Sabtu, Oktober 14, 2006

Lailatul Qadr

Wahai yang bertanya
Tentang lailatul qadar bila ada ia
10 terakhir Ramadhan tempatnya dia
Pada yang gasal diharap adanya
Diketahui ia dengan hari Ramadhan bermula
Jika Ahad dan Rabu mula ia, malam ke-29 itulah dia
Jumaat dan Selasa, ke-27 jadi ia
Khamis mula, ke-25 pula
Jika Sabtu hari pertama, ke-23 malam utama
Jika Isnin pula, malam ke-21 jangan lupa
Inilah kaedah dinaqal ia
Dari kalangan ahli sufi zuhud tak cinta dunia

Alhamdulillah wasy Syukrulillah, bertemu kita dengan 10 hari terakhir bulan Ramadhan yang mulia. Dalam hari-hari terakhir ini kita dianjurkan untuk mempertingkatkan amal ibadah, beri'tikaf dan menghidupkan malam-malamnya. Antara malam-malamnya pula ada anugerah daripada Allah berupa lailatul qadr yang lebih baik dari 1000 bulan ( bukan seperti 1000 bulan tetapi lebih baik lagi). Syaikhan meriwayatkan daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-

من قام ليلة القدر ايمانا و احتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه
"Sesiapa yang menghidupkan malam lailatul qadr (beribadah) dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu."
Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan malam yang dikatakan sebagai lailatul qadr. Jumhur ulama tidak menentukannya dengan malam yang tertentu bulan Ramadhan untuk setiap tahun, tetapi menyatakan bahawa ianya adalah pada salah-satu malam dari 10 malam yang terakhir dan pada yang ganjil adalah lebih diharapkan. Antara sandaran untuk pendapat ini ialah hadits riwayat asy-Syaikhan, Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, daripada Sayyidatina 'A-isyah r.anha bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-

تحروا ليلة القدر في العشر الأواخر من رمضان

"Carilah lailatul qadr pada 10 terakhir dari bulan Ramadhan"

Banyak juga ulama yang menetapkannya dengan malam tertentu dalam setiap tahun iaitu malam ke-27 Ramadhan (dalam bahasa kita dipanggil malam 7 likur) bersandarkan beberapa hadits antaranya yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanad yang shohih daripada Sayyidina Ibnu 'Umar r.anhuma di mana Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-

من كان متحريها فاليتحرها ليلة السابع و العشرين

"Sesiapa yang hendak mencarinya,
maka carilah ia pada malam ke - 27"


Di kalangan sebahagian ahli tasawwuf mereka ada formula sendiri untuk mengetahui malam tersebut, iaitu dengan melihat kepada hari awal Ramadhan. Bait-bait di atas yang aku beri erti dengan terjemah bebas adalah nazamnya Syaikh Abul Hasan yang kupetik dari Hasyiah al-Qalyubi juzuk 2 halaman 76, di mana dinyatakan bahawa:

  1. Jika awal Ramadhan hari Ahad atau Rabu, maka lailatul qadrnya malam ke-29;
  2. Jika awal Ramadhan hari Jumaat atau Selasa, maka lailatul qadrnya malam ke-27;
  3. Jika awal Ramadhan hari Khamis, maka lailatul qadrnya malam ke-25;
  4. Jika awal Ramadhan hari Sabtu, maka lailatul qadrnya malam ke-23;
  5. Jika awal Ramadhan hari Isnin, maka lailatul qadrnya malam ke-21.
Kata Syaikh Abul Hasan dengan menggunakan kaedah ini beliau sentiasa berjumpa dengan malam kemuliaan ini sejak usianya baligh lagi. Tetapi menurut sebahagian ulama, kaedah ini tidaklah mempunyai sandaran nash, tidak seperti ketentuan-ketentuan yang disebutkan terdahulu. Walau bagaimana pun kaedah ini hanya sekadar pendapat dan bukanlah satu ketetapan hukum, oleh itu sesiapa yang mahu boleh ikut sesiapa yang tidak terpulanglah.

Yang penting meningkatkan amal ibadah dengan penuh keimanan dan keikhlashan. Hanya mencari keredhaan Ilahi yang mesti disembah fi kulli waqtin wa hiin (setiap masa dan ketika), tidak hanya di malam lailatul qadr yang mulia. Mencari malam penuh keberkatan ini, setidak-tidaknya (yakni yang paling minima) hendaklah kita menjaga sholat Isya` berjemaah, melaksanakan tarawih (menurut jumhur tarawih itu 20 rakaat) berjemaah, berwitir secara berjemaah (kerana hanya dalam bulan Ramadhan sahaja disunnatkan witir berjemaah, sedangkan dalam bulan-bulan lain hanya harus sahaja) dan diakhiri dengan sholat Subuh berjemaah. Imam Muslim meriwayatkan daripada Sayyidina 'Utsman r.a. bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-

من صلى العشاء في جماعة فكأنما قام نصف الليل
ومن صلى الصبح في جماعة فكأنما صلى الليل كله
"Sesiapa yang sholat 'Isya` berjemaah, maka seolah-olah dia telah berqiyam separuh malam; Dan sesiapa yang sholat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah bersholat sepanjang malam."
Jangan lupa memperbanyakkan doa yang dianjurkan Junjungan Nabi s.a.w. kepada Ummul Mu'minin Sayyidatina 'Aisyah yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi, Imam an-Nasai, Imam Ibnu Majah dan selainnya dengan sanad yang shohih, di mana dinyatakan:-

عن عائشة رضي الله عنها قالت: قلت يا رسول الله إن علمت ليلة القدر ما اقول فيها؟
قال: قولي اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني
"Daripada Sayyidatina 'Aisyah r.anha berkata: "Aku berkata kepada Junjungan Nabi s.a.w.: "Ya Rasulallah, jika aku mengetahui lailatul qadr, apa yang aku ucapkan padanya?" Junjungan Nabi bersabda:- "Ucapkanlah : "Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi Kemaafan (Maha Pengampun), suka memberi kemaafan (keampunan), maka maafkanlah (ampunkanlah) aku."
اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني

5 ulasan:

  1. Assalamu'alaikum. Adakah solat yang kurang dari 20 rakaat boleh dikira sebagai solat sunat tarawih. Contohnya, saya menunaikan solat 10 rakaat tarawih dengan niatnya sebanyak 5 salam. Adakah solat saya itu dikira sebagai solat tarawih?

    BalasPadam
  2. Wa 'alaikumus salam, kalau kurang dari 20, diberi pahala minat tarawih jugak, tetapi tidaklah tarawih yang sempurna. Dalam "at-Taqriiraat as-Sadiidah" mukasurat 287 dinyatakan bahawa sekurang-kurang Tarawih itu 2 rakaat dan sebanyak-banyaknya 20 rakaat.

    Tetapi ada jugak ulama yang berpendapat kalau kurang 20, maka ianya hanya dikira sebagai qiyam Ramadhan dan bukan tarawih, kerana dalam kitab-kitab kita disebut bahawa Tarawih itu 20 rakaat.

    Dan kalau buat lebih 20, maka yang lebih diberi pahala nafil muthlaq kata Imam asy-Syarqawi. Dalam mazhab kita,hanya penduduk Madinah sahaja yang diharuskan bertarawih 36 rakaat walaupun afdhalnya mereka melaksanakan 20 rakaat.

    Allahu a'laam.

    Akhie Tankian ini Ahmadi ke ? Jabatan Mufti Negeri 9 ada terbit buku Terawih 10.

    BalasPadam
  3. Terima kasih saudara kerana terangkan. Sebab saya ada terbaca, kalau tarawih kita kurang 20, maka ianya bukan dipanggil solat tarawih. Kalau di sisi mazhab kita, seperti kata saudara memang 20 rakaat. Di kalangan Wahhabi sendiri, saya dengar ada dua kumpulan. Satu mengatakan tarawih 8 rakaat, satu kata 20 rakaat.

    Saya memang ikhwan, tapi belum sempat memiliki bukan terbitan Jabatan Mufti tu. Kalau berkesempatan ke Seremban, saya akan singgah ke Jabatan Mufti.

    BalasPadam
  4. Akhie tankian, ikhwan mana ? Bukit Abal ke ? Negori ? Usrah Dandarawi ke? Atau mana?

    BalasPadam
  5. Saya bai'ah dengan ayah saudara saya Murtadha di Seremban. Tapi tinggal di KL. Jadi jarang ke Pondok Rasah. Kiranya saya ikhwan Negori la jadinya. Kiranya, bai'ah di tempat yang dekat aje la, di Bukit Abal jauh pulak.

    BalasPadam