Sabtu, September 30, 2006

Berzikirlah


Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: "Ucapan yang paling dikasihi Allah ada empat, iaitu:- SubhanAllah wal Hamdulillah wa La ilaha illa Allah wa Allahu Akbar". Inilah kalimah-kalimah yang paling dikasihi Allah, yang sewajarnya sentiasa basah bibir kita menyebutnya. Setidak-tidaknya didisiplinkan diri kita untuk mengucapkannya 100 kali pagi dan 100 kali petang, agar kita memperolehi kebajikan yang banyak. Sibuk mana pun kita, cubalah disiplinkan diri, disela-sela waktu yang kita ada. Imam at-Tirmidzi meriwayatkan dalam "Sunan", juzuk 5, halaman 288 - 289, sepotong hadits berdarjat hasan ghorib daripada Muhammad bin Waziir al-Waasithiy daripada Abu Sufyan al-Humairiy iaitu Sa`id bin Yahya al-Waasithiy daripada adh-Dhahhak bin Humrah daripada 'Amr bin Syu`aib daripada ayahandanya daripada nendanya bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-

من سبح الله مائة بالغداة و مائة بالعشي كان كمن حج مائة حجة، ومن حمد الله مائة بالغداة و مائة بالعشي كان كمن حمل على مائة فرس في سبيل الله أو قال غزا مائة غزوة، ومن هلل الله مائة بالغداة و مائة بالعشي كان كمن أعتق مائة رقبة من ولد إسماعيل، و من كبر الله مائة بالغداة و مائة بالعشي لم يأت في ذلك اليوم أحد بأكثر مما أتى به إلا من قال مثل ما قال أو زاد على ما قال

"Sesiapa yang bertasbih mensucikan Allah 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang, maka dia umpama orang yang mengerjakan 100 kali haji; Sesiapa yang bertahmid memuji Allah 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang, maka dia umpama orang yang menunggang 100 ekor kuda di jalan Allah, atau disabdakan baginda "orang yang berperang 100 peperangan (jihad)"; Sesiapa yang bertahlil mengesakan Allah 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang, maka dia umpama orang yang memerdekakan 100 orang hamba daripada keturunan Nabi Isma`il; Dan sesiapa yang bertakbir membesarkan Allah 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang, maka tiada seorang pun yang datang pada hari tersebut membawa pahala amalan yang lebih banyak daripadanya selain orang yang mengucapkan takbir seperti yang dia baca atau lebih banyak lagi."

Besar sungguh rahmat dan kemurahan Allah, sungguh Allah itu asy-Syakuur, amalan yang sedikit dan ringan diganjariNya dengan berlipat-lipat kali ganda. Masih mahu lari ke tuhan-tuhan lainkah kita, ketuhanan yang palsu semuanya, selain Allah al-Haq. Kerajaan bagi bonus sebulan gaji, kita sudah gembira (yang tak gembira tu, kena demand le lebih kat Pak Lah), naik gaji 10%, kita gembira, Ini Allah balas ganjaran entah berapa peratus lipat gandanya (yang faham matematik kira sendiri, aku dah tak cukup jari nak kira), tak percaya lagikah kita kepada kasih sayang Allah terhadap hamba-hambanya yang beramal. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa menjadi hamba-hamba yang taat beramal kebajikan, Allah tidak akan mempersia-siakan amalan hamba-hambaNya yang tulus beramal.



4 ulasan:

  1. Assalamualaikum ya syeikh,

    pertama kali saya ingin mengucapkan terima kasih atas artikel yang bagus ini. Semoga ia akan memberikan motivasibuat saya untuk beramal pada sepanjang bulan Ramadhan.

    Saya ingin bertanya dan memohon bantuan penjelasan drpd tuan syeikh berkenaan satu permasalahn ini. Mungkin bunyinya 'trivial (remeh temeh)' tetapi demi kemasalahatan org Melayu di tempat saya, saya berharap tuan syeikh sudi memberikan penjelasan dalam hal ini.

    Merujuk kepada artikel syeikh pada Ahad Januari 8 2006 berkenaan hukum memberikan daging korban kepada orang kafir/non muslim. Terima kasih atas penjelasan panjang lebar berdasarkan pendapat mazhab kita. Tetapi jikalau tuan tidak keberatan, saya berharap dapat juga diberikan pendapat drpd mazhab bertiga yang lain supaya diskusi ini lebih mendalam dan panjang lebar. Ini adalah disebabkan di tempat saya (saya sekarang sedang menuntut di UK yang mana kebanyakan ustaznya adalah pengikut salafi/wahabi/dan yang nama dengannya) sentiasa mewar warkan kebolehan melompat lompat mazhab dalam hukum ini iaitu dengan menggunakan satu qaul drpd mazhab hanbali yang membolehkan pemberian daging korban tersebut kepada org bukan islam.

    Diharap tuan syeikh dapat memberikan penerangan dalam hal ini berserta konklusi drpd perbincangan ilmiah itu supaya saya dapat mengambil manfaat dan seterusnya menguraikan kekeliruan saya dan sahabat saya di sini. Saya sudahi dengan ucapan ribuan terima kasih atas jasa baik tuan. Wassalam.

    BalasPadam
  2. Waduh, akhiena Irfan, kok masalah korban, kita kan tengah dalam Ramadhan. Tetapi, ngak apa-apa insya-Allah, nanti ana usahakan, du`aukum.

    BalasPadam
  3. Mazhab Hanafi juga memandang elok memberi daging korban kepada bukan Islam yg memerlukan.

    BalasPadam
  4. assalamualaikum,

    terima kasih kepada cik/encik nnydd atas informasi tersebut. alhamdulillah bertambah pengetahuan saya hari ini.

    Situasi di tempat saya adalah daging korban tersebut diagihkan kepada muslim/bukan muslim tanpa ada pemisahan sama ada mereka itu drpd golongan yang memerlukan atau tidak. Maksudnya semua org dipanggil untuk diagihkan atau menikmati daging korban yang telah dimasak bersama sama tanpa membezakan mereka drpd golongan miskin atau kaya (seperti menjemput untuk menghadiri kenduri perkahwinan gayanya). Maka di sini saya berharap dptlah supaya dijelaskan juga permasalahan ini.

    Sekali lagi saya ucapkan terima kasih atas kesudian menjawab persoalan saya. Semoga usaha baik tersebut sama sama diberkati ALLAH, insya ALLAH. Wassalam.

    BalasPadam