Khamis, November 16, 2006

Fatwa Imsak Habib 'Umar

Habib 'Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz bin Abdullah bin Abu Bakar bin 'Aydrus bin 'Umar bin 'Aydrus bin 'Umar bin Abu Bakar bin 'Aydrus bin al-Husain bin Syaikh Abu Bakar bin Salim adalah seorang ulama dan da`ie dari Kota Tarim, Hadhramaut. Beliau dilahirkan sebelum fajar hari Isnin, 4 Muharram 1383 H bersamaan 27 Mei 1963M di Kota Tarim. Di kota yang berkat inilah beliau membesar dan menerima didikan agama serta menghafal kitab suci al-Quran dalam keluarga yang terkenal iman, ilmu dan akhlak yang luhur. Guru pertamanya sudah tentu ayahanda beliau iaitu Habib Muhammad bin Salim yang juga merupakan mufti Kota Tarim al-Ghanna itu. Selain ayahandanya, beliau juga menuntut ilmu dengan ramai ulama antaranya dengan al-Habib al-Munshib Ahmad bin 'Ali bin asy-Syaikh Abu Bakar, al-Habib 'Abdullah bin Syaikh al-'Aydrus, al-Muarrikh al-Bahhaatsah al-Habib 'Abdullah bin Hasan BalFaqih, al-Muarrikh al-Lughawi al-Habib 'Umar bin 'Alwi al-Kaaf, asy-Syaikh al-Mufti Fadhal bin 'Abdur Rahman BaFadhal, asy-Syaikh Tawfiq Aman dan kepada saudara kandungnya al-Habib 'Ali al-Masyhur bin Muhammad bin Salim. Selain daripada para ulama Tarim, beliau juga menuntut ilmu dan ijazah daripada ramai lagi ulama di luar kota tersebut seperti di Kota Syihr, al-Baidha` dan juga al-Haramain. Antaranya beliau menuntut ilmu dan menerima ijazah daripada al-Habib Muhammad bin 'Abdullah al-Hadhar, al-Habib Zain bin Ibrahim BinSumaith, al-Habib al-Musnid Ibrahim bin 'Umar bin 'Aqil, al-Habib 'Abdul Qadir bin as-Saqqaf, al-Habib Ahmad Masyhur bin Taha al-Haddad, al-Habib Abu Bakar al-Aththas bin 'Abdullah al-Habsyi dan asy-Syaikh al-Musnid Muhammad Isa al-Fadani. Sekembalinya ke Kota Tarim, beliau mengasaskan Rubath Darul Musthofa pada tahun 1414H / 1994M dengan tiga matlamat: (1) mengajar ilmu agama secara bertalaqqi dan menerimanya daripada ahlinya yang bersanad; (2) mentazkiah diri dan memperbaikkan akhlak; dan (3) menyebarkan ilmu yang bermanfaat serta berdakwah menyeru kepada Allah s.w.t. Selain terkenal sebagai ulama dan da`ie, beliau juga merupakan seorang penyair yang mahir. Antara karangannya yang terkenal dan tersebar ke seluruh pelusuk dunia ialah kitab mawlidnya "adh-Dhiya-ul-Lami'". Posting aku bukanlah untuk memperkenalkan dengan panjang lebar berhubung beliau ini. Akan tetapi lebih kepada hanya untuk muqaddimah bagi nukilanku daripada fatwa beliau yang dimuatkan dalam laman webnya berhubung masalah imsak. Walaupun Ramadhan telah berlalu, aku postkan juga, agar di Ramadhan yang mendatang, tiada lagi suara-suara sumbang yang mempertikai atau membid`ah dholalahkan amalan yang telah sekian lama jadi amalan kita. Kalau kome nak baca, bacalah, kalau tak nak, skip sahajalah untuk tatapan Ramadhan tahun depan.

Nash Soal:
Ramai yang makan sehingga waktu azan, iaitu dia tidak berimsak kecuali tatkala mendengar azan atau hampir dengannya, adakah perkara sedemikian ini diperbolehkan atau dia wajib berimsak sebelumnya ?
Nash Jawab:

Tidak syak bahawa ihtiyath itu awla dan afdhal, dan selagimana dia belum zan terbitnya fajar harus baginya untuk makan apa yang dikehendakinya. Akan tetapi berhati-hati dengan imsak sebelum azan dengan (menjaga) satu jangkamasa adalah baik. Bahkan jika seseorang syak sama ada fajar telah terbit atau belum, lalu dia makan atau minum, kemudian ternyata perbuatannya itu (yakni makan/minumnya tadi) berlaku setelah terbit fajar, maka berdosalah dia dan wajib atasnya untuk berpuasa sehari sebagai ganti puasanya hari tersebut (yakni apabila nyata bahawa dia telah makan dan minum setelah fajar terbit, maka dia berdosa dan wajib qadha).

Oleh itu, maka ihtiyath adalah awla dan yang sedemikian itu telah diambil oleh para ulama daripada apa yang datang dalam hadits yang mulia: "Berapa masa antara sahur s.a.w. dan sholat ? Dijawabnya : Sekadar 50 ayat. 50 ayat dikadarkan dengan seperempat jam atau sepertiga, atas sekurang-kurangnya. Oleh itu, imsak sebelum fajar dengan seperempat jam atau sepertiga jam adalah awla dan ahwath (terlebih utama dan terlebih berhati-hati).

Atas apa jua keadaannya, bab ihtiyath itu luas dan dipersempitkanlah dia oleh seseorang itu atas dirinya menurut kehendaknya seperti dipuasakannya sehari yang sempurna itu dengan didatangkannya sebelum hari tersebut (yakni sebelum tiba fajar hari tersebut) dengan 10 minit atau 15 minit (sebagai ihtiyath bagi dirinya untuk mendapatkan kesempurnaan puasa satu hari tersebut). Kerana menjatuhkan dirinya dalam syak dan keraguan pada yang sedemikian adalah satu keburukan dalam muamalah dengan Allah al-Jabbar s.w.t. Bahkan sewajarnya dia berihtiyath sebelum fajar, maka berimsaklah dia sebelum fajar. Dan pada Maghrib, sedemikian juga dia berihtiyath untuk tidak berbuka sehingga diyakini terbenamnya matahari. Wa billahit tawfiq.


Allahu a'lam

6 ulasan:

  1. kecoh di kawasan perumahan saya berikutan kematian seorang ahli masjid. seorang ustaz muda melarang keluarga yang mendapat kematian itu untuk kenduri. Katanya kenduri tak boleh. kalau nak buat tahlil, dia kata dia tak kisah dan tak ada pula halangan. selalunya di kawasan kami, kalau ada kematian, keluarga akan berbuat kenduri dan tahlil. orang yang datang ziarah biasanya akan bawakan gula, biskut, dan lain2 sebagai sedekah. mohon pandangan ustaz.

    BalasPadam
  2. cik nony, sila rujuk posting ambo yang dulu-dulu.

    Buat kenduri dengan niat ith`amuth tho`am, tak boleh dikatakan haram, bahkan sesiapa yang mengharamkannya maka tersesat dia kerana mengharamkan benda yang halal.

    Kalau kenduri sekadar menjalankan adat,maka dihukumkan makruh tetapi masih boleh diharapkan dapat pahala, sila rujuk posting terdahulu,lihat kat labels fiqh.

    Tak apa, jemput je ustaz tu mari tahlil, masuk bab makan suruhlah dia balik....hehehe.

    BalasPadam
  3. http://bahrusshofa.blogspot.com/2006/02/asraus-sadaqah.html

    http://bahrusshofa.blogspot.com/2006/01/hadis-jarir-penjelasan-tuan-guru-haji.html

    http://bahrusshofa.blogspot.com/2006/01/kenduri-arwah-khilafiyyah-lapuk.html

    http://bahrusshofa.blogspot.com/2006/01/hadis-thawus.html

    http://bahrusshofa.blogspot.com/2006/01/kenduri-arwah-lujnah-ulama-fathani.html

    BalasPadam
  4. Gunakanlah fungsi button SEARCH BLOG yang ada kat atas tu cik anonymous. Pasti gembira hatimu :)

    BalasPadam
  5. Hamba tak berapa arif fasal ugama..
    Nak tanya samada waktu sahur atau imsak yg sedang d bincang ni sama dengan ada ayat quran yg sebut bahawa kalau nak jadi ahli2 syurga, menggunakan waktu ni (sahur) untuk banyak memohon ampun kpa Allah?

    BalasPadam
  6. Ya tuan , waktu sahur itu waktu - waktu sebelum terbit fajar shadiq masuknya waktu Subuh. Ada ayat - ayatnya antaranya dalam Surah Ali Imran dan surah adz-Dzariyat.

    BalasPadam