah.

Rabbana taqabbal minna bi sirril Fatihah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan