Akhlak Junjungan
Selain susunan kata yang indah cipta, jangan pula kita lupakan maksud susunan kata tersebut yang tiada lain selain cuba menggambarkan kepada kita akan kepribadian manusia pilihan yang menjadi ikutan dan idola kita. Imam ad-Diba`ie rhm. antara lain mensifatkan Junjungan Nabi s.a.w. seperti berikut:-
Adalah Junjungan Nabi s.a.w. itu, sebaik-baik manusia dari segi kejadian dan akhlaknya. Bagindalah orang yang paling benar menunjuki jalan Allah. Akhlak baginda adalah al-Quran dan sifat pemaaf menjadi tabiatnya. Baginda suka memberikan nasihat kepada manusia serta banyak membuat ihsan. Baginda memaafkan kesalahan orang terhadap dirinya, tetapi jika dicuaikan hak Allah, maka tiada siapa yang dapat menahan kemarahannya. Sesiapa yang melihat baginda sekali pandang akan merasa gerun kepadanya (kerana kehebatan baginda). Apabila dipanggil oleh orang miskin, baginda menyahut panggilan tersebut. Baginda berkata benar walaupun pahit. Baginda tidak pernah menaruh perasaan hendak menipu atau menyusahkan orang lain. Sesiapa yang melihat wajah baginda, nescaya nampak nyata yang ianya bukan wajah seorang pendusta.Allahu .. Allah, betapa hebatnya kejadian diri dan pribadi Junjungan Nabi s.a.w. yang mulia. Sungguh bagindalah ciptaan teragung Allah yang tiada tara. Moga sentiasa baginda kita jadikan idola dan ikutan serta contoh teladan sepanjang zaman. Dengan menghadirkan diri dalam majlis-majlis mawlid, diharap kita semakin memahami hal-ehwal dan prilaku manusia agung ini serta bertambah pula kecintaan kita kepada baginda.
Adalah Junjungan Nabi s.a.w. tidak pernah mengeji atau mencela orang. Jika baginda bergembira, wajahnya seolah-olah bulan purnama. Apabila baginda berkata-kata dengan manusia, maka seolah-olah mereka mengambil buah-buahan yang manis daripada mulut baginda. Apabila baginda tersenyum, maka senyumannya sejuk menawan seperti butir-butir embun berturunan. Apabila baginda bercakap-cakap, seolah-olah mutiara berguguran daripada percakapan baginda tersebut. Apabila baginda mengucapkan sesuatu, maka seolah-olah kasturi yang keluar daripada mulut baginda. Jika baginda lalu di suatu tempat, maka dapat diketahui bahawa tempat itu telah dilalui baginda kerana bau harum baginda masih tercium di tempat tersebut. Jika baginda duduk di suatu tempat, akan berkekalan keharuman baginda beberapa hari di tempat tersebut. Bau baginda sentiasa harum semerbak walaupun baginda tidak memakai sebarang wangian. Jika baginda berjalan bersama-sama para sahabat, maka seolah-olah baginda bulan purnama yang dipagar bintang. Jika baginda datang ke suatu tempat pada waktu malam, orang - orang yang ada di tempat tersebut merasakan seolah-olah berada di waktu Zuhur disebabkan cahaya baginda. Adalah Junjungan Nabi s.a.w. itu sangatlah pemurah orangnya. Baginda sangat berlembut terhadap anak-anak yatim dan para janda. Setengah sahabat yang pernah menceritakan sifat baginda menyatakan: " Tidak pernah aku melihat seorang yang berambut hitam memakai pakaian merah yang lebih kacak lagi tampan dari baginda Rasulullah s.a.w."