Ahad, Jun 29, 2008

Kenduri Arwah - Syaikh Ahmad Khatib

Syaikh Ahmad Khatib bin 'Abdul Lathif bin 'Abdullah al-Minankabawi adalah salah seorang daripada ulama Jawi kita yang diberi kepercayaan menjadi khatib dan imam bagi pengikut mazhab Syafi'i di Masjidil Haram. Beliau dilahirkan di Kota Gedang, Bukit Tinggi, Sumatera Barat pada hari Isnin, 6 Zulhijjah 1276 H / 26 Jun 1860M. Beliau wafat di Makkah pada 9 Jamadilawal 1334 H / 13 Mac 1916 M. Beliau menerima didikan agama daripada ramai guru-guru yang terkemuka pada zamannya, antara guru-guru tersebut adalah Syaikhul Islam Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan, Sayyidi Abu Bakar Syatho ad-Dimyathi dan Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah Makki.

Beliau adalah seorang ulama yang luas dan dalam ilmunya serta teguh pendiriannya. Sungguhpun berilmu tinggi, beliau masih tetap berpegang dan bertaklid pada Mazhab Syafi'i dalam hukum-hakam fiqh dan mendokong Ahlus Sunnah wal Jamaah mengikut ajaran Imam Abu Hasan 'Ali al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi dalam aqidah. Sebagai contoh, dalam pertikaian dua orang muridnya yang berbeza pendapat. Yang seorang berpihak kepada `Kaum Tua', beliau ialah Syeikh Hasan Ma'sum (1301 H/1884 M-1355 H/1974 M) yang berasal dari Deli, Sumatera Utara. Dan seorang lagi berpihak kepada `Kaum Muda', beliau ialah Haji Abdul Karim Amrullah (ayah kepada Prof. Dr. Hamka). Syeikh Ahmad Khatib telah berpihak kepada Syeikh Hasan Ma'sum (Kaum Tua). Bahkan dalam satu kenyataannya Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau menolak sumber asal pegangan Haji Abdul Karim Amrullah (Kaum Muda) yang menurut beliau telah terpengaruh dengan pemikiran Ibnu Taimiyah (661 H/1263 M - 728 H/1328 M).

Dalam karya beliau "ar-Riyadhul Wardiyyah" beliau memberi penjelasan mengenai amalan "wahsyah" yang menurut keterangan beliau adalah amalan membuat kenduri di rumah orang mati, di mana pada halaman 101 dinyatakan:-
Tanbih:- Bermula memperbuat wahsyah ertinya berhimpun-himpun pada rumah mayyit, tiga malam, kerana mengaji dan menujuh hari dan meratus hari, maka segala itu bid'ah. Dan tiadalah jadi ia haram, melainkan jika diperbuat daripada harta anak yatim atau daripada harta mayyit yang ada atasnya utang. Dan serta keadaannya bid'ah, jika diniatkan dengan makan-makan itu akan sedekah, dan dijadikannya akan pahalanya bagi mayyit, dan dengan bacaan tahlil akan hadiah pahalanya kepada mayyit, maka nescaya sampai pahalanya bagi mayyit.
Maka, diharap sesiapa yang melakukan amalan kenduri arwah untuk menghiburkan diri dan keluarga si mati yang baru kehilangan orang yang dikasihi, juga menghiburkan si mati yang baru sahaja berpindah ke alam barzakh dengan iringan zikir, tahlil, doa dan sebagainya, biarlah dilakukan atas niat yang benar dan betul menurut ajaran para ulama kita yang mulia. Manakala sesiapa yang tidak berhajat untuk melakukan amalan "niga", "nujuh" dan seterusnya, maka itu adalah hak mutlak kamu, tapi jangan kamu mencela dan mencemoh mereka-mereka yang melakukannya. Bukanlah kamu orang yang boleh mengetahui isi hati orang lain.

Khamis, Jun 26, 2008

Hukum Anak Yang Keguguran

Berkata Syaikh Muhammad bin Ismail al-Fathani rhm. dalam "al-Bahrul Waafi wan Nahrush Shofi" halaman 212:-

(Dan adapun) anak yang guguran yang belum sempurna bulannya lagi tiada diketahui akan hidupnya dengan berteriak atau bergerak atau bernafas lagi belum nyata kejadiannya maka tiada wajib padanya sesuatu, bahkan haram sembahyang atasnya dan sunnat dibungkuskan dia dengan kain dan ditanamkan dia dan harus diberikan bagi kucing dan umpamanya.

(Maka jika) diketahui akan hidupnya dengan nyata salah suatu daripada tanda yang tersebut itu, maka hukumnya seperti yang besar. Maka wajib dimandikan dan dikafankan dan disembahyangkan dan ditanamkan dia kerana yakin hidupnya dan mati ia kemudian daripadanya.

Dan jika nyata kejadiannya jua, maka wajib dimandikan dan dikafankan dan ditanamkan dengan tiada sembahyang atasnya.

(Dan adapun) anak yang gugur kemudian daripada sudah sempurna bulannya, maka hukumnya seperti yang besar. (Kata) Syaikh Ramli, manakala sampai ia enam bulan wajib padanya barang yang wajib pada yang besar, iaitu dikerjakan empat perkara yang tersebut itu (yakni mandi, kafan, sembahyang dan tanam).
Untuk memudahkan pemahaman hukum-hukum yang berlaku terhadap anak atau janin yang keguguran, maka ini ambo nukilkan lagi keterangan dan rumusan dari "Fathul 'Allaam" juzuk 3 halaman 298 -299 karya 'Allaamah Syaikh Sayyid Muhammad bin 'Abdullah bin 'Abdul Lathif al-Jurdaani (w. 1331H/1913M) murid Syaikhul Islam Ibrahim al-Bajuri, seperti berikut:-

Keguguran 6 bulan ke atas:-

  • Jika anak yang keguguran itu sudah cukup bulan, iaitu 6 bulan qamariyyah yang merupakan sekurang-kurang tempoh kehamilan, maka yang muktamad dalam mazhab kita asy-Syafi'i, wajib dikerjakan ke atasnya apa yang wajib atas mayyit orang dewasa, iaitu wajib dimandikan, wajib dikafan, wajib disembahyangkan dan wajib dikebumikan. Tanpa mengira sama ada anak keguguran itu hidup tatkala dia keluar lalu kemudian mati, tanpa mengira sama ada sudah berupa atau berbentuk manusia atau belum. Asal 6 bulan ke atas, wajib dikerjakan 4 perkara tersebut. Ini qawl yang muktamad dalam mazhab dan dipegang oleh Imam ar-Ramli dan Imam al-Khathib.
  • Manakala Imam Ibnu Hajar pula mengikut fatwa guru beliau, Syaikhul Islam Zakaria al-Anshari, berpendapat bahawa jika anak yang keguguran itu keluar dalam keadaan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda hidup, yakni keluar sudah mati, maka haram disembahyangkan, hanya wajib dimandikan, dikafan dan ditanam sahaja. Pendapat inilah yang disokong oleh Imam al-Qalyubi.
Keguguran di bawah 6 bulan:-

  • Jika janin yang keguguran itu keluar dalam keadaan mati DAN tidak berupa atau berbentuk seperti manusia, yakni tidak ada tanda-tanda kehidupan padanya tatkala dia keluar seperti menangis, bergerak atau bernafas, dan tidak pula dia mempunyai bentuk atau rupa seperti manusia, yakni mungkin ianya berbentuk seperti segumpal daging, maka tidaklah wajib apa-apa atasnya hanya harus (yakni mubah) dimandikan atau dibasuh dan sunnat dibungkus dengan kain dan sunnat ditanam. Manakala sembahyang atasnya dihukumkan haram.
  • Jika janin yang keguguran itu ketika keluar zahir padanya tanda-tanda hidup, maka wajib dilakukan ke atasnya 4 perkara sepertimana yang dilakukan terhadap mayyit orang dewasa. Jika keluar hidup, walaupun tidak mempunyai rupa anak Adam, maka wajib 4 perkara.
  • Jika janin yang keguguran itu ketika keluar tidak menzahirkan yakni tidak kelihatan tanda-tanda hidup padanya, tetapi dia mempunyai rupa atau bentuk manusia, maka wajib dikerjakan padanya 3 perkara iaitu dimandi, dikafan dan ditanam. Manakala sembahyang atasnya hukumnya haram.
Sebagai ringkasan untuk memudahkan ingatan maka kita lihat rumusnya yang disyairkan oleh sebahagian ulama:-

Anak keguguran seperti orang dewasa
Tatkala wafat hukumnya
jika zahir tanda hidup ketika keluarnya

Jika tersembunyi tiada zahir tanda hidupnya
Tapi nyata kejadiannya rupa manusia
Dikerja tiga perkara padanya selain sholat tertegah adanya

Jika tersembunyi jua akan kejadiannya
Maka padanya tiada wajib apa-apa
Hanya dibungkus dan ditanam sunnat hukumnya.


Selasa, Jun 24, 2008

Kasyaf Imam Ali r.a.

Kembali kita mengenang sejarah pembunuhan Imam Husain di Karbala. Umum mengetahui siapa yang melakukan pembunuhan kejam tersebut. Dan kita juga perlu tahu pengkhianatan mereka-mereka yang mengaku mencintai ahlul bait dan akan berjuang bersama, namun apabila Imam Husain menerima jemputan mereka, mereka pula telah membiarkan baginda sendirian bersama ahli keluarga baginda untuk menghadapi tentera Yazid. Mereka membiarkan Imam Husain diperangi dan dibunuh. Ini adalah satu pengkhianatan terhadap ahlul bait yang mesti diingati oleh segala zuriat ahlul bait yang ada sekarang. Janganlah terpedaya dengan pujian dan sanjungan mereka terhadap kamu, ingat mereka - mereka inilah yang telah mengkhianati nenda kamu Imam Husain r.a. Pengkhianatan puak Syiah (yakni yang mengaku diri mereka pencinta ahlul bait) di Iraq terhadap Imam Husain adalah satu fakta sejarah yang tidak boleh disembunyikan lagi.

Syaikh 'Abdul Qaadir 'Isa al-Halabi dalam membicarakan mengenai kasyaf telah membawa kisah kasyaf Imam 'Ali r.a. Dalam karyanya "Haqaaiq 'anit Tashawwuf" pada halaman 346 beliau menulis:-

Telah berkata Imam 'Ali r.a. kepada penduduk Kufah:- "Ahlul Bait keluarga Rasulullah s.a.w. akan datang kepada kamu meminta bantuan kamu akan tetapi mereka tidak dibantu." Maka begitulah sikap mereka terhadap Imam al-Husain r.a. (yakni mereka membiarkan sahaja Imam al-Husain dibantai oleh tentera Yazid tanpa memberikan apa-apa bantuan).
Allahu ... Allah, jelas telahan Imam Ali r.a. yang bersumberkan kasyaf menjadi kenyataan dalam peristiwa yang menimpa anakanda baginda Imam Husain r.a. Puak Syiah yang telah mengutus surat kepada Imam Husain dan berjanji untuk berbai'ah serta berjuang bersama baginda akhirnya menjadi pengkhianat dengan membiarkan cucunda Junjungan Nabi s.a.w. menghadapi tentera musuh hanya bersama kaum keluarga baginda sahaja. Jelas darah Imam Husain turut terpalit ke tangan-tangan mereka yang mengkhianati baginda.

Sabtu, Jun 21, 2008

Kiyai Kholil Bangkalan

Ulama besar yang digelar oleh para kiyai sebagai "syaikhuna" yakni guru kami, kerna kebanyakan kiyai-kiyai dan pengasas pondok pesantren di Jawa dan Madura pernah belajar dan nyantri dengan beliau. Pribadi yang dimaksudkan ialah Kiyai Kholil bin Kiyai 'Abdul Lathif bin Kiyai Hamim bin Kiyai 'Abdul Karim bin Kiyai Muharram bin Kiyai Asral Karamah bin Kiyai 'Abdullah bin Sayyid Sulaiman yang merupakan cucu kepada Sunan Gunung Jati. Kiyai Kholil dilahirkan pada hari Selasa, 11 Jamadil Akhir 1235 di Bangkalan, Madura.

Dari kecil, kecintaannya kepada ilmu telah terserlah. Selain menghafal al-Quran, beliau sejak kecil telah hafal 1000 bait nazam Alfiyyah Ibnu Malik. Bahkan, beliau amat menitik beratkan pelajaran nahwu sehingga santri-santri beliau tidak akan dibenarkan menamatkan pengajian dan pulang ke kampung jika belum hafal Alfiyyah. Justru, setiap santri yang mohon untuk pulang, terlebih dahulu diuji hafalan Alfiyyahnya, jika belum hafal maka jangan harap diizinkan pulang. Begitulah penekanan yang beliau berikan kepada ilmu nahwu yang merupakan antara ilmu alat yang terpenting. Kelemahan dalam ilmu ini akan membawa kepada lemahnya memahami kitab-kitab para ulama terdahulu, maka wajar sekali jika Embah Kholil memberikan penekanan terhadap ilmu ini.

Selain ilmu nahwu, beliau turut menguasai ilmu fiqh terutama sekali fiqh Syafi'i, tafsir, qiraah dan juga tasawwuf dan thoriqah. Beliau menghafal al-Quran dan menguasai segala ilmu berhubungan dengannya termasuklah menguasai qiraatus sab'ah. Beliau menimba pengetahuannya daripada ramai ulama seperti Kiyai Muhammad Nur dan di berbagai pesantren antaranya Pesantren Langitan Tuban, Pesantren Cangaan Bangil, Pesantren Keboncandi Pasuruan dan Pesantren Banyuwangi. Setelah itu, beliau berangkat ke Makkah al-Mukarramah untuk menimba ilmu di sana. Sewaktu nyantri, beliau tidak mengharapkan biaya daripada orang tuanya, bahkan beliau menampung biayanya sendiri dengan melakukan berbagai pekerjaan di samping belajar.

Beliau berangkat ke Makkah dalam tahun 1859, ketika berusia 24 tahun. Sepanjang perjalanan ke Makkah dan semasa di sana, beliau lebih gemar berpuasa dan melakukan riyadhah kerohanian. Dikisahkan bahawa selama di Makkah, kebiasaannya beliau hanya makan kulit tembikai berbanding makanan lain. Setelah pulang ke tanahairnya, beliau mendirikan pesantren di Desa Cengkebuan. Pesantren ini akhirnya beliau serahkan kepada menantunya Kiyai Muntaha, dan beliau sendiri membuka sebuah lagi pesantren di Desa Kademangan, Bangkalan. Antara ulama yang menjadi santri beliau adalah Hadhratusy Syaikh Hasyim Asy'ari, Kiyai Wahhab Hasbullah, Kiyai Ahmad Qusyairi dan Kiyai Bisri Syansuri.

Kiyai Kholil selain terkenal sebagai ulama, juga dikenali sebagai seorang waliyullah yang mempunyai berbagai karamah dan kasyaf. Murid beliau, Kiyai Ahmad Qusyairi bin Shiddiq dalam karyanya "al-Wasiilatul Hariyyah" mensifatkan gurunya ini sebagai " beliau yang dalam ilmu nahwunya seperti Sibawaih, dalam ilmu fiqh seperti Imam an-Nawawi dan dari segi banyak kasyaf dan karamah seperti al-Quthub al-Jilani." Maka tidak heran, makamnya sehingga kini diziarahi ramai untuk menjalankan sunnah ziarah kubur dan ngalap berkat. Beliau meninggal dunia pada 29 Ramadhan 1343H. Selain meninggalkan ramai santri yang menjadi ulama dan kiyai besar, beliau turut meninggalkan beberapa karangan antaranya "ash-Shilah fi bayanin nikah" dan "al-Matnusy-Syarif". Moga Allah sentiasa mencucuri rahmat dan kasih-sayangNya kepada Embah Kiyai Kholil serta para leluhurnya juga sekalian ulama dan umat yang mentawhidkan Allah s.w.t. .. al-Fatihah.

Ahad, Jun 15, 2008

Tempat Bagi Allah ???

Kalau Anda berpikiran bahwa Allah mempunyai tempat, artinya Anda salah menafsirkan. Jikalau Dia (swt) memiliki tempat, berarti Allah memerlukan tempat. Sesuatu yang memerlukan tempat menunjukkan sesuatu yang lemah. Maka selanjutnya kita bertanya umur tempat dan yang bertempat itu sama atau tidak? Kalau Arsy, itu memiliki waktu bermula. Sedangkan Allah (swt) tidak memiliki sifat bermula. Sama persis dengan sebuah ayat:-

لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَّهُ كُفُواً أَحَدٌ

Sesuatu yang dilahirkan atau melahirkan itu menunjukkan sesuatu yang lemah. Sebab baik yang dilahirkan atau yang melahirkan memerlukan tempat.

Dengan demikian, pengertian:- لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ itu memperlihatkan bahwa Allah (swt) tidak dilahirkan dan melahirkan, sehingga Dia tidak memerlukan tempat. Definisi yang sangat mustahil kalau Allah mempunyai tempat. Sebab Sang Pencipta itu tidak dapat diukur dan tidak bermula. Sedangkan tempat berangkat dari saat bermula. Setiap yang bermula pasti ada yang menciptakan. Sedangkan Allah sekali lagi tidak memiliki sifat bermula, dan tidak ada sekutu - tidak ada yang menyamai-Nya. Itu perbedaannya. Maka, satu hal yang mustahil kalau Allah mempunyai tempat.

[ Habib Muhammad Luthfi bin 'Ali bin Hasyim bin Yahya, mursyid Thoriqah asy-Syadzaliyyah dan rais 'am idarah 'aliyah Jam'iyyah Ahlith Thoriqah al-Mu'tabarah an-Nahdhiyyah].

***********************

Khamis, Jun 12, 2008

Penciptaan Agung

Imam 'Abdur Rahman bin 'Ali yang terkenal dengan nama Imam Ibnul Jawzi ulama besar bermazhab Hanbali yang dilahirkan pada tahun 509/510H di Baghdad. Beliau adalah pengarang dan daie yang terkenal yang banyak menyedarkan umat serta ramai yang memeluk Islam di tangannya. Beliau adalah guru kepada Ibnu Qudamah al-Maqdisy yang masyhur itu.Tersebutlah dalam karya beliau yang berjodol "al-Wafaa bi ahwaalil Musthofa s.a.w." akan kisah penciptaan Junjungan Nabi s.a.w. yakni penciptaan benih asal jasad baginda s.a.w. Kisahnya adalah sebagai berikut:-

عن كعب الأحبار قال: لما أراد الله تعالى أن يخلق محمداً صلى الله عليه وسلم أمر جبريل عليه السلام أن يأتيه فأتاه بالقبضة البيضاء التي هي موضع قبر رسول الله صلى الله عليه وسلم، فعجنت بماء التَّسْنيم، ثم غمست في أنهار الجنة، وطيف بها في السموات والأرض، فعرفت الملائكة محمداً وفَضْله قبل أن تعرف آدم، ثم كان نور محمد صلى الله عليه وسلم يُرى في غُرَّة جبهة آدم. وقيل له: يا آدم هذا سيد ولدك من الأنبياء والمرسلين.

فلما حملت حواء بشيت انتقل عن آدم إلى حواء، وكانت تلد في كل بطن ولدين إلا شيتاً، فإنها ولدته وحده، كرامة لمحمد صلى الله عليه وسلم. ثم لم يزل ينتقل من طاهر إلى طاهر إلى أن ولد صلى الله عليه وسلم.
Daripada Ka'ab al-Ahbar: " Tatkala Allah ta'ala berkehendak untuk menciptakan Nabi Muhammad s.a.w., Dia memerintahkan Jibril a.s. untuk membawakan segenggam tanah putih yang merupakan tanah tempat Junjungan Nabi s.a.w. dimakamkan nanti. Maka diulilah tanah tersebut dengan air Tasniim (air syurga) lalu dicelupkan ke dalam sungai-sungai syurga. Setelah itu, dibawakan dia berkeliling ke serata langit dan bumi. Para malaikat pun mengenali Junjungan Nabi s.a.w. dan keutamaan baginda sebelum mereka mengenali Nabi Adam a.s. Ketika nur Junjungan Nabi s.a.w. kelihatan di kening dahi Nabi Adam a.s., dikatakan kepadanya: "Wahai Adam, inilah sayyid (penghulu) keturunanmu daripada para anbiya' dan mursalin.

Tatkala Siti Hawa mengandungkan Nabi Syits berpindahlah Nur Muhammad tersebut kepada Siti Hawa. Siti Hawa yang biasanya melahirkan anak kembar setiap kali hamil, tetapi pada hamilnya ini dia hanya melahirkan seorang anak sahaja iaitu Nabi Syits kerana kemuliaan Junjungan Nabi s.a.w. Maka sentiasalah berpindah-pindah Nur Muhammad daripada seorang yang suci kepada orang suci yang lain sehinggalah baginda dilahirkan.
Begitulah keistimewaan penciptaan Junjungan Nabi s.a.w., sama ada penciptaan roh baginda yang agung, juga penciptaan asal benih bagi jasad baginda yang mulia lagi suci. Patutlah peluh baginda merupakan wangian yang teristimewa lagi penuh keberkatan kerana benih bagi jasad baginda telah diuli dan diadun serta dicelup dengan air Tasniim dan sungai-sungai syurga. Imam Muslim meriwayatkan bahawa Ummu Sulaim telah mengumpul titisan peluh Junjungan Nabi s.a.w. demi memperolehi keberkatan baginda s.a.w. Allahu .. Allah, mari kita banyakkan ucapan sholawat dan salam ke atas Junjungan Nabi s.a.w. kerana ucapan tersebut yang berhubung kait dengan Junjungan Nabi s.a.w. pun turut menghasilkan keberkatan dan keharuman yang istimewa yang boleh dihidu oleh sekalian makhluk selain jin dan manusia.

نور القلوب يزيد عند صلاتنا
للهاشمي فنوره لا ينجلي
فضياؤنا من ضوء نور محمد
صلوا على ذاك النبي الأفضل


Cahaya hati bertambah ia tatkala kita sholawatkan Nabi
Nabi keturunan Hasyim cahayanya tak akan sirna sekali-kali
Maka sinar cahaya kita adalah daripada sinar cahaya Nabi
Bersholawatlah atas nabi yang terutama itulah Junjungan Nabi

اللهم صل على النبي الهاشمي سيدنا محمد
وعلى اله و صحبه و سلم تسليما
*****************************


Rabu, Jun 11, 2008

Hukuman Murtad

Jenayah Riddah atau Jenayah Murtad mesti ditangani dan dibendung dengan sewajarnya. Janganlah dibiarkan berlaku tanpa sebarang tindakan, jika dibiarkan begitu saja, jawablah nanti depan Allah. Murtad adalah termasuk dalam jenis kekufuran yang terdahsyat dan merupakan jenayah besar terhadap Islam dan penganutnya. Sebagaimana dinyatakan oleh Imam an-Nawawi rhm. dalam "Raudhatuth Thoolibin", jilid 7, halaman 283, di mana beliau menulis:-

هي من أفحش أنواع الكفر و أغلظها حكما

Ianya adalah dari sekeji-keji kekufuran dan yang paling berat hukumannya.

Islam mengajar bahawa tiada paksaan dalam beragama, yakni dalam menjadikan Islam sebagai agama anutan. Oleh itu, kita tidak memaksa orang yang bukan Islam untuk menukar agama mereka tanpa kerelaan hati mereka. Jika paksaan menjadi amalan umat Islam, maka tiadalah lagi penganut agama Hindu di India atau penganut Kristian di Sepanyol. Kewujudan penganut-penganut agama Hindu dan Kristian tersebut menjadi bukti nyata bahawa umat Islam tidak pernah menukar agama seseorang secara paksa walaupun umat Islam beratus-ratus tahun menguasai negeri-negeri tersebut.

Seseorang yang berada di luar Islam, tidaklah dipaksa memeluk Islam. Tetapi apabila dia masuk Islam, maka dia terpaksalah tunduk dan patut dengan segala ajaran Islam termasuklah kepada hukum riddah atau murtad. Seseorang itu tidak dibenarkan untuk murtad dengan sewenang-wenangnya kerana tindakannya untuk murtad akan mengakibatkan hukum hadd dijalankan ke atasnya. Haddnya tidak lain melainkan dibunuh dengan dipancung kerana tindakannya menjadikan agama sebagai persendaan dan permainan. Sungguh kita umat yang beragama, kita tidak akan membiarkan ghirah kita kepada agama dipermain-mainkan.

Pada halaman 296, Imam an-Nawawi rhm. menyebut:-

"... Dan orang yang murtad itu hukumannya adalah dibunuh dengan dipancung lehernya, dan bukannya dibakar atau lain-lain. Hukuman tersebut hendaklah dilaksanakan oleh pemerintah atau orang yang diberinya kuasa. Jika hukuman tersebut dilaksanakan oleh selain pemerintah (yakni tanpa kebenaran pemerintah) maka orang yang melaksanakan hukuman tersebut hendaklah dihukum ta'zir.

Orang yang murtad itu hendaklah disuruh bertaubat sebelum dibunuh. Adakah suruhan bertaubat ini hukumnya wajib atau mustahab? Dalam perkara ini terdapat dua qawl atau wajah; Yang adzharnya suruhan bertaubat ini adalah wajib. Berhubung kadar tempoh yang diberi untuk orang yang murtad itu bertaubat sebelum hukuman bunuh dilaksanakan terdapat dua qawl; Qawl yang pertama menyatakan bahawa tempoh penangguhan tersebut adalah tiga (3) hari, manakala qawl yang adzharnya ianya adalah ketika itu juga, jika orang murtad itu enggan bertaubat setelah disuruh, maka dia dibunuh ketika itu juga (yakni tidak diberi penangguhan 3 hari atau lainnya kerana dia enggan bertaubat dan tetap dengan keputusannya untuk murtad). Menurut pendapat yang lemah (qil) penangguhan tiga (3) hari tersebut adalah tidak wajib sekali-kali....."
Inilah pegangan para ulama kita, asy-Syafi'iyyah, terhadap hukuman ke atas orang murtad. Yakni hukumannya adalah dibunuh dengan dipancung, tetapi sebelum hukuman dilaksanakan wajib kita suruh orang yang murtad itu bertaubat dan kembali kepada Islam. Jika dia enggan, maka tidaklah ditangguh hukuman tersebut 3 hari, bahkan bolehlah dilaksanakan hukuman pancung itu pada ketika itu juga.

Hukuman bunuh bagi orang lelaki yang murtad telah disepakati oleh para ulama kita dari kalangan mazhab 4. Adapun jika yang murtad itu perempuan, maka terdapat khilaf di mana Hanafiyyah berpendapat dia tidak dibunuh tetapi hendaklah disuruh bertaubat dan jika dia enggan maka dia hendaklah dipenjarakan sehingga dia mau bertaubat dan kembali kepada Islam atau dia mati dalam penjara. Manakala ulama mazhab Syafi'iyyah, Malikiyyah dan Hanabilah menyatakan hukuman bagi jenayah murtad adalah bunuh, tanpa mengira jantina.

Qadhi Abu 'Abdullah Shadruddin Muhammad bin 'Abdur Rahman bin al-Husain ad-Dimasqi al-Utsmani asy-Syafi'i (w. 780) pengarang kitab "Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf al-Aimmah" pada halaman 228 menulis:-

" ... Telah ittifaq (sepakat) para Imam bahawa sesiapa yang murtad dari Islam dia wajib (mesti) dibunuh. Yang menjadi pertikaian ialah:-
  1. sama ada hukuman bunuh tersebut dilaksanakan serta-merta atau ditangguh untuk orang murtad yang disuruh bertaubat itu bertaubat?
  2. sama ada suruhan bertaubat itu wajib atau mustahab?
  3. sama ada orang murtad yang enggan bertaubat setelah disuruh diberi penangguhan hukuman?
Imam Abu Hanifah rhm. berpendapat:- Tidak wajib disuruh bertaubat, orang murtad boleh dibunuh serta-merta melainkan jika dia memohon penangguhan, maka diberi penangguhan selama 3 hari. Di kalangan sebahagian sahabat beliau (yakni para ulama Hanafiyyah) berpendapat bahawa memberi penangguhan itu dihukumkan sunnat walaupun si murtad tidak memohon penangguhan.

Imam Malik rhm. berpendapat: Wajib menyuruhnya bertaubat, dan jika dia bertaubat ketika itu maka diterima taubatnya. Jika dia enggan bertaubat pada ketika disuruh untuk bertaubat, maka dia diberi penangguhan 3 hari agar dia bertaubat, dan jika dia enggan bertaubat setelah tempoh penangguhan tersebut, barulah dia dibunuh.

Imam Syafi'i rhm. mempunyai dua pendapat berhubung menyuruh orang murtad untuk bertaubat dan yang adzhar ianya adalah wajib. Begitu pula dengan memberi penangguhan, beliau juga mempunyai dua pendapat dan yang adzhar ianya adalah wajib. Jika penangguhan tidak memberi apa-apa faedah yakni si murtad memang telah nekad untuk keluar Islam walaupun sudah disuruh bertaubat, maka Imam Syafi'i mempunyai dua pendapat berhubung penangguhan ketika itu, dan yang adzharnya adalah tidak wajib diberi penangguhan walaupun diminta oleh orang yang murtad itu dan dia dibunuh ketika itu juga (yakni jika disuruh bertaubat, si murtad enggan, maka dia dibunuh tanpa diberi penangguhan kerana keengganan untuk bertaubat itu).

Imam Ahmad rhm. mempunyai dua riwayat berhubung suruhan bertaubat bagi orang yang murtad. Pendapat yang pertama adalah sama seperti pendapat mazhab Maliki, manakala pendapatnya yang kedua menyatakan yang suruhan bertaubat itu bukanlah satu kewajipan (yakni tidak wajib). Berhubung hukum memberi penangguhan, maka berlaku perbezaan pendapat dalam mazhabnya kepada 3 pendapat yang berbeza.

..... Imam Malik, Imam Syafi'i dan Imam Ahmad berpendapat bahawa hukuman bagi orang yang murtad adalah sama, tanpa mengira jantina. Imam Abu Hanifah pula berpendapat bahawa orang perempuan yang murtad hendaklah dipenjarakan dan tidak dihukum bunuh.
Syaikh 'Abdul Qaadir 'Awdah dalam "at-Tasyrii' al-Jinaa-i al-Islamiy" halaman 720 memperjelaskan lagi pendapat Abu Hanifah tersebut dengan menyatakan bahawa menurut Imam Abu Hanifah perempuan tersebut hendaklah dikembalikan kepada Islam dengan setiap hari disuruh bertaubat dan diajarkan dia ajaran Islam sehingga dia mau bertaubat atau dia mati dalam penjara tersebut. Jadi bukanlah ertinya dia dipenjarakan semata-mata sehingga ajalnya tiba.

Allahu ... Allah, berat - berat hukuman terhadap pelaku jenayah murtad ini. Dalam Kes Mal No. 07100-043-0191-2006 kes murtad Siti Fatimah bt. Abdullah @ Tan Ean Hung (ini adalah kes murtad kerana Siti ni telah memeluk Islam pada 25/7/1998, jadi tak timbul isu "menentukan status agama", tok sahlah nak kelentong, ini adalah kes murtad), Y.A. Tuan Haji Othman bin Ibrahim, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang dalam alasan penghakimannya menyatakan bahawa "riddah" itu adalah sekeji-keji kekufuran dan mendapat seberat-berat hukuman. Y.A. Tuan Hakim juga menyatakan kesepakatan ulama mengenai hukuman bunuh terhadap orang murtad dan beliau turut menukilkan beberapa nash mengenainya antaranya hadits:

من بدل دينه فاقتلوه

"Sesiapa yang menukar keIslamannya, bunuhlah dia. (Terjemahan beliau)

Juga beliau nukilkan keterangan kitab "Kifayatul Akhyar" yang menyatakan:-
"Barangsiapa yang keluar daripada Islam, ia diminta bertaubat tiga kali. Jika bertaubat (diterima taubatnya dan ia kembali kepada Islam) dan jika tidak, dia dibunuh, dan tidak boleh dimandikan, tidak boleh disembahyangkan dan tidak boleh dikuburkan di perkuburan orang Islam." (Terjemahan beliau)
Maka di sini, aku ingin bertanya:- Adakah Siti Fatimah Tan bt. Abdullah ini telah disuruh atau diperintahkan untuk bertaubat dan kembali kepada Islam? Pertanyaanku ini adalah kerana dalam alasan penghakiman yang ada padaku tak nampak pulak suruhan tersebut yang merupakan satu kewajipan menurut mazhab jumhur termasuk asy-Syafi'iyyah dilaksanakan. Ni bukan nak pertikai, sekadar mendapatkan kepastian. Pihak kami yang jahil ini sentiasa mengharapkan tunjuk ajar daripada Mahkamah yang mulia.

Sabtu, Jun 07, 2008

Habib Salim Bin Hafiz

Habib Salim Bin Hafiz Bin Syaikh Abu Bakar bin Salim adalah datuk kepada Habib 'Umar bin Muhammad Bin Hafiz yang masyhur dewasa ini. Beliau lahir di Bondowoso, Pulau Jawa pada 25 Syawwal 1288H / 6 Januari 1872M. Kemudian beliau dibawa ayahandanya balik ke Kota Misythah, Hadhramaut ketika beliau berusia kira-kira 8 tahun. Beliau menerima didikan awal daripada ayahnya dan beberapa ulama di Kota Misythah antaranya dengan Mu'allim 'Abud bin Sa'id BaSyu'aib dan Mu'allim 'Abdullah bin Hasan BaSyu'aib. Pada 1304H, beliau meneruskan pencarian ilmunya dengan mendatangi Kota Tarim al-Ghanna. Di kota berkat ini, beliau menimba pengetahuan agama daripada para ulama di sana antaranya Mu'allim 'Abdullah bin Ahmad BaGharib dan Habib 'Abdur Rahman bin Muhammad al-Masyhur. Selain Kota Tarim, beliau turut mengadakan perjalanan sama ada untuk mendalami ilmunya juga untuk menyebarkan ilmu dan dakwah ke Seiwun, Du'an, al-Haramain, Zanzibar, Mombasa, India dan tidak ketinggalan tanah kelahirannya, Pulau Jawa.

Di negeri-negeri yang dikunjunginya, beliau tidak melepaskan peluang untuk mengadakan pertemuan dan menjalinkan hubungan dengan para ulama dan awliya' yang menetap di sana. Hasil pertemuan dan hubungan ini, baik berupa wasiat, nasihat dan ijazah beliau kumpulkan dalam satu catatan yang dinamakannya "Minhah al-Ilah fil ittishal bi ba'dhi awliya". Habib Salim terkenal sebagai seorang ulama yang bersifat khumul yang tidak suka namanya dikenali orang. Apa yang penting baginya ialah keredhaan Allah s.w.t., dan bukannya penghargaan manusia. Di akhir hayatnya, sifat khumul ini semakin terserlah bila beliau sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan dirinya dalam majlis-majlis umum dengan duduk di shaf yang paling belakang. Beginilah sikap beliau sehingga beliau dipanggil pulang ke rahmatUllah pada tahun 1387H di Kota Misythah. Walaupun beliau tidak meninggalkan karya ilmiyyah yang banyak, tetapi perjuangannya diteruskan zuriatnya antaranya oleh anakandanya Habib Muhammad bin Salim dan kini teruskan oleh cucu-cucunya Habib 'Umar bin Muhammad dan Habib 'Ali Masyhur bin Muhammad. Moga rahmat Allah sentiasa dicucuri ke atas roh beliau dan ditempatkan beliau bersama nendanya Junjungan Nabi s.a.w. ... al-Fatihah.

Jumaat, Jun 06, 2008

Orang Alim

"Dulu waktu saya mengaji, setiap saya menanyakan suatu masalah kepada guru saya, jawabannya juga selalu: 'cari di kitab ini, cari di kitab itu'. Ketahuilah, wahai Novel, tidak disebut orang alim kalau setiap mendapat pertanyaan ia selalu menjawab: 'menurut saya begini begini ...', tetapi orang alim adalah orang yang mampu menjawab suatu permasalahan dengan menukil pendapat para ulama salaf lengkap dengan kitab rujukannya." - [Pesanan almarhum Habib Anis bin 'Alwi bin 'Ali al-Habsyi kepada Ustaz Novel @ Naufal bin Muhammad al-'Aydrus].

Zaman ini
Mudah dan gampang sekali
Orang mengeluarkan pandangan dan pendapat sendiri
Berhubung hukum - hakam agama suci
Hafal satu dua ayat dan hadits Junjungan Nabi
Fatwa dikeluarkan tanpa mengerti
Usul dan kaedah fiqh yang dipegangi
Fatwa pandangan pendapat ulama sejati
Tidak dihirau tidak dipeduli
Bahkan tidak diketahui
Bila ditanyai awam Syafi'i
Dijawab dengan pandangan Hanbali
Lalu pening kepala si Syafi'i
Kerna jawaban dengan amalan sehari-hari tidak selari
Aqwal mu'tamad, dhoif dan qawi
Sudah tidak dibezakan lagi
Inilah akibat bila malas mengaji
Karya ulama yang habis umurnya menggali
Kitab suci dan hadits Junjungan Nabi
Setakat menghafal kitab suci
Belum jadi ulama berilmu tinggi
Juga bukan ukuran taqwa sejati
Lihat si Hajjaj anak Yusuf ats-Tsaqafi
Dada dipenuhi kandungan kitab suci
Sholat jemaah dia kepalai
Sayyidi Ibnu Umar di belakang mengikuti
Malang anak Yusuf ats-Tsaqafi
Bukan ketaqwaan bertakhta di hati
Tapi kezaliman yang meratai
Hauskan darah umat Junjungan Nabi
Kepada Allah kita pohoni
Agar diperolehi ketaqwaan sejati
Tunduk patuh mentaati
Titah perintah Ilahi Rabbi
Berpandukan ajaran Junjungan Nabi
Yang diterima daripada ulama sejati
Bukan sekadar baca terjemah tafsir sendiri
Yang ilmunya cetek sekali
Jika ditimbang tak sampai barang sekati
Atau hanya ikut suka hati
Nanti bila mati barulah sedarkan diri
Apalah gunanya lagi

***********************
Moga Allah sentiasa merahmati Habibna Anis al-Habsyi ....al-Fatihah.


Khamis, Jun 05, 2008

Tawassul - Habib Zain

Tawassul dan istighatsah adalah amalan para ulama kita Ahlus Sunnah wal Jama'ah. Tidak ada ulama Sunni yang menentang amalan bertawassul dan beristighatsah dengan Junjungan Nabi s.a.w. dan para sholihin, sama ada sewaktu hayat mereka maupun setelah wafat. Yang menentang hanyalah mereka yang suka benar sendiri dan menghukum orang lain sebagai sesat, bid'ah dan sebagainya. Dan antara sandaran mereka untuk menghalang dari bertawassul dan beristighasah dengan para anbiya' dan awliya' yang telah wafat adalah atsar Sayyidina 'Umar bertawassul dengan Sayyidina 'Abbas r.a. Dengan bangganya mereka mendakwa bahawa "Inilah bukti yang kita tidak boleh bertawassul dengan orang yang telah mati". Benarkah begitu?

Antara ulama kita yang masih berada di dunia yang fana ini, semoga Allah memanjang dan memberkati usia beliau, adalah al-'Allaamah al-Faqiih al-Habib Zain bin Ibrahim BinSumaith. Dalam karyanya yang berbentuk soal-jawab yang berjodol "al-Ajwibah al-Ghaaliyah", beliau (hafizahUllah) menjelaskan berhubung persoalan ini. Pada halaman 77 - 79, beliau menulis:-

S: Jika bertawassul dengan orang-orang yang telah meninggal itu hukumnya jaiz (harus), maka kenapakah Khalifah 'Umar bin al-Khaththab bertawassul dengan Sayyidina 'Abbas dan bukannya dengan Junjungan Nabi s.a.w.?

J: Telah menjawab para ulama : Adapun tawassul Sayyidina 'Umar r.a. dengan Sayyidina 'Abbas r.a. bukanlah dalil yang menunjukkan ketidakharusan bertawassul dengan orang yang telah wafat meninggal dunia. Bahawasanya tawassul Sayyidina 'Umar dengan Sayyidina 'Abbas dan bukannya dengan Junjungan Nabi s.a.w. adalah untuk menjelaskan kepada manusia bahawa tawassul dengan selain Junjungan Nabi s.a.w. adalah harus yakni boleh (jaiz) dan tidak apa-apa (yakni tidak berdosa). Dan dikhas bertawassul dengan Sayyidina 'Abbas r.a. daripada sekalian sahabat adalah untuk menzahirkan kemuliaan keluarga Junjungan Rasulullah s.a.w.

S: Apakah dalilnya bagi yang sedemikian?

J: Dalil bagi yang sedemikian adalah bahawasanya telah sabit tawassul sahabat dengan Junjungan Nabi s.a.w. selepas baginda wafat. Antaranya, apa yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan Ibnu Abi Syaibah dengan sanad yang shohih: "Sesungguhnya manusia menghadapi kemarau pada zaman pemerintahan Sayyidina 'Umar r.a., lalu Sayyidina Bilal bin al-Haarits r.a. mendatangi (menziarahi) makam Junjungan Nabi s.a.w. seraya berkata: "Ya RasulAllah, mohonlah hujan bagi umatmu kerana mereka menuju kebinasaan (yakni akibat kemarau tersebut)." Setelah itu, Sayyidina Bilal bin al-Haarits telah bermimpi didatangi Junjungan Nabi s.a.w. dan baginda bersabda kepadanya: "Pergilah kepada 'Umar bin al-Khaththab, sampaikan salamku dan maklumkanlah bahawa mereka akan mendapat hujan." Sayyidina Bilal bin al-Harits pun pergi berjumpa dengan Sayyidina 'Umar dan menyampaikan salam dan pesanan Junjungan Nabi s.a.w. tersebut, lalu menangislah Sayyidina 'Umar r.a. dan mereka pun mendapat hujan."

S: Bagaimanakah hadits tersebut dapat dijadikan dalil?

J: Dalilnya adalah pada perbuatan Sayyidina Bilal tersebut yang merupakan seorang sahabat dan pada sikap Sayyidina 'Umar serta lain-lain sahabat yang tidak mengingkari perbuatan tersebut (yakni jikalah perbuatan Sayyidina Bilal untuk beristighatsah kepada Junjungan Nabi s.a.w. itu satu kesalahan, maka pasti Sayyidina 'Umar dan para sahabat yang lain akan mengingkarinya). Dan antara dalil lain adalah apa yang dikeluarkan oleh ad-Darimi: " Penduduk Kota Madinah telah menghadapi kemarau teruk, lalu mereka mengadu kepada Sayyidatina 'Aisyah r.'anha. Ummul Mu'minin Sayyidatina 'Aisyah berkata kepada mereka: (Pergilah) lihat kubur Nabi s.a.w. dan buatkanlah satu lubang atasnya yang tembus ke langit sehingga tidak ada atap (naungan) di antara kubur tersebut dengan langit. Maka mereka pun melakukannya, lalu turunlah hujan lebat sehingga tumbuh - tumbuhan hidup dengan subur dan unta-unta menjadi gemuk sehingga kulitnya seakan-akan pecah kerana lemak, maka dinamakan tahun tersebut "aamul fatqah" (tahun pecah-pecah (yakni melambangkan kesuburan kerana kulit unta-unta tersebut seolah-olah pecah-pecah kerana terlalu gemuk)."

KESIMPULAN: Bahawsanya bertawassul itu adalah harus (jaiz / mubah) , sama ada dengan amal-amal sholih ataupun dengan pelaku-pelaku amal sholih tersebvt iaitu para sholihin, sama ada dengan mereka-mereka yang masih hidu p ataupun yang sudah wafat meninggal dunia. Bahkan perbuatan bertawassul ini telah berlaku atas setiap keadaan hatta sebelum penciptaan Junjungan Nabi s.a.w. (yakni sebagaimana terjadinya tawassul Nabi Adam a.s. dengan Junjungan Nabi s.a.w. sebelum Baginda Nabi s.a.w. dilahirkan).
Allahu ... Allah, jadi tawassul Sayyidina 'Umar r.a. itu dengan paman Junjungan Nabi s.a.w., Sayyidina 'Abbas r.a., adalah menunjukkan bahawa boleh kita bertawassul dengan orang yang kedudukan dan maqamnya lebih rendah daripada Junjungan Nabi s.a.w. Dan bukanlah dalil bagi menghalang kita untuk bertawassul dengan orang yang telah mati. Logikanya, kita bertawassul dengan Junjungan Nabi s.a.w. atau para sholihin adalah kerana kedudukan dan maqam mereka yang mulia dan tinggi di sisi Allah s.w.t., maka ketahuilah yang kedudukan dan maqam ini tidaklah hilang dengan kewafatan mereka. Junjungan Nabi s.a.w. tetap RasullUllah, HabibUllah, NabiyUllah baik sewaktu hayat baginda dikandung badan, maupun selepas kewafatan baginda menuju kehidupan yang abadi.

Allahu ... Allahu Rabbi
Inilah istimewa maqam di sisi Ilahi
Berbeza dengan maqam duniawi
Lihat dulu dia perdana menteri
Sekarang sudah mantan perdana menteri
Dulu dia kerna kedudukannya dipuji tinggi
Kini dia pula dicaci dikeji
Sampai dikata "dalam daging dialah duri"
Sehingga mantan membawa hati
Lalu keluarlah dia dari parti
Ini hanya sekadar perbandingan diperi
Bukan tujuan menghina dan mengeji
Fa'tabiruuuuuu wahai mereka yang sudi
Maka jangan kita lupa diri
Walau sudah di dunia berjawatan tinggi
Ditabik orang lagi dihormati
Jangan lupa kita usaha dan cari
Capai kedudukan dan maqam sejati
Yang boleh dibawa selepas mati
Bukan hanya sibukkan kedudukan duniawi
Kedudukan yang hanya setakat mati
Atau yang hilang setelah berhenti

Isnin, Jun 02, 2008

Ulama Pengasas PAS

Nama Sheikh Muhammad Fadhlullah as-Suhaimi sangat tidak asing di kalangan masyarakat Islam di negara ini, khususnya pada dekat 40-an hingga 60-an. Beliau bukan sahaja pendakwah yang terkemuka, tetapi juga pemimpin gerakan Islam yang amat berjasa di negara ini. Sheikh Fadhlullah Suhaimi merupakan anak kepada Sheikh Muhammad Suhaimi, wali Allah yang dipercayai oleh pengikut Kumpulan Al-Arqam yang akan muncul sebagai Imam Mahdi. Sheikh Fadhlullah Suhaimi dilahirkan pada 1886 di Singapura dalam sebuah keluarga ulama yang berketurunan Ba'Alawi Bani BaSyaiban yang berasal dari Hadhramaut. Keluarganya berpindah dari Tanah Arab ke India pada abad ke-10, kemudian ke Jawa, sebelum ke Singapura. Bapanya mempunyai murid yang ramai di Klang dan Singapura. Selepas mendapat pendidikan asas daripada bapanya, Kiyai Agung Sheikh Muhammad bin Abdullah Suhaimi, beliau telah berangkat ke Makkah untuk mendalami ilmu agama.

Menjelang Perang Dunia Pertama, Sheikh Fadhlullah Suhaimi sudah belajar di Universiti al-Azhar, Mesir. Ketika dí Mesir, beliau menjadi pengarang majalah 'al-Ittihad', sekali gus pengurus kepada Syarikat Ittihidah dan Matba'ah Ittihad. Beliau menyiapkan karya pertamanya, "Pelajaran Tauhid" terbitan Matba'ah Ittihad pada 1914. Beliau kemudian kembali ke Singapura dan dilantik sebagai Mudir Madrasah as-Saqqaf pada 1916 sebelum berhijrah ke Jawa kerana membuka sekolah Arab di sana. Selepas kembali ke Singapura beliau menerbitkan kitab-kitab agama dan menerbitkan majalah "Jasa" di Johor Bahru. Beliau juga mengasaskan Kullíyyah al-Attas di Johor Bahru atas dorongan Datuk Syed Hassan Ahmad al-Attas pada 1931. Pada 1937, beliau membuka Kulliyyah al-Firdaus yang mengajar tafsir dan fiqh di Singapura sehingga awal 1942 yang terhenti akibat perang Jepun. Selepas itu, Sheikh Fadhullah mengajar di Kota Bharu, Kelantan beberapa ketika pada zaman Jepun sehinggalah beliau dilantik sebagai mudir Kuliyyah al-Lughah wa ad-Din, Pekan, Pahang pada 1955.


Beliau juga pernah menjadi Imam di masjid al-Ma’ruf, Singapura selain menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Jabatan Agama Islam Johor. Pada 1936, beliau mengasaskan Madrasah al–Ma'arif al-Islamiyah di Ipoh Road, Singapura yang kemudian diwarisi oleh anaknya, Ustaz Taha Suhaimi. Walaupun terlibat dalam dunia pendidikan di Singapura, Johor Bharu, Jawa , Kelantan dan Pahang, nama beliau mula menonjol dalam perdebatan Kaum Muda - Kaum Tua yang tercetus sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Beliau yang mendokong fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah bertentangan pendapat dengan Sheikh Hassan Ahmad atau terkenal sebagai Hassan Bandung yang dikatakan mendokong pemikiran Ibn Taimiyah dan Ibn Qayyim.


Melalui majalah "Pembela Islam" dan kitab Soal Jawab, Hassan Bandung melontarkan pemikiran-pemikiran baru yang dianggap bertentangan dengan Kaum Tua. Sheikh Fadhlullah kemudian menghasilkan "Buah Kulliyyah al-Attas" untuk menjawab pemikiran Hassan Bandung. Perdebatan berterusan ini membawa kepada cabaran oleh Hassan Bandung untuk berlawan pendapat melalui majalahnya, "Pembela Islam." Persoalan pegangan Ahli Sunnah, amalan bidaah dan fahaman Kaum Muda kemudian dijelaskan secara bijaksana oleh Sheikh Fadhlullah sehingga ia dapat diselesaikan dengan baik.

Walau bagaimanapun, Sheikh Fadhlullah dikatakan pernah berdebat dengah Hassan Bandung pada awal 1950 di Pulau Pinang. Beberapa pengikut Hassan Bandung yang terkenal seperti 'Sheikh' Tahir Jalaluddin, 'Sheikh' Abdullah Maghribi dan 'Sheikh' Ibrahim Aqibi bergiat di Pulau Pinang, kerana itu perdebatan berlaku di sana. Selain itu juga, beliau telah menghasilkan lebih Sebuah karya agama dalam pelbagai bidang seperti fiqh, tafsir, táuhid, sejarah, pemikiran Kaum Muda dan lain-lain, serta menterjemahkan kitab "al-Munjid" yang diterbitkan di Jakarta. Beliau juga dikatakan berjaya menghasilkan sebuah tafsir al-Quran. Tumpuan kegiatan dakwah beliau banyak terfokus kepada usaba-usaha membangunkan semula umat Islam seperti zaman kegemilangan dahulu. Beliau turut terlibat dalam gerakan tariqat kerana ayahnya sendiri adalah pengasas Aurad Muhammadiyah yang terkenal itu.

Gelaran yang diberikan oleh muridnya, Pehin Mufti Haji Ismail, 'al-'Allamah al-Murabbi al-khabir wal khatibul Qadir wa daie al-Basyir ila Allah asy – syaikh Muhammad Fadhlullah ibn asy - Syaikh Muhammad as-Suhaimi menggambarkan keluasan ilmunya. Dalam bidang politik, Sheikh Fadhlullah mula terlibat secara langsung ketika berada di Kelantan kerana kebanyakan muridnya terlibat dalam politik. Antara murid yang terkenal di kelantan ialah Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim yang pernah belajar di Kuliah al-Attas sebelum menjadi wakil rakyat PAS 1959.

Syeikh Fadhlullah juga beberapa kali mewakili umat lslam di Kelantan dalam persidangan-persidangan politik Melayu di Kuala Lumpur sekitar selepas Perang Dunia Kedua. Di Singapura, beliau juga terlibat dalam beberapa pertubuhan Islam. Ketika gerakan kemerdekaan mulai memuncak, nama Sheikh Fadhlullah mulai terkenal sebagai seorang ulama yang aktif dalam gerakan antípenjajah. Semasa para ulama bersidang di Muar atas anjuran Umno, Sheikh Fadhlullah telah hadir mewakili umat Islam Singapura walaupun beliau bukan ahli Umno.


Dalam Persidangan Alim Ulama Malaya Kedua di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951 yang telah berjaya menubuhkan PAS, Shaikh Fadhlullah memainkan peranan penting ke arah menjayakan usaha menubuhkan parti politik Islam ini. Walaupun tidak memegang apa-apa jawatan dalam PAS ketika itu, nama Sheikh Fadhlullah telah diputuskan oleh persidangan tersebut sebagai salah seorang daripada lima ulama yang akan mengemukakan rayuan kepada Raja-Raja Melayu untuk membolehkan sebuah pertubuhan ulama diasaskan, sekaligus menyelaraskan jabatan-jabatan agama di seluruh negara.

Walaupun nama beliau tidak muncul dalam kepemimpinan PAS selepas itu, tetapi beliau merupakan tenaga penting dalam meluaskan pengaruh PAS di Singapura pada awal 1950-an. Faktor kedudukan beliau sebagai Mudir Kulliyyah al-Lughah wa ad-Din di Pahang menghalang kegiatan politik belïau, tetapi anak beliau, Ustaz Taha Suhaimi telah menjadi pemimpin utama PAS Singapura sehingga 1965. Murid-murid beliau juga sama ada di Singapura, Johor, Pahang dan Kelantan kcbanyakannya menjadi pendukung perjuangan PAS di seluruh negara.

Sheikh Fadhlullah Suhaimi yang uzur kerana tua telah meninggal dunia di Singapura pada 16 ogos 1964 dalam usia 78 tahun. Dua anaknya yang terkenal ialah Ustaz Taha Suhaimi, Pesuruhjaya PAS Singapura dan Ustaz Kamil Suhaimi.

Sumber: Akhbar
HARAKAH, Ruangan FIKRAH 24 RABIULAKHIR - 9 JAMADILAWAL 1429H - 15 MEI 2008

الفاتحة


إرحم اللهم مثواه و بل بوابل الرحمة ثراه
و ارفع درجته و نور محلته و آنس وحشته
و اكتب حسنته و كن لنا و له وليا و بنا و به حفيا
اللهم آمين بجاه سيد المرسلين
و صلى الله على سيدنا محمد
و على آله و صحبه و سلم
و الحمد لله رب العالمين