Ahad, Januari 01, 2006

Bulan Haji tiba lagi

Alhamdulillah, bertemu kita dengan bulan Dzul Hijjah. Bulan di mana umat berkumpul di Tanah Suci untuk menunaikan rukun ke-5. Haji merupakan satu ibadah yang memerlukan pengorbanan. Korban masa, korban tenaga, korban harta dalam perlaksanaannya.

Kesempatan menunaikan Haji jangan dipersiakan, ilmu hendaklah diperdalamkan agar ibadah yang dilaksanakan tepat menurut kehendak agama. Ada sesetengah beri'tiqad hendak bertaubat di Tanah Suci. Ketahuilah wahai saudara, bertaubat tidak semestinya menunggu ke Tanah Suci sana. Allah tidak bertempat. Taubat nasuha akan diterimaNya di mana sahaja kalian berada, Allah at-Tawwab,Tuhan yang Maha Menerima Taubat.

Ulama menyatakan bahawa wajib bertaubat apabila membuat dosa, bukan tunggu sampai ke Tanah Suci. Bukankah menangguh-nangguh taubat itu satu lagi dosa yang lain. Seharusnya bertaubat sebelum ke sana, itu kan lebih baik. Agar kita masuk Tanah Suci dalam keadaan suci zahir dan batin. Inilah kehendak agama. Sebab itu diadatkan sebelum ke sana diadakan kenduri wida`, yang tujuannya agar memohon doa dan restu serta minta halal dan kemaafan daripada segala sanak-saudara dan rakan taulan. Apabila zahir dan batin suci, maka pabila kita bertalbiyah akan disambut talbiyah kita itu dengan penerimaan dan kabul Rabbul Jalil.

Fahami betul-betul, jangan tunggu ke Tanah Suci baru bertaubat tidak bermakna kita tidak boleh bertaubat di sana. Hujjatul Islam al-Ghazali menyenaraikan 10 sifat mahmudah yang paling awal taubat. Ertinya taubat itu hendaklah dijadikan sifat, apa makna sifat ? Sifat ialah sesuatu yang berdiri pada zat. Ertinya orang mukmin hendaklah sentiasa bertaubat, setiap masa setiap ketika setiap tempat, bukan hanya di Tanah Suci. Kenapa ? Kerana Allah mencintai orang-orang yang bertaubat.

Taa-ibuuna ila Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan