Isnin, November 24, 2008

Akhlak Junjungan

Mawlid ad-Diba'ie adalah antara mawlid yang indah susunan katanya. Karya seorang ulama dan ahli hadits terkemuka berdarjat hafiz, Imam Wajihuddin 'Abdur Rahman bin Muhammad bin 'Umar bin 'Ali bin Yusuf bin Ahmad bin 'Umar ad-Diba`ie asy-Syaibani al-Yamani az-Zabidi asy-Syafi`i. Beliau dilahirkan pada 4 haribulan Muharram tahun 866H dan wafat hari Jumaat 12 Rajab tahun 944H.

Selain susunan kata yang indah cipta, jangan pula kita lupakan maksud susunan kata tersebut yang tiada lain selain cuba menggambarkan kepada kita akan kepribadian manusia pilihan yang menjadi ikutan dan idola kita. Imam ad-Diba`ie rhm. antara lain mensifatkan Junjungan Nabi s.a.w. seperti berikut:-

Adalah Junjungan Nabi s.a.w. itu, sebaik-baik manusia dari segi kejadian dan akhlaknya. Bagindalah orang yang paling benar menunjuki jalan Allah. Akhlak baginda adalah al-Quran dan sifat pemaaf menjadi tabiatnya. Baginda suka memberikan nasihat kepada manusia serta banyak membuat ihsan. Baginda memaafkan kesalahan orang terhadap dirinya, tetapi jika dicuaikan hak Allah, maka tiada siapa yang dapat menahan kemarahannya. Sesiapa yang melihat baginda sekali pandang akan merasa gerun kepadanya (kerana kehebatan baginda). Apabila dipanggil oleh orang miskin, baginda menyahut panggilan tersebut. Baginda berkata benar walaupun pahit. Baginda tidak pernah menaruh perasaan hendak menipu atau menyusahkan orang lain. Sesiapa yang melihat wajah baginda, nescaya nampak nyata yang ianya bukan wajah seorang pendusta.

Adalah Junjungan Nabi s.a.w. tidak pernah mengeji atau mencela orang. Jika baginda bergembira, wajahnya seolah-olah bulan purnama. Apabila baginda berkata-kata dengan manusia, maka seolah-olah mereka mengambil buah-buahan yang manis daripada mulut baginda. Apabila baginda tersenyum, maka senyumannya sejuk menawan seperti butir-butir embun berturunan. Apabila baginda bercakap-cakap, seolah-olah mutiara berguguran daripada percakapan baginda tersebut. Apabila baginda mengucapkan sesuatu, maka seolah-olah kasturi yang keluar daripada mulut baginda. Jika baginda lalu di suatu tempat, maka dapat diketahui bahawa tempat itu telah dilalui baginda kerana bau harum baginda masih tercium di tempat tersebut. Jika baginda duduk di suatu tempat, akan berkekalan keharuman baginda beberapa hari di tempat tersebut. Bau baginda sentiasa harum semerbak walaupun baginda tidak memakai sebarang wangian. Jika baginda berjalan bersama-sama para sahabat, maka seolah-olah baginda bulan purnama yang dipagar bintang. Jika baginda datang ke suatu tempat pada waktu malam, orang - orang yang ada di tempat tersebut merasakan seolah-olah berada di waktu Zuhur disebabkan cahaya baginda. Adalah Junjungan Nabi s.a.w. itu sangatlah pemurah orangnya. Baginda sangat berlembut terhadap anak-anak yatim dan para janda. Setengah sahabat yang pernah menceritakan sifat baginda menyatakan: " Tidak pernah aku melihat seorang yang berambut hitam memakai pakaian merah yang lebih kacak lagi tampan dari baginda Rasulullah s.a.w."
Allahu .. Allah, betapa hebatnya kejadian diri dan pribadi Junjungan Nabi s.a.w. yang mulia. Sungguh bagindalah ciptaan teragung Allah yang tiada tara. Moga sentiasa baginda kita jadikan idola dan ikutan serta contoh teladan sepanjang zaman. Dengan menghadirkan diri dalam majlis-majlis mawlid, diharap kita semakin memahami hal-ehwal dan prilaku manusia agung ini serta bertambah pula kecintaan kita kepada baginda.


Mawlid ad-Diba'ie

Jumaat, November 14, 2008

Ceramah Habib Salim - Haul 2008

Ceramah Habib Salim di Masjid Baitul Aman pada 1 November 2008 sempena Haul Imam al-Haddad


Sabar melakukan ketaatan diberi 300 darjat
Sabar daripada maksiat diberi 600 darjat
Sabar terhadap bala dan musibah yang datang diberi 900 darjat

Selasa, November 11, 2008

Ceramah Habib Taufiq3

Ceramah Habib Taufiq dalam acara Mawlid Junjungan Nabi s.a.w. & Haul Habib Ja'far bin Syaikhan, Pasuruan, tahun 1429H (2008M).



Seorang mukmin jika dia dibacakan sejarah Rasul s.a.w.
Seorang mukmin jika dia dibacakan sifat-sifat Rasul s.a.w.
Pasti akan semakin cinta kepada beliau

اللهم صل و سلم و بارك عليه و على آله

Habib Salim asy-Syathiri

Habib Salim bin 'Abdullah bin 'Umar asy-Syathiri dilahirkan di Kota Tarim, Hadhramaut pada tahun 1359H. Ayahanda beliau, Habib 'Abdullah adalah pendiri Rubath Tarim yang telah melahirkan ribuan ulama dan santri dari segenap pelosok dunia Islam. Beliau terkenal sebagai seorang ulama yang sholih. Bonda Habib Salim, Syarifah Ruqayyah binti Muhammad bin Hasan Mawla Aidid, adalah seorang wanita yang sholihah yang gemar beruzlah untuk beribadah kepada Allah.
Tatkala berusia 3 tahun, Habib Salim menjadi yatim dengan pemergian ayahanda beliau ke rahmatUllah. Namun asuhan dan didikan agamanya tidak pernah terabai, belum pun genap umurnya 11 tahun beliau sudah hafal al-Quran. Beliau telah menimba berbagai ilmu pengetahuan dari sekitar 80 orang ulama-ulama besar Hadhramaut dan Haramain, antara guru beliau adalah:-
  1. Habib Muhammad al-Mahdi;
  2. Habib Abu Bakar;
  3. Habib Hasan bin 'Abdullah asy-Syathiri;
  4. Habib 'Alwi bin Syihabuddin;
  5. Habib Ja'far bin Ahmad al-'Aydrus;
  6. Habib 'Alwi bin 'Abbas al-Maliki al-Hasani;
  7. Syaikh Hasan bin Muhammad Masyath;
  8. Syaikh 'Abdullah Sa`id al-Lahji asy-Syafi`i;
  9. Habib Hasan bin Muhammad Fad`aq;
  10. Syaikh Hasan bin Sa`id.
Sekembalinya beliau ke Yaman, beliau telah menggunakan masanya untuk berdakwah dan menyebar ilmu. Beliau pernah tinggal 15 tahun di Kota Aden dan menjadi guru dan khatib di Masjid Habib Abu Bakar al-'Adni bin 'Abdullah al-Aydrus. Pada tahun 1403, atas permintaan Habib Zain bin Ibrahim BinSmith dan Habib Muhammad al-Haddar, beliau bermukim di Kota Madinah dan mengasuh Rubath al-Jufri. Telah banyak santri yang mengambil manfaat dari kedalaman ilmu beliau. Beliau dikenali memiliki keikhlasan yang tinggi, akhlak yang mulia serta sentiasa menjaga sunnah Junjungan Nabi s.a.w. Dakwah dan menyebarkan ilmu tidak menghalang dirinya untuk memperbanyakkan ibadah-ibadah khususiyyah seperti sholat-sholat sunnat. Setiap Ramadhan, beliau menambah sembahyang malamnya sehingga 100 rakaat setiap malam. Kini Habib Salim mengabdikan dirinya untuk mengasuh Rubath Tarim yang mempunyai sekitar 500 orang santri dari berbagai negara termasuklah Malaysia. Selain itu, beliau tetap melakukan rehlah dakwah ke berbagai pelosok dunia Islam. Mudah-mudahan Allah memberi kesihatan yang sempurna serta melanjutkan usia ulama yang digelar sebagai "Sulthanul 'Ilmi" ini demi manfaat agama dan umat. Allahumma aamiin.

Khamis, November 06, 2008

Hol Imam Al-Haddad

Imam al-Habib 'Abdullah bin 'Alawi bin Muhammad al-Haddad wafat pada 7 Dzul Qa`edah 1132H. Beliau adalah seorang waliyullah yang mencapai darjat quthub dan ahli dakwah yang unggul. Mufti negeri-negeri Hadhramaut, Habib 'Abdur Rahman dalam "Ghayatu Talkhis al-Murad" menyatakan bahawa Imam al-Haddad adalah mujaddid kurun yang ke - 11H. Maqamnya sebagai wali Quthub atau Sulthanul Awliya` telah diketahui umum dan diperakui oleh para ulama pada masa hayat beliau dan selepasnya.

Diceritakan bahawa Syaikh Abu Thayyib al-Maghribi telah bermusafir ke Maghribi untuk menziarahi kaum keluarganya di sana. Semasa di Maghribi, dia mendengar tentang seorang wali yang terkenal, lalu dia pun pergi menziarahi wali tersebut. Semasa berziarah dan melihat wali tersebut, terdetik dalam hatinya bahawa wali ini sudah tentu seorang Quthub. Tiba-tiba wali tersebut memandang tepat kepadanya dan menyatakan bahawa beliau bukanlah Quthub yang dicarinya kerana Quthub tersebut berada di Yaman, iaitu Sayyid 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad rhm.

Haul @ Hol Imam al-Haddad telah diperingati di berbagai tempat di Malaysia, alhamdulillah. Kenapa kita memperingati hol Imam besar ini? Bukan untuk bermegah-megah atau bersuka-suka, tetapi antaranya, sebagai ikhtiar "ngalap berkat" dan mendapat madad dan syafaat Imam al-Haddad pada hari di mana amalan kita dihisab. Mudah-mudahan pada hari tersebut, kita memperolehi syafaat Imam al-Haddad dan para leluhurnya terutama sekali Jadduhul A'dhzam, Junjungan Nabi s.a.w.

Sebagai pengikut Ahlus Sunnah wal Jamaah, semestinya kita percaya kepada adanya syafaat daripada orang-orang yang diizinkan Allah s.w.t. untuk memberikannya. Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali r.a. dalam kitab "Ihya` Ulumiddin" menyatakan:-
"Dan hendaklah kita beriman yakni percaya dengan (adanya) syafaat para nabi, kemudian syafaat para ulama, kemudian syafaat para syuhada`, kemudian syafaat segala orang mukmin menurut jah dan kedudukannya di sisi Allah ta'ala."
Mudah-mudahan dengan kita memperingati al-Habib, maka al-Habib akan juga ingat kepada kita. Mudah-mudahan al-Habib sudi mendoakan kita agar sejahtera di dunia dan di akhirat. Mudah-mudahan kita dikumpulkan bersama beliau dalam syurga Firdaus beserta nendanya yang mulia Junjungan Nabi s.a.w. Allahu ... Allah, inilah kesudahan cita-cita kita, untuk dapat bersama mereka dalam keredhaan dan rahmat Ilahi Rabbi. ..... al-Fatihah bil qabul

*********************************

Ceramah Hol 1 - Habib Hasan al-'Aththas


Ceramah Hol 2 - Habib Hasan al-'Aththas

Rabu, November 05, 2008

Ceramah Habib Taufiq 2



Ceramah Habib Taufiq berkenaan kewafatan Nabi s.a.w.

Selasa, November 04, 2008

Ceramah Habib Taufiq


Ceramah Habib Taufiq di Pasuruan, Jawa Timur