Selasa, Mac 13, 2007

Qariin 2 - Ustaz Ismail Kamus

Sebagaimana yang aku katakan dalam posting terdahulu, di tanah air yang tercinta ini selain Prof. Dr. Haron Din, Dato` Hj. Ismail Kamus juga mempunyai karangan yang sedikit sebanyak memperkatakan mengenai kewujudan makhluk qariin ini. Setidak-tidaknya Dato` Ismail Kamus memberi penerangan berhubung makhluk ini dalam bukunya "Jin : Rasukan & Pengubatannya" dan juga karangan terbarunya "Jin : Hakikat & Pengubatan". Dalam "Jin : Hakikat & Pengubatan", Dato` Ismail Kamus pada halaman 9 menulis:-
Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia. Boleh dikatakan ia sebagai "kembar" manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada qarinnya sendiri. Rasulullah s.a.w. sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, qarin Rasulullah adalah Muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.

Pada umumnya qarin yang kafir ini kerjanya mendorong dampingannya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, berat nak baca al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.

Untuk mengimbangi usaha qarin ini Allah utus malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca "Bismillah" sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.

Qarin akan berpisah dengan "kembar"nya hanya apabila manusia meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh sedangkan qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan manusia.
Aku harap ikhwah sudah dapat mengambil faedah berhubung kewujudan makhluk qariin ini. Jika ada yang ingin mengetahui lebih lanjut berhubung makhluk qariin dan segala kaum kerabatnya daripada kalangan jin dan syaitan, maka bolehlah mencari ahli-ahlinya serta mentelaah kitab-kitab yang membicarakan hal ini seperti kitab "Luqthul Marjaan fi Ahkamil Jaan" karangan Imamuna as-Sayuthi rhm. Ku akhiri posting ini dengan nukilan satu kisah yang disebut oleh Dato` Hj. Ismail Kamus dalam "Jin: Rasukan & Pengubatannya" halaman 41.

Ibnu Muflih menceritakan: Suatu ketika syaitan yang mendampingi orang beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus sedangkan yang mengikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus, bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah, dia berzikir, makan dia ingatkan Allah, apabila minum pun begitu. Sebaliknya syaitan yang mengikut orang kafir itu pula berkata aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum.
Oleh itu, lagi sekali aku ingatkan diriku dan kalian semua ikhwah yang budiman agar jangan lalai dari berzikir mengingati Allah dan mentaati segala titah perintahNya. Janganlah kita lupa akan firman Allah s.w.t.:-


3 ulasan:

  1. Allahuakbar. Kena banyak buat zikir ingat Allah dan berselawat ni nampaknya.

    Satu lagi soalan yang nak minta confirm. Jadi qarin ini boleh jadi terdiri dari jin dan syaitan lah ya? Atau qarin ini lebih khusus kepada makhluk jin sahaja?

    Jazakallah.

    BalasPadam
  2. Allahu Allah.

    Jin ada yang kafir dan ada yang Islam; Ada yang sholeh dan ada yang tholeh, sama cam manusia jugak. Ada yang Sunni, ada Wahhabi, ada Syiah dsbnya.

    Syaitan adalah jin yang jahat yang bertugas menggoda, menyakiti dan menyesatkan manusia. Kalimah syaitan, walaupun biasanya dimaksudkan sebagai jin yang jahat, tetapi ianya tidaklah terhad kepada jin sahaja kerana manusia yang jahat juga boleh disebut sebagai syaitan sebagaimana firman Allah dalam surah al-An`aam ayat 112- (teks rujuk sendiri) yang kira-kira bererti: "Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, ....."

    Jadi kesimpulannya, jin tu nama umum bagi satu jenis makhluk ciptaan Allah, yang mana seperti juga manusia jin pun bermacam-macam jenis dan bangsa. Yang jahat disebut syaitan, ifrit, maarid, dan di situ ada juga qaariin, al-'awaamir dan sebagainya.

    Jadi qariin yang jahat, kita sebut syaitan. Manakala jika ada yang baik serta beriman, tidaklah kita sebut sebagai syaitan, tetapi kita panggil jin Islam.

    BalasPadam
  3. Thanks abumuhd atas penjelasan di Qariin 1. sy ada satu lagi persoalan, tapi tak tau sama ada sesuai tak nak letak kat sini.

    Bila cakap pasal qariin tak terlepas dari sihir menyihir..bila sihir menyihir ni plak mcm mana dengan kisah Harut & Marut?

    BalasPadam