Isnin, Februari 06, 2006

Karikatur

Isu karikatur (entah betul tidak ejaannya) penghinaan terhadap Junjungan s.a.w. justru penghinaan terhadap Allah dan penghinaan terhadap kita selaku umat Junjungan s.a.w. Kita tidak boleh berdiam diri, tetapi sebarang tindakan kita, sama ada keras atau lembut, hendaklah dilakukan dengan penuh hikmah dan bijaksana. Nak marah, marahlah, tapi yang aku tak faham marahnya sampai sendiri cedera atau sesama Islam yang tumpah darah dalam tunjuk perasaan apa cerita.
Satu kekeliruan yang sering berlaku bila bil-hikmah sering disinonimkan dengan lemah lembut semata-mata, sedangkan bil-hikmah itu boleh dengan berbagai rupa, keras mau pun lembut. Keras dengan hikmah dan lembut juga dengan hikmah, jangan sampai musuh mengambil kesempatan atas kelembutan kita.

Bagi aku, orang kafir memang mempunyai kebencian atau setidak-tidaknya prejudis terhadap Junjungan s.a.w. Cuma dinyatakannya atau tidak, itu sahaja. Apa yang dilukisnya itu jangan pula kita iktiqadkan sebagai Junjungan s.a.w. Tindakan mereka umpama anjing menyalak bukit.

Ada saudara bertanya apa yang perlu kita buat. Aku pun tak tahu apa nak jawab, cuma buat permulaan tingkatkan kecintaanmu kepada Junjungan s.a.w. Tambah lagi kekerapan engkau menyebut nama baginda yang mulia. Ucapan sebanyak-banyak pujian dan sholawat atas baginda s.a.w. Jadikan sholawatmu sebagai balasan untuk cacian puak kafirin tersebut terhadap Junjungan s.a.w. Sering-sering hadir majlis menyebut-nyebut, memuji-muji, mengagung-agung Junjungan s.a.w. Jangan pula kita haramkan saudara-saudara kita yang melaksanakan majlis-majlis sedemikian. Jangan pula dibid`ah dan disesatkan. Perkukuhkan pegangan dan amalan sesuai dengan ajaran baginda s.a.w. yang disampaikan kepada kita oleh pewaris baginda daripada kalangan ulama amilin.

Awas jangan kamu melatah, bertindak membabi buta, kerana itu boleh meng`confirm’kan tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan ke atas kita. Mungkin itu pula yang dinanti-nanti oleh puak-puak tersebut. Nak berjihad pun kena bijaksana, jihad bukan boleh main hentam keromo, jihad sebagaimana lain-lain amalan dalam Islam punya syarat dan rukun, tak cukup syarat dan rukun tak sah pulak jihadnya. Inilah yang kurang difahami sekarang, kobaran jihad lebih kepada tuntutan rasa marah dan sebagainya. Tak salah, jika marah itu pada tempatnya dan jihad pula dengan caranya menurut syarak. Teringat aku kepada Mufti Betawi, Habib Utsman BinYahya, kerana hendak memperbetulkan konsep jihad, lalu dituduh bersekongkol dengan Belanda. Ini lain kali boleh cerita. Allahumma sholli wa sallim wa baarik 'alaih wa 'ala aalih.
p/s - Kena boikot Sarawak Tribune, tok sah beli lagi. Elok beli surat khabar Melayu, kalau tak beli sapa pulak nak beli.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan