Memandang kubah hijau Masjid Nabawi, mengingatkan aku kepada bait-bait syair yang ditulis oleh al-Imam al-Muhaddits Wajihuddin 'Abdur Rahman 'Ali bin Muhammad bin 'Umar bin 'Ali bin Yusuf bin Ahmad bin 'Umar asy-Syaibani asy-Syafi`i ad-Diba`ie yang wafat tahun 944H. Bagi yang suka mencemoh, menghina dan mulutnya gatal hendak memperlekehkan karangan mawlid beliau ini, maka sebelum membuka mulut ketahuilah bahawa beliau ini adalah seorang ulama yang terkenal bahkan mendapat gelaran "wajihuddin (pemuka agama)" dan beliau juga adalah seorang ahli hadits yang tiada tolok bandingnya pada masa hayatnya. Beliau telah mengajar "Jami`ush Shohih" bagi Imam al-Bukhari lebih 100 kali dan dalam bidang hadits beliau berada pada darjat hafiz iaitu seseorang yang menghafal 100,000 hadits dengan sanadnya (Agaknyalah, adakah orang yang mengaku dirinya ada Phd. dalam hadits kat Malaysia ini telah sampai ke darjat ini? Berapa banyakkah hadits dengan sanadnya yang telah dihafalnya???? Tolong kengkawang pergi tanya). Oleh itu, sebagaimana yang selalu aku dok peringat, berhati-hatilah bila mengkritik para ulama terdahulu.
Dalam mawlidnya yang masyhur tersebut, Imam ad-Diba`ie menulis, antara lain:-
و تلك القبة الخضرا و فيها * نبي نوره يجلو الغياهب
Itulah dia Kubah Hijau yang padanya (bermaqam)
Nabi yang cahayanya telah menyinari segala kegelapan
Kubah Hijau telah lama menjadi mercu tanda Kota Madinah, bahkan menjadi lambang yang mengingatkan kita kepada Junjungan Nabi s.a.w. kerana di bawah kubah itulah bersemadinya jasad Sayyidul Kawnain wats Tsaqalain s.a.w. Menurut sejarah, maqam Junjungan Nabi s.a.w. sentiasa mempunyai bumbung untuk menaunginya kerana ia asalnya adalah rumah (bilik) Sayyidatina 'Aisyah r.a. Pernah berlaku dalam sejarah bahawa penduduk Kota Madinah tatkala menghadapi musim kemarau yang teruk telah dinasihatkan untuk membuat satu bukaan pada bumbung atas maqam Junjungan s.a.w. sebagai upaya berwasilah dengan baginda. Kisah ini diriwayatkan oleh Imam ad-Daarimi dalam sunannya seperti berikut:
حدّثنا أبو النُعمانِ حدثنا سعيدُ بنُ زيدٍ ، حدثنا عَمْرُو بنُ مالكٍ النكريُّ ، حدثنا أبو الجوزاء أوسُ بنُ عبدِ اللَّهِ قال: قحطَ أهل المدينة قَحْطاً شديداً، فشَكَوْا إلى عائشةَ فقالَتْ: انظُروا قبرَ النبيِّ صلى الله عليه وسلّم فاجعلُوا منه كواً إلى السماءِ، حتى لا يكون بَيْنَهُ وبينَ السماءِ سقْفٌ. قال: فَفَعَلُوا فمطِرْنا مطراً حتى نَبَتَ العشبُ، وسَمِنَتِ الإبِلُ حتى تَفَتَّقَتْ من الشحمِ، فسُمِّيَ عامَ الفتقِ....انتهى
Diriwayatkan daripada Abu an-Nu'maan daripada Sa`id bin Zaid daripada 'Amr bin Malik daripada Abul Jawzaa` Aus bin Abdullah yang telah berkata: "Penduduk Kota Madinah telah menghadapi kemarau teruk, lalu mereka mengadu kepada Sayyidatina 'Aisyah r.'anha. Ummul Mu'minin Sayyidatina 'Aisyah berkata kepada mereka: (Pergilah) lihat kubur Nabi s.a.w. dan buatkanlah satu lubang atasnya yang tembus ke langit sehingga tidak ada atap (naungan) di antara kubur tersebut dengan langit. Maka mereka pun melakukannya, lalu turunlah hujan lebat sehingga tumbuh - tumbuhan hidup dengan subur dan unta-unta menjadi gemuk sehingga kulitnya seakan-akan pecah, maka dinamakan tahun tersebut "aamul fatqi" (tahun pecah-pecah (yakni melambangkan kesuburan kerana kulit unta-unta tersebut seolah-olah pecah-pecah kerana terlalu gemuk)."Hadits ini telah dijadikan antara dalil yang mengharus bertawassul dengan Junjungan Nabi s.a.w. sebagaimana dinyatakan oleh ulama dan ahli sejarah Kota Madinah yang masyhur, Sayyid as-Samhudi, dalam "Khulashatul Wafa`". Imam as-Samhudi menyatakan bahawa membuat lubang pada atap atas maqam Junjungan Nabi s.a.w. supaya ada lubang terus ke langit telah menjadi amalan penduduk Madinah sewaktu musim kemarau. Selanjutnya beliau menyatakan bahawa pada kebelakangannya penduduk Madinah tidak lagi membuat lubang pada atas maqam Junjungan s.a.w. tetapi mereka akan membuka pintu yang menghadap wajah baginda yang mulia dan bertawassul dengan baginda serta memohon syafaat baginda di situ. Mulla 'Ali al-Qari dalam "Mirqaatul Mafaatiih" turut menukilkan hadits ini dan menyebut bahawa Aus bin 'Abdullah al-Azdi adalah ahli Bashrah dan seorang tabi`in masyhur yang meriwayatkan hadits daripada Sayyidatina 'Aisyah, Sayyidina Ibnu 'Abbas dan Sayyidina Ibnu 'Umar r.'anhum. Hadhratusy Syaikh KH Hasyim Asy`ari juga memuatkan hadits ini sebagai antara dalil bagi mengharuskan tawassul, istighosah dan memohon syafaat kepada Nabi, para wali dan sholihin sebagaimana dimuatkannya dalam kitabnya "an-Nuurul Mubiin fi Mahabbati Sayyidil Mursaliin".
Juga daripada hadits di atas kita ketahui keadaan maqam Junjungan s.a.w. yang mulia itu mempunyai bumbung yang menaunginya. Dan kubah adalah satu rupa bentuk bumbung yang menaungi sesuatu. Oleh itu apa yang nyata di sisi ulama kita, Ahlus Sunnah wal Jama`ah, tidak ada seorang pun yang menghukum haram membangunkan kubah atas maqam Junjungan Nabi s.a.w., baik ulama terdahulu maupun yang ada sekarang. Hanya ulama Wahhabi sahaja yang tidak senang dengannya sehingga pernah berusaha untuk memusnahkan kubah tersebut dan mengeluarkan fatwa untuk tujuan itu, seperti yang dilakukan oleh gembong Wahhabi yang bernama Muqbil bin Hadi al-Waadi`ii. Insya-Allah, nanti lain ketika kita bicarakan hukum berhubung membangun kubah atas kuburan para nabi dan sholihin menurut para ulama kita.
Menurut sejarah, orang yang pertama membuat bumbung berbentuk kubah atas maqam Junjungan Nabi s.a.w. adalah Sultan Manshur Qalawuun ash-Sholihi pada tahun 678H (1282M). Dan antara yang pernah membina dan memperbaharui kubah atas maqam yang mulia tersebut adalah Sultan an-Nashir Hasan bin Muhammad Qalawuun ash-Sholihi, asy-Syaraf Sya`ban bin Husein bin Muhammad, Sultan Qait Bey dan pembaharuan yang terakhir adalah oleh Sultan al-Ghozy Mahmud bin Sultan 'Abdul Hamid Khan al-Uthmani dalam tahun 1233H (1817M). Kubah ini dahulunya tidak mempunyai warna tetap, selain diwarnakan dengan warna hijau, ia juga pernah diberi warna biru, kelabu dan putih. Maka apabila Sultan 'Abdul Hamid al-Uthmani memperbaharui cat kubah tersebut pada tahun 1253H, maka baginda telah mengekalkan warna hijau padanya dan memerintahkan agar warna itu dikekalkan sebagai warna rasmi kubah tersebut. Maka berterusan sehingga ke hari ini kubah tersebut diwarnakan dengan warna hijau dan masyhurlah panggilannya sebagai "Qubbatul Khadhra`". Itulah kubah yang di bawahnya bersemadi jasad Junjungan Nabi s.a.w.
يا صاحب قبة الخضراء و منبرها
يا سيدي يا رسول الله خذ بيدي
يا سيدي يا رسول الله خذ بيدي
************************************
يا سيدي يا رسول الله خذ بيدي
يا سيدي يا رسول الله خذ بيدي
************************************