Jumaat, Disember 23, 2022

Shalawat Fatih - KH Badri

Sekadar berkongsi dan untuk rujukan. Memang bagi pengikut Thariqat Tijaniyyah, Shalawat Fatih memiliki tempat yang istimewa di sisi mereka. Bagi diri faqir yang dhaif lagi dangkal ilmu dan singkat faham, tidaklah berani untuk menyalah - nyalahkan perkataan para ulama dan shalihin, namun tidaklah juga bererti faqir menerima bulat - bulat dengan taksub, sebagaimana segelintir yang melampau sehingga membawa kepada menghina atau merendahkan yang lain. Cukup untuk faqir bersikap sederhana, selagimana ianya tidak bertentangan dengan `aqidah dan syariat. Bagi faqir, keafdhalan sesuatu shalawat itu tidak hanya terikat dengan rupa bentuk shighahnya, faktor kerinduan `asyiq ma'syuq kepada pribadi yang ditujukan shalawat tersebut dan juga kepada Zat yang dipohonkan limpahan kurniaan shalawatNya, itu yang utama. Sesungguhnya shalawat `isyqi (shalawat kerinduan) itu yang paling afdhal, berbanding apa jua shalawat yang diucapkan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Namun setiapnya ada manfaat dan kesan, cuma bezanya besar atau kecil sahaja. KH Badri Mashduqi rahimahullah adalah ulama dan merupakan salah seorang muqaddam yakni syaikh bagi Thariqat Tijaniyyah yang mempunyai ramai murid di Tanah Seberang. Beliau adalah pendiri Pondok Pesantren Badridduja, Krakasaan, Probolinggo, Jawa Timur. Beliau wafat sekitar tahun 2002, semoga Allah memberikan beliau sebaik - baik balasan dan menempatkan beliau bersama para shalihin.
Shalawat Fatih - KH Badri Mashduqi


Isnin, Disember 05, 2022

Sayyidul Istighfar Penyertu Hati

Kita melakukan dosa maksiat kerana kealpaan hati kita akan Sang Pencipta. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda bahawa syaithan itu sentiasa cuba untuk menggoda dan meniup was - was dalam hati manusia, yang mencegahnya adalah ingat akan Allah. Namun ketika kita lupa, maka berjayalah dia untuk menancap muncungnya ke hati kita dan menjalankan agenda dan tipusayanya untuk menjerumuskan kita ke lembah dosa dan maksiat. Sebahagian ulama memberi tamsilan bahawa syaitan itu seperti anjing yang sentiasa loba untuk menjilat - jilat hati kita agar ianya kotor berlumur dengan najis, lalu mudahlah dia menjalankan segala godaan dan perdayaannya. Bila hati dah kotor bernajis, maka ketika itulah maksiat terasa lazat dan nikmat. Inilah perumpamaan yang diberikan oleh sebahagian ulama. Mereka mengumpamakan syaitan yang datang menggoda hati agar bermaksiat melalui jalan hawa nafsu itu seperti seekor anjing.

`Iqdul Zabarjad adalah karangan al-`Alim al-Fadhil Syaikh Abdul Wahhab bin Ahmad bin Barakaat ath-Thanthawi al-Mishri asy-Syafie al-Ahmadi, seorang ulama sufi kurun ke 12 hijrah. Beliau ini merupakan syaikh Thariqat as-Sajadah al-Ahmadiyyah yang merupakan cabang Thariqah Ahmadiyyah al-Badawiyyah (Thariqah Sidi Ahmad al-Badawi radhiyaAllahu `anhu). Pada halaman 127 beliau rahimahullah menulis sebagai berikut:
Telah berkata Syaikhul Islam Sirajuddin al-Bulqini: Syaitan itu umpama anjing bagi orang mukmin. Ia senantiasa mengintai - ngintai kesempatan untuk menerpa hati sanubarinya. Selagi mana hati si mukmin tadi sibuk dengan mengingati Allah (dzikrullah), maka si syaitan akan menjauhkan dirinya. Tatkala mana hati tadi alpa dan lalai daripada mengingati Allah, syaitan akan menerkam hatinya dengan lahap lalu mengotorinya. Apabila engkau terkena najis anjing (yakni najis mughallazah), untuk mensucikannya engkau perlu membasuh 7 kali. Sayyidul Istighfar itu mempunyai 7 kalimah (yakni pengertian maknanya), maka apabila seseorang mukmin membacanya bersihlah hatinya daripada jilatan syaitan tersebut. Ketika anak beliau, Syaikh Jalaluddin, mendengar perkataan ayahandanya, beliau pun bersyair:

Tika syaitan menerpa hatimu yang alpa;

Lalu si durjana menjilat sekotor - kotornya;

Bersegeralah engkau sucikan dia;

Berpandukan ajaran sunnah sebaik - baik riwayatnya;

Tujuh rangkaian kalimah daripada Sebaik - baik Pemberi Ingatan adanya;

Mentauhidkan Tuhan dan bahawasanya kita hambaNya;

Atas perjanjian patuh mentaati, tiada kita langgar, tidak pula mengubahnya;

Demikian perlindungan dari kejahatan perbuatanmu mohon akan Dia;

Lalu akuilah segala nikmat yang banyak kepadamu dikurniakanNya;

Juga akuilah segala dosa kesalahanmu terhadapNya;

Seraya merendah diri bermunajat kepadaNya;

Katakanlah: Wahai Tuhanku maafkan dosa kesalahanku ampunilah ia;

Ketika itu, dengan taubatmu, engkau mencampak debu ke hidungnya;

Maka itulah sebenar - benar penghinaan baginya;

Dan bagimu satu penyucian adanya.

Yang dimaksudkan 7 rangkaian kalimah yang terkandung dalam Sayyidul Istighfar adalah intipati yang terkandung dalam Sayyidul Istighfar ada 7 sebagaimana berikut:- (i) Pengakuan rububiyyah dan uluhiyyah hanya bagi Allah; (ii) Pengakuan bahawa kita adalah hamba yang dicipta Allah; (iii) Pengakuan bahawa kita akan tunduk dan patuh atas segala hukum - hakam yang ditetapkan Allah semampu - mampunya; (iv) Kita memohon perlindungan Allah dari segala kesalahan yang telah kita lakukan (v) Pengiktirafan kita bahawa segala nikmat yang telah kita perolehi adalah anugerah kurniaan Allah (vi) Pengakuan atas segala dosa kesalahan yang telah kita lakukan (vii) Permohonan keampunan daripada Allah kerana hanya Dialah berhak mengampunkan segala dosa.

Maka, hendaklah kita sentiasa bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah yang Maha Penerima Taubat. Amalkanlah Sayyidul Istighfar ini dengan tulus ikhlas dan penuh penghayatan. Mudah - mudahan segala dosa kesalahan kita diampuniNya.....Allahumma aamiin.