Sabtu, November 03, 2007

Kisah al-Minqariy - Istighatsah

Imam 'Abdur Rahman bin 'Ali bin Muhammad bin 'Ali bin 'Ubaidillah bin 'Abdullah bin Hammadi bin Ahmad bin Muhammad bin Ja'far bin 'Abdullah bin al-Qasim bin an-Nadr bin al-Qasim bin Muhammad bin 'Abdullah bin al-Faqih 'Abdur Rahman bin al-Faqih al-Qasim bin Muhammad bin Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq yang lebih dikenali sebagai Abul Faraj Ibnul Jawzi ash-Shiddiqi al-Quraisyi at-Taimi al-Bakri al-Baghdadi al-Hanbali al-Asy`ari atau singkatannya Ibnul Jauzi adalah seorang ulama besar bermazhab Hanbali yang dilahirkan pada tahun 509/510H di Baghdad. Beliau banyak menulis kitab dan terkenal sebagai seorang daie yang di tangannya ribuan manusia bertaubat dan memeluk agama Islam. Beliau memiliki ramai murid di antaranya ialah Ibnu Qudamah al-Maqdisy yang masyhur itu. "Talbis Iblis" kitab karangan beliau sering digunakan sebagai senjata oleh pihak yang tidak menggemari kaum sufi untuk menyerang mereka. Hatta mufti kaum mudah di Indera Kayangan @ mufti suratkabo pun ada merujuk kepada kitab tersebut dalam sebahagian tulisannya. Malangnya karangan-karangan beliau seperti "Daf`u Syubah at-Tasybih bil akuff at-tanzih" yang menolak faham tajsim dan tasybih serta membersihkan nama Imam Ahlus Sunnah Ahmad bin Hanbal sebagai berfahaman sedemikian , tidak pula mereka berikan perhatian dan jadikan panduan. Nak tahu lebih lanjut, kome gilah mengaji, bab-bab aqidah mana boleh nak mengaji ikut baca-baca blog atau suratkabo je, silap-silap boleh jadi "goblok" tu. Cari kitab yang bersandarkan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah, pastu cari tuan-tuan guru yang betul pegangannya dan duduklah mengaji. Sesungguhnya ilmu itu dengan belajar.

Kat sini aku nak tulis yang ringan-ringan sahaja. Aku nak nukilkan bab ke-39 dari kitab Imam Ibnul Jawzi yang berjodol" al-Wafa bi Ahwaalil Mushthofa s.a.w.". Kitab "al-Wafa" ini membicarakan berbagai aspek kehidupan manusia teragung Junjungan Nabi Muhammad s.a.w., mulai dari awal penciptaan baginda sehinggalah kewafatan. Amat elok jika ianya dijadikan bacaan agar kecintaan kita kepada Junjungan Nabi s.a.w. semakin mendalam. Pada bab 39 kitab tersebut berhubung perkara beristisqa` (memohon hujan) dengan makam Junjungan s.a.w., beliau menukilkan 3 kisah yang berkaitan dengan Junjungan Nabi s.a.w. dan makam baginda yang mulia. Sungguh hanya manusia-manusia bodoh sahajalah yang akan menghalang umat Muhammad untuk datang menziarahi makam kekasih mereka yang bersemayam di kota suci Madinah al-Munawwarah. Mudah-mudahan Allah beri kita kesempatan untuk menghadirkan diri kita yang hina ini ke tempat suci tersebut. Imam Ibnul Jawzi menulis:-

  • Telah diriwayatkan daripada Abul Jauza` yang menyatakan sebagai berikut: "Penduduk Madinah telah mengalami kemarau yang dahsyat, lalu mereka mengadu kepada Sayyidatina 'Aisyah r.'anha. Sayyidatina 'Aisyah berkata kepada mereka: (Pergilah) lihat kubur Nabi s.a.w. dan buatkanlah satu lubang atasnya yang tembus ke langit sehingga tidak ada atap (naungan) di antara kubur tersebut dengan langit. Maka mereka pun melakukannya, lalu turunlah hujan lebat sehingga tumbuh - tumbuhan hidup dengan subur dan unta-unta menjadi gemuk sehingga kulitnya seakan-akan pecah, maka dinamakan tahun tersebut "aamul fatqi" (tahun pecah-pecah (yakni melambangkan kesuburan kerana kulit unta-unta tersebut seolah-olah pecah-pecah kerana terlalu gemuk)."
  • Diriwayatkan daripada Sa`id bin 'Abdul 'Aziz yang berkata: "Ketika berlaku peristiwa al-Harrah (pengepungan Kota Madinah oleh tentera Yazid dan ketegangan yang dilakukan mereka atas para penduduknya), tidak kedengaran azan dan iqamat dari Masjid Junjungan Nabi s.a.w. selama 3 hari. Sa`id bin al-Musayyib yang tidak pernah berganjak dari masjid tersebut mengetahui masuknya waktu sholat hanya dengan mendengar suara dengungan daripada makam Junjungan Nabi s.a.w.
  • Daripada Abu Bakar al-Minqari yang menceritakan: "Adalah aku, ath-Thobarani dan Abusy Syaikh berada di tanah haramnya Junjungan Nabi s.a.w. (Kota Madinah) dalam keadaan kesempitan sehingga kami merasa kelaparan. Memandangkan tiada upaya untuk memperolehi makanan, kami pun meneruskan berpuasa pada hari tersebut. Tatkala waktu 'isya`, aku mendatangi makam Junjungan Nabi s.a.w. seraya berkata: "Wahai Rasulullah s.a.w., lapar, lapar", setelah itu aku pun berpaling pulang. Maka berkatakan Abusy Syaikh kepadaku: "Duduklah, kita tunggu sahaja sama ada datang rezeki atau kematian." Abu Bakar berkata lagi: "Aku dan Abusy Syaikh pun tidur, manakala ath-Thabarani duduk melihat sesuatu. Lalu muncul seorang 'Alawi (keturunan Junjungan Nabi s.a.w.) yang mengetuk pintu. Bersamanya 2 orang pembantunya yang setiap seorang membawa bekas besar yang dipenuhi makanan. Maka kami pun duduk dan makan. Kami menyangka lebihan makanan tersebut akan dibawa pergi oleh para pelayan, tetapi mereka bangkit pergi dengan meninggalkan baki makanan tersebut untuk kami. Selesai makan, si 'Alawi tadi berkata kepada kami: "Wahai saudara, adakah kamu telah mengadu (tentang kelaparan kamu) kepada Junjungan Rasulullah s.a.w ? Sesungguhnya aku bermimpi melihat Junjungan s.a.w. dan baginda memerintahkan aku untuk menghantar sesuatu kepada kamu."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan