Seterusnya ikhwah dalam muqaddimah "Dalailul Khairat" dan juga dinukil oleh Habib Alwi bin Ahmad bin Hasan bin Quthub al-Haddad r.anhum dalam syarah ratibnya mukasurat 193 sebuah atsar yang menyatakan:-
- "Tidak ada satu majlis yang mana diucapkan dalamnya ucapan-ucapan sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. melainkan timbul bangkit dari majlis tersebut bau harum semerbak mewangi sehingga menjangkau kolong langit teratas, maka berkatalah para malaikat: "Inilah bau majlis yang mana padanya diucapkan sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w."
Oleh itu, hiasilah rumah-rumah dan majlis-majlis kita dengan dzikrullah, sholawat dan salam ke atas Junjungan s.a.w. sebagaimana dianjurkan oleh Junjungan s.a.w. dalam sabdaan-sabdaan baginda:-
- "Hiasilah majlis-majlis kamu dengan ucapan-ucapan sholawat ke atasku, maka sesungguhnya sholawat-sholawat kamu ke atasku akan menjadi cahaya (kebajikan) bagi kamu pada hari kiamat."
- "Jangan kamu jadikan rumah kamu sebagai kuburan (yang kamu tiada bersholawat kepadaku di dalamnya); dan jangan pula kamu jadikan kuburku sebagai hari raya (yakni hanya hendak bersholawat apabila berada di sana sahaja atau hanya mahu menziarahinya pada masa-masa tertentu sahaja), tetapi bersholawatlah kamu ke atasku kerana sesungguhnya sholawat kamu disampaikan kepadaku di mana sahaja kamu berada."
Begitulah ikhwah, alangkah bahagianya seseorang yang menjadikan rumahnya tempat ibadah dengan mengerjakan sholat nawafil, berzikir, bersholawat, mengadakan majlis-majlis ilmu dan kebaikan seperti majlis zikir dan majlis mawlid di dalamnya. Biarlah rumah kediaman kita tidak hanya menjadi tempat makan, minum, tidur dan gudang serta muzium untuk menyimpan barang sahaja. Jangan marah nooooo. Allahumma sholli 'ala Nuridz Dzalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan