Ahad, Ogos 31, 2008

Mubarak ... Mubarak

Ramadhan Mubarak. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini membawa kita lebih hampir kepada keredhaan Allah swt. Semarakkanlah Ramadhan ini dengan berbagai amal kebajikan sebagai sarana untuk meraih rahmat dan kasih-sayang Allah swt. Jangan kita persiakan bulan yang penuh keberkatan ini. Jalanilah ibadah puasa dengan sungguh-sungguh, setekun mungkin disertai ketulusan hati. Sesiapa yang sengaja meninggalkan puasa Ramadhanwalaupun hanya sehari, tanpa uzur, maka atasnyalah penyesalan yang tidak berkesudahan. Sehari Ramadhan yang dipersia-siakan, tidak akan dapat ditebus walaupun dengan berpuasa sepanjang masa, sebagaimana sabdaan Junjungan Nabi s.a.w. yang diriwayatkan, antaranya oleh Imam Abu Dawud, yang bermaksud :-

من افطر يوما من رمضان من غير رخصة
رخصها الله له و لا مرض لم يقضه صوم الدهر كله و إن صامه


"Sesiapa yang tidak berpuasa sehari dari bulan Ramadhan tanpa kelonggaran (rukhshah) yang diizinkan Allah atau kerana penyakit, maka ianya tidak dapat diqadha' dengan puasa sepanjang masa, meskipun dilaksanakan."

Jumhur fuqaha mengatakan bahawa seseorang yang meninggalkan puasa Ramadhan, maka dia berkewajipan mengqadha' menurut bilangan hari yang ditinggalkannya. Namun, ini tidak bermakna bahawa pahala yang luput dengan dia meninggalkan kewajibannya tersebut dapat diraihnya semula, tidak sekali-kali, walaupun dia berpuasa sunnat sepanjang hayatnya. sebagaimana pernyataan Junjungan s.a.w. tadi. Sungguh ganjaran amalan sunnat sekali-kali tidak akan mengatasi amalan fardhu. Juga menarik untuk disebut bahawa Imam an-Nakha'ie berpendapat bahawa sesiapa yang meninggalkan berpuasa sehari di bulan Ramadhan, maka dia berkewajiban untuk mengqadha'nya dengan 3,000 hari.....Allahu ... Allah. Nasib baik fuqaha lain tidak sependapat dengannya. Selamat berpuasa, selamat bertarawih, utamakan yang wajib, laksanakan yang sunnat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan