Sabtu, Oktober 21, 2006

Kongsi Raya ???

من تشبه بقوم فهو منهم

Hadits ini biasa kita dengar dan memberi erti bahawa "sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada golongan mereka". Imam al-Munawi dalam "Faidhul Qaadir" menulis bahawa ianya bermaksud seseorang itu berpakaian pada zahirnya dengan pakaian (fesyen/model/gaya) mereka (yakni pakaian yang khusus dipakai oleh mereka, jadi apa-apa pakaian yang telah menjadi pakaian kebiasaan semua tidaklah termasuk dalam kategori ini); dikenali dengan perbuatan mereka; Dari aspek akhlak, berakhlak dengan akhlak mereka; Menjalani tatacara kehidupan mereka dan mengikut petunjuk mereka dari segi pakaian dan sebahagian perbuatan-perbuatan mereka; inilah yang dinamakan "tasyabbuh" yang dimaksudkan dalam hadits di atas. Tasyabbuh hukumnya berbagai-bagai adakala tidak menjadi apa-apa kesalahan, kekadang jadi makruh, kekadang haram, dan paling dahsyat boleh jadi kafir. Ianya bergantung kepada siapa yang ditasyabbuh dan apa qashad melakukannya.

Tasyabbuh dalam perkara atau perbuatan atau sikap yang baik dan elok tidaklah menjadi apa-apa kesalahan sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani dalam "Fathul Bari":-

قال الشيخ ابو محمد بن ابي حمزة نفع الله به ما ملخصه:
ظاهر لفظ الزجر عن التشبه في كل شيء
كذا عرف من الأدلة الأخرى ان المراد التشبه في الزي
و بعض الصفات و نحوها لا التشبه في امور الخير

Yang dapat disimpulkan daripada perkataan Syaikh Abu Muhammad bin Abu Hamzah nafa`aAllahu bihi:- "Zahir lafaz (daripada hadits tersebut) adalah sebagai amaran daripada melakukan perbuatan tasyabbuh dalam setiap perkara. Manakala yang diketahui daripada dalil-dalil lain bahawa yang dimaksudkan adalah tasyabbuh pada pakaian, sebahagian sifat dan sebagainya itu tidaklah termasuk tasyabbuh dalam perkara-perkara yang baik.
Berhubung dengan darjat hadits ini, maka berlaku khilaf di kalangan muhadditsin. Syaikh 'Abdur Rahman bin Muhammad bin Darwisy dalam "Asnal Mathoolib" halaman 427 menyatakan bahawa ianya diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam ath-Thobarani dengan sanad dhoif, tetapi dipandang shohih oleh Imam Ibnu Hibban.

Imam al-Munawi pula dalam "Faidhul Qaadir" juzuk 6 halaman 129 menyatakan bahawa hadits ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud daripada Sayyidina Ibnu 'Umar r.'anhuma dengan sanad yang dhoif sebagaimana kata, antara lain, Imam al-'Iraqi, akan tetapi Imam as-Sakhawi menyatakan walaupun dhoif, hadits ini dikuatkan dengan syawaahid lain. Syaikh Ibnu Taimiyyah pula memandang baik sanad hadits ini. Selain daripada Imam Abu Dawud, hadits ini juga diriwayatkan oleh Imam ath-Thabarani dalam "al-Awsath" dan Amirul Mu'minin fi Hadits Ibnu Hajar al-'Asqalani menyebut dalam "Fathul Bari" bahawa sanad Imam ath-Thabarani daripada Sayyidina Hudzaifah ini berdarjat hasan. Imam al-Haitsami pula menyatakan bahawa ianya diriwayatkan oleh Imam ath-Thabarani dalam "al-Awsath" dan dalam sanadnya ada 'Ali bin Ghuraab yang dipandang tsiqah oleh ramai dan didhaifkan pula oleh sejumlah, sedangkan rawi-rawi lainnya adalah tsiqah.

Imam ash-Shon`aani dalam "Subulus Salam" pula menyatakan bahawa hadits Ibnu 'Umar yang dikeluarkan oleh Imam Abu Daud ini telah dishohihkan oleh Ibnu Hibban, dan hadits ini punya syawaahid di sisi sekelompok Imam Ahli Hadits daripada sekumpulan sahabat yang mengeluarkannya daripada kedhoifan. Antaranya ialah apa yang dikeluarkan oleh Abu Ya'la secara marfu` daripada Sayyidina Ibnu Mas`ud r.a. yang berkata:-

من رضي عمل قوم كان منهم
"Sesiapa yang redhakan amal perbuatan sesuatu kaum maka jadilah dia tergolong dalam kalangan mereka"
Ash-Shon`aani selanjutnya menyatakan yang hadits ini menunjukkan bahawa sesiapa yang bertasyabbuh dengan orang-orang fasiq, maka jadilah dia daripada kalangan mereka yang fasiq itu, atau dengan orang-orang kafir atau ahli-ahli bid`ah, pada apa sahaja perkara yang dikhususkan bagi mereka daripada segi pakaian atau kenderaan atau tingkah laku. Maka apabila seseorang bertasyabbuh dengan dengan orang-orang kafir pada pakaian dan beri'tiqad (percaya) bahawa yang sedemikian itu adalah lebih unggul, kafirlah dia. Jika sekiranya dia tidak beri'tiqad sedemikian, maka padanya khilaf antara fuqaha`. Sebahagian mereka berpegang bahawa orang tersebut juga menjadi kafir menurut zahir makna hadits, manakala sebahagian lain tidak mengkafirkannya tetapi menyatakan bahawa pelakunya tadi hendaklah dita'dib (diberi ajaran).

Ikhwah, lihatlah bagaimana para muhadditsin turut berkhilaf mengenai sanad sesuatu hadits, oleh itu janganlah bermudah-mudah untuk menghukum dan mencemoh sesuatu hadits sebagai dhoif, apatah lagi maudhu` tanpa ilmu. Mungkin dhoif di sisi seorang muhaddits tetapi hasan atau shohih di sisi yang lain, perkara ini adalah benda biasa kerana semua ini adalah hasil ijtihad para muhadditsin yang berkelayakan. Yang kita nak marah ialah bila tukang jam berlagak muhadditsin, senang-senang je mendhaifkan dan memaudhukan hadits-hadits hatta yang terkandung dalam karangan muhadditsin terbilang seperti Syaikhan dan Ashaabus Sunan yang lain. Opppsss, bulan puasa kena tekan brek sikit, karang dapat pahala sifar pulak. So sesiapa yang ahli tahqiq ke, tashhih ke, tarjih ke, moh tarjih mana satu pendapat nak pakai ni ? Iraqi kata dhoif, Ibnu Hajar kata hasan, Ibnu Hibban kata shohih..... mari-mari tukang tarjih, aku nak tengok hang pa tarjih. Aku senang je, yang pasti hadits ini bukan maudhu.

Aku bawakkan hadits ni bukan apa, saja nak kaitkan dengan isu yang sepatutnya tak jadi isu bila difahami dengan betul (i.e. bukan disalahfahami atau disalahfahamkan). Isu apa lagi kalau bukan isu "Kongsi Raya". Sebelum tu aku nak tanya, kome mahu ke kongsi raya dengan S. Samy Vellu ? Raya dialah, raya Hindu, kalau dia nak kongsi raya kita tak pa jugak ? Kalau kita sambut raya kita, dia sambut raya dia, tentu tak dinamakan Kongsi Raya betul tak, kerana itu namanya masing-masing sambut raya masing-masing. Jadi Kongsi Raya membawa erti kita bersekutu atau bergabung dengan mereka untuk sama-sama raya, iaitu kita sambut raya kita, dia pun tumpang sekaki sambut raya kita, dia sambut raya dia dan kita gak tumpang sekaki sambut raya dia. Nak mudah lagi, raya aku raya dia, raya dia raya aku. Ini yang dikhuatirkan oleh Tok Mepeti kita, terutama sekali heronya Datuk Harus Sani (mudah-mudahan panjang umurnya serta lama lagilah dalam jawatannya...aamiin. Insya-Allah, panjang lagi khidmatnya tuu, rakyat Perak ngan Tuanku Sultannya bijak, aku dengar orang lain kena sambung paling lama pun takat 3 tahun sekali sain kontrak, Datuk kita ni terus sambung sampai 5 tahun sekali sain). Kalau raya aku, raya aku, raya depa, gasak depalah, tentu Tok Mufti kita tak murka.

Kalau sekadar ziarah menziarahi, kunjung mengunjungi atas dasar muhibbah, atas dasar kejiranan, atas dasar kawan, atas dasar perpaduan kaum, taklah menjadi masalah. Apatah lagi jika semua itu itu disertakan niat dakwah bil hal atau setidak-tidak dengan niat menghindarkan fitnah atas Islam dan umatnya, insya-Allah ada ganjarannya daripada Allah s.w.t. Tetapi nampaknya falsafah Kongsi Raya sekarang lebih menjurus kepada sama-sama merayakan dua perayaan dari agama-agama yang berlainan, satu agama haq dan satu lagi batil. Hukum merayakan dan membesarkan dan meraiekan sesuatu perayaan agama lain tetap haram dan boleh menjurus kepada merosakkan i'tiqad bahawa satu-satunya agama di sisi Allah adalah ISLAM. Ini yang dimaksudkan dengan "mencampuradukkan" dua perayaan, yakni sama-sama sambut, sama-sama meraikan dan sama-sama membesarkan (waaduuuh, ini yang paling parah dan bahaya) kedua-dua perayaan tersebut, yang haq dan yang batil bancuh sekali sampai keluar istilah baru, Selamat Deeparaya.

Kalau setakat ucap 'Selamat Hari Deepavali' ke, 'Selamat Hari Krismas' ke, dengan maksud agar mereka merayakan hari besar depa tu dalam keadaan selamat kat dunia ni, bagi aku taklah jadi masalah macam kita ucap Selamat Siang, Selamat Malam, bahkan Selamat Sejahtera sekalipun (dengan syarat yang dimaksudkan ialah kat dunia ni sajalah kamu selamat dengan kekafiran kamu tu, sebab dunia ini buat kamu umpama syurga, tapi kalau nak sejahtera dan selamat kat akhirat kenalah masuk Islam). Tapi kalau niat kita memang nak membesarkan dan meraiekan perayaan mereka atau memang kita berkehendakkan mereka selamat dunia dan akhirat tanpa meninggalkan kekufuran mereka, maka lain pulaklah hukumnya, kalau tak jatuh kapiaq, jatuh haram berdosa wajib tobat.

Dulu-dulu pun ada ziarah-menziarah, kunjung mengunjung dan ucap selamat, tetapi ianya tidaklah diwar-warkan, tidak pernah diiklankan, tidak pernah diperbesarkan sebagai KONGSI RAYA atau DEEPARAYA. Apa ke jadah nak kongsi-kongsi, nak campur-campur yang haq dan yang batil. Kita Islam, kita rayakanlah raya kita, takkan nak rayakan raya depa, kalau kita dok turut rayakan depa punya, kan sudah tasyabbuh tu (tasyabbuh bi syi`aaril - 'eid). Aku khuatir hal ini jika tidak dibendung akan menjurus kepada pluralisme dalam beragama yakni pendapat bahawa semua agama adalah sama, semua agama adalah baik, semua agama bawak orang ke Syurga. Kalau dikatakan bahawa rakyat Malaysia yang berbilang kaum sama-sama merayakan kedua perayaan tersebut tak palah jugak, sebab betullah rakyat Malaysia yang Hindu rayakan Deepavali (kalau Samy Vellu sambut depabalik India lagi bagus, pi balik India terus), yang Islam semestinya merayakan Hari Raya Idul Fithri. Sama-sama merayakan perayaan masing-masing, no problem, tapi nak kongsi-kongsi dah masuk bab lain plak. Hak ni Pak Lah kena faham betul-betul, kalau tak faham pi lah duduk kat Datuk Harus Sani, ular menyusur akar takkan hilang bisanya, tambah bisa lagi ada sebab dok menyusur akar Tongkat Ali. Aku rasa Datuk Harus Sani kena dapat pembelaan kita. Insya-Allah, beliau ikhlas untuk memperjelaskan hukum Allah agar difahami oleh semua termasuk pemerintah Umeno pendokong ISA tu. Malangnya tindakan murninya itu telah disalahertikan, telah disalahfahami, telah disalahtafsirkan, sama ada dengan sengaja kerana ada udang sebalik mee atau kerana memang benak susah nak tangkap dan susah nak faham. Elok aku berenti kat sini, karang panjang-panjang, silap-silap kena ISA plak, tangkap pastu simpan sampai 5 tahun tanpa perbicaraan. Allah ta`ala yang Maha Mengetahui pun sebelum humban orang ke neraka, adakan hisab, panggil saksi, bentang ekshibit, pastu siap bubuh mizan pulak, rasa-rasanyalah ahli neraka masuk neraka puas hati sebab tahu memang patut mereka jadi ahli neraka (mintak-mintak berkat bulan mulia ni, berkat Junjungan Nabi s.a.w., janganlah kita termasuk dalam ahli neraka begitu jugaklah hendaknya ibu ayah kita dan keluarga kita, aaamiiin). Ini kita manusia, tangkap kemudian penjara sampai bertahun-tahun tanpa dibicarakan. Kata ada bukti, bentanglah bukti dalam Mahkamah, kalau benar salah tembak mati pun tak apa. Ini tidak, saja nak pedajal orang buat apa, karang jawablah depan Allah ta`ala nanti, bukan takat naya kat yang kena ISA, keluarga mereka semua teraniaya......stoppppp....keluar tajuk plak, bukan apa sikit geram jugak ada. Moh tajdidkan bab ini, tajdidkan sistem perundangan yang dah lapuk yang mengandungi undang-undang dracula.... oppsss silap... draconian ni. Nak tajdid fiqh yang memang dah elok difahami dan diamalkan masyarakat buat apa, perabihkan boras je jang.

Sebelum aku melalut lebih panjang lagi, baik aku nukilkan buat ikhwah budiman akan tulisan al-'Alim al-'Allaamah al-Habib 'Abdur Rahman bin Muhammad bin al-Husain bin 'Umar Ba 'Alawi dalam "Bughyatul Mustarsyidin" halaman 248 yang menyatakan:-

Kesimpulan dari apa yang dinyatakan oleh para ulama mengenai berpakaian dengan pakaian orang-orang kafir (tanbih: kalimah "زي " ini tidaklah terhenti setakat makna pakaian zahir atau luaran atau hissi sahaja, tetapi merangkumi apa yang dipakai secara khusus oleh mereka baik berupa pakaian atau gaya atau model atau perbuatan atau tingkah laku atau upacara dan sebagainya, baik yang berupa hissi maupun maknawi) adalah bahawasanya sekiranya seseorang berpakaian dengan pakaian mereka kerana cenderung/suka hatinya kepada agama mereka dan dengan niat menyerupai (tasyabbuh) mereka dalam syiar - syiar kekufuran atau (untuk) pergi bersama mereka ke rumah-rumah ibadat mereka, maka yang sedemikian menjadikan dia kufur dengan kedua perkara tersebut.

Dan adapun jika dia tidak berniat sedemikian (yakni tidak ada qashad hatinya untuk cenderung/suka kepada agama kafir) bahkan qashad atau maksud atau tujuannya hanya untuk tasyabbuh semata-mata dengan mereka sahaja pada syiar-syiar perayaan mereka (sya`airul `eid) atau dengan sebagai penghubung kepada mu'amalah yang harus bersama mereka, maka orang tersebut berdosa (yakni haram)

Dan adapun jika dia hanya serupa atau sama dengan mereka secara kebetulan sahaja tanpa apa-apa niat, maka hukumnya makruh seperti mengikat rida` dalam sembahyang.
Oleh itu, berhati-hatilah dengan falsafah Kongsi Raya ini. Ingat bahawa Deepavalli adalah satu perayaan keagamaan, maka ianya adalah lambang bagi agama Hindu, maka tidak sewajarnya kita tasyabbuh dengan mereka untuk sama-sama merayakannya. Kalau kebetulan Deepavalli jatuh dekat dengan Idul Fithri, maka kita merayakan bersama dengan mereka pada tempat sama dengan masing-masing merayakan perayaan masing-masing tanpa niat tasyabbuh apatah lagi cenderung kepada agama mereka, mungkin ini boleh dimasukkan dalam kategori yang ketiga, setakat makruh sahaja. Sebab apa masih dihukumkan makruh kerana kita tetap disuruh untuk membezakan diri kita daripada orang-orang musyrik (apatah kafir yang sekutukan Allah dengan berjuta sembahan lain). Kalau ada niat untuk dakwah bil hal, mungkin lain pulak hukumnya, ni kena tanya Tok Peti kitalah. Cam na plak niat dakwah bil hal tu yeee, sebab biasanya yang nampak dia dakyahkan kita, bukan kita yang dakwahkan dia. Oleh itu, ikutlah nasihat Tok Mufti kita, sebaik-baiknya hendaklah diasingkan perayaan kita dengan mereka, kerana ini semua adalah macam tasyabbuh atau memang tasyabbuh atau boleh membawak kepada tasyabbuh. Kita rayakanlah raya kita, Idul Fithri yang mulia, kalau depa datang berziarah, tak jadi masalah, kan kita disuruh memuliakan tetamu, jamulah mereka makan. Dan biarlah mereka rayakan raya mereka, kalau hang pa nak ziarah tak jadi masalah, kalau hang pa nak tumpang makan, hati-hatilah takut-takut ayam Mr. Samy sendiri kasi sembelih, naya nanti hang pa makan bangkai.

Apa-apa pun, Selamat Pagi, Selamat Tengahari, Selamat Petang, Selamat Siang, Selamat Malam, Selamat Hari Raya dan tidak lupa kepada Mr. Samy, Selamat Menyambut Hari Deepavalli (yalah kita harap dia selamatlah waktu menyambut hari raya dia hari ni kat Malaysia, harap-harap taklah jadi macam di sesetengah tempat, di Sri Lanka ke, di mana mereka sambut dalam suasana ketakutan, bukan apa takut - takut tengah celebrate kena bom plak), cuma satu jugak saya mauk kata dekat Mr. Samy, aslim taslam (masuk Islam kamu selamat dunia akhirat). Jangan maraa aaa, ini hari Deepavalli aaa, nanti kalau maraa kena jual.

Lastly, aku nak bawak satu cite yang dikisahkan oleh Mufti Ahmed E. Bemat dalam mukhtashar bagi "Syama-il Tirmidzi" diterjemahkan dengan jodol "Insan Teladan Sepanjang Zaman" halaman 161 - 162 :-

Amaran Rasulullah s.a.w. ialah bahawa orang yang meniru atau menyerupai sesuatu kaum itu akan tergolong ke dalam golongan tersebut: Yakni pada hari Qiamat, mereka akan dibangunkan bersama-sama mereka. Ini perkara yang amat berat dan hendaklah kita benar-benar memberi perhatian dan takut mengenainya. Pada masa kini, orang-orang Islam yang kaya yang terpengaruh dengan adat dan cara hidup Yahudi dan Nasara sehingga mereka menuruti segala gaya Eropah dengan kerusi - meja, garfu, pisau dan sudu untuk makan (tanbih: ini bukanlah ertinya makan-minum atas kerusi meja dengan sudu garfu itu tidak dibenarkan dari segi hukum fiqh, tetapi yang dimaksudkan oleh pengarang ialah mereka yang merasa unggul gaya makan tersebut sehingga memandang jijik orang yang makan bersila atau yang makan dengan tangan dan menjilat jari jemari setelah makan) patutlah mengambil sesuatu pengajaran dan amaran daripada sesuatu peristiwa benar yang telah disebut di dalam "Tazkiratur-Rasyid" sebagaimana berikut:-

Semasa pemerintahan British di India, Pemungut Hasil Daerah berbangsa Inggeris telah memeluk agama Islam di tangan seorang Mulvi (Maulavi/Maulana) dan mulalah mengkaji Islam dan al-Quran di bawah asuhan dan pimpinannya. Apabila dia berpindah daerah, mulvi tersebut memperkenalkannya kepada seorang mulvi lain di tempat itu untuk mendapat bimbingan ugama. Setelah beberapa lama kemudian, setelah dia yakin akan menemui maut, maka diserahkannya sejumlah wang kepada pengajarnya yang baharu itu lalu berkata: "Bangsaku akan mengkebumikan daku di perkuburan Kristian. Ambillah wang ini. Setelah mereka mengkebumikan daku, kamu pergilah ke sana bersama-sama saudara seIslam, gali semula kuburku dan kebumikan daku di perkuburan orang-orang Islam.

Setelah berlangsungnya upacara pengkebumian mayat Inggeris tersebut, si mulvi itu pun secara bersendirian pergi menggali kuburan tersebut lantas memecahkan keranda si mati untuk mengeluarkan mayat. Tetapi apakah yang didapatinya? Dia terperanjat besar kerana bukan mayat si Inggeris tadi yang ada di dalam keranda tersebut tetapi terbujur mayat si mulvi yang telah mengIslamkannya. Perpindahan ajaib dan penuh misteri mayat daripada perkuburan Islam ke perkuburan Kristian dan sebaliknya adalah berkemungkinan bergantung kepada kecondongan kedua-dua orang ini. Mulvi Islam itu mungkin menyanjungi gaya hidup keInggerisan di hadapan kawan-kawannya sedangkan orang Inggeris ini inginkan cara pengkebumian secara Islam.
Kalau kome percaya dengan cite di atas, mudah-mudahan dapat faedahnya. Kalau tak caya, tak apa, baca sajalah seperti kome baca cite Sang Kancil dengan Sang Buaya. Tapi karang ada yang pindah kubur, nasib lee. Mudah-mudahan tidak, mudah-mudahan mati husnul khatimah, dapat rahmah, dapat syafa`ah dan dapat masuk jannah..... aaamiiiin bi jaahi Sayyidil Ummah.

الله اعلم

4 ulasan:

  1. assalamualaikum.. ana kagun dengan ustaz.. banyak maklumat berharga... boleh bagi tau ustaz di mana.. .. ana di mesir... kalau ustaz juga di mesir... beruntunglah.. boleh kita tukar-tukar pandangan dan bincang

    BalasPadam
  2. ape ya maksud istilah 'maulana' dari segi bahasa?

    BalasPadam
  3. Ambo di bumi Malaysia, antum di Mesir ambik kuliah apa ? Doakan ana yang dhoif kat sini.

    Maulana kalau untuk manusia diertikan sebagai tuan kami.

    BalasPadam
  4. masyaAllah...syukran bagitau pasal terjemahn Melayu 'Shama'il Tirmizi'.

    excellent article as usual! alhamdulillah

    BalasPadam